Membeli barangan dapur memang seronok. Sesetengah orang boleh juga menjadi rambang mata apabila berhadapan dengan pelbagai pilihan barangan yang tersusun di pasar raya. Tetapi, bila melihatkan harganya semakin hari semakin mahal, hatta hanyalah pencuci lantai pun, pasti kita akan berasa bahawa ianya lebih berbaloi jika kita membuat sendiri sabun pencuci tersebut!
Ianya tidak mustahil untuk anda mencuba membuat sabun pencuci sendiri. Malah, anda tidak perlukan bahan-bahan kimia yang terlalu kasar pun untuk menghasilkan sabun tersebut.
Apa yang anda perlukan hanyalah barangan yang sudah tersedia di dalam dapur anda untuk menjadikan sabun pencuci organik yang selamat untuk digunakan walaupun untuk membasuh barangan si manja anda.
Bagaimana Hendak Membuat Pencuci Lantai Organik Sendiri?
Kredit: Freepik
Kaedah yang akan kami kongsikan ini pasti akan membuat mana-mana suri rumah gembira, kerana bahan-bahan yang akan digunakan tidaklah mahal malah ia mampu menghakis kotoran-kotoran degil yang melekat pada dinding rumah serta dapur gas anda!
1# Sabun pencuci wangi serba-guna
Bahan yang diperlukan:
- Satu bahagian cuka putih
- Satu bahagian air
- Kulit limau
- Tangkai bunga ros (Rosemary sprigs)
Cara penghasilannya senang sahaja! Campurkan kesemua bahan diatas ke dalam satu botol semburan dan biarkan ia bercampur selama satu minggu sebelum anda gunakannya.
Dengan campuran ini, anda boleh menggunakannya pada dinding yang mempunyai kesan-kesan minyak, dapur masak yang berkerak serta mewangikan bilik-bilik di dalam rumah.
Kulit limau yang asidik bukan sahaja dapat membersihkan kotoran degil dengan mudah, malah ia memberi bauan yang menyegarkan juga lagi-lagi apabila bercampur dengan tangkai bunga ros.
2# Pembersih dan pewangi dapur
Kredit: Freepik
Bahan yang diperlukan:
- 4 sudu besar serbuk penaik
- 1 liter air suam
Dapur memang tempat membiaknya kotoran degil dan dengan campuran serbuk penaik serta air ini, masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Anda boleh membasuh dapur masak, dalaman peti serta alatan memasak menggunakan campuran ini.
Sekiranya anda menyiram campuran ini ke dalam lubang sinki secara terus, ia dapat membuang bau-bau tidak enak yang datang dari saluran paip tersebut. Ya lah, apabila dah selalu gunakan dapur, mesti ada bau-bau makanan yang sudah rosak di dalam paip, kan?
3# Pembersih minyak DIY
Bahan yang diperlukan:
- ½ cawan amonia bersabun
- 1 gelen air
Sebagai orang Malaysia, masakan kita banyak menggunakan minyak masak dan minyak ini tentulah akan terpercik setiap kali kita memasak lagi-lagi apabila kita menggoreng ikan atau ayam yang dikeluarkan dari peti sejuk. Oleh itu, penggunaan amonia bersabun yang mengandungi bahan pencuci boleh membuang kotoran-kotoran minyak degil.
Anda boleh juga menggunakan kaedah ini untuk membasuh kotoran-kotoran yang berada di dalam oven anda atau merendam papan pembakar (grill grates) anda di dalam campuran tersebut secara terus.
Bagi mereka yang mempunyai cahaya mata di rumah, pasti anda tahu bahawa setiap barangan bayi perlu dibasuh dengan teliti dan sabun pencuci mereka tidaklah sama seperti sabun pencuci yang kita sendiri gunakan.
Sabun pencuci bayi boleh mempunyai harga yang sedikit mahal, jadi sekiranya anda merasakan bahawa tidak berbaloi untuk anda membeli sabun pencuci barangan bayi, anda boleh cuba membuat sabun pencuci sendiri untuk memastikan kebersihan barangan cahaya mata anda.
Bukan sahaja anda dapat menyimpan sedikit wang anda, tetapi anda juga tidak perlu risau dengan kandungan bahan kimia yang berada di dalam sabun pencuci buatan anda sendiri.
4# Sabun Cucian Barang Bayi DIY
Kredit: Baby Mom Guide
Bahan yang diperlukan:
- 1 cawan cuka putih
- 4 cawan air
- 1 sudu besar jus lemon
Seperti biasa, campurkan kesemua bahan-bahan ini di dalam satu botol semburan dan biarkan ia bercampur selama seminggu sebelum menggunakannya untuk kesan yang lebih ketara. Anda boleh juga menggunakan campuran ini untuk membasuh sayur-sayuran dan buah-buahan bagi hidangan menyelerakan si kecil!
Tip: Sayuran hijau dan buah-buahan seperti beri boleh menyerap rasa cuka, jadi anda boleh merendam dua perkara ini dalam jus lemon yang telah dicampur air. Ia masih memberi kesan yang sama!
Jadi tidak membersih rumah kerana tiada barangan sesuai bukan lagi alasan yang kukuh ya! Dengan tips pencuci lantai organik buatan ini, bukan sahaja anda dapat mengemas rumah dengan lebih baik dan wangi, malah ia juga selamat untuk anak serta haiwan peliharaan.
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Good Housekeeping
Baca juga: 6 Tips Kemas Rumah Dengan Anak Dari Marie Kondo Untuk Ibu Bapa Yang Selalu Penat
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!