Sehingga kini, masih terdapat banyak perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan makan ayam. Salah satu isu terbesar adalah mengenai kebimbangan terhadap penggunaan antibiotik dan hormon semasa menternak ayam, dan kesannya terhadap manusia.
Isu ini sebenarnya amat relevan khususnya buat wanita hamil memandangkan mereka perlu lebih berhati-hati tentang apa yang dimakan.
Satu kepercayaan yang masih wujud sehingga hari ini adalah makan ayam semasa hamil boleh mengecutkan zakar bayi lelaki yang sedang berkembang. Adakah kepercayaan ini benar? Dari manakah kepercayaan ini wujud dan adakah benar makan ayam semasa mengandung sememangnya menjejaskan perkembangan bayi anda? Ayuh kita ketahuinya dengan lebih lanjut menerusi artikel ini.
Adakah Makan Ayam Semasa Hamil Mengecutkan Zakar Bayi Lelaki Anda?
Di Amerika Syarikat, National Buffalo Wing Festival menganjurkan beberapa pertandingan makan kepak ayam setiap tahun. Bagaimanapun, pertubuhan People for Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menggesa wanita hamil supaya tidak menyertainya.
Lindsay Rajt, pengarah bersekutu kempen PETA, telah mengutus sepucuk surat kepada pengasas festival berkenaan, Drew Cerza. Menurut kandungan surat tersebut, dia berpendapat bahawa penyelidikan terdahulu menunjukkan makan ayam semasa mengandung menyebabkan dua masalah kesihatan yang serius kepada bayi iaitu kemungkinan saiz zakar yang lebih kecil pada anak lelaki dan arteri tersumbat pada kanak-kanak, selepas kelahiran.
Dakwaan tentang makan ayam semasa kehamilan ini terdengar sangat serius, tetapi adakah ia benar?
Kesan Makan Ayam Semasa Hamil
Dakwaan PETA sebenarnya kurang tepat memandangkan penyelidikan yang menjadi sumber rujukannya itu tidak mengkaji kesan makan ayam semasa kehamilan.
Sebaliknya, kajian itu memberi tumpuan tentang bagaimana pendedahan kepada phthalate boleh menjejaskan bayi lelaki yang belum lahir.
Secara khusus, kajian itu menyelidik bagaimana phthalate mempengaruhi sistem pembiakan bayi lelaki yang mana salah satu aspeknya adalah saiz zakar.
Kajian itu mengesahkan bahawa ibu yang terdedah kepada tahap phthalate terbanyak mempunyai peluang lebih tinggi melahirkan bayi lelaki dengan zakar yang lebih kecil berbanding ibu yang mempunyai tahap pendedahan phthalate paling sedikit.
Phthalates boleh mengurangkan jumlah testosteron yang diterima oleh seorang bayi lelaki semasa dia masih membesar di dalam rahim, yang mana ia melambatkan perkembangan pembiakannya.
Pertumbuhan pembiakan yang berkurangan ini kemudiannya dikaitkan dengan masalah lain. Sebagai contoh, bayi lelaki boleh mengalami risiko lebih tinggi buah zakar tidak turun dan jarak yang lebih kecil antara dubur dan alat kelamin.
Shanna H. Swan, Ph.D., merupakan seorang profesor daripada jabatan pencegahan perubatan di Sekolah Perubatan Icahn di Gunung Sinai. Swan merupakan individu yang mengetuai kajian yang dipetik oleh PETA. Menurutnya, kaitan antara makan ayam semasa mengandung dengan saiz zakar yang lebih kecil adalah lemah.
Mengapa? Menurut Swan, terdapat pelbagai cara seseorang itu boleh ‘bersentuhan’ dengan phthalates. Ia termasuklah menerusi barang mandian yang digunakan, makan makanan dari bekas plastik dan makan apa-apa sahaja daripada makanan yang mengandungi phthalates.
Tetapi, ayam tidak termasuk dalam senarai makanan teratas mengandungi phthalates.
Adakah Makan Ayam Semasa Hamil Menyebabkan Anak Mengalami Arteri Tersumbat?
PETA tidak menyatakan secara khusus bagaimana mereka mendapat maklumat ini. Walau bagaimanapun, satu artikel dari Australia yang diterbitkan pada Februari dalam jurnal Fetal and Neonatal Edition of Archives of Disease of Childhood nampaknya menjadi sumber dakwaan PETA.
Kajian itu mendapati dinding arteri bayi perempuan daripada ibu dengan berat badan berlebihan atau obesiti adalah 0.06 milimeter lebih lebar berbanding bayi lain sebaik sahaja dilahirkan.
Micheal Skilton merupakan salah seorang felo penyelidik kanan di Institut Boden Obesiti, Pemakanan, Senaman & Gangguan Makan di Sekolah Perubatan Sydney Australia.
Menurutnya, pelebaran dinding tidak bermakna arteri tersumbat. Sebaliknya, ia adalah tanda “aterosklerosis awal dan konsisten dengan risiko serangan jantung dan strok yang lebih tinggi di kemudian hari” yang mana keadaan ini juga masih membimbangkan.
Saranan Untuk Ibu Hamil
Dakwaan mengenai pengambilan ayam semasa mengandung kononnya mampu memberikan kesan sampingan negatif masih tidak mempunyai sebarang bukti kukuh sehingga kini.
Walau bagaimanapun, hubungan antara phthalate dan kemungkinan menyebabkan masalah pembiakan pada bayi lelaki adalah agak membimbangkan. Namun, terdapat cara untuk mengehadkan phthalate daripada memasuki badan anda.
Swan mencadangkan agar ibu mengandung:
- Makan makanan organik dan tidak diproses sebanyak mungkin (ramai pakar beranggapapan bahawa makanan proses menambah phthalate ke dalamnya)
- Elak menggunakan bekas plastik – terutamanya jika ia digunakan untuk meletakkan makanan – mengikut saranan Kumpulan Kerja Alam Sekitar mengenai petua untuk membeli produk yang lebih selamat.
- Jika ingin panaskan makanan, gunakan bekas kaca. Walaupun tidak semua plastik mengandungi phthalate, ia mungkin tetap ada sedikit pada tahap tertentu. Oleh itu, lebih baik menggunakan bekas kaca.
Kebaikan Makan Ayam Semasa Hamil
Ayam merupakan salah satu makanan yang disyorkan untuk dimakan semasa hamil kerana ia adalah sumber protein terbaik dan juga kaya dengan vitamin dan mineral penting lain.
Berikut adalah beberapa manfaat makan ayam semasa hamil:
- Ia kaya dengan niasin atau vitamin B3, yang membantu merangsang perkembangan otak.
- Ia mengandungi 9 asid amino penting dalam pembinaan dan pengukuhan otot.
- Berbanding sumber protein lain, ayam mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah.
- Pengambilan 100 gram sehari sudah memenuhi separuh daripada pengambilan protein harian yang diperlukan wanita hamil.
- Ia adalah sumber Omega-3 yang baik untuk perkembangan otak dan asid lemak Omega-6 untuk kolesterol darah yang baik.
- Hati ayam kaya dengan kolin iaitu nutrien yang membantu dalam otak dan fungsi ingatan pada kanak-kanak.
- Ia juga mengandungi folat, yang penting dalam mencegah kecacatan tiub saraf pada bayi.
- Ayam mengandungi vitamin A dan E, selenium dan tiamin yang menggalakkan metabolisme dan meningkatkan tahap tenaga.
- Ia membekalkan badan dengan zat besi dan zink, yang penting dalam pembangunan sel dan menguatkan sistem imun.
- Khasiat yang terdapat dalam ayam juga melindungi kita daripada penyakit kronik seperti diabetes, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.
Pengambilan Ayam Semasa Kehamilan : Apa yang Perlu Anda Ingat
Seperti yang dinyatakan, makan ayam semasa mengandung mempunyai banyak manfaat. Walau bagaimanapun, sama seperti makanan lain, terdapat risiko lain yang boleh berlaku jika ia tidak dimasak atau disediakan dengan betul.
Makan ayam mentah atau tidak dimasak adalah tidak selamat kerana ia boleh dicemari oleh bakteria yang dipanggil listeria, yang mana menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ia boleh tersebar kepada bayi yang belum lahir dan boleh menyebabkan kelahiran pramatang, keguguran, kelahiran mati, penyakit serius dan kematian pada bayi baru lahir.
Untuk mengelakkan ia daripada berlaku, maka adalah sangat penting untuk memastikan ayam dimasak dengan baik dalam suhu melebihi 160 darjah Fahrenheit untuk membunuh bakteria sebelum memakannya.
Kuantiti pengambilan ayam yang disyorkan untuk ibu hamil adalah sebanyak 100 gram atau 2 keping daging ayam, sehari.
Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianparent Singapura.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!