Musim cuti sekolah sememangnya jadi pilihan ibu ayah menghantar anak mereka ke klinik atau program bersunat. Jika anda salah seorang daripada ibu bapa berkenaan dan ingin mengetahui cara cepat sembuh luka berkhatan untuk kanak-kanak lelaki, jom ikuti perkongsian seorang doktor ini, Khairul Faizie Mohammad Kamar.
Cara Cuci Luka Berkhatan Dengan Betul
Dengan mengikuti tips yang dikongsikan oleh Dr. Khairul, diharapkan luka sunat cepat kering dan sembuh. Berikut beberapa cara cuci luka berkhatan dengan betul:
1. Buka Balutan Luka Selepas 2 Hari
Selepas selesai bersunat, ibu ayah dinasihatkan untuk membuka balutan gauze selepas 48 jam, atau selepas 2 hari. Untuk 2 hari pertama, anda perlu memastikan yang hujung lubang penis anak dibasuh dengan bersih setiap kali selepas membuang air kecil.
2. Cuci Luka Bersunat
Selepas anda menanggalkan balutan sunat, lukanya juga perlu dicuci dengan rapi. Proses ini dikenali sebagai wound dressing.
Berikut cara cuci luka sunat yang betul:
- Cara cuci luka sunat yang pertama adalah dengan menggunakan cecair normal saline, anda boleh dapatkannya di farmasi atau klinik. Cucian ini perlu dibuat 3 ke 4 kali sehari.
- Cuci luka dengan cecair saline secara perlahan dan keringkannya dengan menekap kain gauze.
- Gunakan suhu biasa pada hair dryer dan acukan angin ke arah penis anak selepas mencuci dengan saline. Ini membantu untuk membuatkan penis anak anda cepat kering dan kurang risiko jangkitan.
3. Jangan Kopek Atau Tanggalkan Keruping Luka Secara Paksa
Anda juga dinasihatkan untuk memastikan keruping luka tidak digosok atau disental dengan kuat. Dr. Khairul menerangkan bahawa keruping tersebut akan tertanggal dengan sendiri apabila ia selalu dicuci atau terkena air semasa mandi.
4. Konsisten Cuci Luka Bersunat Setiap Hari
Masalah yang selalu dialami oleh ibu ayah tatkala membawa anaknya ke klinik Dr. Khairul adalah masalah kulit keruping yang melekat dan bertempek.
Anda boleh mengelakkan hal ini daripada terjadi dengan mengamalkan langkah 2 secara konsisten.
Antara tip lain yang dapat membantu menanggalkan keruping yang bertempek adalah dengan merendamkan penis anak anda ke dalam bekas kecil yang berisi cecair normal saline.
Biarkan ia direndam selama 3 ke 5 minit dan ulanginya 3 ke 4 kali sehari. Lambat laun, keruping tersebut akan luruh sendiri.
5. Atasi Luka Bersunat Bengkak
Selepas sunat, ia adalah menjadi kebiasaan untuk penis anak anda sedikit bengkak. Keadaan bengkak di sekitar kawasan luka sunat juga turut dipanggil sebagai bentan oleh orang Melayu.
Walaupun ia adalah hal biasa dan tidak perlu dibimbangkan, Dr. Khairul menasihatkan anda untuk melihat tanda jangkitan pada bengkak terbabit. Antara tandanya adalah:
- Bengkak yang terlalu besar
- Kulit di sekitar kawasan bengkak menjadi kemerah-merahan
- Mempunyai cecair likat yang kelihatan seperti nanah
- Berdenyut dan rasa sakit
- Sakit masa kencing
- Kawasan luka berdarah
- Demam
Jika tanda di atas berlaku, ada kemungkinan yang anak anda mengalami jangkitan. Bawa berjumpa doktor jika ia terjadi.
6. Amalan Berpantang Selepas Sunat
Walaupun anda akan mendengar pelbagai petua berpantang selepas sunat, Dr. Khairul menasihatkan supaya anda terus memberikan makanan berkhasiat dan bernutrisi penuh kepada anak.
Ini adalah supaya lukanya cepat sembuh. Berikannya air kosong yang mencukupi supaya dia kekal hidrasi.
Malah menurut beliau lagi, jika anak anda teringin untuk makan ayam, telur dan kicap (yang sangat tidak dibenarkan menurut pantang Melayu), izinkan sahaja. Ia tidak akan memberi kemudaratan.
7. Pakai Kain Pelikat Supaya Sunat Cepat Sembuh
Doktor ini juga turut berkongsi tips sunat cepat sembuh dari segi pemakaian. Anda tidak semestinya perlu menyuruh anak anda memakai kain pelikat sahaja.
Seluar pun sudah boleh dipakai. Cumanya, anda perlu memastikan yang kepala penis itu tidak bergesel dengan kain seluar.
Antara petua mudah adalah meletakkan cawan corn-in-a-cup dan dibuang dasarnya. Letakkan pada penis. Anak anda mungkin akan mengambil masa antara 1 ke 3 minggu untuk membiasakan rasa bergesel antara kepala penis dengan kain.
Malah, doktor turut menggalakkan anak anda untuk bergerak selepas bersunat, dan bukannya berbaring selama berhari-hari.
Cumanya, jangan lakukan pergerakan yang terlampau aktif selepas bersunat seperti berlari atau bermain bola!
Berapa Lama Luka Berkhatan Sembuh?
Berapa lama luka berkhatan sembuh boleh berbeza antara setiap kanak-kanak. Ada beberapa faktor yang mempengaruhi proses penyembuhan iaitu jenis berkhatan, umur pesakit, keadaan kesihatan keseluruhan, dan penjagaan yang diberikan semasa tempoh pemulihan.
Di bawah ialah anggaran berapa lama luka berkhatan sembuh:
- Penyembuhan Awal (1-2 Minggu): Dalam tempoh pertama hingga dua minggu, luka biasanya akan mengalami fasa keradangan dan percambahan. Di sini, badan mula membentuk tisu parut untuk melindungi luka.
- Tempoh Pemulihan Awal (2-4 Minggu): Proses penyembuhan aktif berterusan dalam minggu kedua hingga keempat. Masa ini penting untuk memberi luka masa yang cukup untuk menutup dan menguatkan dirinya.
- Penyembuhan Penuh (Beberapa Bulan): Walaupun luka mungkin kelihatan sembuh secara visual dalam masa beberapa minggu, penyembuhan penuh mungkin mengambil masa beberapa bulan. Ini kerana tisu parut masih perlu berkembang dan matang.
Faktor Yang Mempengaruhi Berapa Lama Luka Berkhatan Sembuh
- Umur: Pada bayi dan kanak-kanak, proses penyembuhan mungkin berlaku lebih cepat berbanding orang dewasa.
- Kesihatan Umum: Keadaan kesihatan am boleh menjejaskan kelajuan penyembuhan. Individu yang mempunyai sistem imun yang kuat cenderung untuk pulih lebih cepat.
- Kebersihan dan Penjagaan: Menjaga luka dengan baik dan menjaga kebersihan kawasan berkhatan boleh mempercepatkan proses penyembuhan dan mencegah jangkitan.
- Jenis Berkhatan: Kaedah atau teknik berkhatan tertentu boleh menjejaskan masa penyembuhan. Sebagai contoh, berkhatan dengan kaedah tertentu boleh memerlukan masa penyembuhan yang lebih lama berbanding kaedah lain.
Kenapa Luka Berkhatan Lambat Sembuh
Penyembuhan perlahan parut sunat boleh disebabkan oleh beberapa faktor, dan berikut adalah beberapa punca yang mungkin:
- Jangkitan: Jangkitan pada luka berkhatan merupakan antara faktor utama yang boleh melambatkan proses penyembuhan. Jika kawasan berkhatan tidak dijaga dengan bersih atau terdapat jangkitan kuman, luka boleh meradang lebih lama.
- Ketidakserasian Rawatan: Rawatan yang tidak betul atau tidak konsisten juga boleh melambatkan penyembuhan. Ini termasuk penggunaan salap atau ubat yang tidak sesuai, kekurangan pembersihan luka mencukupi, atau tidak mematuhi arahan penjagaan diberikan oleh profesional perubatan.
- Kerengsaan atau Geseran: Pakaian terlalu ketat atau geseran berulang pada bahagian berkhatan boleh merengsakan luka dan lambat sembuh.
- Pilihan Kaedah Berkhatan: Kaedah berkhatan tertentu mungkin memerlukan masa penyembuhan yang lebih lama. Contohnya, teknik tertentu yang melibatkan jahitan atau luka lebih rumit mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
- Keadaan Kesihatan Diri: Faktor seperti keadaan kesihatan umum, kehadiran penyakit kronik, atau masalah peredaran darah boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk menyembuhkan luka.
- Faktor Pemakanan: Pemakanan tidak mencukupi, terutamanya zat besi, vitamin C, dan protein boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk menjana semula sel dan melambatkan penyembuhan luka.
Ciri-Ciri Luka Sunat Sembuh
Berikut adalah beberapa ciri-ciri luka sunat sudah sembuh:
1. Tiada Kesakitan atau Ketidakselesaan
Setelah luka sembuh sepenuhnya, rasa sakit atau ketidakselesaan yang dirasai selepas prosedur akan hilang. Jika masih ada rasa sakit atau ketegangan, ia mungkin menunjukkan bahawa luka belum sembuh sepenuhnya.
2. Tiada Pembengkakan
Pembengkakan atau bengkak di sekitar kawasan luka akan berkurang atau hilang apabila luka sembuh sepenuhnya. Jika pembengkakan berterusan, ia mungkin menunjukkan jangkitan atau komplikasi.
3. Pembentukan Kulit Baharu
Selepas beberapa minggu, luka akan mula mengering dan membentuk lapisan kulit yang baru. Kulit ini mungkin sedikit bersisik atau mengelupas, tetapi ia adalah tanda proses penyembuhan.
4. Warna Kulit Kembali Normal
Kawasan luka yang dulunya merah atau berwarna gelap akan kembali kepada warna kulit asal selepas beberapa minggu. Ini menunjukkan bahawa tisu di sekitar luka telah pulih.
5. Tiada Pendarahan
Luka sunat yang sembuh sepenuhnya tidak akan mengeluarkan darah. Jika masih terdapat pendarahan, walaupun sedikit, ia memerlukan perhatian perubatan.
6. Tiada Jangkitan
Luka yang sembuh tidak akan menunjukkan tanda-tanda jangkitan seperti nanah, bau busuk, atau kemerahan yang berlebihan. Jangkitan boleh menyebabkan luka sembuh dengan lambat atau tidak sembuh langsung.
7. Tiada Perubahan Bentuk
Selepas sembuh, kawasan yang menjalani prosedur sunat akan kembali kepada bentuk asal tanpa ada perubahan yang ketara seperti benjolan atau kecacatan.
Penting untuk memberi perhatian kepada tanda-tanda yang menunjukkan komplikasi selepas bersunat, seperti pendarahan berlebihan, jangkitan, atau kesakitan yang berterusan. Jika ada gejala-gejala ini, disarankan untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Semoga berjaya dan tahniah kerana anak telah berjaya melalui pahit getir bersunat yang pasti menjadi memori seumur hidupnya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penjagaan Selepas Berkhatan Kena Betul, Ibu Ini Kongsi Tips Agar Luka Cepat Sembuh!
Baca juga: Makanan Pantang Bersunat Yang Simple, Bantu Luka Anak Cepat Kering & Pulih
Baca juga: Bayi Meraung Tak Henti-henti Ketika Bersunat, Adakah Dia Sebenarnya Rasa Sakit?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!