Vaksin untuk bayi merupakan perkara yang amat ditekankan oleh pihak kementerian kesihatan bagi mengelakkan si manja anda diserang pelbagai penyakit.
Disebabkan itulah KKM menggariskan Jadual Imunisasi Kebangsaan seawal bayi dilahirkan. Memandangkan kini seluruh dunia diancam virus Covid-19, pihak pengeluar vaksin mempertimbangkan suntikan untuk kumpulan bayi dan kanak-kanak.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- FDA umum kelulusan penggunaan vaksin untuk bayi berusia 6 bulan hingga 5 tahun
- FDA perlu diberi kebenaran daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC)
- Simptom Long Covid-19 dan MISC dalam kalangan kanak-kanak
Ia bukan sahaja untuk melindungi mereka daripada virus, malah ia juga bagi memastikan si manja tidak termasuk di dalam golongan individu yang menghidap Long Covid atau Post Covid Symptoms.
FDA umum kelulusan penggunaan vaksin untuk bayi berusia 6 bulan hingga 5 tahun
Untuk pengetahuan umum, pada 18 Jun lalu Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah meluluskan penggunaan kecemasan
vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan Moderna untuk kumpulan umur kanak-kanak dari enam bulan ke lima tahun.
Susulan kelulusan ini, sekitar 18 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan layak untuk menerima vaksin. USFDA telah meluluskan dua dos vaksin bagi Moderna sementara tiga dos vaksin bagi Pfizer.
FDA masih perlu terima lampu hijau dari CDC beri vaksin untuk bayi
Walau bagaimanapun, pemberian vaksin buat kumpulan umur ini juga perlu mendapat lampu hijau dari pada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini juga telah memaklumkan sebaik mendapat kelulusan, 10 juta dos akan dihantar ke seluruh negara.
Vaksin berkenaan bakal diuji ke atas ribuan kanak-kanak. Untuk rekod,
Pfizer meletakkan kadar keberkesanan vaksin pada tahap 80% sementara Moderna pada 51%.
Simptom Long Covid-19 dan MISC dalam kalangan kanak-kanak
Menurut laporan Fortune, Long Covid-19 ialah salah satu fenomena virus yang paling tidak diketahui. Antara simptomnya adalah:
- Kesukaran bernafas
- Keletihan
- Gejala yang bertambah teruk selepas aktiviti fizikal atau mental
- Kesukaran berfikir atau menumpukan perhatian (kadang-kadang dirujuk sebagai “kabus otak”)
- Batuk
- Sakit dada atau perut
- Sakit kepala dan lain-lain lagi.
Pakar pediatrik mengatakan bahawa walaupun terdapat banyak kajian yang perlu dilakukan, kanak-kanak masih berisiko mendapat Long Covid walaupun mereka hanya mengalami gejala ringan.i.
Satu kajian yang diterbitkan menerusi Journal of Medical Association menjelaskan bahawa kira-kira 1 daripada 25 kanak-kanak dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu simptom gangguan kesihatan yang berlangsung lebih daripada 12 minggu.
Selain itu hal yang perlu ibu risau adalah sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC) yang berupaya menyebabkan kematian jika dijangkiti COVID-19.
Setakat Januari hingga Mac 2022, terdapat 119,000 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dilaporkan.
Pakar perunding penyakit berjangkit kanak-kanak, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata, kanak-kanak tersebut bukan sahaja mendapat gejala ringan, tetapi ada antara mereka mendapat gejala serius sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
“Kalau kita lihat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pun, data yang ditunjukkan pada awal bulan Januari, kemasukan kanak-kanak bawah 12 tahun kurang daripada 100 kes sehari.
“Tetapi pada bulan Februari, berlaku peningkatan ketara di mana terdapat lebih 300 kes sehari. Malah sudah ada kematian kanak-kanak yang berlaku tahun ini.
“Justeru, ini menandakan bahawa jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan kerana ada antara mereka yang mendapat komplikasi serius sehingga memerlukan rawatan di hospital dan juga ICU,” katanya.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!