Bagi yang baru memiliki bayi, pasti anda perasan di tengah-tengah kepada si kecil ada bahagian yang lembut. Bagi yang tertanya-tanya, kawasan itu dipanggil ubun ubun bayi atau dalam bahasa saintifiknya Fontanel.
Ubun kepala adalah sangat rapuh dan lembut, maka ia boleh menjadi sangat sensitif dan ibu ayah harus lebih berhati-hati semasa menyentuhnya.
Malah, bahagian itu kadang-kadang menjadi kebimbangan sesetengah orang tua dan tiada siapa dibenarkan untuk menyentuhnya.
Apakah Ubun Ubun Bayi?
Apa itu ubun ubun bayi yang perlu anda fahami? Fontanel atau ubun- ubun adalah celah lembut antara tengkorak bayi. Dalam kata lain, ia merupakan lubang tengkorak bayi yang mana tulang belum tumbuh sepenuhnya.
Meskipun ia mungkin nampak seperti kawasan kepala bayi yang belum berkembang, namun ia merupakan satu bahagian penting dalam perkembangan bayi yang normal.
Untuk makluman ibu ayah, ia memainkan dua peranan penting untuk bayi anda iaitu:
- Kelahiran: Tengkorak yang lembut dan tidak bercantum sepenuhnya akan membolehkan kepala bayi anda lebih fleksibel dan dapat melalui saluran kelahiran yang sempit dengan lebih mudah, tanpa menjejaskan otak mereka.
- Pertumbuhan: Secara amnya, kepala bayi akan membesar lebih cepat dalam tempoh dua tahun pertama selepas dilahirkan. Jadi, ruang antara tulang tengkorak itu akan meninggalkan ruang yang diperlukan bagi perkembangan otak ketika fasa ini.
Jenis Ubun Ubun Bayi
Ubun atau fontanel merupakan celahan lembut pada bahagian tengkorak bayi yang terbahagi dengan dua bahagian iaitu Fontanel Anterior atau Fontanel Posterior.
#1. Fontanel Anterior
Ia merupakan ubun-ubun yang terletak di bahagian atas kepala berdekatan dahi bayi. Saiznya lebih besar dan mudah untuk dilihat serta dirasa dan berbentuk segi tiga. Ubun ini tidak akan tertutup dengan sempurna sehingga bayi mencecah usia 18 bulan.
#2. Fontanel Posterior
Fontanel Posterior pula berada pada bahagian belakang kepala bayi. Juga berbentuk segi tiga, ubun ini adalah lebih kecil berbanding fontanel anterior.
Selain itu, ia juga lebih sukar untuk dirasakan oleh ibu ayah dan biasanya akan tertutup sendiri apabila bayi mula mencecah usia 6 minggu.
Mengapa Bayi Memiliki Ubun Ubun?
Setiap yang ada pada anggota badan manusia diwujudkan bersebab, dan ia termasuklah ubun bayi.
Ubun bayi boleh membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Seperti yang anda tahu, kepala bayi merupakan bahagian yang paling besar dalam anggota badan bayi.
Tengkorak yang lembut dan tidak bercantum sepenuhnya akan membolehkan kepala bayi lebih mudah melalui saluran kelahiran yang sempit tanpa menjejaskan otak mereka.
Ia juga boleh membantu memberi ruang untuk otak si kecil berkembang. Berdasarkan kajian, perkembangan otak bayi akan lebih pesat berlaku ketika usia dua tahun pertama mereka.
Jadi, penting untuk ibu ayah membekalkan nutrisi yang secukupnya kepada bayi agar otak bayi dapat berkembang dengan baik dan sepenuhnya.
Selain itu, percaya atau tidak bahawa ubun kepala bayi boleh menjadi indikator atau petunjuk tentang tahap kesihatan anak anda.
Contohnya, jika bahagian tersebut mendap, maka bayi anda mungkin sedang mengalami dehidrasi. Manakala jika kembung pula, bayi anda mungkin sedang menghidapi meningitis. Bagaimanapun, jangan terlalu bergantung kepada indikator ini. Sebaiknya, bertemulah doktor untuk dapatkan kepastian.
Bilakah Ubun Ubun Akan Tertutup?
Selepas dilahirkan, tulang bayi belum bersambung antara satu sama lain malah fontanel juga hanya dilindungi oleh membran atau selaput.
Walaupun lembut, namun selaput yang mengelilinginya adalah sangat kuat dan dapat hindari risiko kepala atau otak dari tercedera. Biasanya, bila bayi mencapai usia tertentu, maka ubun ubun kepala akan menutup dengan sendirinya secara semula jadi.
Fontanel anterior (ubun-ubun di atas kepala) mengambil masa kira-kira 18 bulan manakala fontanel pasterior (ubun ubun belakang kepala) tertutup lebih cepat iaitu semasa umur bayi satu atau dua bulan.
Cara Menjaga Ubun Ubun Bayi
Penjagaan fontanel bayi sebenarnya tidak rumit, namun perhatian rapi tetap perlu diberikan. Meskipun ia lembut, namun ibu ayah tidak perlu takut untuk menyentuhnya, asalkan berhati-hati.
Untuk makluman ibu ayah, si kecil anda tidak akan terasa sakit meskipun anda menyentuhnya. Malah ia mungkin boleh menjadi petanda kasih sayang di antara anda dengan bayi.
Berikut merupakan beberapa cara untuk anda menjaga ubun kepala bayi anda:
- Pastikan ia kelihatan rata pada kepala mereka dan bukannya seperti bengkak, membonjol atau tenggelam ke dalam tengkorak bayi
- Sentuh ubun dengan lembut
- Basuh rambut dan kulit kepala mereka
- Sikat rambut bayi anda menggunakan berus bayi
- Jangan tekan atau picit
Ubun Ubun Bayi Tenggelam
Seperti yang anda tahu walaupun ia indikator terbaik untuk menunjukkan bayi dehidrasi sekiranya ia melekuk ke dalam. Ia juga boleh menjadi sesuatu yang normal.
Ubun ubun bayi akan melekuk sedikit kedalam apabila dia duduk atau didukung menegak, namun akan kembali normal dan rata apabila baring. Ia adalah keadaan yang normal. Jadi tidak perlu bimbang yang ibu-ibu.
Namun sekiranya bayi cirit birit, dan pada masa yang sama muntah-muntah dan terjadinya ubun ubun berlekuk, maka ia mungkin petanda bayi mengalami dehidrasi, iaitu kekurangan air di dalam badan.
Biasanya doktor akan menyarankan ibu ayah untuk memberi air garam kepada bayi, dalam masa yang sama kerap memberikan bayi susu. Jika masih menyusu badan, kerap berikan bayi susu badan sebanyak yang mungkin.
Selain ubu ubun bayi tenggelam, antara simpton lain bayi mengalami dehidrasi adalah sekiranya bayi kerap menangis tapi tidak keluar air mata, tidak mahu susu dan terlebih meragam.
Adakah Normal Ubun Ubun Bayi Berdenyut?
Adalah normal jika ubun bayi berdenyut dan ia seiring dengan degupan jantung bayi kerana adanya pembuluh darah yang berdenyut atas kepala si kecil. Namun setelah ia menutup sendiri, denyutan itu tidak akan dirasai lagi.
Bila Perlu Risau?
Keadaan kepala bayi adalah berbeza-beza antara satu sama lain, namun ada beberapa hal yang boleh diperhatikan. Keadaan fontanel bayi anda mungkin boleh menjadi petunjuk penyakit tertentu seperti berikut:
- Membonjol – Fontanel yang membonjol mungkin bermakna terdapat pengumpulan cecair atau bengkak di dalam otak.
- Sangat besar – Biasanya fontanel bayi tertutup sebelum usia bayi anda mencapai usia 18 bulan. Jika ia tidak ditutup dalam masa yang dijangkakan, ia mungkin boleh menjadi petanda keadaan perubatan tertentu seperti hipotiroidisme, sindrom down, atau riket.
- Mengembung – Fontanel yang mengembung kemungkinan adanya tekanan dalam tengkorak kepala.
- Tutup terlalu awal – Walaupun jarang, namun ada juga kes di mana fortanel bayi tertutup lebih awal. Ia mungkin boleh menjadi tekanan terkumpul di dalam tengkorak bayi. Selain itu, ia juga mungkin boleh menyebabkan pembentukan kepala atau wajah yang abnormal.
- Cekung/tenggelam – Ubun ubun bayi cekung menjadi petanda dehidrasi atau kekurangan gizi. Contohnya jika bayi alami cirit-birit. Dan jika bayi tampak lemah dan tidak aktif serta tidak mahu minum susu, segeralah bawa berjumpa doktor.
Adalah sangat penting untuk anda perhatikan ubun kepala anak. Jika terdapat sebarang yang mencurigakan segera berjumpa doktor. Semoga artikel ini bermanfaat untuk semua!
Artikel ini mendapat keizinan daripada theAsianparent Indonesia untuk diterjemahkan.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Mitos Jaga Bayi Yang Selalu Parents Percaya & Terbukti SALAH Oleh Doktor
Baca juga: Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!
Baca juga: Jangan Makan 10 Benda Ini Jika Anda Sedang Beri Susu Badan Pada Si Manja
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!