Kebanyakan suri rumah akan membeli bahan dapur dalam kuantiti banyak bagi keperluan harian. Ada yang akan topup barangan ini dua minggu sekali dan ada juga sekali sahaja untuk tempoh sebulan.
Ada sesetengah bahan mentah ini jenis cepat rosak sehingga anda perlu membeli yang lain jika tersalah teknik penyimpanan. Justeru kami kongsikan beberapa tips bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
Tips simpan bahan dapur agar kekal lama
#1. Cara simpan bahan dapur dengan betul- bawang segar
credit to sources
Bawang hendaklah diletakkan dalam raga atau bekas kecil yang memiliki pengaliran udara baik agar ia sentiasa segar. Selain itu bagi memudahkan kerja memasak, anda boleh mengupasnya dengan lebih awal.
Caranya adalah kupas dengan cermat, jangan membasuhnya dengan air kerana kelembapan boleh menyebabkannya menjadi lembik dan rosak. Letak dalam bekas kedap udara agar baunya tidak merosakkan makanan lain dalam peti sejuk.
#2. Ubi kentang
Bagi yang tidak tahu, mencuci kentang sebelum menyimpannya boleh membuatkan ia lembap dan ditumbuhi bakteria sehingga cepat rosak. Bukan itu sahaja, kelembapan dalam peti sejuk boleh mempercepatkan pertumbuhan tunas.
Cara yang betul adalah simpan ubi kentang dalam bakul berlubang untuk kemudahan kitaran udara, letakkannya di tempat kering dan bebas cahaya matahari.
#3. Kelapa parut dan santan
credit to sources
Untuk memastikan kelapa parut tahan lama, anda boleh gumpalkannya menjadi bentuk bebola. Jika terlalu kering, tambahkan sedikt air. Kemudian simpan dalam bekas tertutup dan letakkannya di bahagian beku (freezer). Teknik ini boleh buat kelapa parut tahan 2 hingga 3 bulan.
Manakala bagi santan pula, anda boleh memasukkan sedikit garam kasar, kacau rata dan simpan dalam peti sejuk.
#4. Tauge
Biasanya selepas membeli beberapa hari membeli tauge, anda akan menyedari ia mudah layu apabila dibiarkan terlalu lama berendam dalam air dan warnanya berubah menjadi coklat.
Justeru bagi menjadikan tauge tahan lebih lama, anda disaran menyimpannya dalam sebuah bekas berisi air dan dicampur dengan sedikit jus lemon. Jika tiada, boleh gantikan dengan sedikit garam.
#5. Sayuran berwarna hijau
Sayuran berwarna hijau boleh jadi tahan lama sekiranya anda membalutnya dengan tisu sebelum simpan dalam bekas kedap udara atau beg plastik ziplock.
Apabila masukkan sayuran ini dalam peti sejuk, ia dapat mengelakkan sayur daripada kecut atau layu.
Cara lain yang anda boleh lakukan adalah merendam sayur-sayuran di dalam air garam selama 2 hingga 3 minit. Toskan air dan simpan dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
#6. Buah pisang
Buah pisang akan mudah masak jika anda membiarkannya dalam beg plastik beberapa hari. Jika sudah beli yang matang, salah satu cara mengelakkannya cepat busuk dan lembik adalah dengan bungkuskan batang pisang dengan plastik.
Teknik ini dapat mengehadkan kadar oksigen yang masuk dan memperlahankan proses kematangannya.
#7. Cili padi
credit to sources
Kebanyakan suri rumah biasanya terus meletakkan cili padi ke dalam peti sejuk sebaik sahaja pulang dari pasaraya. Namun cara ini sebenarnya boleh membuatkan ia cepat lembik dan rosak.
Teknik yang betul bagi membolehkan cili tahan lebih lama ialah buang tangkainya. Kemudian alaskan bekas dengan beberapa keping tisu dan letak seulas bawang putih yang sudah dikupas.
Cara ini ternyata sangat berkesan dan kesegaran cili dapat bertahan hampir satu bulan.
#8. Lengkuas, halia dan kunyit
Cara penyimpanan tiga bahan dapur ini lebih kurang sama. Bagi yang belum dikupas, anda boleh simpan dalam bekas berisi sedikit air. Pastikan air ditukar setiap 3, 4 hari sekali bagi mengelakkannya berlendir.
Manakala bagi lengkuas, halia dan kunyit yang sudah dikupas, simpan dalam bekas kedap udara dan masukkan di bahagian beku (freezer).
#9. Telur ayam
Telur adalah bahan yang paling mudah untuk dimasak dan sangat cepat disediakan. Namun anda hendaklah memilih telur yang segar bagi mengelakkannya cepat rosak.
Kebanyakan orang menyimpan telur di bahagian pintu peti sejuk. Sebenarnya cara ini kurang tepat kerana telur memerlukan suhu lebih sejuk dan stabil bagi mengelakkan pembiakan bakteria.
Adalah lebih baik anda letak dalam satu bekas yang tertutup dan simpankannya di bahagian utama peti sejuk.
Kredit foto: Famf tower, google images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Susun Atur Barang Dapur Jadi Lebih Mudah Dengan 7 Produk Ini, Barulah Peti Sejuk Sentiasa Kemas!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!