(Video) 2 Beradik TERHUMBAN Jatuh Di Eskalator Bersama Stroller Ketika Ibu Leka Cuba Pakaian

(Video) 2 Beradik TERHUMBAN Jatuh Di Eskalator Bersama Stroller Ketika Ibu Leka Cuba Pakaian

Tangga bergerak atau eskalator sering menarik 'perhatian' anak kecil. Tanpa pengawasan orang dewasa, bila-bila masa sahaja ia boleh mengakibatkan kemalangan

Setiap pusat membeli-belah kini pastinya akan menyediakan kemudahan tangga bergerak. Bagi orang dewasa, ia amat mudah digunakan. Namun tidak bagi kanak-kanak.

Sering kali eskalator atau tangga bergerak ini menjadi tempat paling ditakuti oleh para ibu bapa. Manakan tidak, jika terlepas pandang sekelip mata sahaja akan terjadinya kejadian 'berdarah' atau maut!

Dua beradik terjatuh di tangga bergerak

tangga bergerak eskalator

Tidak dinafikan tempat membeli-belah memiliki pelbagai pilihan barangan dan keperluan. Ibu ayah membawa anak-anak juga akan menjadi sangat teruja sehingga ada yang berani melepaskan mereka bermain sendiri ketika ingin menyelesaikan proses jual beli.

Terbaharu, seorang kanak-kanak perempuan dan adik lelakinya yang berada dalam baby stroller telah dilaporkan terjatuh. Menerusi rakaman CCTV, mereka dilihat cuba menuruni tangga bergerak berkenaan di salah sebuah pusat beli-belah di negara Rusia.

Difahamkan ketika kejadian, ibu mereka sedang leka mencuba pakaian di butik berhampiran. Wanita berkenaan terdahulunya telah meminta anak perempuan bernama Mudina, baru berusia 6 tahun dan rakannya menunggu di luar seketika untuk menjaga adiknya, Mukhammadali berusia 1 tahun.

Bayi berkenaan ketika itu diletakkan dalam baby stroller. Disebabkan oleh kanak-kanak tidak begitu memahami permintaan ibunya, Mudina telah mengambil kesempatan ini untuk bermain dan melakukan 'eksperimen'.

Mereka cuba untuk menuruni eskalator berkenaan sebelum ia hilang keseimbangan dan terhumban jatuh ke bawah dengan adiknya.

Kejadian berkenaan telah disedari oleh seorang pekerja yang sedang merokok. Dia dengan segeranya berlari menyelamatkan dua beradik tersebut. Sementara itu, rakan Mudina telah berlari untuk memaklumkan kemalangan kepada dua beradik itu.

Disebabkan oleh kejadian tersebut, Mudina dan Mukhammadali telah mengalami luka pada bahagian kepala mereka. Adiknya juga telah hilang dua batang gigi, luka bahagian lidah serta dagu. Dia menerima rawatan di hospital berhampiran Botkin.

Manakala kakaknya telah dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Tips keselamatan bawa anak kecil ke pusat beli belah

Meskipun keadaan dalam pusat beli belah kelihatan sungguh menarik dengan pencahayaan dan suhu penghawa dingin, ia juga adalah tempat di mana boleh berlakunya pelbagai jenayah serta kemalangan.

Menurut Presiden Persatuan Perkhidmatan Keselamatan, Datuk Shaheen Mirza Habib, sikap ''acuh tidak acuh'' terhadap keselamatan mendorong berlakunya beberapa insiden yang tidak diingini.

bahaya eskalator foto: berita harian

''Saya melihat sendiri apabila berkunjung ke pusat membeli-belah. Ada sesetengah pengawal keselamatan tidak melakukan rondaan di tempat letak kereta dan ada juga jumlah CCTV tidak cukup,'' jelasnya.

Sehubungan dengan itu, sebagai ibu ayah anda hendaklah mempraktikkan beberapa langkah keselamatan diri dan anak-anak ketika berada di pusat beli belah menurut nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu:

#1. Selain memberikan perhatian yang khusus terhadap anak-anak yang berusia 3 hingga 4 tahun ketika bawa mereka keluar berjalan di pusat beli belah ini, ibu ayah juga hendaklah bijak dalam mengawal pergerakan mereka.

#2. Sentiasa mengingati pakaian yang dipakai oleh anak ketika hari kejadian untuk memberikan gambaran tepat bagi memudahkan gerakan mencari dijalankan sekiranya mereka tiba-tiba hilang.

#3. Jangan sesekali meletakkan kepercayaan bahawa anak kecil boleh mendengar arahan anda. Justeru, elak meninggalkan mereka seorang diri seperti ketika ingin memasuki tandas, membuat pembayaran atau mencuba pakaian di dalam fitting room.

tips keselamatan anak di mall foto: google

#4. Ibu ayah hendaklah membawa foto terkini anak untuk memudahkan proses pengecaman dan pencarian dalam masa yang singkat.

#5. Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, ibu ayah hendaklah mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan. Pakaikan topeng pelitup muka atau face shield, membawa hand sanitizer dan kerap mencuci tangan anak dengan betul.

#6. Elak bersembang dekat dengan sesiapa sahaja yang anda terserempak seperti jiran, kawan lama atau saudara-mara. Setelah pulang dari pusat beli-belah, terus buka pakaian dan masukkannya ke dalam mesin basuh. Anda dan anak-anak juga hendaklah terus membersihkan diri menggunakan sabun.

Sememangnya malang tidak berbau. Sebagai ibu bapa, anda memegang peranan besar untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini supaya ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

Sumber: Thereporter, Mstar, PDRM

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Artikel(Cerita)
app info
get app banner