25 Set Hidangan Makanan Berpantang Enak & Berkhasiat Bantu Ibu Pulih Cepat
Makanan berpantang ibu selepas bersalin hendaklah yang berkhasiat dan mengenyangkan. Ini sekaligus membantu perbanyakkan susu badan
Selepas bersalin, ibu perlu mengambil makanan berpantang yang penuh berkhasiat untuk kembali kuat dan mempercepatkan proses penyembuhan rahim.
Kalau anda perlukan sedikit idea mengenai apakah makanan dalam pantang yang sesuai atau keliru dengan apakah jenis makanan yang boleh dimakan ketika berpantang, apa kata anda cuba 25 set makanan orang berpantang yang telah dikongsikan oleh seorang ibu di FB ini, Tuan Adriana Arissa. Melihat sahaja set menu berpantang 44 hari yang dikongsikannya ini, pastinya ibu-ibu gembira melalui tempoh berpantang. Mana tidaknya, semua makanan nampak sedap dan menyelerakan!
Yang paling penting, ia bernutrisi dan sihat untuk mengembalikan kesembuhan tubuh ibu selepas melahirkan cahaya mata.
Isi Kandungan
Khasiat Bahan Dalam Makanan Berpantang
Semasa dalam pantang, ibu digalakkan untuk mengambil makanan yang penuh nutrisi dan mempunyai banyak kebaikan kepada tubuh badan agar kembali bertenaga dan pulih seperti sediakala terutama pengambilan sayur dalam pantang yang sangat penting untuk proses penyembuhan.
Segala keperluan nutrien yang diperlukan oleh tubuh sangat penting diambil dengan sempurna dan lengkap bagi memulihkan kesihatan dan melancarkan penyusuan susu ibu.
Antara bahan-bahan yang perlu ada dalam makanan ibu pantang dan mempunyai kandungan khasiat yang banyak adalah seperti :
#1. Lada hitam
Lada hitam mempunyai kandungan fitonutrien kuat untuk merangsang pecahan sel-sel lemak dan sekaligus membantu menurunkan berat badan.
Ia juga berupaya melancarkan tahap tekanan darah di dalam tubuh badan serta kaya dengan vitamin C, potassium, kalium, zat besi di mana semua ini dapat membantu mencegah tekanan darah tinggi serta meningkatkan penyingkiran angin dan toksin dari tubuh.
Selain itu, Piperina yang terdapat dalam lada hitam juga memainkan peranan dalam menangani masalah kemurungan dengan cara merangsang sistem saraf.
#2. Halia
Terdapat banyak khasiat yang terkandung dalam halia bagi membantu pemulihan ibu selepas bersalin. Halia berfungsi untuk membantu tubuh dalam menyingkirkan kuman dan menghentikan pertumbuhan bakteria seperti E. coli dan Shigella. Selain itu, ia juga berupaya mencegah penyakit biasa seperti demam, selesema dan batuk.
Malah, halia turut meningkatkan serta memperbaiki imunisasi badan serta merangsang sistem penghadaman agar menjadi lebih baik. Kandungan kromium, magnesium dan zink di dalamnya juga mampu membantu meningkatkan kitaran darah dan membantu memperbaiki tahap gula dalam darah serta merendahkan paras kolesterol dalam darah.
#3. Kunyit
Kunyit mengandungi kurkumin yang mempunyai sifat anti-keradangan yang mana ia dapat meningkatkan kesihatan tubuh serta fungsi keseluruhannya.
Ia juga mampu untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi melawan virus atau bakteria dalam tubuh. Malah, kunyit juga dapat membantu sistem pencernaan berjalan dengan baik dan mengelakkan berlakunya masalah kembung perut.
#4. Bawang Putih
Bawang putih antara bahan utama yang sangat popular digunakan dalam masakan. Selain rasanya yang menyedapkan lagi makanan, bawang putih juga mempunyai banyak khasiat pada tubuh.
Antaranya adalah bawang putih mampu mengurangkan selesema serta meningkatkan sistem imuniti tubuh. Allicin yang terdapat di dalamnya dapat mengawal masalah tekanan darah serta mampu mencegah penyakit kardiovaskular.
Selain dapat mengawal masalah tekanan darah, ia juga mampu untuk mengawal paras kolesterol dalam darah dan membantu mencegah masalah penyakit Alzheimer serta demensia. Malah, ia juga turut membantu menggalakkan pertumbuhan rambut dengan lebih sihat.
#5. Bawang Merah
Bawang merah atau dalam bahasa saintifiknya adalah Allium cepa L mempunyai khasiat penting untuk tubuh. Bawang merah sangat kaya dengan vitamin C dapat membantu melawan radikal bebas di mana ia berpotensi untuk merosakkan sel-sel di dalam tubuh. Ia juga mampu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis serta kanser.
Selain itu, kandungan selenium yang terdapat di dalam bawang merah juga berupaya meningkatkan sistem imun badan dan dapat mencegah diri dari jangkitan penyakit. Malah, kandungan serat yang tinggi di dalamnya juga dapat mengatasi masalah sistem penghadaman seperti sembelit.
Bolehkah Makan Cili Ketika Berpantang
Bagi penggemar makanan pedas, anda pasti tertanya-tanya adakah dibolehkan makan ketika masih dalam pantang? Sebenarnya makanan pedas mampu menjejaskan pemulihan rahim anda dan akan menyebabkan anda mengalami masalah sembelit serta buasir, sakit perut dan kembung perut jika ia berterusan.
Malah, makanan pedas ini juga akan membuatkan bayi anda berasa tidak selesa ketika menyusu walaupun tahap ketidakselesaan itu adalah berbeza antara bayi.
Langkah terbaik adalah dengan mengelakkan pengambilan makanan yang pedas ini ketika anda berpantang agar proses pemulihan anda menjadi lebih mudah dan lancar.
25 Set Makanan Berpantang
Set hidangan makanan dalam pantang ini juga turut mengandungi pelbagai jenis sayuran untuk ibu berpantang agar diri pulih dengan lebih cepat dan kekal sihat.
1. Nasi putih + Ayam bakar kari + Selar singgang + Ulam pegaga + Serunding ikan bilis halia + Crunchy garlic
2. Nasi putih + Kerabu pegaga + Selar bakar + Epal merah + Serunding ikan bilis halia + Crunchy garlic
3. Nasi putih + Sawi stim + Siakap stim + Oren sunkist
4. Nasi putih + Siakap singgang + Sawi celur + Crunchy garlic + Serunding halia ikan bilis + Oren sunkist
5. Nasi putih + Tenggiri bakar + Sawi celur + Jus anggur merah
6. Nasi putih + Daging black pepper halia + Sawi stim + Crunchy garlic + Epal merah
7. Lempeng gandum cicah gula + Nestum oat
8. Nasi putih + Sup ayam berempah + Sawi celur + Ayam bakar kari + Serunding halia ikan bilis + Crunchy garlic + Oren sunkist
9. Bubur nasi + Selar bakar + Sawi celur + Daging cincang masak black pepper halia + Serunding halia ikan bilis + Crunchy garlic
10. Nasi putih + Peria katak celup tepung + Sup ikan siakap + Buah prun + Serunding halia ikan bilis + Crunchy garlic
11. Nasi putih + Ayam bakar + Sawi kicap + Oren sunkist
12. Nasi putih + Ikan selar goreng + Sayur sawi tumis air + Serunding halia ikan bilis + Crunchy garlic + Buah prun
13. Nasi putih + Kari ayam tanpa santan + Sawi celur + Ikan selar bakar + Oren sunkist
14. Nasi putih + Ikan selar masak asam + Ikan selar goreng + Sawi celur + Serunding halia ikan bilis + Crunchy garlic + Oren sunkist
15. Sandwich roti wholemeal + Epal
16. Lamb chop versi pantang + Jus oren
17. Roti wholemeal + Ayam masak stew
18. Nasi putih + Ayam goreng + Sup sayur + Serunding halia ikan bilis + Oren sunkist
19. Nasi putih + Siakap stim + Ayam bakar + Serunding halia ikan bilis + Epal merah
20. Tortilla wrap dengan ayam bakar + Salad + Oren sunkist
21. Sup ikan siakap + Oren sunkist
22. Tortilla wrap + Ayam black pepper + Salad + Tomato + Mayo
23. Tempe celup tepung beras + Sambal kicap bawang + Teh O
24. Roti wholemeal + Gulai kambing + Apam bakar
25. Nasi putih + Ikan Selar bakar + Ikan selar singgang + Sawi celur
Set Hidangan Makanan Berpantang Enak & Berkhasiat
Nampak enak tak set makanan ketika berpantang yang dikongsikan oleh Tuan Adriana Arissa ini? Memang menyelerakan, kan? Rasanya, ia bukan sahaja sesuai untuk ibu yang baru bersalin, malah untuk mereka yang ingin berdiet dan menjaga pengambilan kalori. Anda cuma perlu mengurangkan sahaja sedikit portion nasi dalam setiap set.
Bagi setiap set di atas, pastikan anda memilih hidangan bergoreng hanya selepas memasuki fasa berpantang pada minggu ke-3 dan ke atas sahaja ya.
Beruntungnya apabila suami sama-sama melibatkan diri menguruskan ibu dan anak ketika tempoh berpantang. Bagi ibu-ibu, waktu inilah rasa pengorbanan yang dilakukan sangat dihargai.
Mana tidaknya, anda telah bertarung nyawa dan merasai kesakitan untuk melahirkan zuriat buat suami tercinta. Biasanya tempoh 30 hari yang pertama memerlukan ibu banyak berehat, usahlah malu untuk meminta tolong pasangan kerana tubuh ibu memerlukan masa untuk pulih.
Menu Makanan Berpantang Untuk Sarapan Pagi
Menu sarapan berpantang hendaklah sesuatu yang ringkas dan mengenyangkan. Berikut beberapa cadangan menu sarapan pagi untuk ibu berpantang:
#1. Lempeng oat kurma
Penyediaan lempeng oat ini pun mudah juga. Sediakan bancuhan tepung gandum dengan air dan sedikit garam sebagai perasa. Kemudian, tambahkan sedikit oat dan kalau mahu boleh juga tambah esen vanila untuk penaik rasa.
Letakkan sesudu dua gula (tidak perlu berlebihan) ikut kehendak anda dan gaulkan semua bahan sehingga sebati. Panaskan kuali dan masak adunan tepung lempeng oat itu. Boleh juga dimakan bersama dengan madu asli.
#2. Roti bakar
Salah satu pilihan menu sarapan berpantang paling popular di Malaysia, roti bakar yang disapu jem. Ia sekaligus membuka selera ibu berpantang. Roti yang penuh dengan karbohidrat tentu akan mengenyangkan ibu!
#3. Susu kurma
Susu kurma dikatakan mampu membuatkan ibu dalam pantang menjadi lebih bertenaga dan ia membantu meningkatkan pengasilan susu badan secara semulajadi.
#4. Sandwich untuk ibu berpantang
Selain mengenyangkan, ia lengkap dengan protein dan vitamin yang diperlukan tubuh selepas bersalin. Caranya juga cukup mudah, ibu juga boleh minta tolong suami atau ahli keluarga buatkannya.
Bagi mendapatkan resepi sandwich untuk ibu berpantang, anda boleh tekan di sini.
#5. Overnight oat bersama buah-buahan segar
Overnight oat menjadi pilihan ramai ibu menyusu kerana ia dikatakan mampu membuatkan perut kenyang lebih lama. Oat sangat penting bagi ibu yang berpantang yang ingin turunkan berat badan tetapi dalam masa yang sama mengawal kolestrol badan.
Bukan itu sahaja, ia turut melancarkan proses penghadaman dan sekaligus mengelakkan masalah sembelit ketika dalam pantang.
Bahan-bahan yang diperlukan juga amat mudah:
- 3 hingga 5 sudu rolled oats
- Susu segar
- 2 sudu yogurt (perisa dan jenis mengikut cita rasa anda)
- Aneka kacang (jika mahu)
- Chia seeds
- Madu (secukup rasa)
- Buah-buahan (ikut cita rasa anda)
- Dalam balang kecil, gabungkan kacang, oats dan chia seeds.
- Kemudian, masukkan yogurt dan madu. Seterusnya, tambahkan susu sehingga oats tenggelam.
- Simpankan oats di dalam peti sejuk semalaman. Anda boleh menyediakan beberapa hidangan oats terlebih dahulu dan simpan untuk masa akan datang. Overnight oats boleh bertahan di dalam peti sejuk selama 5 hari.
Makanan Berpantang Czer
Pemakanan yang bagus untuk proses penyembuhan dan meningkatkan tenaga selepas caeserean termasuklah mengandungi protein yang tinggi, vitamin, karbohidrat dan zat besi seperti diambil semasa mengandung.
Tidak kira diet atau pemakanan orang berpantang yang mana pun anda ikut, pastikan menu menu anda berkhasiat dan seimbang bagi membekalkan nutrisi yang optimum kepada badan anda yang telah bekerja keras semasa anda bersalin tempoh hari.
- Utamakan diet yang mengandungi protein berkualiti daripada ikan, ayam, itik dan daging merah
- Ambil kalsium dengan cukup, samada dari minum susu atau produk tenusu lain seperti keju. Sangat penting bagi proses penghasilan susu badan.
- Masukkan makanan tinggi serat dalam diet anda bagi memudahkan penghadaman sekaligus membantu proses pembuangan air besar anda nanti. Antara makanan kaya serat ialah buah oren, sayuran hijau dan buah mangga.
Antara menu makanan berpantang czer adalah:
#1. Ikan masak singgang
Makanan berpantang czer: 1 keping isi ikan tenggiri
- 1 batang serai
- 1 sudu teh asam jawa yang diambil airnya
- 1/2 cm lengkuas muda 8
- 1/2 cm kunyit hidup *
- 1 ulas bawang putih *
Cara penyediaan:
- Mayang nipis bahan yang bertanda * .
- Ketuk serai. Panaskan 1 cawan air dan masukkan bahan di atas semua sekali.
- Biarkan mendidih dan masukkan isi ikan.
- Perasakan dengan lada hitam tumbuk dan garam sedikit.
#2. Sawi lobak masak tumis
- 3 cm lobak merah
- 1 mangkuk sawi
- 2 ulas bawang putih
Cara penyediaan:
- Panaskan air dan masukkan bawang putih hingga mendidih.
- Masukkan sayur. Perasakan dengan lada hitam tumbuk.
#3. Sup ayam kampung
Bahan-bahan untuk menu berpantang bersalin czer
- Beberapa keping ayam kampung
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 sudu besar serbuk lada putih
- 3 biji ubi kentang yang dibelah empat
- Sup bunjut
- Garam
Cara penyediaan:
- Masukkan bahan yang dikisar ke dalam periuk. Tambahkan air agak-agak tenggelam ayam. Masukkan sekali sup bunjut tulang
- Biarkan mendidih, kemudian masukkan ayam
- Biarkan sehingga ayam empuk. Biasanya ia perlukan masa yang lebih lama. Jika air berkurangan, boleh tambah air lagi.
- Bila ayam sudah agak empuk, masukkan sekali kentang yang dibelah empat. Tambahkan garam dan sesuaikan rasa
Kesimpulannya, makanan untuk orang berpantang pembedahan lebih kurang sama dengan bersalin normal. Yang penting anda kena tahu adalah setiap makanan memiliki khasiat yang tersendiri.
Kesesuaian makanan ketika dalam pantang adalah mengikut penerimaan tubuh masing-masing. Ada ibu okay sahaja ambil telur, dan ada yang rasa tidak sesuai kerana boleh membuatkan bahagian jahitan bersalin rasa sakit atau berdenyut.
Sayur Untuk Ibu Berpantang, Bantu Percepatkan Proses Luka Sembuh
Mengambil sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin boleh menyebabkan ibu-ibu kembung dan sakit-sakit badan. Lobak putih dan peria membanyakkan susu ibu.
Peria juga memudahkan buang air besar, membantu membersih dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh. Antara sayur untuk ibu berpantang lain yang boleh dimakan ketika dalam pantang ialah:
- Ubi kentang
- Peria
- Sawi
- Lobak Merah
- Lobak Putih
- Brokoli
- Kailan
- Kucai
- Bayam
- Kuaci Labu /kuaci bunga matahari
Semoga artikel ini bermanfaat!
- supernannyservices.com.sg (2022, Julai 6) Everything You Need To Know About Confinement Period Diet supernannyservices.com.sg/everything-you-need-to-know-about-confinement-period-diet/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Buah Untuk Ibu Berpantang, Ini Senarai Jenis Buah Yang Boleh & TIDAK BOLEH Anda Ambil
Baca juga: Senarai Menu Sarapan Pagi Untuk Ibu Berpantang Normal & Czer, Ibu Wajib Cuba
Baca juga: Makanan Dalam Pantang 44 Hari Yang Sedap, Buat Ibu Berselera Makan & Lebih Kenyang