Pernah tak ibu dengar doktor menasihati anda untuk bernafas dengan baik apabila tiba masa untuk bersalin kelak? Ini kerana teknik pernafasan bersalin yang betul boleh membantu ibu mengurangkan rasa sakit dan menghadapi proses bersalin dengan lebih tenang.
Teknik Pernafasan Semasa Bersalin
Apabila menghadapi situasi yang sangat tertekan atau menakutkan seperti bersalin, ia adalah normal untuk bernafas panik. Namun tubuh tidak boleh terus dalam keadaan ini kerana ibu akan kepenatan.
Bersalin merupakan proses yang agak panjang, jadi pengendalian pernafasan yang baik dapat membantu ibu menyimpan tenaga serta menghadapinya proses kontraksi dengan lebih baik. Ini cara yang boleh dilakukan mengikut tahap bersalin:
1. Teknik Pernafasan Perlahan
Apabila intensiti kontraksi meningkat dan kerap sehingga menyukarkan anda untuk bercakap, tandanya anda boleh memulakan teknik pernafasan perlahan. Amalkan teknik yang dikenali sebagai paced breathing techniques ini setiap hari, sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum tarikh bersalin.
Tarik nafas dalam dan hembuskannya. Salurkan tenaga dengan memfokuskan pada 1 tempat seperti dinding, siling atau lantai – bergantung kepada kedudukan anda. Bayangkan anda berada dalam fasa permulaan kontraksi, tarik nafas dalam untuk 5 hingga 10 kali selama 1 minit.
Semasa menyedut nafas, letakkan tangan di bawah perut dan tekan secara perlahan pada bahagian atas tulang rusuk. Ketika menghembus nafas, biarkan tangan melurut ke bawah. Untuk pengetahuan, mengurut rahim semasa kontraksi membantu mengurangkan rasa tidak selesa.
Kini bayangkan pula fasa kontraksi sudah berakhir dan anda boleh bernafas secara normal. Anda disarankan untuk mempraktikkan teknik pernafasan semasa bersalin ini dalam semua posisi asas – duduk di kerusi, berbaring atas bantal, baring mengiring dan berlutut.
2. Teknik Pernafasan Semasa Bersalin Yang Diubahsuai
Semasa berada di fasa aktif serviks melebar pernafasan mendalam dan perlahan mungkin tidak mampu untuk mengharungi kontraksi. Anda harus mengubah kepada pernafasan laju mengikut intensiti kontraksi. Dinamakan sebagai modified paced breathing, ia harus diamalkan sekitar 6 minggu sebelum beranak.
Tarik nafas mendalam secara tenang. Bayangkan anda berada pada fasa permulaan kontraksi dan mula dengan pernafasan perlahan. Percepatkan corak menyedut dan menghembus nafas apabila kontraksi meningkat gunakan pernafasan cepat dan ringan.
Secara am, kontraksi yang dialami akan memuncak selama 30 saat dan anda boleh kembali memperlahankan pernafasan selepas tempoh itu. Tidak ada tempoh masa tertentu untuk memulakan teknik pernafasan ini. Yang pasti anda akan bernafas 2x ganda daripada kadar normal.
Amat penting untuk memastikan pernafasan anda tetap teratur. Jika berasa pening, bermakna anda menyedut oksigen lebih banyak berbanding menghembusnya. Sekiranya anda berasa sesak nafas, bermaksud udara yang dihembus lebih banyak berbanding disedut.
Anda mungkin boleh mengamalkan urutan rahim seperti dalam teknik pertama di atas untuk membantu menghadapi kontraksi. Namun ada wanita yang berasakan ia memberikan sensasi tambahan yang berlebihan. Jika itu situasi yang dialami, mintalah pasangan untuk membantu mengurut bahagian paha atau belakang badan anda.
3. Bernafas Semasa Peralihan Dan Meneran
Teknik pernafasan semasa bersalin ini pula dapat membantu mengelakkan diri daripada meneran sebelum tiba waktunya. Anda akan mengalami tekanan tinggi pada bahagian rektum, seperti ingin membuang air besar dan memerlukan pernafasan khas untuk mengalihkan fokus kepada perkara lain.
Ini penting kerana jika meneran terlalu awal, mungkin berlaku pembengkakan atau koyakan pada serviks. Bayangkan kontraksi sudah bermula dan anda perlu menarik nafas sedalamnya seterusnya bernafas pantas seperti selepas melakukan senaman.
Kemudian apabila tiba rasa untuk meneran, hembuskan nafas dengan membayangkan seperti anda sedang meniup lilin. Bentuk mulut seperti ‘O’ dan hembuskan nafas berulang kali Ulangi teknik ini beberapa kali apabila terasa ingin meneran. Menghembus nafas ke udara menyukarkan anda untuk meneran pada bahagian faraj.
Apabila tiba masa untuk meneran, gunakan seluruh tubuh untuk menahan kontraksi rahim. Tarik nafas secara mendalam. Tahan dengan sekuat tenaga, secara perlahan hembuskan nafas, mengerang seperti sedang mengetatkan otot abdomen dan berikan lebih banyak tekanan pada bahagian diafragma.
Jangan meneran atau menahan antara kontraksi. Sebaliknya gunakan peluang untuk berehat dan mengumpul tenaga sebelum kembali meneran. Amalkan teknik ini dalam pelbagai posisi bersalin bagi membolehkan anda memilih kedudukan yang selesa.
Tips Elak Koyak Ketika Bersalin
Bersalin adalah pengalaman yang sangat mendebarkan, dan salah satu kebimbangan yang sering dihadapi oleh ibu-ibu adalah kemungkinan untuk mengalami koyakan semasa melahirkan. Namun, jangan risau! Dengan beberapa langkah yang betul dan teknik pernafasan bersalin boleh mengurangkan risiko koyakan dan memastikan proses kelahiran berjalan lancar.
Jom kita tengok beberapa tips untuk elak koyak semasa bersalin!
1. Rutin Senaman Kegel
Senaman Kegel adalah latihan yang sangat baik untuk menguatkan otot-otot pelvik. Dengan otot pelvik yang kuat, anda lebih mampu mengawal perut dan kawasan intim ketika proses bersalin.
Senaman Kegel juga boleh membantu mengurangkan tekanan pada perineum (kawasan antara faraj dan dubur) yang dapat mengurangkan risiko koyakan. Jadi, mulakan latihan Kegel sejak awal kehamilan dan lakukan secara konsisten!
2. Peregangan dan Urutan Perineum
Urutan perineum adalah teknik yang boleh dilakukan oleh ibu hamil sekitar minggu ke-34 kehamilan. Teknik ini melibatkan urutan lembut pada kawasan perineum untuk meningkatkan keanjalan kulit dan tisu-tisu di sekitar kawasan tersebut.
Dengan perineum yang lebih elastik, risiko koyakan semasa bersalin dapat dikurangkan. Anda boleh berbincang dengan doktor atau bidan untuk teknik yang betul dan bila masa yang sesuai.
3. Pilihan Posisi Semasa Bersalin
Posisi semasa bersalin memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan pada perineum. Posisi berdiri, duduk, atau berbaring dengan sokongan boleh memberi lebih ruang dan mengurangkan risiko koyakan. Minta bantuan doktor atau bidan untuk memilih posisi yang sesuai untuk anda berdasarkan keadaan semasa bersalin.
4. Pernafasan yang Betul
Pernafasan yang betul semasa proses bersalin adalah sangat penting. Teknik pernafasan yang dalam dan teratur boleh membantu anda untuk tetap tenang, mengurangkan ketegangan otot, dan memberikan lebih kawalan semasa melahirkan.
Jangan lupa untuk menghembuskan nafas secara perlahan dan mengelakkan memaksa terlalu kuat. Pernafasan yang tenang boleh membantu mengurangkan tekanan pada kawasan perineum dan mengelakkan koyakan.
5. Menggunakan Teknik Relaksasi
Teknik relaksasi seperti meditasi atau visualisasi boleh membantu ibu untuk mengurangkan stres dan ketegangan semasa proses bersalin. Semakin tenang dan relaks tubuh badan anda, semakin kuranglah risiko koyakan. Teknik ini juga membantu dalam memastikan otot-otot perineum tidak terlalu tegang semasa melahirkan.
6. Berkonsultasi Dengan Doktor atau Bidan
Setiap kehamilan dan proses kelahiran adalah unik. Oleh itu, penting untuk berbincang dengan doktor atau bidan anda tentang apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko koyakan. Mereka boleh memberi nasihat yang lebih spesifik berdasarkan keperluan dan keadaan kesihatan anda.
7. Menggunakan Tekanan Hangat
Menggunakan kompres hangat pada kawasan perineum semasa proses kelahiran juga boleh membantu mengurangkan tekanan dan membantu tisu perineum menjadi lebih elastik. Kompres hangat memberi kesan relaksasi yang membantu dalam mengurangkan ketegangan otot dan mengelakkan koyakan.
Pentingnya Teknik Pernafasan Semasa Bersalin
Apabila ibu dalam keadaan tegang dan ketakutan, pernafasan menjadi pendek dan cepat. Bahu seolah-olah ditarik ke arah telinga, otot-otot leher dan bahu pula rasa ketat dan tegar. Sekiranya ibu semakin panik, ibu akan mula bernafas menarik udara ke dalam paru-paru, dan bernafas dengan pendek dan tajam.
Pernafasan panik memotong jumlah oksigen yang boleh digunakan oleh tubuh anda untuk diri sendiri dan bayi. Di sinilah, teknik pernafasan bersalin berirama boleh membantu ibu dan memberi perbezaan besar dalam proses kelahiran bayi. Semoga ibu-ibu selamat bersalin dan dipermudah urusan bersalin.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!