Ada siapa-siapa yang mempunyai pengalaman menunggu zuriat? Kalau masih ada yang menanti, bersarbarlah, Allah swt sebaik-baik perancang, percayalah.
Saya tertarik dengan satu kisah yang dikongsi oleh hamba Allah bernama Azmi Saat di Facebook beliau, di mana dia bercerita kisah penantian zuriat yang mana memberi impak besar pada isterinya.
Kisah menunggu zuriat bermula begini:

Dulu, waktu 5 tahun awal perkahwinan saya dan isteri, dia tak marah langsung kalau saya bergurau fasal nak kahwin lain.
Kononnya nak carikan dia kawanlah, kasihan dia penat buat kerja seorang-seoranglah, nak bagi dia merasa ada payung emaslah.
Bukan setakat tak marah, malah dia boleh mencabar saya lagi sebab dia tahu saya memang tak berani. Sembang saja kuat.
Lepas 5 tahun, kalau saya bergurau hal seperti itu, respond dia dah tak seperti biasa. Selalunya dia akan terdiam. Tak ada lagi kata-kata mencabar apa lagi gelak tawa.
Bila perasan begitu, saya cuba kurangkan gurauan-gurauan seperti itu sebab tahu dia tak suka. Tapi, kadang-kadang terlepas juga.
Akhirnya hamil, namun keguguran zuriat
Pada tahun ke lapan perkahwinan, dia hamil tapi tak sampai 2 bulan kandungannya gugur. Mulai dari saat itu, dia selalu termenung bila baru lepas bermain dengan budak kecil, sedih bila terbaca ucapan
Selamat Hari Ibu, rasa kecil bila kawan-kawan bersembang fasal anak masing-masing. Apa lagi bila berjumpa dengan saudara-mara yang tak pandai jaga mulut persoalkan bila nak dapat anak. Akan basahlah baju saya dengan airmatanya.
Dia juga selalu sangat bertanya pada saya, “Yang, kalau saya tak dapat beri awak anak, awak akan kahwin lain tak?”
Barulah saya tahu, rupanya dia tak suka gurauan-gurauan seperti itu sebab dia takut saya gunakan alasan anak untuk kahwin lain. Sejak dari itu, saya tak mahu lagi bergurau nak kahwin lagi. Selagi dia hidup, cuma dia seorang isteri saya walau apa pun yang terjadi.
Hiburkan isteri, biar dia rasa dihargai
Foto: iStock
Saya cuba hiburkan dia supaya dia tidak kesunyian. Pantang ada masa lapang, pasti saya akan bawa dia bercuti ke hotel-hotel. Saya nak dia tahu, hidup suami isteri tanpa anak juga seronok. Malah mungkin lebih seronok dari orang lain yang ada anak.
Alhamdulillah rasanya hiburan yang saya beri menjadi. Sampai masuk tahun 2021 iaitu tahun ke sepuluh perkahwinan, kami sepakat untuk lupakan fasal anak. Kita cari kebahagiaan berdua sahaja.
Segala puji bagi Allah. Dialah yang maha mengetahui dan Dialah yang merancang segalanya. Berkat doa yang tak putus-putus dari Emak, keluarga dan orang sekeliling, tak lama lepas kami sepakat begitu, isteri kata dia rasa tak selera makan, selalu rasa nak muntah.
Bila kami pergi buat rawatan, rupanya isteri saya hamil. Sekarang sudah hampir 4 Bulan.
Jujurnya, waktu awal-awal kami dapat berita kehamilan itu, kami tak pun terus gembira. Mungkin sebab dah mula rasa seronok hidup berdua. Bila dah balik rumah, barulah gembira itu datang. Mulalah mencaritahu apa yang perlu untuk orang mengandung dan bersalin.
Saya mohon doa dari kawan-kawan semua, semoga kandungannya sihat, isteri saya sihat dan anak yang lahir nanti akan jadi anak yang soleh.
Saya doakan kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha untuk memperoleh cahaya mata supaya diberikan kesabaran, kekuatan untuk mengharungi apa sahaja ujian sebagai pasangan suami isteri.
Sama-samalah kita bersyukur dengan apa sahaja yang tuhan beri. Banyakkan beristighfar memohon keampunan atas segala dosa, pasti Allah akan tunaikan setiap doa kita.
Mudah-mudahan Allah selalu menyematkan rasa bahagia dalam hati-hati kita walau bagaimana pun keadaan kita.
Beruntung jika suami memahami
Foto: iStock
Seperti kisah saudara ini, beruntung sungguh isterinya kerana mendapat suami yang cukup memahami malah dianggapnya seperti suatu keberuntungan dan bukan suatu kekurangan.
Dilayan isterinya dengan begitu sempurna agar isteri tidak rasa kekurangan tanpa mempunyai zuriat. walhal kalau suami-suami lain mulalah mencari alasan untuk tak melayan isteri kerana tak sempurna tunaikan tanggung jawab sebagai seorang isteri. Dicari pula pengganti, mashaAllah.
Jadi untuk yang pasangan yang masih menanti, ambillah kisah ini sebagai pengajaran buat kita. Kekurangan tidak dapat zuriat itu bukan isteri saja perlu menanggung seksanya.
Wahai suami, fahamilah. Jika pasangan itu redha, Allah akan beri lebih banyak nikmat. Percayalah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman.
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Saddan
Baca Juga: Benarkah Wanita Berbadan Gempal Sukar Hamil? Ini Jawapannya
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!