Pandemik COVID -19 bukan sahaja menjerut perkembangan ekonomi negara ini malah ia menggugat perkembangan asas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kita dari segi pembelajaran, sosial-intelek, keselamatan sosial dan keselamatan makanan.
Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang serba membangun, isu keselamatan makanan tetap masih wujud. Data dari Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) pada tahun 2018 menunjukkan bahawa, lebih kurang 9.85% kanak-kanak Malaysia berusia 1 hingga 4 tahun yang bantut dengan 13.89% kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun mengalami kegagalan pertumbuhan linear.
Kajian dari UNICEF “ A Child without” menunjukkan kanak-kanak yang menetap di flat Program Perumahan Rakyat (PPR), 22 peratus di antara mereka , berat adalah di bawah tahap berat sasaran.
Berikutan penutupan sekolah disebabkan pandemik, lebih daripada setengah juta kanak-kanak dari keluarga miskin di negara ini berisiko untuk tidak mendapat sumber makanan yang mencukupi kerana mereka yang sebelum ini disokong sepenuhnya oleh program makanan tambahan sekolah.
Program makanan tambahan sekolah berkemampuan membekalkan sebanyak 40% daripada jumlah tenaga harian mereka. Lazimnya, jika di luar negara program makanan tambahan sekolah ini hanya membekalkan makanan tengah hari, tetapi di Malaysia bantuan yang dihulurkan ada juga termasuk sarapan pagi.
Kenapa Sarapan Pagi?
Kredit: Freepik
Sarapan pagi dianggap sebagai makanan yang paling penting dalam sehari kerana ia menjana tenaga untuk memulakan aktiviti harian. Kekerapan dan kualiti nutrisi makanan sarapan pagi menjamin tumbesaran yang baik dalam kalangan kanak-kanak.
Ini terutamanya penting dalam kalangan remaja kerana kerentanan perkembangan neuro-kognitif kepada faktor-faktor negatif dari persekitaran sosial.
Menurut kertas tinjauan systematik, kanak-kanak yang mengambil sarapan pagi menyumbang kepada pencapaian minda yang baik, pencapaian akademik yang tinggi, kesejahteraan hidup yang memuaskan, kemampuan fizikal yang lebih tinggi dan pengurangan risiko obesiti.
Malangnya, hasil dapatan dari kajian kebangsaan NHMS 2017 menunjukkan sarapan pagi merupakan hidangan harian yang paling biasa diabaikan berbanding dengan makan tengah hari dan makan malam. Statistik tersebut menunjukan 1 daripada 7 orang remaja tidak mengambil sarapan pagi dengan alasan, tiada selera makan, tiada masa dan tiada sumber makanan.
Kajian pemakanan kami dari Malaysian Health and Adolescents Longitudinal Research Team Study (MyHeARTs) dari Universiti Malaya, yang melihat hubungankait di antara ‘skipping Breakfast ‘ dan risiko kardiovakular (masalah penyakit jantung dan strok) dalam kalangan remaja, melaporkan BMI dan kandungan kolesterol yang lebih rendah bagi remaja yang selalu mengambil sarapan pagi berbanding dengan mereka yang tidak mengambil sarapan.
Fakta kajian telah memberi pandangan awal terhadap tabiat pengabaian sarapan pagi sebagai satu isu kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam kalangan remaja bagi mengelakkan terjadinya penyakit jantung dan strok pada usia dewasa.
Bukannya senang untuk mengubah tabiat pemakanan seperti tidak mengambil sarapan pagi dalam kalangan golongan awal remaja. Ia perlu bermula dari rumah dengan bimbingan ibu bapa. Pada zaman teknologi maklumat, tidak dinafikan golongan ini leka dengan media sosial dan online game. Ini menyebabkan mereka tidur lewat dan susah untuk bangun mengambil sarapan pagi.
Bukan sahaja kanak-kanak, malah ibu bapa mereka, cenderung bermain dengan gajet semasa di atas katil. Disebabkan terlampau khusyuk bermain game, menjawab mesej di messenger, Whatsapp, tanpa disedari telah melepasi waktu tidur.
Susulan syarat wajib dari Perintah Kawalan Pergerakan Bergerakan (PKPB), ibu bapa yang berkerja dari rumah rasa tercabar kerana mengurus pelbagai kerja, termasuk pembelajaran kanak -kanak atas talian pada masa yang sama menyiapkan kerja hakiki. Golongan ibu bapa ini terpaksa tidur lewat malam demi menyiapkan kerja.
Akibatnya, kanak-kanak yang terikut dengan tabiat tidur lewat dan bangun lewat keesokannya. Perubahan Circadian Rhythm ini menyebabkan sarapan pagi terabai dan makan berlebihan pada waktu tengah hari. Justeru itu, meningkatkan risiko obesiti.
Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa boleh cuba awalkan waktu tidur, agar anak-anak remaja dapat contohi dan bangun awal untuk mulakan hari anda. Ini membolehkan ibu bapa menyediakan makanan dari rumah yang lebih murah dan berkhasiat.
Untuk menjamin tumbesaran yang optimum di kalangan remaja dan kanak-kanak , sarapan pagi perlulah mengandungi kandungan makro dan mikro-nutrient yang seimbang. Ibu bapa disaran untuk menyimpan stok makanan yang sihat dengan secukupnya di dapur.
Kredit: Freepik
Untuk hari yang amat sibuk dan langsung tiada masa untuk menyediakan makanan, jenis makanan yang sedia ada perlulah seimbang dan sihat atau “grab and go” perlu mengandungi makanan seperti buah-buahan yang segar, bijirin berserat dalam paket yang kecil, susu kurang gula dalam paket yang kecil, telur dan dadih.
Cara penyediaan untuk makanan yang sihat boleh jadi mudah dan senang sebenarnya. Menu yang sihat boleh disediakan dalam masa 20 sehingga 30 minit sahaja. Bahan mentah (seperti sayur-sayuran , buah-buahan dan lobak merah) boleh dipotong dan simpan di dalam peti sejuk untuk dimasak esok pagi.
Ibu bapa boleh cuba melibatkan anak-anak remaja untuk menyediakan sarapan pagi bersama-sama. Cara ini secara tidak langsung anda dapat menyemaikan tabiat kerjasama dan pengambilan makanan sihat dari usia yang muda, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Rakyat menyahut baik kepada langkah kerajaan untuk meningkatkan bantuan kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin yang bertujuan memperbaiki nutrisi makanan. Tetapi usaha ini perlu digembleng bersama sehingga cukup untuk membendung risiko penyakit tidak berjangkit di negara ini seperti penyakit kardiovaskular dan obesiti.
Kanak kanak dan remaja bagaikan permata ibu bapa, dan aset pembina negara. Tubuh badan yang sihat untuk remaja kita hari ini adalah sangat penting bagi memastikan pembangunan yang mampan dan kelestarian hidup semua.
Biarlah kanak-kanak kita menikmati sarapan pagi dengan senyuman yang lebar😊
Artikel ini ditulis oleh :
Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid
Associate Professor of Nutrition and Dietetics,
BSc (UKM), MND (Deakin),PhD (King’s College London),
Felo UmCares
Centre for Population Health and
Department of Social and Preventive Medicine,
Faculty of Medicine, University of Malaya
50603 Kuala Lumpur,
Malaysia
Tel: +603-7967 4757
Fax:+603-7967 4975
Research Fellow,
Harvard Chan School Of Public Health,
677 Huntington Avenue,
Boston MA 02115
Dr Wong Min Fui @ Esther Wong
MPH (UM) , MD (UPM), BMedSc (UPM)
DrPH Candidate
Social and Preventive Medicine
Faculty of Medicine, University of Malaya
Servicing Medical Officer, MOH
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: Mencari Idea Menu Sarapan Pagi Simple? Ini Idea Terbaik Untuk Parents Sibuk Bekerja!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!