Tiada siapa yang ingin sebuah perkahwinan berakhir dengan perpisahan. Namun apabila datangnya ujian dan jika hanya satu pihak sahaja bertahan, maka dengan beberapa alasan kukuh untuk bercerai ini dibenarkan dalam Islam.
Tidak semua hubungan suami isteri sentiasa bahagia. Ada kalanya dilanda pelbagai dugaan hingga membuatkan ramai isteri terseksa dengan layanan buruk suami sehingga bertahun-tahun.
Jika dengan cara berpisah lebih menyenangkan hati kedua-dua pihak, pasrahkanlah sahaja kerana jodoh dengan pasangan setakat itu sahaja.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Senarai alasan kukuh untuk bercerai yang diharuskan dalam Islam
Senarai alasan kukuh untuk bercerai yang diharuskan dalam Islam
Tambahan pula begitu banyak kes suami curang, suami tidak bertanggungjawab tular di media sosial. Isteri biasanya menerima kesan lebih mendalam lagi. Begitu banyak pendapat menolak pemikiran si isteri untuk meminta cerai dari suami.
Kononnya, isteri perlu lebih bersabar dalam menghadapi ujian yang telah diberikan. Isteri juga harus menjaga dan melindungi aib suami. Tetapi sampai bila isteri yang harus menanggug beban ini?
Cerai di antara suami isteri tidak digalakkan dalam Islam. Namun Ustaz Ahmad Adnan Fadzil menyatakan bahawa seorang isteri boleh meminta cerai jika dia mempunyai alasan munasabah. Hukum cerai menjadi harus.
Terdapat 7 alasan munasabah untuk isteri meminta cerai. Jika suami memiliki tanda-tanda ini, isteri tidak perlu lagi bersusah hati mahu meninggalkan suami. Mulakan langkah anda untuk dapatkan kehidupan yang lebih baik.
#1. Suami tinggalkan tanggungjawab sebagai seorang mukmin
Tanggungjawab sebagai seorang mukmin termasuk menunaikan solat lima waktu serta khusyuk, membayar zakat, menjauhi zina, jaga kehormatan, dan pelihara amanah dan janji.
Jika suami mengabaikan tanggungjawabnya maka isteri diharuskan meminta cerai. Seorang suami harus mendidik isteri dan mengajarnya ke arah kebaikan. Suami yang terpesong akan membuatkan isterinya turut sama terpesong.
#2. Suami tidak menyediakan nafkah
Seorang suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri yang terdiri daripada makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Ia merupakan tuntutan untuk suami sebagai ketua keluarga dalam memelihara dan menjaga isteri.
Isteri diharuskan meminta cerai jika suami tidak berjaya menyediakan tuntutan nafkah tersebut. Kecuali jika isteri sendiri rela membantu dan redha dengan apa yang telah disediakan suami.
#3. Suami memiliki penyakit berbahaya
Suami yang memiliki penyakit berbahaya seperti penyakit berjangkit boleh memudaratkan kesihatan isteri. Penyakit seperti AIDS atau HIV yang boleh memusnahkan sistem ketahanan badan antara contohnya.
Isteri boleh meminta cerai untuk melindungi diri dari dijangkiti. Ini untuk elakkan isteri dari terkena jangkitan apabila bersama. Tambahan pula penyakit tersebut adalah penyakit yang tidak boleh sembuh dan hanya bergantung pada ubatan.
#4. Suami yang tidak mampu tunaikan hak batin
Suami yang mempunyai organ seks tidak berfungsi pasti mempunyai kekurangan dalam memuaskan nafkah batin isteri. Samaada suami dilahirkan tanpa zakar atau kehilangan zakar disebabkan kemalangan atau isu-isu kesihatan lainnya.
Permintaan untuk bercerai oleh isteri akan dibenarkan. Isteri tidak perlu bersusah payah menanggung seksa apabila nafkah batin tidak tertunai.
#5. Suami menghalang isteri menutup aurat
Seorang wanita diwajibkan menutup aurat. Arahan ini diperintahkan oleh Allah dan wajib diikuti oleh semua wanita muslimah. Suami juga harus mengajar isteri untuk menutup aurat.
Namun ada sesetengah suami tidak membenarkan isterinya menutup aurat. Mereka turut memaksa isteri meninggalkan suruhan Allah itu. Isteri diharuskan meminta cerai untuk menjaga kehormatan diri.
#6. Suami yang mendera isteri
Tanggungjawab suami adalah melindungi isterinya. Ada sesetengah suami pula menjadikan isteri sebagai tempat melepaskan amarah. Mereka memukul serta menghamburkan kata-kata kesat.
Penderaan boleh terjadi dalam bentuk fizikal, mental mahupun seksual. Isteri perlu melindungi diri dari penderaan sebegini dan perlu meminta cerai dari suami.
#7. Suami yang tidak pulang ke rumah
Apabila suami tidak pulang ke rumah tanpa alasan tertentu dalam tempoh yang lama, isteri dibenarkan meminta cerai. Alasan seperti keluar bekerja dibenarkan disebabkan tanggungjawab untuk menyediakan nafkah buat isteri.
Namun jika suami sengaja mengelakkan diri dari pulang ke rumah serta membiarkan isteri bersendirian di rumah tanpa alasan, isteri harus meminta cerai.
Suami isteri perlu mengetahui dengan lebih lanjut akan tanggungjawab masing-masing. Keupayaan mereka dalam mengalas tanggungjawab akan mengelakkan situasi cerai berlaku.
Kasih sayang dan perasaan cinta perlu disemai setiap hari. Suami isteri seharusnya bersama-sama membahagiakan satu sama lain. Lindungi dan jaga satu sama lain dengan ikhlas. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Walaupun Dilayan Buruk Suami, Ramai Isteri Tidak Sanggup Bercerai Kerana Alasan Anak-Anak
Baca juga: Isteri Minta Cerai Dengan Suami Kerana “Terlalu Baik” Apa Yang Si Isteri Ini Mahukan?
Baca juga: Aduh, Mulut Isteri Dikatakan Punca Perceraian? Ini 7 Rahsia Suami Yang Anda Kena Sorok!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!