Ketika menjalani tempoh berpantang, ibu-ibu dinasihatkan untuk menjaga aspek pemakanan agar luka bersalin segera sembuh. Selain nasi dan lauk, apa kata anda cuba bermanja dengan suami untuk menyediakan hidangan penuh vitamin. Bagi kami resepi sayur dalam pantang adalah yang paling mudah!
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Resepi sayur sawi yang sesuai untuk ibu berpantang
- Khasiat sawi untuk ibu berpantang
- Tips memilih sayur segar
Tidak dinafikan setiap ibu yang melalui proses bersalin akan mengalami pelbagai perubahan fizikal dan mental. Apa yang paling penting adalah anda perlu bijak mendapatkan semula tenaga agar dapat mengharungi tempoh membesarkan cahaya mata dengan baik.
Resepi sayur sawi yang sesuai untuk ibu berpantang
Semasa berpantang, anda mungkin mahu memasak menu yang paling ringkas dan mudah disediakan. Apa kata cuba resipi sayur sawi ini? Walaupun nampak biasa, tetapi cukup menaikkan selera untuk makan secara sihat!
#1. Resepi sayur sawi tumis air
Bahan-bahan
- Bawang putih 3 ulas
- Bawang merah 2 ulas
- Sayur sawi 1 ikat
- Sedikit lada hitam dan ketumbar
- Garam dan gula
Cara-cara
- Bawang putih dan bawang merah ditumbuk. Kemudian, tumbuk pula lada hitam serta ketumbar.
- Panaskan air di dalam periuk. Selepas mendidih, masukkan bahan-bahan rempah dan diikuti dengan sayur. Biarkan separuh masak.
- Tutup api dan siap untuk dihidangkan!
#2. Sawi goreng dengan tauhu
Bahan-bahan
- Sayur sawi
- 3/4 ulas bawang putih
- 2 ulas bawang merah
- 1 biji lada besar merah
- Sedikit ikan bilis
- Gula garam
Cara penyediaan
- Tumbuk kasar bawang putih dan bawang merah, kemudian masukkan ikan bilis
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk
- Masukkan batang sayur dahulu, kemudian masukkan daun sawi
- Tambah sedikit air dan biarkan mendidih. Masukkan gula garam secukup rasa. Siap!
#3. Sup sawi bebola daging
Bahan-bahan
- 1 ikat sawi
- 10 biji bebola daging
- 1/4 labu bawang besar dihiris
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia diketuk
- Sedikit kiub ayam
- Serbuk lada sulah
Cara penyediaan
- Panaskan minyak, tumis bawang dan halia sehingga naik bau
- Masukkan batang sawi. Kemudian tambah sedikit air
- Masak hingga lembut. Masukkan bebola daging dan sayur sawi. Perasakan dengan serbuk lada sulah, gula dan garam secukup rasa.
Nah, sekarang ibu boleh merasai masakan yang enak walaupun sedang dalam tempoh berpantang!
Khasiat sayur sawi untuk ibu berpantang
Sawi adalah sayuran populor yang sering digunakan dalam masakan. Ia terkenal dalam kalangan kaum Cina kerana memiliki tinggi khasiat dan antioksidan.
Antara kebaikannya ialah:
#1. Makanan paling sihat di dunia
Dengan kandungan pelbagai vitamin dan galian, sawi enak dibuat sup dan ditambah dengan pelbagai masakan nasi dan bihun. Ini menjadikannya sebagai makanan paling sihat di dunia.
#2. Kandungan vitamin K
Majoriti masyarakat dunia kini mengalami masalah tulang yang lemah akibat pemakanan dan tabiat hidup kurang sihat. Dalam hal ini, sawi hijau dikatakan mengandungi 52 peratus kandungan vitamin K yang diperlukan oleh tubuh dalam sehari.
Ia amat penting untuk pembentukan tulang yang kuat, menyokong fungsi otak serta meningkatkan metabolisme tubuh.
Menurut kajian yang dijalankan, fungsi vitamin K dapat mengurangkan risiko osteoporosis ketika di usia tua. Ia turut membantu melancarkan pengeluaran darah selepas tempoh bersalin.
#3. Sumber antioksidan dan mengurangkan kolesterol
Seperti sayur-sayuran hijau lain yang tinggi dengan kandungan mineral, vitamin dan antioksidan, sawi hijau juga antara kumpulan kaya antioksidan diperlukan oleh tubuh untuk melawan sebarang jenis serangan penyakit.
Bukan itu sahaja, asid BILE didalam sayur sawi amat bermanfaat dalam mengurangkan kolesterol jahat dalam tubuh. Ia turut berfungsi untuk mengurangkan risiko kanser disebabkan oleh lemak berlebihan.
#4. Kandungan serat optimum
Ramai dalam kalangan ibu kini telah sedar akan kepentingan serat (fiber) dalam pemakanan seharian.
Sebenarnya, ia berfungsi untuk mengurangkan risiko pelbagai penyakit semasa berpantang dan memudahkan proses pembuangan najis dari dalam badan. Bukan itu sahaja, ia berkesan untuk mencegah penyakit darah tinggi dan usus.
#5. Vitamin C sama seperti oren
Bukan sahaja buah sitrus atau oren, sayuran berwarna hijau juga antara makanan yang tinggi dengan vitamin C.
Di dalam satu cawan sawi hijau sudah mencukupi keperluan 59 peratus diet harian. Kepentingan vitamin C adalah untuk melawan radikal bebas, membaik pulih tisu dan sel tubuh, meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan dari sebarang jangkitan virus serta membina kolagen.
Tips memilih sayur sawi yang segar
- Daun berwarna hijau segar, tidak kekuningan atau kehitaman
- Bahagian batangnya rapuh apabila dipatahkan
- Daun sedikit berlubang disebabkan ulat sayur (jika sayur tiada kesan lubang, ia bermakna telah disembur dengan racun serangga terlalu banyak dan ini tidak baik untuk kesihatan.
- Pilih sayur sawi yang daunnya lebar, batangnya kecil.
- Batang sawi yang besar kebiasannya memiliki rasa pahit.
- Elakkan memilih sawi dengan daun yang sudah layu.
Kesimpulannya, amalkan pemakanan terbaik semasa tempoh berpantang supaya anda dapat menjamin kesihatan tubuh badan. Ia amat penting kerana bayi memerlukan susu badan mencukupi dan ibu perlulah memastikan diri sendiri kekal sihat dan cergas!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Berapa Lamakah Tempoh Pantang Bersalin Yang Wajib? Ini Penjelasan Dari Pakar
Baca juga: 11 Jenis Kuih Yang Selamat & Boleh Dimakan Ketika Pantang
Baca juga: 9 Pantang Larang Selepas Bersalin, Jika Ibu Tidak Ikut Boleh Mudaratkan Diri & Bayi!