Setiap ibu semestinya akan rasa berdebar untuk menempuh detik kelahiran. Lebih-lebih lagi jika ia merupakan pengalaman kali pertama. Namun anda jangan risau kerana ramai ibu di luar sana yang berpeluang bersalin tanpa epidural (kelahiran normal).
Apa yang paling penting adalah mengutamakan gaya pemakanan sihat serta aktif bergerak sepanjang tempoh kehamilan. Ini sekaligus memudahkan proses bersalin dan mengurangkan masa anda berada di hospital.
Pengalaman bersalin tanpa epidural
Menurut perkongsian oleh Nina Salleh, dia bersyukur dapat bersalin tanpa epidural anak pertamanya.
Saya kongsikan pengalaman peribadi bersalin tanpa epidural sebagai memori dan semoga dapat beri panduan untuk ibu yang bakal bersalin nanti.
Namun ia boleh jadi berbeza mengikut individu. Tak ada yang boleh beri formula mudah untuk bersalin. Apa pun kena hadapi sahaja.
#1. Rasa sakit perut
Pada tengahari Khamis, saya solat Zuhur dalam keadaan perut sakit. Sakit kali ini tidak seperti sebelum ini yang tidak konsisten dan hanya Braxton-hicks.
Sebelum ni pun dua kali juga pergi kami ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tu gara-gara Braxton-Hicks contraction atau kontraksi palsu.
Maklumlah pertama kali pengalaman melahirkan anak, maka semuanya akan menggelabah lebih, itu yang sampai 2 kali ke wad bersalin HKL.
Beza sakit Braxton-Hicks dengan real contraction adalah sakitnya hanya di bahagian perut sahaja. Hanya perut sahaja yang mengeras. Manakala kalau real contraction sakitnya bukan setakat perut, sampai tarik bahagian belakang dan bahagian celah kangkang pun terasa.
Untuk ibu yang pertama kali mengandung, elakkan fikir dan sebut “tak tahu macam mana sakit” sebab bila sampai masa automatik kita akan dapat rasa tu.
Jangan jadi macam saya juga yang menggelabah terlebih. Namun perlu segera ke hospital jika ada rasa pergerakan bayi dalam kandungan berkurang.
#2. Rasa sakit makin kerap
Selepas solat, saya tidur sekejap dan berharap supaya sakit hilang. Bila bangun, ia masih terasa. Saya sempat lagi baca balik perbualan di Facebook dengan kawan-kawan yang dah selamat bersalin, cari balik tips untuk mudahkan bersalin dan tanya macam mana sakit yang sebetulnya mereka rasai.
Tetapi saya masih bertahan. Sakit yang konsisten, berulang-ulang dalam masa 10 minit. 2 hingga 3 minit setiap kali perut mengeras.
Bila suami balik waktu malam, sakit masih terasa. Sempat saya minta suami bawa pergi makan nasi kerabu dengan pulut mangga. Suami dah ajak pergi hospital, tapi saya masih berdegil dengan alasan malas nak tunggu lama kalau-kalau kena tahan di wad nanti akan terasa lagi sakit.
Dalam fikiran saya adalah lebih baik tahan sakit di rumah saja selagi masih boleh namun tetap berjaga-jaga kalau-kalau ada pendarahan, lendir atau ketuban yang keluar.
Sebenarnya waktu Zuhur sudah ada vaginal show, tapi pada waktu malam dalam jam 12 lebih banyak lagi keluar bloody show, tapi saya masih bertahan di rumah.
#3. Air ketuban pecah
Berkali-kali saya cuba untuk lelapkan mata dari pukul 12 malam, kemudian pukul 2 pagi , pukul 4 pagi asyik terjaga. Pukul 5 saya sudah siap-siap mandi, dan bersedia untuk solat Subuh.
Pukul 5.30 pagi, lebih kurang 10minit nak Subuh, saya berdiri dalam keadaan menahan sakit dan bersedia untuk solat, tiba-tiba terasa laju air mengalir dari bawah vagina. Habis basah telekung dan sejadah, tapi tak dapat tahan air tetap keluar. Itulah air ketuban yang keluar.
Baru la betul-betul saya dan suami menggelabah dan terus bersiap untuk ke hospital. Saya masih ingat waktu Subuh hening tu hujan agak lebat, kami pula menginap di rumah tingkat 8, masa ni juga suami saya dah bising membebel sebab dari semalam dia ajak ke hospital tapi saya menolak.
Masuk dalam kereta, suami pulak tertinggal telefon. Nak taknak kena naik ambil sebab penting nanti macam mana nak berhubung kalau ada apa-apa hal. Dari tadi dia sibuk fikirkan barang untuk bawa ke hospital sampaikan tertinggal barang sendiri.
#4. Sampai di hospital
Sampai di HKL jam 6 pagi. Saya terus masuk ke Patient Admission Centre (PAC) Wad Bersalin HKL, syukur juga sebab saya dah ada buka file dan ada rekod di sini. Jadi masa menunggu tidak terlalu lama.
Di PAC, saya perlu tukar baju, ambil sample air kencing untuk memastikan tidak ada jangkitan kuman, buat pemeriksaan tekanan darah, berat badan, vaginal examination (cek jalan) dan doktor bertugas melakukan ultrasound scan untuk lihat kedudukan dan juga berat anggaran bayi.
Masa tengah pemeriksaan semua ni memang sakit teramat sangat dah, hampir tak tertahan. Mulut dah basah dengan istighfar dan doa Nabi Yunus. Waktu cek jalan, saya ingatkan sudah 7/8/9 cm , rupanya baru 4cm.
Sungguh mengecewakan sebab fikirkan lama lagi nak tahan sakit. Kelahiran pertama memang dijangkakan ambil masa dalam 10-12 jam untuk jalan terbuka sepenuhnya, baru boleh meneran.
Lepas dapat tahu baru 4cm jalan terbuka, dalam hati memang rasa tak dapat nak tahan dah kalau sakit macam ni sampai 10 jam.
Terfikir nak minta operate, nak cucuk epidural , nak ubat tahan sakit sebab tak tahan. Tapi di satu sudut fikir jugak, saya dapat sakit macam ni sebab Allah bagi rasa. Kalau tidak mampu, takkan Allah nak bagi rasa sakit macam ni.
#5. Perut memulas dan ingin buang air besar
Perut rasa memulas macam nak buang air besar, bila masuk tandas memang tak boleh membuang pula. Nak teran lebih-lebih nanti risau baby pulak yang terkeluar.
Lama sangat tunggu nak membuang dalam toilet sampaikan staff nurse ketuk pintu suruh keluar sebab dia risau kita terberanak dalam tandas. Lepas keluar tandas, kena ready untuk masuk labor room sebab dah 4cm maksudnya memasuki “active phase of labour” dah.
Waktu atas kerusi roda sementara tunggu ke labour room, istighfar banyak-banyak dan baca segala doa yang ingat.
Minta supaya dipermudahkan dan selamat semua. Lama juga atas kerusi roda menunggu masa untuk ditolak ke atas sementara suami daftarkan di kaunter.
#6. Situasi dalam bilik bersalin
Sampai labor room, dengan rasa sakitnya seluruh belakang, dari pinggul ke perut terasa bagai dipulas-pulas. Perlu tukar dari kerusi roda naik ke atas katil. Bila baring, tak boleh nak mengiring untuk kurangkan kesakitan.
Perlu terlentang sebab pasang cardiotocography (CTG) untuk periksa keadaan bayi. Saya dah tak tertahan rasa sakit memang nak meneran sangat dah. Lepas saja doktor tanya sikit-sikit, hanya tinggal midwife dan saya dalam bilik. Kemudian saya terus beritahu,
‘Saya memang dah tak tahan nak terberak ni kak. Minta tolong cek jalan’
Staf bidan tadi terus semak rekod pendaftaran di PAC tadi, beliau kata baru 4cm. Tapi atas sebab nampak memang dah tak tahan sakit, dia cek jalan lagi sekali, dah 9cm katanya.
Lepas tu cepat-cepat dia siapkan set dan alat-alatan, dan dia beritahu begini, ‘okay,kalau sakit je boleh teran’. Saya dengan rasa tak percaya pun ada, terus tanya dia, ‘saya dah nak bersalin ke???!’
Lawak sungguh kalau teringat balik, sempat lagi gelak sikit-sikit sebab macam dalam mimpi, dah nak jadi ibu.
Dalam hati, okay dah boleh push ni. Bila perut mengeras maknanya ada contraction je terus saya teran sekuat hati, suami di sebelah genggam erat tangan dan bagi kata-kata semangat, ‘Sayang boleh,sayang kuat’.
Alhamdulillah, jam 7.34 pagi Jumaat (8/11/13) saya selamat lahirkan seorang bayi perempuan yang sihat dan sempurna sifatnya dengan berat 2.8KG dan kami namakan Amanda Imani binti Mohd Farid.
Semoga anak ini membesar menjadi sebagaimana namanya, disenangan orang sekeliling dan disayangi seluruh yang ada di langit dan di Bumi. Ameen ya Rabb. I am now a mother.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tips Mudah Bersalin Tanpa Koyak & Jahit, Ramai Ibu Dah Cuba Memang Berkesan!
Baca juga: 10 Hospital Bersalin Swasta Terbaik Sekitar KL & Selangor Berserta Kos Bayaran
Baca juga: Nak Mudah Bersalin, Isteri Kena Hormat & Taat Pada Suami? Wanita Ini Kongsi Kisah Sebenar
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!