Apabila tiba musim durian, pasti para peminat raja buah ini berasa cukup teruja. Tambahan lagi apabila ibu ada geng makan bersama, namun bagaimana pula jika beri durian untuk bayi?
Ketika menikmati durian, anda mungkin berasa ingin suapkan sedikit kepada si kecil. Tetapi rasa was-was pula, takut akan badan jadi panas. Ya lah, dari tadi dia tengok saja, siap meminta-minta lagi.
Durian untuk bayi, adakah ia selamat?
Satu ketika dulu pernah viral satu video di laman sosial mengenai seorang bayi yang ralit memakan durian. Malah pandai pula dia mengambil terus daripada kulit durian itu untuk dimakan.
Walaupun video itu cukup menghiburkan namun ia tetap menimbulkan tanda tanya sama ada adakah durian untuk bayi adalah selamat diberikan?
Bukankah kandungan durian yang tinggi dengan gas juga boleh mengakibatkan kepanasan tidak elok untuk bayi kecil?
Kalau anda hendak tahu, durian merupakan buah yang kaya dengan zat dan nutrisi. Ia mengandungi khasiat seperti protein, kalsium, zat besi, magnesium, zink dan fosforus. Tetapi buah durian juga sangat berkanji dan tinggi kandungan gula.
Malah ia boleh menyebabkan panas badan jika diambil secara berlebihan.
Disebabkan itulah, ibu ayahtidak digalakkan untuk memberinya kepada bayi yang berusia dua tahun dan ke bawah. Kandungan gula yang tinggi itu mungkin akan membuatkan anak anda terlampau aktif selepas memakannya (sugar rush).
Rasa panas akibat makan durian berlebihan akan menyebabkan anak kecil anda rasa tidak selesa. Orang dewasa pun ada yang tidak boleh tahan rasa panas makan durian walaupun seulas, inikan pula kanak-kanak yang belum cukup matang perutnya!
Perut bayi sememangnya lebih sensitif, ia boleh terganggu jika makan durian secara berlebihan. Ha… macam mana? Sudah dapat jawapan anda, kan?
Bagaimana pula dengan ibu hamil, bolehkah makan durian?
Hal ini kerana sesetengah kaum di Asia masih mengekalkan pantang larang untuk tidak makan durian ketika hamil. Contohnya seperti Orang kaum Cina yang melarang wanita makan durian ketika hamil kerana buah ini bersifat panas.
Namun begitu, tiada lagi kajian saintifik yang dibuat untuk mengkaji sama ada durian selamat atau tidak untuk dimakan ketika berbadan dua.
Malah tiada sebarang bukti bagi menyatakan durian boleh menyebabkan tekanan darah tinggi atau ruam lampin pada bayi baru lahir.
Kelebihan dan keburukan makan durian ketika hamil
Namun begitu, jika ibu ‘teringin’ nak makan durian ketika hamil, ibu haruslah ambil dalam jumlah yang sederhana saja kerana buah ini mengandungi kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi.
Dua ulas durian bersaiz sederhana pun mengandungi 60 kalori, kalau yang lagi besar dan isi lebat, berapa agaknya kalori yang terkandung? Sebab itu, ibu hamil perlu mengehadkan pengambilan makan durian ketika hamil.
Bagi wanita hamil yang menghidap kencing manis atau diabetes gestasi, anda perlu mengelak makan durian ini kerana kandungan gulanya tinggi.
Durian juga menghasilkan gas yang banyak dalam usus dan perut hingga ia menyebabkan ibu hamil kembung perut atau loya.
Akan tetapi, beberapa kajian yang dilakukan juga menunjukan manfaat buah durian iaitu mengandungi organo sulfur dan triptofan. Bahan-bahan berkenaan mempunyai antioksidan yang baik.
Selain itu, durian juga mengandungi unsur anti mikrobial, anti bakteria dan anti fungus yang bagus untuk wanita hamil.
Tips ketika menikmati buah durian
- Jangan terlalu gelojoh makan durian, dikhuatiri tercekik biji.
- Jika rasa loya, pening dan muntah, sila berhenti itu tanda badan tak selesa nak terima makanan itu.
- Pastikan anda mengambil durian dalam kuantiti yang sedikit tapi jangan terlalu kerap. Memadai dua minggu sekali, cukup.
- Selepas makan durian, selangi dengan minum air kosong
Sumber: The Asian Parent Singapore, Byparenting.com
Kredit foto: Google Images
Baca juga: Terlalu Makan Banyak Buah Durian Hingga Keguguran, Wanita Ini Luah Rasa Menyesal
Baca juga: Durian Sebenarnya Antara Milk Booster Yang Bagus Untuk Ibu Menyusu, Ini 5 Sebabnya!
Baca juga: Resepi Serawa Durian Pekat & Berkrim, Sedapnya Makan Bersama Keluarga