Isi Kandungan
Kini, ramai ibu ayah memilih untuk sunat lelaki atau perempuan ketika mereka masih bayi, iaitu pada beberapa bulan awal selepas kelahiran. Ini kerana, ibu ayah beranggapan si manja senang dijaga dan proses penyembuhan luka mereka yang lebih cepat.
Namun, penjagaan selepas berkhatan yang rapi adalah sangat penting bagi memastikan bayi cepat sembuh dan tidak timbul masalah lain.
Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sunat lelaki atau perempuan ketika bayi serta cara penjagaan selepas berkhatan yang betul.
Sunat adalah perbuatan ataupun prosedur untuk membuang kulit pada hujung bahagian kemaluan. Dalam Islam sendiri, sunat merupakan perkara yang dituntut dengan tujuan untuk membersihkan kemaluan.
Perlu anda tahu, hukum sunat adalah wajib dalam Islam baik untuk lelaki mahupun perempuan.
Ibu ayah boleh memilih untuk sunat lelaki seawal umur 7 hari ataupun sewaktu mereka sudah mula baligh. Kebanyakan memilih untuk menyunatkan anak mereka sewaktu anak mereka sudah meningkat besar.
Apa-apa pun ia bergantung kepada ibu ayah. Sebab itulah, anda lihat musim cuti sekolah begitu rancak dengan pengalaman sunat lelaki pada waktu tersebut.
kaedah sunat bayi lelaki
Memandangkan kini bidang perubatan mengalami kemajuan, kaedah sunat bayi lelaki laser menjadi pilihan kebanyakan ibu ayah.
Hal ini kerana sunat bayi lelaki laser hanya menyebabkan pendarahan yang lebih sedikit berbanding kaedah sunat bayi lelaki menggunakan gunting atau pisau bedah.
Istilah lain sunat bayi lelaki laser adalah kautheri bipolar / monopolar. Ia dikatakan kurang sakit dan terbukti dapat mengurangkan komplikasi seperti pendarahan.
Proses sunat bayi lelaki
Dalam proses bersunat, doktor akan membuang kulit pada hujung kemaluan anak anda. Menerusi proses ini, kulit pada kepala zakar akan dibuang yang kemudiannya menunjukkan kepala zakar.
Proses bersunat ini hanya akan mengeluarkan sedikit darah akibat pembuangan lebihan kulit dan seperti sunat bayi perempuan, ia tidak memerlukan sebarang jahitan. Selepas kulit dibuang, bahagian hujung kemaluan akan dilapik dengan balutan. Anak anda akan sembuh dalam masa seminggu hingga ke 10 hari.
Untuk kanak-kanak lelaki yang mencapai umur baligh, prosedur yang sama diperlukan tetapi ia lebih menyeluruh berbanding untuk proses sunat bayi lelaki.
Pasti terdapat ibu ayah yang menyangkakan penjagaan untuk sunat bayi lelaki adalah rumit tetapi sebenarnya, ia mudah sahaja.
Cara jaga anak sunat laser
Berikut beberapa panduan penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki yang boleh ibu ayah ikuti di rumah:
#1. Jangan buka balutan
Selepas anda bawa anak anda pulang daripada bersunat, jangan sesekali buka balutan kerana lukanya masih baru.
Sebaiknya tunggulah semalaman ataupun 24 jam sebelum anda buka balutan. Jika nak mandikan anak anda pun, jangan buka balutan tersebut. Cukuplah sekadar membersihkan dengan lap badannya sahaja.
#2. Tukar balutan
Penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki yang seterusnya adalah menukar balutan luka sunat anak setiap kali anda menukar lampinnya selama 7 hari.
Kebiasaannya, balutan akan terbuka setiap kali anak kencing, jadi anda boleh menukarkannya pada waktu tersebut. Kemaluan anak perlulah dibalut untuk mengelakkan kemaluan anda yang telah disunat bertemu dengan lampin kerana ia akan menyebabkan bayi anda tidak berasa selesa.
#3. Beri ubat menurut saranan doktor
Penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki yang lain adalah menyapu ubat yang dibekalkan.
Bergantung kepada doktor anda, doktor akan membekalkan ubat dan juga ubat sapu kepada anda. Setiap kali, anda menukar balutan, sapukan sekali ubat sapu untuk memastikan kawasan luka kering. Apa apa pun, ikut saranan doktor anda.
Jangan sesekali cuci kawasan luka dengan sabun ataupun dengan menggunakan tisu basah.
#4. Pastikan kawasan bersih
Penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki ini paling penting. Pastikan tidak ada sebarang kesan najis pada bahagian luka sewaktu anda mencuci atau menukar lampin anak.
Jika ada, lapkan bahagian tersebut dengan lembut dengan menggunakan air suam dan biarkan bahagian tersebut kering. Pastikan juga ia kering sebelum anda meletakkan balutan untuk mengelakkan sebarang iritasi pada kulit khatan bayi.
#5. Penjagaan sewaktu tidur
Penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki ketika tidur adalah memastikannya tidak tidur secara meniarap.
Pastikan posisi tidur bayi dalam keadaan terlentang dan juga tidak ada sebarang perkara yang mengganggu kawasan balutan. Berhati-hati sewaktu mengangkat bayi anda.
#6. Pantau keadaan luka
Penjagaan selepas berkhatan bayi lelaki seterusnya adalah memantau keadaan luka khatan bayi.
Kebiasaannya apabila anak anda sudah bersunat, bahagian hujung kemaluannya akan menjadi kemerahan.
Ini memang normal! Jangan risau. Jika ada seperti cairan berwarna kuning atau sedikit darah, ia juga perkara biasa. Tetapi jika anak anda mempunyai simptom-simptom seperti berikut, sila bawa anak anda berjumpa dengan doktor segera.
- Kemerahan berterusan pada kemaluan selepas tempoh 5 atau 6 hari
- Pendarahan berterusan pada kemaluan
- Bau yang kurang menyenangkan
- Demam
- Bengkak
- Masalah untuk kencing
Kelebihan sunat bayi
Dasar Akademi Pediatrik Amerika menyatakan bahawa bukti menunjukkan manfaat mengenai berkhatan untuk bayi lelaki adalah lebih banyak berbanding risikonya.
Antara kelebihan sunat bayi adalah:
- Mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing (UTI), terutama di tahun pertama kehidupan bayi. UTI yang teruk atau berulang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang atau sepsis (jangkitan aliran darah).
- Mengurangkan risiko dijangkiti HIV, serta beberapa penyakit lain yang dikongsi melalui hubungan seksual.
- Mengurangkan risiko keadaan kulit yang boleh menjejaskan zakar, seperti phimosis.
- Risiko lebih rendah untuk mendapat kanser zakar.
Risiko Sunat Bayi
Sebagai ibu ayah baru, anda mungkin sangat gementar tentang risiko mengkhatankan bayi anda. Sama seperti mana-mana prosedur pembedahan lain, terdapat beberapa risiko yang perlu dipertimbangkan semasa membuat keputusan sama ada untuk mengkhatankan bayi anda atau tidak.
Namun, anda sebenarnya tidak perlu begitu risau. Berkhatan adalah prosedur yang sangat biasa dan komplikasi jarang berlaku. Tetapi risiko yang mungkin terjadi termasuk:
- pendarahan pada masa prosedur
- jangkitan
- sakit
- kerosakan atau kecacatan pada zakar, yang mungkin muncul kemudian ketika membesar
Insiden komplikasi serius (seperti kerosakan pada zakar) adalah sangat rendah, dianggarkan serendah 0.2 peratus dan sering berlaku pada prosedur berkhatan yang dijalankan di luar hospital.
Manakala, insiden komplikasi kecil (seperti pendarahan atau jangkitan) pula dilaporkan sekitar 3 peratus sahaja.
Berapa lama bayi sunat sembuh
Selepas berkhatan, kemungkinan akan ada sedikit kemerahan, bengkak, dan sedikit pendarahan serta lelehan selama beberapa hari. Jangan risau, ini adalah perkara biasa.
Kebanyakan bayi baru lahir pulih sepenuhnya daripada berkhatan dalam masa 7-10 hari.
Khatan bayi perempuan
Sunat sinonim untuk bayi lelaki tetapi tahukah anda bayi perempuan juga turut bersunat? Sunat atau khatan bayi perempuan adalah cukup mudah dan tidak memerlukan sebarang jahitan.
Proses sunat bayi perempuan melibatkan pembuangan lebihan kulit pada bahagian klitoris dan ia tidak menyakitkan. Proses penyembuhan khatan bayi perempuan biasanya hanya mengambil masa dua hingga lima hari sahaja.
Khatan bayi perempuan dalam islam
Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan wajib hukumnya berkhatan bayi perempuan dan lelaki. Adapun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
- Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
- Bagi perempuan, bahagian kulit diatas saluran kencing (klitoris), yang seperti balung ayam jantan.
Bagi perempuan disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation yang mana sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris.
Bahkan perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam. Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa perlaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau:
لَا تَنْهِكِي فَإِنَّ ذَلِكَ أَحْظَى لِلْمَرْأَةِ، وَأَحَبُّ إِلَى الْبَعْلِ
Maksudnya: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”
Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.
Kenapa perlu sunat bayi perempuan
Berkhitan atau sunat bayi perempuan akan memberi manfaat kepada seseorang kerana ianya adalah sesuatu yang disunnahkan.
Antaranya kelebihannya adalah ia menjadikan anggota kemaluan wanita lebih bersih dan dapat memelihara seseorang daripada pelbagai penyakit.
Umur sesuai untuk sunat bayi perempuan
Sebaiknya khitan bayi perempuan masa mereka masih bayi lagi. Umur 5 bulan hingga 18 bulan adalah masa yang sesuai untuk sunat bayi perempuan anda.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat!
- Healthline (Aug 13, 2019). Everything You Need to Know About Baby Circumcision. www.healthline.com/health/parenting/baby-circumcision#takeaway
- Web MD (May 31, 2021). Your Baby Boy’s Circumcision: What to Expect. www.webmd.com/parenting/baby/circumcision-what-expect
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 tips agar sunat cepat sembuh untuk kanak-kanak lelaki – Perkongsian doktor
Baca juga: Bayi Sudah Ada Deria Sentuh Sejak Minggu Ke-8 Kehamilan, Adakah Mereka Boleh Rasa Sakit?
Baca juga: Ini Manfaat Sentuhan Kulit Ke Kulit Selepas Bayi Lahir, No.3 Paling Penting