Apabila menyentuh soal anak, ia adalah kurniaan rezeki yang tidak terhingga daripada sang pencipta. Namun bagaimana pula jika hamil pada usia 35 tahun? Sudah pasti anda memikirkan bagaimana inginmemastikan perjalanan kehamilan lancar serta risiko yang mungkin timbul.
Pada zaman moden ini, hamil pada usia 35 tahun ke atas adalah perkara yang biasa dalam kalangan masyarakat kita. Ia disebabkan oleh pelbagai faktor seperti wanita mendahulukan kerjaya terlebih dahulu, jodoh datang lambat ataupun belum rezeki untuk cepat hamil selepas berkahwin.
Isi Kandungan
Apa itu hamil pada usia 35 tahun ke atas
Kehamilan geriatrik (Geriatric Pregnancy) merujuk kepada kehamilan yang berlaku pada wanita berumur 35 tahun ke atas.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang ketara pada jumlah wanita yang memilih untuk menjadi ibu pada usia yang lebih tua.
Namun anda tidak perlu risau kerana bukan semua ibu hamil tidak dapat melalui perjalanan kehamilan sihat. Hal ini kerana kebanyakan wanita sihat yang hamil selepas umur 35 tahun dan sehingga 40-an mempunyai bayi yang sihat.
Kuncinya adalah menjaga kesihatan diri dan mengekalkan gaya hidup yang sihat setiap hari.
Memahami hamil lewat usia
Faktor umur mempengaruhi kesuburan
Salah satu pertimbangan pertama bagi wanita yang merancang hamil di usia 35 tahun ke atas ialah tahap kesuburan.
Kesuburan secara semula jadi menurun dengan usia, dan penurunan ini menjadi lebih banyak apabila wanita memasuki usia lewat 30-an dan awal 40-an.
Wanita dalam lingkungan 20-an mempunyai kira-kira 20-25% peluang untuk hamil setiap bulan, manakala pada usia 35 tahun, ini menurun kepada kira-kira 15% peluang.
Selepas 40, tahap kesuburan menurun dengan ketara.
Risiko mengandung umur 35 tahun
Kehamilan pada usia 35 tahun ke atas boleh dikaitkan dengan beberapa peningkatan risiko dan komplikasi akibat perubahan fisiologi yang berlaku apabila wanita berusia.
Berikut 10 risiko hamil di usia 35 tahun dan ke atas yang perlu anda pertimbangkan:
- Keabnormalan Kromosom: Risiko keabnormalan kromosom pada bayi, seperti sindrom Down, meningkat dengan usia ibu. Risiko ini membimbangkan ibu yang lebih berusia dan selalunya memerlukan ujian pranatal tambahan, seperti amniosentesis atau pensampelan chorionic villus (CVS).
- Praeklampsia: Keadaan ini boleh berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan atau sejurus selepas kehamilan. Ia adalah apabila wanita hamil mengalami tekanan darah tinggi dan menandakan bahawa beberapa organnya, seperti buah pinggang dan hati, mungkin tidak berfungsi dengan baik. Tanda-tanda preeklampsia termasuk mempunyai protein dalam air kencing, perubahan dalam penglihatan dan sakit kepala yang teruk. Jika anda berumur lebih daripada 40 tahun, risiko anda lebih tinggi untuk preeklampsia berbanding wanita yang lebih muda
- Kecacatan kelahiran: Kecacatan bayi baru lahir mengubah bentuk atau fungsi satu atau lebih bahagian badan. Ia boleh menyebabkan masalah dalam kesihatan keseluruhan, bagaimana badan berkembang atau bagaimana badan berfungsi. Wanita yang lebih berusia berisiko tinggi mempunyai baru lahir dengan kecacatan berbanding wanita yang lebih muda.
- Hipertensi dan Diabetes Gestational: Hamil ketika usia 35 tahun ke atas juga mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menghidap hipertensi dan diabetes semasa mengandung. Keadaan ini boleh menimbulkan risiko kesihatan untuk ibu dan bayi.
- Kehamilan berganda: Penggunaan teknologi pembiakan berbantu (ART) boleh meningkatkan peluang untuk mendapat anak kembar. Kehamilan berganda membawa risiko komplikasi yang lebih tinggi.
- Kelahiran Pramatang: Ibu yang berusia mempunyai risiko tinggi untuk melahirkan bayi tidak cukup bulan, yang boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada bayi.
- Berat Lahir Rendah: Bayi yang dilahirkan oleh ibu berusia 35 tahun ke atas berisiko tinggi mengalami kekurangan berat badan semasa lahir.
- Placenta Previa: Plasenta previa adalah keadaan di mana plasenta menutup sebahagian atau sepenuhnya serviks, yang boleh menyebabkan pendarahan ketika hamil dan memerlukan pembedahan cesarean.
- Gangguan Plasenta: Keadaan ini, di mana plasenta terpisah dari dinding rahim sebelum bersalin, lebih kerap berlaku pada ibu berusia. Gangguan plasenta boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.
- Keguguran: Risiko keguguran meningkat dengan usia ibu. Banyak kehamilan berakhir dengan keguguran semasa trimester pertama, dan risiko ini meningkat pada wanita berusia lebih 35 tahun.
- Kehamilan Luar rahim: Kehamilan ektopik adalah di mana telur yang disenyawakan berimplan di luar rahim, biasanya dalam tiub fallopio. Kehamilan ektopik boleh mengancam nyawa jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera.
Pengalaman hamil di usia 35 tahun
Sebelum ini, pelakon Fasha Sandha pernah kongsikan kisah mengandung anak ketiga serta pengalaman hamil di usia 35 tahun yang dianggap agak mencabar melalui Instagram miliknya.
Saya dan suami diuji sebelum ni kerana pernah 2 kali kerana keguguran diawal kehamilan. Syukur Alhamdulillah tak lama lepas tu, Allah gantikan dengan kandungan yang sihat.
Saya bertuah kerana mendapat nasihat daripada sahabat saya DS Vie Shanti untuk berjumpa dengan Dato Doktor Rafi. Saya juga pernah hampir berputus asa juga, tapi semangat yang diberikan oleh Vie dan suami, memberikan saya kekuatan untuk berjumpa doktor.
Kehamilan diusia 35 bukanlah sesuatu yang mudah. Paling teruk alahan nya, lemah, melepet, kena cucuk setiap minggu, makan Duphaston (ubat kuat rahim)3 kali sehari, sampai ada hari kena marah dengan suami dan Doktor sebab mengelat nak makan ubat.
Ada juga pernah menangis teruk sebab kena marah combo. Suami marah, doktor pun marah.
Alhamdulillah semua tu tak lama, lepas habis sahaja trimester pertama dah tak perlu cucuk dan makan ubat lagi.
Syukur Alhamdulillah . Syukur tak terhingga..Sehingga hari ni, diatas pengalaman keguguran yang lalu, saya hanya tawakal dan redha.
Manfaat hamil ketika usia 35 tahun
Walaupun hamil ketika usia 35 tahun hadir dengan risiko tertentu, sebenarnya ada juga beberapa manfaat untuk ibu dan bayi:
- Kestabilan Emosi dan Kewangan: Ibu-ibu yang lebih berusia selalunya mempunyai lebih stabil dari segi emosi dan kewangan, yang boleh memberi faedah dalam membesarkan anak.
- Kematangan dan Pengalaman: Pengalaman hidup dan kematangan boleh membawa kepada keibubapaan yang lebih positif.
- Kestabilan hubungan: Dalam kebanyakan kes, wanita berusia lewat 30-an atau 40-an mungkin berada dalam hubungan perkahwinan lebih baik.
- Pencapaian Pendidikan dan Kerjaya: Wanita yang menangguhkan kehamilan berpeluang mencapai tahap pendidikan tinggi dan kejayaan dalam kerjaya. Selain itu, wanita yang berpendidikan mampu melahirkan generasi berwawasan.
Tips hamil di usia 35 tahun ke atas
Menurut perkongsian oleh Dr Zubaidi, bukanlah perkara yang sukar untuk seorang wanita berumur 35 tahun ingin hamil dengan sihat.
Dalam satu laporan statistik mengatakan bahawa kebarangkalian untuk seorang wanita berusia antara 35-39 tahun untuk hamil dalam masa setahun perkahwinan ialah 1 dalam 3 wanita.
Dengan syarat jika wanita itu tidak mempunyai masalah kesihatan yang melibatkan sistem reproduktif.
Ada beberapa tips hamil di usia 35 tahun dengan berjaya. Antaranya adalah:
- Ketahui waktu subur: Ramai yang menyangka bahawa seorang wanita itu sentiasa subur kerana mempunyai kitaran haid yang teratur setiap bulan. Namun apa yang perlu diketahui iaitu seorang wanita itu benar-benar subur pada waktu tertentu dalam kitaran haid mereka. Oleh itu jika mahu cepat hamil, harus mengetahui waktu subur supaya lebih banyak usaha yang dapat diberikan sebagai persediaan sebelum melakukan hubungan seksual pada waktu itu.
- Jangan menunggu atau tangguhkan kehamilan: Berkahwin pada usia 35 tahun ke atas adalah perkahwinan yang harus segera mendapatkan zuriat. Jika mahu menangguhkan dulu untuk beberapa tahun kerana belum bersedia, ia adalah satu pertaruhan yang besar. Ini kerana semakin seorang wanita itu berusia, semakin sukar peluang untuk hamil dengan mudah. Ini bukan bermakna tidak boleh hamil, tetapi usaha yang dilakukan haruskan berlipat kali ganda berbanding dengan wanita yang berusia lebih muda.
- Buat pemeriksaan: Tidak dapat dinafikan bahawa semakin kita bertambah usia, semakin kita mengalami masalah kesihatan. Kekuatan kita melakukan suatu kerja semakin beransur kurang berbanding dengan kekuatan kita semasa muda. Kebolehan untuk hamil segera pun begitu. Oleh itu jangan bandingkan diri kita dengan orang lain, kerana apabila seorang wanita telah memasuki umur 35 tahun ke atas perbezaan dirinya dengan orang lain yang sama umur dengannya agak jauh berbeza.
Perlu diingati bahawa keupayaan untuk cepat hamil bergantung kepada:
- Gaya pemakanan harian
- Genetik
- Berat badan
- Masalah kesihatan yang dialami
- Keseimbangan hormon
- Masalah kesihatan reproduktif seperti fibroid, cyst, PCOS atau endometriosis
Cara terbaik ialah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tubuh bersedia untuk hamil.
Dr Zubaidi turut mencadangkan seorang wanita berusia 35 tahun dan ke atas, agar segera mendapatkan pemeriksaan ujian kesuburan apabila mereka tidak berjaya untuk hamil setelah mencuba selama 6 bulan atau lebih.
Persediaan untuk hamil lewat usia
Persediaan untuk kehamilan lewat usia melibatkan gabungan pertimbangan fizikal, emosi dan perubatan.
Walaupun terdapat cabaran hamil lewat usia, dengan pendekatan yang betul, ramai wanita boleh mengalami kehamilan yang sihat dan berjaya.
Berikut adalah panduan untuk menjalani hamil pada usia 35 tahun:
#1. Kaunseling prakonsepsi:
Sebelum anda mula mencuba untuk hamil, dinasihat untuk mendapatkan kaunseling prakonsepsi daripada doktor.
Doktor akan menilai sejarah perubatan anda, gaya hidup dan faktor risiko yang berpotensi. Mereka boleh menawarkan panduan dan cadangan bersesuaian keadaan kesihatan. Ini mungkin termasuk:
- Semakan sejarah perubatan untuk menangani sebarang keadaan kesihatan yang sedia ada.
- Perbincangan tentang sebarang ubat yang anda ambil dan sama ada ia perlu diselaraskan atau dihentikan.
- Nasihat mengenai sebarang vaksinasi yang diperlukan, kerana sesetengah vaksin mungkin disyorkan sebelum kehamilan.
- Panduan untuk mencapai berat badan yang sihat jika perlu. Berat badan kurang atau berat badan berlebihan boleh memberi kesan kepada kesuburan dan hasil kehamilan.
- Kajian semula pemakanan dan cadangan anda tentang penambahbaikan diet.
- Perbincangan faktor gaya hidup, seperti berhenti merokok dan mengurangkan pengambilan alkohol.
#2. Penjagaan Pranatal:
Penjagaan pranatal yang kerap adalah penting untuk memantau kesihatan ibu dan janin yang sedang berkembang. Semasa check up kehamilan, doktor akan menjalankan pelbagai ujian, saringan dan pemeriksaan.
Untuk kehamilan di usia 35 tahun, pemeriksaan doktor mungkin meliputi:
- Ujian pranatal tambahan: Memandangkan peningkatan risiko keabnormalan kromosom (mis., Sindrom Down), doktor mungkin mengesyorkan ujian tambahan seperti amniosentesis atau pensampelan vilus korionik (CVS) untuk menilai kesihatan bayi.
- Pemeriksaan yang kerap: Ibu yang lebih berusia mungkin memerlukan pemeriksaan pranatal yang lebih kerap untuk memantau dengan teliti kesihatan ibu serta perkembangan janin.
- Ultrasound khusus: Imbasan ultrasound yang lebih terperinci mungkin diperlukan untuk menilai perkembangan janin.
#3. Pengubahsuaian Gaya Hidup:
Membuat perubahan gaya hidup sihat adalah penting untuk kesihatan ibu dan bayi semasa hamil usia 35 tahun.
Ini mungkin termasuk:
- Diet dan Pemakanan: Pastikan anda mengambil diet seimbang yang kaya dengan nutrien penting. Rujuk dengan pakar pemakanan untuk membangunkan pelan makan yang sesuai dengan keperluan anda.
- Aktiviti Fizikal: Senaman yang kerap dan berimpak rendah boleh membantu anda kekal cergas secara fizikal semasa kehamilan.
- Pengurusan Berat Badan: Mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat boleh membantu mengurangkan risiko diabetes semasa hamil dan hipertensi.
- Pengurusan Tekanan: Menguruskan tekanan melalui teknik relaksasi, kesedaran dan sokongan orang tersayang adalah penting semasa kehamilan.
#4. Sokongan Emosi:
Kehamilan di usia 35 tahun boleh mendatangkan cabaran emosi. Dapatkan sokongan emosi daripada orang tersayang, rakan, atau profesional kesihatan mental jika perlu.
Menyertai kumpulan sokongan atau komuniti dalam talian dapat memberikan galakan serta perkongsian pengalaman.
Kesimpulannya, adalah penting untuk anda merancang kehamilan di usia 35 tahun dengan baik. Ketahui potensi risiko, komplikasi yang mungkin timbul serta amalkan penjagaan pranatal yang betul bagi membolehkan anda mencapai kehamilan sihat.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Komplikasi Kehamilan Boleh Meragut Nyawa Ibu & Bayi, No.5 Antara Yang Paling Bahaya!
Baca juga: 10 Tanda-Tanda Masalah Kehamilan Setiap Bakal Ibu Perlu Ambik Serius
Baca juga: Bahaya Kekurangan Air Dalam Badan (Dehidrasi) Ketika Hamil, Ini Tanda-Tanda Ibu Perlu Alert!