Kelahiran anak membawa kegembiraan, harapan dan juga tanggungjawab besar sebagai ibu bapa. Dalam Islam selain memilih nama yang baik, terdapat satu amalan penting yang digalakkan adalah aqiqah. Bagi anda yang baru sahaja menjadi ibu ayah, pasti kurang tahu tentang niat aqiqah untuk anak perempuan dan cara melaksanakan ibadah ini, kan?
Dalam artikel ini kami kongsikan panduan lengkap aqiqah anak perempuan bagi memudahkan persediaan anda.
Apa Itu Aqiqah
Dari sudut bahasa, aqiqah adalah melubangi atau memutus dan perkataan tersebut berasal daripada perkataan ‘aqq. Manakala dari segi istilah, aqiqah adalah penyembelihan binatang yang dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Berdasarkan Ibn Qayyim daripada kitabnya Tuhfatul Maudud mengatakan bahawa “Aqiqah ialah menyembelih haiwan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi dan mencukur rambutnya.”
Hukum Aqiqah Anak Perempuan
Menurut Imam Syafie dan jumhur ulama hukum aqiqah adalah sunat muakad. Sunat muakad merupakan ibadah sunat yang amat dituntut dalam Islam. Bahkan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan tuntutan ini. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
كُّلَّ غُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِه وَيَخْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya dan diberi nama”. (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tarmidzi dan Ibn Majah)
Cara Aqiqah Anak Perempuan
Berikut panduan dan cara aqiqah anak perempuan:
1. Lafaz Niat Aqiqah Untuk Anak Perempuan

Niat Aqiqah Untuk Anak Perempuan Dalam Rumi: Bismillah Allahu Akbar Allaahumma minka wa laka, haadzihi ‘aqiiqotu [fulaan]
Maksud Niat Untuk Aqiqah Anak Perempuan: Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, Ya Allah ini dari-Mu dan untuk-Mu. Ini adalah aqiqah fulaan
Penyebutan [fulaan] itu diganti dengan nama anak yang ingin diaqiqahkan. Contoh, nama anak Muhammad Ali bin Muhammad Zain, maka ganti [fulaan] dengan “Muhammad Ali bin Muhammad Zain”
2. Syarat Haiwan Aqiqah
Haiwan yang disembelih untuk aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
-
Jenis: Kambing atau biri-biri
-
Umur: Sekurang-kurangnya berumur satu tahun bagi kambing dan enam bulan bagi biri-biri
-
Sihat: Tidak cacat, buta, terlalu kurus, atau berpenyakit
Bilangan Haiwan Aqiqah Anak Perempuan
Bagi anak perempuan, disunatkan untuk menyembelih seekor kambing atau biri-biri. Ini berbeza dengan aqiqah anak lelaki yang disunatkan dua ekor kambing.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang tidak mampu menyediakan dua ekor kambing untuk anak lelaki atau seekor kambing untuk anak perempuan, maka seekor sahaja pun sudah mencukupi sebagai pelaksanaan aqiqah.
Bolehkah Aqiqah Lembu atau Unta Sebagai Ganti Kambing?
Menurut mazhab al-Syafi’e, kambing boleh digantikan dengan lembu atau unta. Ini seperti yang disebutkan al-Imam al-Nawawi Rahimullah dalam kitabnya al-Majmu’:
مَذْهَبُنَا جَوَازُ الْعَقِيقَةِ بِمَا تَجُوزُ بِهِ الْأُضْحِيَّةُ مِنْ الابل والبقر والغنم وبه قال أنس ابن مَالِكٍ وَمَالِكُ بْنُ أَنَسٍ وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ حَفْصَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَا يُجْزِئُ إلَّا الْغَنَمُ
Maksudnya: Mazhab kami (iaitu al-Syafi`e), dibolehkan aqiqah apa yang dibolehkan dengannya sembelihan dari jenis unta, lembu dan kambing dan ini adalah pendapat Anas bin Malik dan Malik bin Anas. Dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Hafsah binti Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Siddiq RA, tidak dikira aqiqah itu kecuali kambing.[1]
Aqiqah Anak Perempuan Sampai Umur Berapa?
Ibu bapa yang tidak mampu membuat aqiqah anaknya ketika berusia 7 hari boleh ditangguhkan ketika anak berusia 14 hari. Kemudian jika masih tidak mampu untuk melakukannya, boleh dilanjutkan sehingga anak berusia 21 hari.
Jika masih tidak berkemampuan, sunat untuk mereka membuat aqiqah apabila anak itu dewasa (baligh) kelak.
Walaubagaimanapun, apabila anak sudah meningkat dewasa, para ulama’ berpendapat menetapkan sunat bagi ibu bapa untuk membuat korban dan bukan lagi aqiqah untuk anak mereka.
Tetapi bagi anak-anak yang belum diaqiqahkan, boleh memilih untuk membuat aqiqah untuk dirinya sendiri apabila sudah menjadi dewasa.
Amalan Sunat Ketika Aqiqah
Antara amalan sunat yang digalakkan dilakukan pada hari aqiqah adalah seperti berikut:
1. Menyembelih Haiwan
Haiwan hendaklah disembelih pada hari yang telah ditentukan dengan niat aqiqah. Penyembelihan boleh dilakukan oleh bapa, wali atau diwakilkan kepada orang lain.
2. Mencukur Rambut Anak
Sunat mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahirannya. Rambut yang dicukur ditimbang dan nilainya dalam bentuk emas atau perak disedekahkan kepada fakir miskin.
3. Memberi Nama Anak
Sunat memberi nama kepada anak pada hari ketujuh kelahiran, jika belum diberi sebelum itu. Pemilihan nama yang baik dan membawa maksud positif amat dituntut dalam Islam.
Pengagihan Daging Aqiqah
Islam menyarankan agar daging aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum diberikan kepada orang ramai. Ini berbeza dengan ibadah korban di mana daging dibahagi dalam bentuk mentah.
-
Daging aqiqah boleh dimakan oleh keluarga sendiri
-
Disunatkan menjamu orang lain, terutamanya fakir miskin dan jiran tetangga
-
Tidak boleh menjual daging atau apa-apa bahagian haiwan aqiqah
-
Boleh dilakukan dalam bentuk jamuan kenduri, majlis doa selamat dan sebagainya
Siapakah Yang Bertanggungjawab Melaksanakan Aqiqah?
Secara umum, bapa adalah individu yang bertanggungjawab melaksanakan aqiqah untuk anaknya. Sekiranya bapa telah meninggal dunia, maka tanggungjawab ini boleh diambil alih oleh datuk atau penjaga yang lain.
Dalam sesetengah keadaan, aqiqah juga boleh dilakukan oleh individu lain sebagai hadiah kepada anak tersebut, dengan izin penjaganya.
Hikmah dan Kelebihan Aqiqah
Pelaksanaan aqiqah membawa pelbagai hikmah antaranya:
-
Menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT
-
Mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah korban
-
Menjalin hubungan silaturahim dengan masyarakat melalui jamuan
-
Membersihkan anak daripada gangguan syaitan
-
Sebagai tanda pengenalan anak kepada masyarakat
Aqiqah merupakan satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam sebagai lambang kesyukuran atas kelahiran seorang anak. Bagi anak perempuan, seekor kambing atau biri-biri adalah memadai, dan pelaksanaannya sebaiknya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran.
Dengan pelaksanaan yang betul dan niat yang ikhlas, aqiqah bukan sahaja membawa keberkatan kepada anak dan keluarganya, malah mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Baca juga: Boleh Cukur Jambul Bayi Dahulu, Baru Buat Aqiqah Jika Ibu Ayah Tidak Berkemampuan
Baca juga: Ibu Sibuk Buat Persiapan Majlis Aqiqah Anak, Ada Pula Individu Lain Yang Berani Breastfeed Anaknya Sesuka Hati
Baca juga: Bolehkah Niat Korban Dan Akikah Pada Seekor Haiwan Yang Sama? Ini Jawapan Ustaz
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!