Elak Terlalu Aktif Selepas Bersalin, Bentan Ketika Berpantang Boleh Mengundang Maut

Tanda tanda bentan yang biasa terjadi terhadap kebanyakan ibu dalam pantang adalah sakit-sakit badan, turun darah dan badan terasa sejuk

Jangan minum ais, jangan lupa pakai sarung kaki, ambil makanan berpantang dan banyak lagi antara larangan semasa berpantang selepas bersalin yang harus ibu ikut supaya tidak muncul sebarang tanda tanda bentan yang membuatkan badan lemah dan tidak bermaya.

Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?

  • Jenis-jenis bentan
  • Sumber jangkitan kuman yang menyebabkan bentan
  • Tanda-tanda bentang semasa berpantang
  • Cara mengelakkan daripada berlakunya bentan selepas bersalin

Bentan ini merupakan situasi apabila ibu dalam pantang rasa sakit meskipun telah hampir sembuh dari bersalin.

Ada juga yang mengatakan bentan ini muncul apabila adanya jangkitan kuman pada bahagian peranakan, rahim atau pundi kencing terutama jika kebersihan kurang diambil berat sepanjang berada dalam tempoh berpantang.

Tanda tanda bentan, ini 3 jenis bentan yang kerap berlaku pada ibu selepas bersalin

#1. Bentan urat

Bentan urat antara yang paling kerap menyerang ibu-ibu baru bersalin. Ada juga yang terselamat daripada terkena bentan ini meskipun mereka buat kerja rumah dari A-Z. 

Namun kena ingat bila sekali terkena, anda jadi susah nak bangun. Badan pun akan jadi sangat lemah, bisa-bisa urat dan sendi badan. Kadang menggigil kesejukan walaupun cuaca panas.

#2. Tanda tanda bentan urat rahim/peranakan

Ketika pantang, ibu-ibu sememangnya dinasihatkan untuk berehat sahaja di katil. Tidak perlu sapu rumah, basuh dan sidai pakaian atau memasak.

Kalau masa buat kerja rumah anda tiba-tiba terjatuh, macam mana? Ia bukan sahaja membuatkan anda terpaksa pantang lama. Silap-silap pantang dengan suami juga!

#3. Bentan urat besar (pinggang)

Biasanya bentan urat pinggang ini terjadi kepada ibu yang bersalin ikut tingkap (caesar). Bagi wanita bersalin bersalin cara ini, kena sentiasa waspada dan pantanglah dengan elok. Terutamanya ketika nak bangun, duduk semua kena buat secara perlahan-lahan. Tidak boleh gelojoh.

Sumber jangkitan kuman yang menyebabkan bentan 

  •  Jangkitan pada payudara (mastitis)

Ia lebih dikenali sebagai bengkak susu. Masalah ini kebanyakannya terjadi kepada wanita yang baru pertama kali bergelar ibu. Antara puncanya ialah saluran susu tersumbat atau rekahan pada bahagian puting yang tidak dirawat.

  • Jangkitan pada saluran kencing

Ini boleh berlaku jika wanita tersebut kurang minum air semasa berpantang. Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk proses pelawasan kencing dan mengelakkan masalah sembelit.

  •  Jangkitan pada saluran pernafasan

Ia boleh terjadi disebabkan komplikasi akibat prosedur bius (anaesthesia) semasa proses pembedahan caesar.

Antara tanda-tandanya ialah sesak nafas, sakit dada, bernafas dengan laju dan batuk.

  • Jangkitan pada luka kelahiran

Sumber jangkitan ini boleh berlaku pada bahagian luka faraj jika bersalin secara normal atau menggunakan vacuum atau forceps.

Jangkitan juga boleh berlaku pada bahagian perut yang dibelah semasa pembedahan casarean.

  • Jangkitan pada saluran peranakan

Ia boleh terjadi sekiranya terdapat sisa daripada proses kelahiran (product of conception) yang tertinggal dalam saluran peranakan. Misalnya sebahagian daripada uri.

Keadaan ini boleh menyebabkan ibu rasa sakit pada bahagian ari-ari atau sakit perut dan sekaligus boleh membawa kepada masalah tumpah darah.

  • Jangkitan pada bahagian tubuh lain yang tidak berkaitan dengan kelahiran

Ibu bersalin juga berisiko terkena jangkitan pada bahagian tubuh lain, yang tidak terlibat semasa proses kelahiran. Sebagai contohnya, jangkitan dalam telinga, cengkam kuku yang bernanah ataupun bengkak gusi.

Waspada beberapa tanda bentan sebaik sahaja anda bersalin

#1 Badan rasa sejuk-sejuk

Wanita berpantang biasanya dinasihatkan supaya menjaga pemakanan, pergerakan dan tingkah laku serta sentiasa memakai stokin supaya badan sentiasa berasa hangat. Namun, jika secara tiba-tiba anda mengalami sejuk-sejuk sampai kena tarik selimut sepanjang masa, jaga-jaga mungkin anda terkena bentan.

Bila tanda ini muncul, semak semula apa yang anda silap makan atau ada pantang larang yang mungkin anda langgar hingga membuatkan badan terasa sejuk semacam.

Ini juga merupakan simptom awal bentan yang membuatkan badan terasa sejuk sehingga terketar-ketar biasanya disebabkan jangkitan di bahagian peranakan atau pundi kencing.

#2 Demam

Selepas mengalami sejuk-sejuk, anda akan terasa badan macam nak demam hingga nak bangun dari katil pun rasa tak larat. Jaga-jaga mungkin anda sedang mengalami bentan!

#3 Menggigil secara tiba-tiba

Selepas sejuk dan demam, automatik badan akan turut menggigil kesejukan meskipun pada ketika itu anda telah memakai pakaian yang berlengan panjang, stokin dan sebagainya tapi badan tetap menggigil itu tandanya anda sedang bentan. Jadi hati-hati dalam fasa ini.

#4 Rasa nak pitam atau pengsan

Selain itu, tanda tanda bentan pada wanita berpantang juga adalah rasa nak pitam, pengsan, lemah anggota badan, lesu dan sebagainya. Ini berlaku kerana kekurangan darah hingga membuatkan badan belum pulih sepenuhnya. Jadi elakkan makanan yang berangin dan tajam supaya badan cepat sembuh dari bersalin.

#5 Pendarahan yang lama dan tumpah darah

Pendarahan yang terlalu lama juga merupakan simptom pada bentan hingga keluarnya darah yang terlalu banyak tidak seperti selalu. Jika keadaan ini tidak terkawal segera minta suami bawa anda ke hospital.

#6. Sakit di bahagian ari-ari

Sakit di bahagian ari-ari ini juga boleh menyebabkan berlakunya tumpah darah semasa anda sedang berjalan atau bergerak. Ia terjadi disebabkan anda mengangkat objek berat, tersepak ibu jari kaki, jatuh terduduk atau punggung terhempas ke lantai yang menyebabkan bentan di bahagian urat peranakan.

#7. Lenguh di bahagian belakang

Urat besar atau kita panggil sebagai urat buluh rahim biasanya melalui bahagian pinggul dan menyebabkan rasa lenguh dan sakit di atas bahagian belakang badan. Keadaan ini biasanya terjadi kepada ibu yang bersalin secara pembedahan czer. Kadang-kadang terasa di bahagian tumit sampai berjalan pun nak kena berjingkit.

Cara untuk mengelakkan berlakunya bentan ketika berpantang

Ini beberapa tips mudah untuk mengelak daripada bentan selepas bersalin. 

  • Menjaga pemakanan dengan baik kerana ada sesetengah makanan tidak sesuai diambil semasa tempoh berpantang. Ia bertujuan supaya proses penyembuhan lebih cepat.
  • Pakai stokin supaya badan kekal hangat dan elak sejuk atau kembung
  • Sentiasa menjaga kebersihan kerana selepas bersalin badan ibu mudah terkena jangkitan di bahagian tertentu atau tempat luka.
  • Rajinkan diri dengan bertungku supaya dapat melancarkan darah beku sekaligus peredaran darah berjalan dengan lebih lancar. 
  • Elakkan membuat kerja atau mengangkat barang yang berat semasa berpantang contohnya kerusi, kotak, bakul baju anak dan lain-lain. 

Justeru, jika anda mengalami beberapa tanda tanda bentan seperti yang diterangkan di atas jangan berlengah lagi untuk terus ke hospital atau klinik berdekatan supaya dapat dipantau oleh doktor dan jururawat. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: ”Tak Reti Duduk Saja” Agak Mustahil Untuk Berpantang Penuh Bagi Wanita Yang Bekerjaya- Vivy Yusof

Baca juga: Doktor Kongsi Pengalaman Berpantang Cara Moden Yang Betul Agar Luka Bersalin Cepat Sembuh

Baca juga: Resepi Berpantang 44 Hari Yang Sedap & Mudah Dimasak Untuk Ibu Selepas Bersalin