Bayi Tidur Berdengkur Dan Mendengus Buat Ibu Risau, 6 Perkara Ini Sering Jadi Puncanya

Bayi tidur berdengkur serta berbunyi kuat boleh membuatkan ibu risau. Namun keadaan ini adalah normal disebabkan saluran pernafasan mereka

Ibu ayah mungkin akan rasa terganggu apabila mendengar bayi tidur berdengkur. Tetapi jika  keadaan ini sering berlaku, ia boleh menandakan perkara yang membimbangkan.

Bunyi dengkur pada bayi terhasil kerana lubang hidung mereka sangat kecil dan senang tersumbat. Namun ada beberapa punca dan sebab yang lain mengapa bayi boleh berdengkur ketika mereka tidur.

Bayi tidur berdengkur

Selalunya jika bayi tidur berdengkur, ia adalah perkara yang normal. Sebanyak 1 dalam 10 bayi akan berdengkur setiap malam.

Punca berdengkur terjadi apabila saluran udara di tekak si manja terhalang atau menjadi sempit, sehingga menyebabkan tisu dalam tekak bergetar apabila udara disedut masuk melalui hidung.

Biasanya ketika bayi tidur, otot leher serta seluruh otot yang lain akan berehat hingga menekan dinding belakang saluran pernafasan bayi dan menyebabkan mereka berdengkur.

Jika bayi sedang mengalami hidung tersumbat, ia juga boleh menyebabkan mereka mengeluarkan bunyi seolah-olah mendengus.

Punca berdengkur pada bayi dan kanak kanak

Sebelum ibu panik, perlu tahu terlebih dahulu beberapa punca tidur berdengkur pada bayi iaitu:

#1. Apnea tidur obstruktif

Punca tidur berdengkur pada bayi yang utama adalah apnea tidur obstruktif. Ia berlaku apabila saluran pernafasan bayi menjadi separa tersumbat atau tersumbat sepenuhnya.

Selain itu punca tidur berdengkur terjadi apabila bahagian depan saluran penafasan terkempis ke bahagian belakang. Udara yang melalui saluran ini menyebabkan tisu dalam tekak bergetar lalu menghasilkan bunyi dengkur.

Apnea tidur disebabkan oleh pengumpulan mukus dalam saluran pernafasan bayi atau masalah lain seperti adenoid ataupun tonsil yang kembang.

Tanda-tanda: Bayi tidur berdengkur setiap hari adalah tanda apnea tidur.

Biasanya si manja akan terjaga dengan tiba-tiba semasa tidur sambil tercungap-cungap menarik nafas seperti dicekik.

Kadang-kala bayi juga akan mendengus ketika tidur dan nampak sangat letih pada waktu siang tanpa sebab.

#2. Hidung tersumbat

Punca tidur berdengkur yang seterusnya adalah masalah hidung tersumbat.

Ini adalah keadaan yang biasa bagi bayi kecil yang belum pandai menghembus mukus dari hidung mereka. Tapi hidung tersumbat boleh disebabkan oleh masalah yang lebih serius seperti astresia koanal.

Astresia koanal ialah keadaan di mana bahagian belakang lubang hidung disekat oleh struktur tulang atau tulang rawan. Akibatnya ialah hanya sedikit udara dapat melalui hidung dan mendorong bayi berdengkur semasa tidur.

Satu lagi keadaan yang menyebabkan akibat yang sama ialah septum hidung bengkok, di mana satu laluan hidung lurus manakala yang satu lagi bengkok. 

Tanda-tanda: Bayi akan kelihatan tidak selesa ketika bernafas dan mengalami masalah hidung berair sepanjang masa. Laluan hidung yang sempit juga menyebabkan bayi bernafas dari mulut.

#3. Adenoid atau tonsil kembang

Adenoid dan tonsil yang kembang akibat jangkitan. Sumber gambar: okoa.org

Punca berdengkur pada bayi juga disebabkan oleh masalah adenoid dan tonsil.

Adenoid dan tonsil yang kembang atau radang boleh memberi tekanan kepada saluran pernafasan sehingga menyebabkan apnea tidur.

Adenoid dan tonsil adalah sebahagian daripada sistem limfatik yang memainkan peranan utama dalam melindungi sistem pernafasan daripada jangkitan.

Masalahnya, kedua-duanya juga senang terdedah kepada jangkitan. Adenoid atau tonsil yang radang akan membesar dari segi saiz, menghalang laluan udara bayi yang kecil, menyebabkan bunyi dengkur dan mendengus.

Tanda-tanda: Tonsil yang kembang boleh dilihat dengan jelas berdekatan bahagian tekak di dalam mulut bayi.

Tapi tanda andenoid radang tidak dapat dilihat melalui mulut. Ia hanya boleh dikenalpasti apabila bayi selalu bernafas melalui mulutnya, dengan mulut terbuka dan susah bernafas dari hidung.

#4. Gangguan genetik dan neuromuskular

Punca berdengkur yang lain adalah gangguan pada genetik. Bayi dengan sindrom down biasanya akan mempunyai otot-otot lemah dan ciri-ciri muka yang disebabkan oleh masalah ini.

Lidah yang lebih besar, hidung rata dan rahang yang lebih kecil – semua ini boleh menyekat saluran pernafasan mereka.

Gangguan neuromuskular seperti cerebral palsy atau distrofi otot juga boleh melonggarkan otot lidah dan menyebabkan ia menghalang saluran udara.

Tanda-tanda: Bayi akan menunjukkan tanda-tanda gangguan genetik dan neuromuskular.

#5. Asma dan alahan

Asma dan alahan juga boleh menghasilkan bunyi dengkur walaupun ini bukan tanda utama asma.

Ia sering dikaitkan dengan alahan pernafasan, maka asma yang disebabkan oleh alahan boleh menyebabkan bayi tidur berdengkur.

Tanda-tanda: Bayi akan menunjukkan semua tanda-tanda asma seperti sesak nafas dan keletihan semasa bermain.

#6. Selesema dan air liur yang meleleh

Punca tidur berdengkur yang seterusnya adalah selesema. Mukus yang terlalu banyak dalam hidung boleh menghasilkan bunyi dengkur ketika si manja tidur.

Perkara yang sama akan berlaku semasa pertumbuhan gigi apabila bayi mengeluarkan banyak air liur yang mungkin akan meleleh ke rongga hidung apabila dia berbaring.

Tanda-tanda: Jika bayi anda selesema, dia akan menunjukkan gejala selesema seperti hidung meleleh dan demam. Jika dia sedang keluar gigi, air liurnya akan meleleh-leleh dengan banyak.

Tetapi ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Setiap keadaan ini boleh didiagnosis dan dirawat oleh doktor. Anda hanya perlu pastikan bayi anda mendapat rawatan segera jika mereka kelihatan sedang menghadapi masalah pernafasan.

Cara hilangkan dengkur pada bayi

Ada beberapa cara hilangkan dengkur pada bayi yang anda boleh cuba di rumah iaitu:

#1. Gunakan pelembap (humidifier)

Pelembap berfungsi untuk memastikan udara lembap dan membantu melegakan saluran pernafasan yang tersumbat.

Pelembap udara hangat adalah yang terbaik untuk membantu mengelakkan bayi berdengkur. Anda juga boleh memandikan si manja dengan air suam terlebih dahulu sebelum tidur.

#2. Bersihkan tempat tidur

Apa-apa sahaja barangan dalam bilik yang boleh mengumpul habuk atau debu perlulah dikeluarkan. Pastikan permaidani atau karpet di ruang tidur bayi adalah bersih dengan menggunakan peralatan hampagas (vakum).

Sekiranya mampu, pasang sebuah penapis udara bagi memastikan peredaran udara dalam bilik bayi adalah bersih.

#3. Elakkan bayi dari asap rokok

Jauhkan anak daripada asap rokok. Jangan merokok atau biarkan orang lain merokok di sekeliling anak anda atau di rumah. Merokok boleh meningkatkan risiko bayi dengkur ketika tidur.

#4. Tetapkan rutin tidur

Satu cara untuk membantu bayi tidur lebih nyenyak adalah dengan mengambil langkah meningkatkan kebersihan tidur mereka, termasuk tabiat dan persekitaran yang berkaitan dengan tidur.

Contohnya termasuklah menetapkan jadual tidur yang konsisten, mengurangkan pendedahan cahaya dan masa skrin sebelum tidur, dan menyediakan bilik tidur mereka senyap dan selesa yang mungkin.

Cara hilangkan dengkur melalui kaedah pembedahan

Biasanya, doktor akan mempertimbangkan supaya melakukan pembedahan untuk membuang tonsil dan adenoid, yang dikenali sebagai adenotonsillectomy.

Ia adalah salah satu rawatan utama untuk kanak-kanak yang mengalami gangguan pernafasan tidur atau mengalami apnea tidur yang teruk.

Kaedah pembedahan dilakukan bertujuan untuk menghapuskan tisu yang kerap menghalang saluran pernafasan, mengurangkan masalah bayi berdengkur dan sukar bernafas pada waktu malam.

Semoga artikel ini membantu.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Jadual Tidur Bayi Tak Sama Setiap Umur, Jangan Panik! Tapi Ini 6 Sebab Tidur Bayi Terganggu

Baca juga: Baring Terlentang Adalah Posisi Bayi Tidur Paling Baik, Elak Lemas & Mati Mengejut!

Baca juga: Alahai Comelnya Bayi Tersenyum Ketika Tidur, Tapi Apa Maksudnya? Betulkah Dia Mimpi Bermain Dengan Uri?