Bersukan bukan hanya aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Di sekolah, aktiviti sukan merupakan salah satu cabang dalam kegiatan kokurikulum. Kanak-kanak amat digalakkan untuk bermain di luar sekerap yang mungkin.
Menurut World Health Organization, kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun harus melakukan senaman atau aktiviti fizikal sekurang-kurangya 60 minit setiap hari.
Namun begitu dengan keadaan sekarang, mungkin ada limitasi terhadap pergerakan mereka. Jadi ibu ayah harus sentiasa pantau pergerakan mereka di luar. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya, terdapat banyak faedah dan sikap baik yang boleh dipelajari dari aktiviti bersukan.
Isi Kandungan
Kenapa Penting Bawa Anak Bersukan?
Aktiviti sukan sangat penting dalam pembangunan anak-anak dari segi kesejahteraan mental dan fizikal mereka. Ia sangat digalakkan untuk menjadikan kanak-kanak lebih cerdas dan sihat berdasarkan tahap-tahap perkembangan umur mereka.
Selain itu ia juga sangat penting dalam membantu serta mendedahkan anak-anak kepada:
- Aktiviti sukan mampu mendedahkan anak anda kepada persekitaran dan belajar serta meneroka mengenainya.
- Malah aktiviti bersukan ini juga dapat membantu bayi dalam perkembangan kognitif mereka.
- Memperbaiki kesihatan kardiovaskular anak-anak.
- Mampu meningkatkan koordinasi, fleksibiliti serta kekuatan fizikal.
- Meningkat fokus dan daya fikir.
- Memperbaiki sistem deria iaitu penglihatan, pendengaran, rasa, bau dan juga sentuhan.
- Penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik
- Ia juga dapat mengelakkan anak anda mengalami masalah berat badan yang berlebihan atau obesiti.
- Dapat meningkatkan tahap noradrenalin dan endorfin di mana ia melegakan tekanan dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
- Membantu anak anda dalam proses perkembangan motor seperti otot dan sendi.
Aktiviti Bersukan Sesuai Dengan Bayi
Antara aktiviti sukan yang sesuai dan baik untuk bayi anda adalah seperti berikut:
-
Berjogging
Lakukan aktiviti jogging bersama bayi anda tatkala umur mereka sudah memasuki usia 6 bulan ke atas. Beli kereta sorong jogging untuk memudahkan anda membawa bayi bersama-sama untuk melakukannya. Bayi anda akan bersedia untuk menaikinya apabila usia mereka memasuki 6 bulan ke atas dan tidak lagi memerlukan sokongan kepala.
-
Berenang
Aktiviti sukan yang boleh anda lakukan bersama bayi yang seterusnya pula adalah sukan berenang. Aktiviti ini mampu meningkatkan sistem imun bayi, menggalakkan perkembangan emosi dan mendidik bayi anda agar menjadi lebih berdikari. Ia juga dapat membantu pergerakan bayi serta menguatkan otot mereka.
-
Berbasikal
Untuk melakukan aktiviti ini, anda perlu memastikan bayi anda mampu untuk duduk tegak tanpa dibantu atau bersandar di tempat duduk bayi pada masa yang lama. Namun perlu diingat bahawa bayi tidak digalakkan untuk duduk dalam tempoh yang lama iaitu kira-kira 60 minit pada masa yang sama. Aktiviti ini mampu merangsang deria bayi anda.
-
Bermain bola
Aktiviti ini turut merangsang bayi dari segi perkembangan sosial, komunikasi dan interaksi. Ia juga membantu bayi memahami dengan lebih jelas konsep kiri dan kanan di mana ia sangat penting dalam perkembangan pemikiran dan juga bahasa bayi.
-
Menari
Aktiviti yang berintensiti sederhana ini sangat digemari oleh golongan kanak-kanak. Melakukan aktiviti menari ini juga sebenarnya berupaya untuk meningkatkan kekuatan otot dan tulang serta membantu meningkatkan keupayaan otak dengan membentuk lebih banyak laluan dan hubungan saraf di dalam otak untuk menjadikannya lebih cerdas.
Tanda Bayi Anda Bersedia Dibawa Bersukan
Sebelum anda membawa bayi bersama-sama untuk melakukan aktiviti bersukan, pastikan terlebih dahulu bayi anda telah bersedia untuk melakukannya. Menurut pakar pediatrik dari Vienna, Virginia iaitu Florencia Segura, MD, FAAP bayi anda bersedia untuk melakukan aktiviti sukan apabila mereka memasuki usia di antara 6 hingga 8 bulan.
“Pada 6 hingga 8 bulan, bayi akan mempunyai kawalan leher dan kepala yang diperlukan dalam posisi duduk untuk menahan pergerakan pantas dan selekoh tajam dengan selamat untuk mengelakkan kemungkinan kecederaan kepada kepala“.
Pemilihan alatan yang betul untuk melakukan aktiviti sukan juga memainkan peranan penting jika anda ingin melakukannya bersama bayi anda.
Perkara Penting Sebelum Bersukan Dengan Bayi
Sebelum melakukan aktiviti bersukan bersama bayi anda, pastikan beberapa perkara ini diberi perhatian terlebih dahulu iaitu:
- Beli kereta sorong yang direka khas untuk melakukan aktiviti berlari atau jogging.
- Anak anda sudah bersedia untuk melakukannya iaitu mampu untuk mengawal pergerakan leher, duduk dan sandar tanpa sebarang bantuan.
- Perlu berhati-hati ketika melakukan aktiviti bersama mereka terutama ketika berada di jalan yang sibuk. Pastikan anak anda dipakaikan tali pinggang keselamatan dan ciri keselamatan yang lain-lain.
- Atur jadual untuk melakukan aktiviti sukan. Anda perlu memastikan bayi anda dalam keadaan tidak lapar, mempunyai tidur yang cukup dan dalam keadaan sihat.
Objektif & Matlamat Bersukan
Kanak-kanak yang terlibat dalam sukan, sama ada secara individu atau berpasukan, akan belajar mengenai matlamat dan cara untuk mencapai matlamat tersebut.
Apabila mereka mempunyai matlamat, contohnya, untuk menjadi atlet yang terbaik dalam sukan yang diceburi, mereka boleh mula menumpukan usaha untuk mencapai objektif tersebut.
Dengan secara tidak langsung, kanak-kanak juga akan menetapkan matlamat dalam kehidupan harian mereka. Kanak-kanak yang mempunyai matlamat dalam hidup, akan mempunyai dorongan dan motivasi untuk mencapai kejayaan.
Mereka juga akan mempunyai tujuan hidup yang jelas dan ini membolehkan mereka untuk merancang langkah-langkah untuk mencapai hasrat yang diinginkan.
#1. Rasa Lebih Bertanggungjawab
Jika setiap ahli pasukan tidak memberikan usaha yang terbaik, seluruh pasukan itu boleh gagal. Inilah sebab mengapa kebertanggungjawaban sangat penting dalam acara sukan berpasukan.
Lain cerita pula dalam sukan individu, kerana usaha diri sendiri yang menjadi penentu keputusan. Mungkin kanak-kanak itu akan rasa kecewa apabila dia kalah.
Tetapi jika dia terus berusaha dan berlatih mengikut bimbingan jurulatihnya, dia mampu untuk mencapai kemenangan satu hari nanti.
#2. Tidak Mudah Berputus Asa
Semua atlet-atlet yang hebat tahu yang mereka telah melakukan yang terbaik, sama ada menang atau kalah dalam pertandingan.
Jurulatih selalu mengingatkan mereka untuk memberikan pertanding yang terbaik tanpa mengira keputusan. Jangan cepat putus asa, kalau kalah pertandingan ini, ada banyak lagi pertandingan lain yang boleh disertai.
#3. Ketabahan dan Ketekunan
Ketabahan dan ketekunan adalah kunci kejayaan, dan merupakan dua sifat terbaik yang boleh dipelajari melalui sukan. Kanak-kanak yang tabah boleh mengharungi segala cabaran hidup, disebabkan keinginan untuk mencapai sesuatu.
Mereka kuat dari segi minda dan tidak cepat putus asa. Mereka tidak kenal kalah dan akan terus tekun berusaha sehingga mereka berjaya.
Malah kelebihan bersukan dan aktiviti luar untuk anak-anak juga termasuk:
- Meningkatkan daya ketahanan badan
- Memberi peluang untuk mereka bersosial
- Membina jantung, tulang dan otot yang lebih kuat
- Membantu perkembangan mereka menjadi lebih sihat
- Memberi keyakinan
- Membantu memulih postur dan keseimbangan badan
- Mengurangkan tekanan
- Membantu tidur lebih baik pada waktu malam
Pelbagaikan Aktiviti Bersukan Anak-Anak
Selain daripada aktiviti bersukan seperti bermain bola, bermain lari-lari atau bermain dengan alatan di taman permainan, anak-anak juga boleh mencuba pelbagai aktiviti fizikal lain.
Dalam keadaan sekarang, amat digalakkan juga untuk mereka elak bermain beramai-ramai bagi mengurangkan jangkitan namun pada masa yang sama, ibu ayah perlu membawa mereka keluar sekali sekala untuk menikmati udara segar.
Antara aktiviti yang anak-anak boleh cuba termasuk:
- Melompat guna tali skipping
- Tarian hula
- Yoga untuk kanak-kanak
- Bermain dengan freesbie
- Treasure hunt
Selamat mencuba!
- www.parents.com (2015, Ogos 19) 5 Things to Remember Before Running with Baby www.parents.com/parenting/moms/healthy-mom/5-things-to-remember-before-running-with-baby/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Aktiviti Senaman Untuk Bayi, Berkesan Kuatkan Otot & Percepatkan Proses Berjalan
Baca juga: 7 Manfaat Mainan Masak Masak Pada Anak, Bantu Mereka Lebih Yakin & Berfikiran Kreatif
Baca juga: Anak Aktif Bercakap & Sering Emosi Antara Bukti Anda Adalah Ibu Bapa Yang Terbaik