Demam denggi merupakan jangkitan virus yang berpunca daripada virus denggi dalam keluarga flavivirus. Ia merebak melalui gigitan nyamuk, terutamanya spesies Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Adalah penting mengetahui beberapa tanda demam denggi bagi kanak-kanak bagi mengelakkan ia menjadi teruk.
Virus denggi mempunyai empat serotip berbeza iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3, dan DENV-4. Setiap jangkitan memberikan imuniti seumur hidup terhadap serotip yang sama tetapi hanya menawarkan perlindungan sementara dan terhad terhadap serotip lain.
Isi Kandungan
Tanda Demam Denggi Bagi Kanak-Kanak
Demam denggi biasanya menyebabkan simptom yang lebih ringan pada kanak-kanak yang lebih muda dan individu yang dijangkiti buat kali pertama.
Namun, gejala sederhana hingga serius lebih cenderung berlaku pada kanak-kanak yang lebih besar, orang dewasa, serta individu yang telah dijangkiti sebelumnya.
Berikut adalah beberapa tanda demam denggi yang biasa:
1. Demam Panas Dengan Tiba-Tiba (40°C/104°F)
Tanda demam denggi bagi kanak-kanak atau bayi biasanya muncul antara hari ke-3 hingga ke-14 selepas gigitan nyamuk yang dijangkiti.
Demam ini biasanya bertahan selama 2 hingga 7 hari. Bagi kanak-kanak berumur bawah 6 tahun, demam tinggi boleh menyebabkan sawan.
2. Sakit Kepala Yang Teruk
Sakit kepala yang berlarutan dan kuat adalah simptom biasa bagi pesakit demam denggi.
3. Sakit Belakang Mata
Kesakitan yang dirasai di kawasan belakang mata juga sering berlaku.
4. Sakit Tulang, Otot Dan Sendi
Kesakitan ini adalah salah satu tanda penting demam denggi yang sering dialami pesakit.
5. Ruam Di Badan
Tanda demam denggi bagi kanak-kanak dan bayi seterusnya adalah naik rumah merah. Ruam ini biasanya muncul pada hari ke-3 hingga ke-4 selepas permulaan demam.
6. Kurang Selera Makan Dan Muntah
Tanda demam denggi bagi kanak-kanak yang lain adalah hilang selera makan dan muntah.
Gejala ini sering dialami oleh pesakit demam denggi dan boleh memburukkan keadaan kesihatan mereka jika tidak diuruskan dengan baik.
Bila Perlu Jumpa Doktor Jika Mengesyaki Anak Mengalami Demam Denggi?
Jika anda mengesyaki anak anda dijangkiti demam denggi, adalah penting untuk memantau simptom dengan teliti. Demam denggi boleh menjadi serius jika tidak dirawat dengan segera.
Berikut adalah tanda-tanda dan situasi yang menunjukkan anda perlu segera berjumpa doktor:
1. Demam Tinggi Berterusan
Jika anak anda mengalami demam tinggi (40°C atau lebih) yang tidak reda selepas beberapa hari, segera bawa mereka berjumpa doktor. Demam yang berpanjangan boleh membahayakan kesihatan mereka.
2. Sakit Kepala dan Sakit Mata yang Teruk
Jika anak mengadu sakit kepala yang teruk dan rasa sakit pada belakang mata, ini boleh menjadi tanda demam denggi yang lebih serius.
3. Naik Ruam Badan
Ruam yang muncul secara tiba-tiba dan meliputi sebahagian besar badan juga boleh menjadi petunjuk demam denggi.
4. Muntah dan Kurang Selera Makan
Jika anak anda mengalami muntah berulang kali atau menunjukkan tanda-tanda kurang selera makan yang berpanjangan, ini boleh menyebabkan dehidrasi dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera.
5. Tanda-Tanda Keletihan yang Melampau
Jika anak anda nampak sangat lemah, lesu, atau tidak bermaya, ini mungkin menandakan jangkitan demam denggi yang serius.
6. Sakit Otot dan Sendi yang Teruk
Jika anak anda mengadu sakit yang teruk pada tulang, otot, atau sendi tanpa sebab yang jelas, ini adalah simptom yang perlu diberi perhatian serius.
7. Sukar Bernafas atau Tanda-Tanda Keabnormalan Lain
Jika anak anda mengalami kesukaran bernafas, kebingungan, atau perubahan dalam corak tidur, segera bawa mereka berjumpa doktor.
Pilihan Rawatan Demam Denggi Pada Kanak-Kanak
Tiada rawatan khusus untuk demam denggi, tetapi doktor mungkin mengesyorkan perkara-perkara berikut untuk membantu mengurangkan simptom dan memulihkan kesihatan anak anda:
1. Berikan Anak Anda Rehat Secukupnya: Biarkan anak anda berehat sebanyak mungkin untuk membantu pemulihan.
2. Ubat untuk Mengurangkan Demam dan Kesakitan: Doktor mungkin akan memberi paracetamol untuk mengurangkan demam dan melegakan kesakitan yang dialami akibat demam denggi.
3. Pastikan Anak Kekal Terhidrat: Untuk mengelakkan risiko dehidrasi, pastikan anak minum susu atau air mencukupi, terutamanya jika simptom masih ringan. Perhatikan tanda-tanda dehidrasi dan beri perhatian serius jika ia berlaku.
4. Elakkan Ubat-ubat Tertentu: JANGAN berikan anak anda ubat seperti aspirin, ibuprofen atau antibiotik, kerana ia boleh memburukkan keadaan.
5. Perhatikan Tanda Bahaya: Pantau tanda-tanda amaran dalam tempoh 3 hingga 7 hari selepas simptom mula muncul.
Bahaya Demam Denggi Teruk pada Kanak-Kanak
Demam denggi teruk boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti:
1. Dehidrasi
Muntah dan penurunan pengambilan air boleh menyebabkan kehilangan cairan yang serius. Ini boleh mengganggu fungsi organ utama dalam tubuh.
2. Kerosakan Organ
Virus denggi yang menyerang dengan serius boleh merosakkan organ seperti hati, jantung, dan buah pinggang.
3. Pendarahan
Pendarahan yang berlaku akibat demam denggi berdarah boleh mengancam nyawa jika tidak ditangani dengan segera.
4. Tekanan Akibat Demam Denggi Berdarah
Ini adalah keadaan kritikal di mana tekanan darah menurun secara mendadak akibat kehilangan cairan yang banyak dan pendarahan.
Pencegahan Demam Denggi
Mencegah demam denggi bayi dan kanak-kanak melibatkan beberapa langkah pencegahan yang mudah dan berkesan. Berikut adalah beberapa cara melindungi kanak-kanak daripada risiko demam denggi:
1. Elakkan Gigitan Nyamuk
Gunakan ubat nyamuk yang sesuai untuk kanak-kanak. Pastikan produk ini selamat dan menepati garis panduan umur kanak-kanak.
Selain itu, pilih pakaian yang menutupi seluruh badan si manja terutamanya ketika berada di luar rumah, terutamanya pada waktu nyamuk Aedes aktif.
2. Menjaga Kebersihan Kawasan Rumah
Elakkan genangan air: Pastikan tiada lopak air di sekeliling rumah, kerana lopak air adalah tempat yang sesuai untuk nyamuk membiak.
Bersihkan Tempat Berpotensi: Keluarkan tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, seperti pasu bunga yang berisi air atau bekas lain.
3. Penggunaan Kelambu
Gunakan kelambu semasa tidur: Pastikan anak tidur di tempat yang dilindungi oleh kelambu untuk mengelakkan gigitan nyamuk pada waktu malam.
4. Menanam Tumbuhan Penghalau Nyamuk
Tanam tanaman seperti serai atau lavender di sekeliling rumah, kerana beberapa tumbuhan ini boleh membantu menghalau nyamuk.
5. Pasang Jaring Pada Tingkap dan Pintu
Gunakan jaring pada tingkap dan pintu serta baiki tingkap yang rosak atau pecah. Ini dapat mengurangkan peluang nyamuk masuk ke dalam rumah.
6. Pakaian Yang Sesuai
Kanak-kanak yang keluar rumah harus memakai pakaian lengkap seperti seluar panjang, baju berlengan panjang, stoking dan kasut untuk mengelakkan gigitan nyamuk.
7. Kurangkan Masa Di Luar Rumah
Elakkan kanak-kanak berada di luar rumah di awal pagi dan senja, apabila nyamuk paling aktif.
Jenis Demam Denggi
- Demam Denggi ringan: Kanak-kanak yang mengalami demam denggi ringan mungkin mengalami simptom seperti selesema, dan penyakit itu selalunya tidak disedari atau tersalah diagnosis. Adalah penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk berwaspada dan mendapatkan rawatan perubatan jika gejala berterusan atau bertambah teruk.
- Denggi Teruk (Demam Denggi Berdarah dan Sindrom Kejutan Denggi): Dalam sesetengah kes, denggi boleh berkembang kepada bentuk yang teruk, iaitu Demam Berdarah Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS). DHF dicirikan oleh pendarahan, penurunan dalam kiraan platelet, dan kebocoran plasma, manakala DSS melibatkan kebocoran plasma yang teruk membawa kepada kejutan.
Berapa Lama Demam Denggi Bertahan?
Gejala demam denggi boleh muncul sehingga 2 minggu selepas seseorang dijangkiti. Sesetengah individu yang dijangkiti virus ini mungkin tidak mengalami sebarang gejala.
Manakala yang lain mungkin mengalami gejala selama beberapa hari hingga 2 minggu sebelum beransur pulih.
Berkesankah Cara Mencegah Denggi Dengan Semburan?
Lazimnya, orang kita cenderung menggunakan produk penyembur nyamuk untuk mengelakkan gigitan nyamuk termasuk jenis Aedes. Namun, tidak semua produk berkesan dan selamat untuk bayi dan kanak-kanak.
Justeru anda perlulah memilih produk mesra bayi dan kanak-kanak, iaitu diperbuat daripada bahan semula jadi seperti serai.
Khasiat Serai Mencegah Denggi
Serai atau lemongrass telah lama diketahui mempunyai sifat menghalau nyamuk. Sesetengah orang percaya bahawa serai boleh membantu mencegah gigitan nyamuk Aedes.
Walaupun serai mempunyai manfaat sebagai penghalau nyamuk semula jadi, perlu diingat bahawa manfaatnya dalam mencegah demam denggi masih dalam kajian dan belum dibuktikan secara saintifik.
Berikut ialah beberapa cara serai membantu mencegah demam denggi:
- Minyak Serai sebagai Penghalau: Minyak serai boleh dihasilkan dan digunakan sebagai penghalau semula jadi. Ada yang mencampurkan minyak serai dengan minyak kelapa atau minyak lain dan sapu pada kulit untuk menghalau nyamuk.
- Serai dalam Produk Penghalau Nyamuk: Sesetengah produk penghalau nyamuk komersial menggunakan minyak sitronella sebagai bahan aktif. Ini termasuk lilin, semburan atau losyen yang boleh digunakan untuk melindungi daripada gigitan nyamuk.
- Tanaman Serai Di Sekitar Rumah: Menanam tanaman serai di sekeliling rumah dapat membantu mengurangkan kehadiran nyamuk. Bau tumbuhan ini dipercayai dapat menghalau nyamuk.
- Semburan Serai Di Sekeliling: Membuat semburan serai dengan mencampurkan air dan minyak serai boleh digunakan untuk menyembur kawasan sekitar terutamanya tempat yang sering didiami nyamuk.
Kesimpulannya, demam denggi adalah penyakit yang serius dan perlu diberi perhatian khusus, terutama kepada kanak-kanak yang lebih berisiko kerana sistem imun mereka masih belum kuat.
Tanda demam denggi kanak-kanak seperti demam tinggi secara mendadak, ruam, sakit kepala, sakit sendi, loya, dan kehilangan selera makan harus diambil serius oleh ibu bapa atau penjaga.
Jika anda melihat tanda-tanda ini pada anak anda, segera bawa mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan dengan segera.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bila Anak Demam, Lakukan Perkara Ini. Jangan Letak Tuala Basah Pada Dahi Anak!
Baca juga: Tanda Demam Denggi Pada Ibu Mengandung, Jika Alami Salah Satu Tanda Ini Segeralah Ke Hospital
Baca juga: Penawar Demam Denggi Dari Daun Betik Berhasil Tingkat Platelet Darah,Tapi Harus Hati-Hati Jika Hamil