Risau Bayi Kerap Terjaga Malam? Ini 5 Cara Untuk Buatkan Si Manja Anda Tidur Lena!

undefined

Waktu tidur bayi baru lahir memang tidak menentu, ibu ayah boleh cuba mandikan bayi dengan air suam untuk melatih bayi tidur malam.

Waktu tidur bayi terutama untuk bayi baru lahir memang kadang kala membuatkan ibu ayah pening kepala. Waktu tidur bayi seperti ini biasanya akan lebih banyak pada waktu siang.

Apabila malam, mereka ibarat burung hantu yang amat segar matanya malah mengajak orang lain untuk bermain bersamanya. Jika itu boleh lagi diterima, tetapi jika bayi menangis, itu yang tidak senang duduk dibuatnya.

Sudah pasti tidur si ayah dan ibu yang sedang berpantang akan terganggu dengan kehadiran orang baharu yang masih belum seragam waktu tidurnya.

Waktu Tidur Bayi Biasanya Berapa Jam?

waktu tidur bayi, waktu tidur bayi 0-3 bulan, baby tidur, tidur, cara senang tidur, jumlah jam tidur sehari,terjaga tengah malam

Jika kita mahu anak yang berdisiplin, kita mesti ajar anak-anak rutin sejak usia masih bayi lagi supaya ini menjadi kebiasaan kepada mereka.

Secara amnya, bayi yang baru lahir tidur sebanyak kira-kira 8 hingga 9 jam pada waktu siang dan kira-kira 8 jam pada waktu malam.

Tetapi kerana mereka mempunyai perut kecil, mereka mesti bangun setiap beberapa jam untuk minum susu. Kebanyakan bayi tidak tidur sepanjang malam (6 hingga 8 jam) sehingga sekurang-kurangnya umur mereka tiga bulan. Tetapi ini boleh berbeza-beza pada bayi yang lain.

Sesetengah bayi masih terjaga tengah malam sehingga umurnya hampir 1 tahun. Dalam kebanyakan kes, bayi anda akan bangun dan bersedia untuk minum sekurang-kurangnya setiap 3 jam. 

Perhatikan perubahan dalam corak tidur bayi anda. Jika bayi anda telah tidur secara konsisten, dan tiba-tiba lebih kerap terjaga, mungkin terdapat masalah. Atau bayi anda mungkin mengalami percepatan pertumbuhan (growth spurt) dan perlu minum susu lebih kerap.

Sesetengah gangguan tidur hanya disebabkan oleh perubahan dalam perkembangan atau kerana rangsangan yang berlebihan.

Waktu Tidur Bayi 0-3 Bulan

Menangis adalah cara bayi berkomunikasi dengan anda. Dalam tiga bulan pertama, bayi yang baru lahir sering menangis kerana mereka memerlukan bantuan anda untuk minum susu, menukar lampin dan sebagainya supaya mereka boleh tidur semula dengan nyenyak.

Walaupun mereka nampaknya menghabiskan banyak masa untuk tidur (biasanya jumlah masa tidur sehari adalah 12 hingga 16 jam), mereka tidak mempunyai waktu tidur tetap seperti kita yang sudah dewasa.

Tiga bulan pertama ini adalah masa yang penting untuk anda dan bayi anda mula belajar dan memahami antara satu sama lain.

Kadangkala bayi yang baru lahir menangis tanpa sebab yang jelas, walaupun anda telah membantu menenangkan mereka. Ini adalah perkara biasa. Selagi bayi anda membesar, berat badan bertambah dan gembira pada masa lain ia sebenarnya normal untuk mereka berjaga malam dan bayi tidur tidak menentu.

Tips Bayi Tidur Malam dengan Nyenyak

waktu tidur bayi, waktu tidur bayi 0-3 bulan, baby tidur, tidur, cara senang tidur, jumlah jam tidur sehari,terjaga tengah malam

Jadi bagaimana cara untuk melatih bayi baru lahir tidur pada waktu malam supaya ibunya boleh bekerja selepas habis pantang? Adakah cara yang mudah untuk melatih bayi tidur malam yang boleh anda praktikkan?

Bagaimana untuk anda pastikan yang bayi anda tidak buat perangai pada waktu malam jadi anda pun tidak kelam-kabut di waktu pagi kerana tidak cukup tidur.

Kami kongsikan tips ini yang mungkin akan membantu ibu ayah di luar sana dalam melatih tidur bayi mereka. 

#1. Bayi perlu tahu gelap=malam, cerah=siang

Bila bayi baru dilahirkan, dia tahu perbezaannya cerah dan gelap. Yang ini dia faham. Jangan sangka bayi yang baru lahir tidak boleh diajar dan dilatih. Sebenarnya baby yang baru lahir itu lebih cerdik daripada apa anda sangka dan boleh belajar dengan cepat.

Pertama sekali, bayi mesti belajar gelap itu waktu malam, cerah itu waktu siang sebelum dia boleh dilatih apakah rutin waktu malam dan apakah rutin waktu siang.

Jangan kelirukan bayi, maka janganlah buka lampu cerah-cerah pada waktu malam, nanti dia pun tak tahu itu waktu malam. Janganlah duduk dalam bilik gelap pada waktu siang, nanti dia keliru pula ini waktu siang ke waktu malam.

Pada waktu siang, pastikan sentiasa cerah. Bila waktu malam, pastikan bilik digelapkan segelap-gelap yang boleh. Jangan beri stimulasi pada waktu malam. Jangan buat bising. Jangan bercakap-cakap. Jangan gelak ketawa. Diam saja. 

Bila bayi bangun pada waktu malam meminta susu, jangan buka lampu cerah-cerah, bilik mesti gelap tetapi ada sedikit saja lampu samar-samar cukup untuk kita melihat dalam gelap. Berikan penyusuan bayi tanpa memberi bayi stimulasi.

Maknanya, janganlah bersembang dengan baby, janganlah bernyanyi-nyanyi, jangan pandang mata baby supaya tiada stimulasi melalui eye-contact.

#2. Pastikan nap bayi pada 1 hingga 4 petang

Pastikan nap time baby pada waktu siang hanyalah di antara pukul 1 hingga 4 petang. Jangan bagi waktu tidur siang berlanjutan sehingga 6-7 petang.

Jangan bawa baby keluar pada waktu nap time tengah hari sebab nanti terlalu penat dan nak tidur petang, dan kemudian tak boleh tidur malam. Kita sebagai ibu ayah kena disiplin dulu barulah baby boleh disiplin.

Ini penting kerana bayi memerlukan keadaan yang dia biasa untuk membuatkan waktu tidurnya berjadual. Tetapi jika anda mahu bayi anda selesa tidur dalam keadaan apa pun, anda perlu tahan sedikit jika buat permulaan mereka tidak biasa dan agak susah untuk tidurkan mereka. 

#3. Mandikan dengan air suam

Ramai bayi suka tidur dengan nyenyak selepas mandi air suam sebab badan mereka rasa segar selepas mandi dan perubahan suhu badan bila keluar dari air suam tiba-tiba ke udara yang lebih sejuk menyebabkan cepat mengantuk dan boleh tidur dengan nyenyak.

Maka rutin yang terbaik ialah selalu beri anak-anak mandi air suam pada pukul 6.30 petang, selepas itu menyusu, kemudian tutup lampu dan tidurkan baby pada pukul 8 malam, setiap malam.

Air itu perlulah suam dan tidak terlalu panas kerana air yang panas akan membuatkan kulit bayi anda melecur. Pastikan anda periksa suhu air terlebih dulu untuk elakkan air panas yang akan membuatkan kulit bayi kering. 

Selepas mandi boleh juga sapukan lotion pada kulit anak untuk elakkan kekeringan dan sebagainya. 

#4. Pastikan anak aktif

Jika anak anda masih bayi, bermainlah dengan mereka sepuasnya pada waktu siang. Ini akan membuatkan mereka penat pada waktu malam sekaligus akan membuatkan bayi tidur dengan nyenyak. 

Jika anak anda sudah besar, pukul 5 petang, pastikan anak-anak keluar bermain di taman atau di luar atau berenang dan buat aktiviti kecergasan lain.

Senaman biasa-biasa pada waktu petang boleh membantu bayi atau anak anda tidur malam dengan lebih nyenyak ini kerana mereka perlu merehatkan badan yang penat selain daripada membina badan yang sihat dan kuat.

#5. Elak junk food

Bila bayi sudah mencecah usia 6 bulan dan boleh mula makan, pastikan anda jangan bagi jajan atau junk food atau menambahkan gula dalam makanan petang supaya tidak menjadi hiperaktif pada waktu malam.

Mengapa penting untuk melatih bayi tidur sejak awal? Selain susu ibu, tidur yang cukup juga menjadi ‘makanan’ untuk bayi anda membesar dengan sempurna. Jadi penting untuk bayi mendapat tidur yang cukup terutama sekali di waktu malam.

Ya, tak dinafikan memang pada 3 bulan pertama bayi tidak akan tidur terus sepanjang malam, mereka akan bangun setiap 2-4 jam untuk menyusu. Namun bukan bermaksud mereka akan terus berjaga. Pastikan mereka tidur semula sebaik kenyang menyusu. 

Pada usia 3 bulan pertama memang bayi digalakkan tidur bersama ibu, bagi mengikat lagi kemesraan ibu dan bayi serta mudah untuk si ibu menyusukan bayi. 

Namun selepas usia itu, melatih mereka untuk tidur di baby cot adalah pilihan tepat. Lebih cepat anda melatih mereka tidur sendiri lebih cepat anda mendapat semula tidur anda yang cukup!

Bagaimana Bayi Perlu Tidur?

waktu tidur bayi, waktu tidur bayi 0-3 bulan, baby tidur, tidur, cara senang tidur, jumlah jam tidur sehari,terjaga tengah malam

Semasa minggu pertama kehidupan bayi, sesetengah ibu bapa memilih untuk berkongsi bilik. Perkongsian bilik bermaksud anda meletakkan buaian dan tempat permainan bayi anda di dalam bilik tidur anda sendiri dan bukannya di bilik yang berasingan.

Ini bagi memastikan bayi anda sentiasa berada dekat dengan anda dan membolehkan anda untuk memberi makanan, menenangkan dan memantau si kecil anda pada waktu malam.

Akademi Pediaktrik Amerika (AAP) turut mengesyorkan ibu ayah berkongsi bilik tanpa berkongsi katil selepas bayi baru dilahirkan.

Walaupun berkongsi bilik adalah selamat, menidurkan bayi di atas katil yang sama dengan anda adalah tidak disarankan. Perkongsian katil akan meningkatkan risiko SIDS (sindrom kematian bayi mengejut) dan kematian lain yang berkaitan dengan tidur.

Di bawah ini merupakan cadangan persekitaran yang selamat untuk si manja anda:

  • sentiasa tidurkan bayi dalam posisi terlentang, bukan di atas perut atau mengiring. Ia bagi mengurangkan risiko SIDS.
  • pastikan permukaan tidur rata dan gunakan tilam serta cadar yang sesuai.
  • jangan letakkan apa-apa barang di dalam buaian.
  • tidak perlu letakkan mainan, bantal, selimut atau cadar yang belum dipasang di kawasan tempat tidur bayi anda.
  • pakaikan pakaian yang sesuai mengikut suhu bilik/cuaca. Jangan tutup kepala bayi ketika mereka sedang tidur.
  • jangan biarkan bayi anda tidur dengan perokok. Asap rokok boleh meningkatkan risiko SIDS.
  • beri puting kepada bayi anda pada waktu tidur jika mereka memang menggunakannya. 
  • jauhi barangan seperti tali, reben atau sebarang objek yang boleh membahayakan bayi anda. Jangan gantung barangan yang boleh dicapai oleh mereka.
  • pastikan bayi tidur/ duduk di tempat yang dikhaskan untuk bayi seperti carseat baby, kerusi malas bayi dan lain-lain. 
  • jangan percayakan sebarang peranti yang mendakwa kononnya boleh mengurangkan risiko SIDS pada bayi anda. 

Perkara yang Perlu Dielakkan Jika Mahu Bayi Tidur Nyenyak

  • tidak susukan bayi dalam keadaan tenang – Ibu, penting ya untuk susukan si kecil anda dengan tenang apabila dia sudah menunjukkan tanda mahu tidur. Jangan tidurkannya dalam keadaan kelam kabut kerana dia mungkin tidak akan tertidur atau tidur sekejap sahaja. Sambil susukan bayi anda, tepuknya secara perlahan-lahan atau peluknya dengan erat. Ini boleh membuatkan si manja anda lebih mudah tidur dengan lena.
  • terlupa sendawakan bayi – Bayi anda perlu disendawakan mengelakkan dia dari terbangun dari tidur gara-gara tidak selesa kerana ingin sendawa. Ingat, bayi anda tidak pandai sendawa sendiri ya. Jadi, dia memerlukan bantuan anda untuk sendawa.
  • tidak bedung bayi anda – Pastikan anda membedung bayi anda sebelum menidurkannya. Ini bagi mengelakkan si kecil anda daripada mudah terkejut ketika tidur dan kemudiannya terjaga.
  • biarkan anak tidur dalam keadaan tidak selesa – Jangan ya ibu! Pastikan suhu ketika tidur tidak terlalu sejuk atau panas untuk anak anda. Gunakan juga pakaian yang sesuai pada bayi anda itu.
  • tidurkan di tempat yang bising – Untuk elak anak mudah terjaga, pastikan tempat tidur anak anda sunyi, tenang dan terhindar daripada bunyi bising!

Apa Perlu Dilakukan Jika Bayi Tidur Terlalu Banyak 

Jika anda berhadapan dengan masalah bayi kerap mengantuk, maka perkara pertama anda perlu buat adalah memastikan ia bukan disebabkan oleh masalah kesihatan pada bayi.

Jaundis, jangkitan, dan sebarang prosedur perubatan, seperti berkhatan, boleh membuatkan bayi anda lebih mengantuk berbanding biasa.

Jika perlu, jumpalah pakar pediatrik. Pakar pediatrik akan memeriksa sama ada bayi anda mempunyai berat badan yang mencukupi atau tidak. Jika tidak, anda mungkin perlu membangunkan mereka untuk makan setiap tiga jam (atau lebih) bergantung pada saranan doktor anda.

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat.

Sumber 

Stanford Children Health (n.d). Newborn Sleep Patterns. www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=newborn-sleep-patterns-90-P02632

Universiti of Rochester Medical Center (n.d). Newborn Sleep Patterns. www.urmc.rochester.edu/encyclopedia/content.aspx?contenttypeid=90&contentid=P02632

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Kematian Bayi Ini Ajar Betapa Pentingnya Posisi Tidur Bayi & Keselamatan Tempat Tidur Anak!

Baca juga: 2 Jenis Zikir Tidurkan Anak Yang Boleh Boleh Diamalkan Untuk Bayi Tidur Lena, Kurang Meragam

Baca juga:  Mudah Rupanya Nak Bagi Bayi Tidur Lena, Ibu, Cuba Ikut 8 Tips Ini!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!