Perkembangan Bayi 3 Bulan: Dah Pandai Bergolek & Mula Ketawa!

lead image

Perkembangan bayi 3 bulan amat penting untuk ibu perhatikan, ketika inilah anak mula meneroka dan memberikan respon pada perkara di sekeliling

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Begitu pantas masa berlalu, rasa macam baru semalam selamat bersalin dan mengambil gambar baby baru lahir. Kini anak sudah masuk 3 bulan. Bagi ibu ayah baharu, anda pastinya ingin mengetahui perkembangan bayi 3 bulan agar selari dengan yang digariskan oleh pihak kesihatan, kan?

Di usia 3 bulan, bayi sudah mula boleh memberi tindak balas dan meneroka dunianya sendiri. Ia pastinya akan membuat ibu dan ayah semakin seronok melihat keletahnya. 

Sebelum kami menjelaskan lebih lanjut, tahukah anda apabila si manja sudah mencapai usia 3 bulan, mereka tidak lagi dipanggil sebagai “bayi baru lahir” sebaliknya akan dikenali sebagai “bayi” sahaja.

Perkembangan Bayi 3 Bulan, Si Manja Mula Beri Tindak Balas Apabila Ibu Ayah Mengagah

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 28 hari pertama untuk kehidupan bayi baru lahir adalah amat penting.

Ketika ini, si manja memiliki risiko tinggi untuk tidak dapat meneruskan hidup disebabkan oleh pelbagai punca kesihatan.

Akan tetapi, lihatlah perkembangan bayi anda sekarang! Dia sudah mencapai tahap seterusnya dan semakin membesar dengan sihat. Jom kita lihat apa bayi 3 bulan boleh buat.

Perkembangan Fizikal Baby 3 Bulan

#1. Kekuatan bahagian atas badan

Bayi 3 bulan akan ada kekuatan di otot leher. Sebab itu ketika tummy time, atau ketika anda meletakkannya secara meniarap, dia sudah mampu mengangkat kepala, dada dan tangannya.

#2. Kekuatan bahagian bawah badan

Apabila anda membiarkan baby meniarap, anda akan nampak si manja sudah mampu merenggangkan kaki, malah menendang-nendang. 

Ini kerana bayi 3 bulan sudah ada kekuatan di bahagian bawah badan.

#3. Kekuatan leher

Leher bayi anda semakin kuat sekarang. Sebab itu bila anda mendukungnya secara menegak, kepala bayi itu tidak lagi “lembik” seakan-akan ingin jatuh.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

#4. Keupayaan tangan dan mata

Si kecil ini sekarang juga sudah bijak membuka dan menutup genggaman tangannya.

Malah, dia juga mampu memegang tangan sendiri. Baby 3 bulan juga akan mudah tertarik pada barang permainan kanak kanak yang berwarna cerah. 

Jika anda letak sebarang mainan baby berwarna kuning atau oren di hadapannya, pasti dia ingin mencapai dengan tangan!

#5. Dari tangan ke mulut

Si kecil anda juga mampu untuk mencapai sebarang mainan baby dalam tangan dan memasukkannya ke dalam mulut.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Jadi, anda perlu lebih berhati-hati sekarang. Pertimbangkan jenis permainan kanak kanak yang selamat berdasarkan umurnya. Jangan beri permainan yang ada komponen kecil kerana takut bayi akan tertelan lalu tercekik.

#6. Bergolek

Apabila masuk usia 3 bulan, bayi anda itu akan mampu bergolek jika anda menidurkannya secara terlentang.

Ibu kena lebih berhati-hatilah ketika menukar lampin lepas ini!

Perkembangan Baby 3 Bulan: Perkembangan Sensori

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

#1. Sentuhan

Ketika ini, perkembangan bayi 3 bulan akan lebih peka dan cuba untuk faham tentang benda-benda di sekelilingnya.  Dia lebih tertarik untuk menyentuh dan merasai semua benda.

#2. Pendengaran

Ini yang paling seronok! Pada usia 3 bulan, anda akan perasan yang si manja ini akan memaling kepalanya dan tersenyum jika dia dengar suara anda.

Awww…. anak mummy sangat, kan?

Malah, dia juga mampu menunjukkan minat dalam lagu-lagu yang anda pasang! Lepas ini bolehlah anda kongsi lagu-lagu yang anda dengar padanya.

#3. Penglihatan

Jika anda memandang bayi, si manja akan mengekalkan eye contact dengan anda. Malah, dia juga akan melihat dirinya sendiri dengan penuh rasa ingin tahu jika anda meletakkannya di depan cermin.

Perkembangan Bayi 3 Bulan: Perkembangan Kognitif

#1. Ramah

Dengan connection yang dibina dalam mindanya, si kecil ini juga akan semakin ramah. 

Malah, dia juga akan cepat kagum dan tertanya-tanya apabila melihat bayi-bayi lain yang ada di sekelilingnya, atau melihat muka sendiri di cermin.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

#2. Faham punca dan kesan

Apabila bayi 3 bulan melihat barang permainan menarik dan tiba-tiba ia bergerak, dia akan mula memahami asas “punca dan kesan” pada permainan tersebut.

Ketika ini, otak si manja akan melakukan berjuta-juta hubungan sejajar dengan kemahiran yang dia baru pelajari.

#3. Mengikut objek yang bergerak

Mata si manja akan semakin berfungsi dan bergerak sekali. Bayi akan belajar untuk memberi fokus, terutamanya pada objek yang bergerak.

Ketika ini, jika anda menggerakkan sebarang permainan (atau tangan anda!) yang ada di depan matanya, pasti dia akan mengikut objek itu. 

#4. Senyum pada orang lain

Kalau dulu si kecil itu hanya mengukir senyuman pada anda dan pasangan, kini tak lagi. 

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Dia akan semakin ramah dan lebih bijak mengukir senyuman pada sesiapa yang tersenyum padanya dulu.

#5. Memahami emosi

Pada umur 3 bulan, bayi anda akan cuba untuk memahami emosi dan bagaimana ingin berkomunikasi.

Biasanya, dia akan melihat apa yang anda cakap dan menanti-nanti ekspresi muka anda.

Perkembangan Pertuturan & Bahasa

#1. Komunikasi

Ketika ini, menangis bukan satu-satunya cara bayi ingin “bercakap” dengan anda. Sebaliknya, bayi yang berusia 3 bulan sudah mampu untuk mengekspresikan dirinya dalam cara lain seperti menyebut bunyi vowel seperti “oh”, “ooh”, dan “ah”.

#2. Bahasa bayi

Lebih banyak anda meluangkan masa untuk bercakap dengan si kecil ini, lebih cepat dia akan membina dan menyebut bunyi-bunyian tertentu.

Malah, bayi anda juga boleh memberi isyarat tangan yang tersendiri ketika cuba nak bercakap dengan anda!

Jenis Permainan Baby 3 Bulan

Anda kena mula berinteraksi dengan si manja. Lagi kerap anda berinteraksi dengan mereka, lagi kukuh ikatan antara kalian dan anda juga sebenarnya sedang menggalakkan lagi kemahiran tumbesaran mereka.

Mari cuba aktiviti dan permainan ini yang mampu merangsang bayi yang berusia 3 bulan:

#1. Membaca atau bercerita

Si kecil itu mungkin masih tidak faham dengan semua perkataan yang anda sebut atau bacakan padanya. 

Tapi, jika anda kerap membaca pada dia, tanpa mengira berapa umurnya, ini akan membantu dia untuk memahami bunyi, perkataan dan bahasa yang berbeza.

Malah, dari situ juga anda sebenarnya sedang memupuk rasa cinta akan buku. Lepas ini, pasti si manja anda itu gemar membaca buku.

  • Apa yang anda perlukan: buku bayi dengan gambar yang terang
  • Perkembangan kemahiran yang akan dibentuk: perkembangan penglihatan, bahasa dan pertuturan

#2. Cuba capai dan ambil

Oleh sebab dia sudah ada kekuatan otot leher, mampu mengawal pergerakan kepala dan kurang memerlukan sokongan, dia pasti akan menggemari permainan “mencapai” dan mengambil barang permainan.

Ketika itu juga dia akan belajar tentang dunia di sekelilingnya. Cuba anda beri permainan bayi dengan warna yang terang padanya. Pasti dia cuba untuk mencapai dan mengambil permainan itu.

Malah, mungkin juga dia akan sengaja mencapai dan mengambil permainan itu untuk dimasukkan ke dalam mulutnya! Anak bijak ini!

  • Apa yang anda perlukan: permainan bayi dengan warna terang dan sesuai untuk umurnya
  • Perkembangan kemahiran yang akan dibentuk: perkembangan motor dan koordinasi antara mata-tangan

#3. Menghidu bau bunga

Ketika berusia 3 bulan, mereka akan lebih peka tentang sekeliling. Mereka boleh menggunakan deria bau untuk membezakan orang.

Jadi, jom cuba aktiviti menghidu bau bunga dengan si manja anda! Bukan setakat bunga saja, anda juga boleh beri mereka bau biskut dan rempah.

  • Apa yang anda perlukan: bunga, rempah ratus, biskut dan benda lain yang berbau harum
  • Perkembangan kemahiran yang akan dibentuk: perkembangan bau

#4. Pegang dengan bebas

Kini, deria sentuh si manja anda itu sedang membangun. Dia akan terhibur meneroka sekeliling dengan cara menyentuh dan merasai semua benda melalui tangan dan jarinya.

Jadi, jom sediakan pelbagai benda untuk dia sentuh. Contohnya anda boleh beri kain sutera, kain kapas, tekstur kulit dan sebagainya.

Tips Mengurus & Menjaga Baby 3 Bulan 

Mana-mana anda pergi, mesti ada orang yang selalu ingin beri tips berguna untuk bayi anda, kan?

Jangan cepat rasa tertekan dengan segala maklumat dan tips ini. Mari kita tengok tips mana yang benar-benar membantu anda:

#1. Tumbesaran anak

Anda akan perasan yang si kecil itu semakin tinggi dan kurus. Ini bukan sebab dia tidak cukup makan nutrisi.

Hal ini kerana dia telah mencapai tumbesaran pertama di mana tulang dan otot semakin membesar.

#2. Tidur sepanjang malam

Biasanya, bayi yang sudah berusia 3 bulan akan tidur sepanjang malam. Tapi ada juga yang tak berjaya dalam menetapkan waktu tidur bayi 0-3 bulan.

Anda pasti penat apabila perlu berjaga malam sehingga ada sesetengah ibu ayah membiarkan si manja menangis agar mereka tertidur dengan sendiri. Sebenarnya, ia cara yang salah!

Ikuti saja apa naluri keibubapaan anda rasa, namun elakkan bayi tidur meniarap kerana ia boleh mendatangkan risiko kematian mengejut atau SIDS.

#3. Jangan beri makanan pejal lagi!

Pasti ada makcik-makcik sibuk yang menasihatkan anda untuk beri si manja makanan pepejal kerana dia terliur, kan?

Sebenarnya, lebih baik anda buat tidak tahu saja dengan nasihat ini. Kajian mendedahkan bayi yang berusia 3 bulan tidak sepatutnya makan sebarang makanan pepejal lagi.

Ini kerana sistem pencernaan bayi masih belum matang, maka si manja tidak boleh memproses makanan.

Anda boleh memberi makanan pejal apabila mereka sudah mencapai usia 6 bulan.

Bila Ibu Ayah Patut Risau?

Walaupun perkembangan bayi mengikut bulan adalah berbeza, namun anda harus lebih peka tentang keupayaan dan kemampuan bayi.

Jika si manja tidak boleh buat semua ini, sudah tiba masanya anda membawanya berjumpa doktor untuk pemeriksaan:

  • Tidak beri respon dengan bunyi yang kuat (seperti pintu terhempas atau bunyi hon)
  • Tidak perasan tangan dia sendiri
  • Tidak senyum apabila mendengar suara anda
  • Tidak mengikut objek yang bergerak dengan matanya
  • Tidak mencapai dan memegang objek
  • Tidak mahu senyum
  • Tidak bercakap bahasa bayi atau meniru bunyi yang dia dengar
  • Tidak memasukkan objek dalam mulut
  • Sukar menggerakkan satu mata atau kedua-dua mata dalam arah tertentu

Walaupun perkembangan bayi mengikut bulan bukanlah satu pertandingan, tapi ada milestones tertentu yang harus dicapai oleh bayi 3 bulan.

Jika anda risau dengan perkembangan mereka, cepat-cepat berjumpa dengan doktor, ya! Semoga bermanfaat.

  1. What to Expect (Dec 22, 2020) 3-Month-Old Baby. www.whattoexpect.com/first-year/month-by-month/month-3.aspx

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Cara Menetapkan Waktu Tidur Bayi Yang Baru Lahir Hingga 3 Bulan, Ibu Ayah Sila Take Note!

Baca juga: Bahaya Guna Botol Susu Bayi Lebih 3 Bulan, Kandungan BPA Menjejaskan Otak Si Manja

Baca juga: 4 Tanda Kulat Susu Pada Bayi, Ini Cara Anda Hilangkannya Dengan Mudah & Selamat

Penulis

Ayu Idris