Kebanyakan ibu sering mengadu tidak berselera untuk makan selepas bersalin. Namun jika anda atau pasangan kreatif mempelbagaikan hidangan, pastinya perkara ini tidak akan berlaku. Justeru, kami berkongsikan resepi mudah iaitu serunding halia kerana ia mampu membantu menaikkan selera dan mempunyai pelbagai khasiat ketika berpantang.
Kebosanan melalui proses berpantang adalah mungkin kerana menu terlalu simple dan ada segelintir ibu sudah berani melanggar pantang walaupun baru memasuki hari ke-20.
Resipi serunding halia ikan bilis mudah dan sedap
Tidak dinafikan, pelbagai makanan dalam pantang sudah dijual dalam pasaran. Namun apa yang membezakannya adalah rasa dan kuantiti dalam setiap botol. Jika ibu semak, harganya pula agak mahal mencecah RM15 untuk saiz yang kecil.
Untuk menjimatkan poket, ikuti sahaja resipi serunding halia ini kerana buat sendiri lebih sedap dan kebersihan terjamin!
Serunding halia ikan bilis ini adalah memang lain daripada yang lain. Proses memasaknya juga amat mudah. Perkara paling penting adalah anda boleh meletakkan kuantiti halia sebanyak mana dimahukan supaya dapat memanaskan tubuh badan dan mengeluarkan angin.
Bahan-bahan
- Halia tua ditumbuk halus atau disagat
- Sedikit bawang putih (ditumbuk bersama halia atau dihiris)
- Ikan bilis (dibersihkan)
- Sedikit garam dan perasa
- Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan
- Perah halia yang ditumbuk untuk mengeluarkan air. Anda perlu mengambil hampasnya sahaja.
- Panaskan kuali, masukkan minyak dalam kuantiti yang banyak dengan api yang besar. Masukkan halia dan goreng sehingga garing.
- Angkat dan toskan minyak.
- Kemudian dengan menggunakan minyak yang sama, goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan toskan.
- Tumbuk ikan bilis sehingga hancur atau separuh hancur mengikut citarasa anda.
- Tabur garam dan serbuk perasa secukupnya ke dalam bekas berisi halia goreng. Masukkan ikan bilis tumbuk dan gaul sehingga ia rata.
- Simpan serunding halia di dalam bekas kedap udara untuk jadikannya lebih tahan lama.
Info chef:
- Kuantiti sukatan bagi setiap bahan bergantung kemahuan masing-masing.
- Jika mahukan rasa serunding yang lebih sedap, anda boleh tambahkan sedikit bawang putih goreng.
Khasiat halia untuk ibu berpantang
Halia adalah rempah berakar yang tidak asing lagi dalam dunia masakan. Ia memiliki rasa yang sedikit pedas, ‘letar’ dan membangkitkan aura lebih segar. Jika makan secara terus, ibu mungkin rasa kurang selesa.
Namun jangan pandang rendah khasiat halia ini, kerana ia memiliki pelbagai khasiat kepada ibu berpantang iaitu:
#1. Meningkatkan sistem ketahanan tubuh
Halia membantu memperbaiki sistem imunisasi dalam tubuh badan. Sekiranya anda mengamalkan hirisan halia setiap hari, ia membantu melindungi diri daripada pelbagai penyakit.
Bukan itu sahaja, ia turut berkesan untuk menghapuskan lemak yang terkumpul di dalam saluran arteri dengan baik.
#2. Mengurangkan sakit kepala
Kebiasaannya, kepala jadi mudah sakit kerana kehadiran angin yang banyak di dalam tubuh. Justeru, untuk melegakannya anda boleh mengunyah sedikit halia mentah atau rebus di dalam air dan kemudian hidup wap yang terhasil.
Selain itu, ibu boleh cuba menggunakan halia kering dalam bentuk serbuk yang dicampurkan sedikit air dan sapukan ke bahagian dahi bagi membantu menghilangkan rasa sakit kepala.
#3. Melancarkan proses pencernaan
Pengambilan halia menggalakkan pundi hempu untuk merembeskan cecair coklat kekuningan atau dikenali sebagai ‘bile’ yang merangsang penghadaman.
Bukan itu sahaja, ia turut dipercayai dapat melegakan kekejangan perut, diarrhea dan kembung yang disebabkan oleh gastristis. Selain makan halia segar, ibu boleh mengambil halia dalam bentuk teh atau makanan tambahan untuk membantu penghadaman.
Sebenarnya bukan ibu berpantang sahaja disarankan untuk mengamalkan makan halia, seisi keluarga juga sesuai kerana ia amat baik untuk kesihatan dan merawat pelbagai penyakit.
Ia turut membantu menjadi penyedap makanan. Anda boleh cuba makan halia yang dimasak bersama nasi panas atau hidang sup.
Kredit foto: Ceritera Ibu
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Menu Pantang Yang Sedap Ikut Resepi Bonda Rozita, Bantu Buang Angin & Kuruskan Badan!
Baca juga: Resepi Berpantang 44 Hari Yang Sedap & Mudah Dimasak Untuk Ibu Selepas Bersalin
Baca juga: Selain Haruan, Ini Jenis Ikan Yang SELAMAT Dimakan Ketika Ibu Dalam Pantang