Pengurusan uri selepas bersalin antara perkara penting perlu dilakukan oleh para suami atau ahli keluarga terdekat. Bagi anda yang baru pertama kali, pastinya kurang pengetahuan tentang cara cuci uri bayi dan cara tanam uri dengan betul kan?
Justeru dalam artikel ini kami kongsikan panduan lengkap mengenai uri bayi, cara basuh uri, cara tanam uri dan pengurusan uri selepas bersalin bagi memudahkan anda melakukannya.
Cara cuci uri bayi selepas bersalin
Antara tanggungjawab penting suami perlu tahu dan pelajari ialah pengurusan uri bayi selepas bersalin atau juga dikenali sebagai ‘placenta’.
Uri adalah sebahagian daripada bayi, dan kerana itu ia perlu dijaga. Kata orang tua-tua, uri dan bayi ni sebenarnya kembar. Uri ini lah kawan bayi masa dalam perut.
Masa bayi hendak dilahirkan uri dan bayi ini berinteraksi sesama sendiri. Masing-masing suruh keluar dulu. Uri suruh bayi, bayi suruh uri.
Uri pun cakap pada bayi, kalau dia keluar dulu, ibu dalam bahaya. Jadi nak tak nak bayi kena lah keluar dulu dan uri akan jaga ibu. Lepas bayi keluar baru lah doktor atau jururawat akan keluarkan uri dan jahit tempat bersalin.
Oleh kerana uri tersebut keluar dari faraj isterinya, maka suamilah yang sebaik-baiknya mencuci uri dan menguruskannya.
Sebenarnya tiada hukum, nas atau hadis yang jelas mengenai pengurusan uri selepas bersalin. Cuma sesuatu anggota tubuh apabila tidak dikehendaki digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik.
Menurut lama Mufti Wilayah Persekutuan, jika uri bayi dibuang sahaja pun, tidaklah menjadi dosa tapi seelok-eloknya uri dibasuh dan ditanam supaya tidak kotor dan berbau busuk yang mungkin akan menimbulkan masalah kepada orang lain pula.
Berikut cara cuci uri yang betul:
- Mulakan dengan baca Bismillahirahmannirrahim.
- Cuci uri bayi dengan bersih, hilangkan darah-darah. Jangan guna sabun/shampoo.
- Bilas dengan air bersih sambil berselawat dan doa yang baik-baik (Untuk pastikan uri tersebut bersih dan suci.
- Cuci uri dengan garam. Lumurkan garam dan cuci bersih-bersih.
- Cuci uri dengan asam jawa. Lumurkan asam jawa dan cuci bersih-bersih. (Untuk hilangkan bau hanyir darah). Bau hanyir darah boleh menarik deria binatang untuk menggali dan memakannya.
- Perahkan limau ke atas uri hingga naik bau limau dan untuk harumkan uri. Boleh juga ditanam bersama garam dan asam jawa bagi tujuan untuk mengelakkan binatang liar menggali dan memakan uri tersebut.
- Letakkan dalam plastik/bekas mudah reput seperti plastik tesco/kotak mudah reput. Ini bagi menghalang air basuhan bercampur darah daripada menitik merata-rata ketika hendak membawanya nanti.
- Boleh juga diikat di dalam kain (tak semestinya kain putih) seperti sup bunjut. Ini untuk memudahkan kita membawanya ke tempat yang yang hendak ditanam.
- Gali tanah sedalam mungkin, agak-agak tidak dibau/dikesan dan dikorek anjing nanti atau binatang-binatang lain nanti
- Baca Bismillahirahmannirrahim dan selawat semasa letakkan uri dalam dalam dan timbus.
- Tanam ditempat yang bersih dan selamat. Contohnya perkarangan surau/masjid.
- Letak batu sebagai tanda bagi memastikan tidak digali oleh anjing dan binatang lain.
- Jangan letak lilin, paku dan barangan yang boleh mendatangkan syirik dan khurafat.
Doa basuh uri
Tidak ada doa basuh uri yang khusus untuk dibacakan semasa tanam uri bagi menjamin menjadi anak yang soleh atau solehah. Cukup sekadar baca Bismillah, Al-Fatihah dan banyak berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad (S.A.W).
Bolehkah basuh uri waktu malam
Ada juga sesetengah ibu ayah yang bertanya, “macam mana kalau kami dapat uri pada waktu malam? Adakah perlu basuh uri waktu malam dengan segera ataupun boleh disimpan sahaja dulu?”
Sebagai pengetahuan, adalah tidak wajib untuk anda terus basuh uri waktu malam dan menanam uri tersebut pada hari yang sama.
Anda boleh menyimpan dahulu bungkusan uri tersebut di dalam peti sejuk namun dengan bungkusan yang sesuai dan berbeza.
Pantang larang tanam uri
Pantang larang tanam uri yang perlu ibu ayah tahu adalah:
- Uri jangan dibuang atau ditinggalkan di hospital
- Uri adalah teman rapat/kembar bayi semasa didalam kandungan dan uri amat penting kepada bayi
- Uri perlu ditanam dengan segera bagi mengelakkan uri busuk
- Jangan disimpan uri hingga dua tiga hari baru dibasuh. Orang tua kata tidak elok. Kalau boleh, cepat-cepat basuh. Contohnya, kalau dapat uri pagi, petang dah tanam.
- Simpan di peti ais beku jika tak sempat basuh uri tersebut pada hari yang sama/segera. Uri perlu diuruskan dengan baik.
- Jangan mengikut kepercayaan karut-marut masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun seperti letak pensel jika ingin anak pandai atau paku untuk elak gangguan makhluk halus.
Hukum menanam uri
Hukum menanam uri adalah HARUS (JAKIM). Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
Uri orang-orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri bayi untuk dicuci dan ditanam.
Amalan menanam uri bayi dengan lada hitam, paku, pensil dan sebagainya adalah amalan khurafat.
Perangai anak anak tidak ada hubung kait dengan dimana atau bagaimana uri diuruskan. Semuanya bergantung pada didikan yangf]g diberikan ibu bapanya.
Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam.
Cara keluarkan uri selepas bersalin
Setiap wanita akan mengalami pengalaman bersalin yang berbeza, begitu juga dengan cara keluarkan uri selepas bersalin.
Kebiasaannya, uri akan keluar dengan sendiri dalam masa 15 hingga 30 minit. Sekiranya tempoh melebihi setengah jam dan uri masih berada di dalam rahim, keadaan ini dipanggil sebagai masalah uri melekat.
Namun jangan risau, hanya dua peratus sahaja wanita bersalin mengalami masalah ini. Berikut cara keluarkan uri selepas bersalin yang akan dilakukan doktor:
- Menggunakan tangan: Doktor akan mula memasukkan tangan ke dalam rahim dan menarik keluar sisa uri yang melekat setelah ubat bius diberikan.
- Menarik tali pusat: Jika diingat kembali, tali pusat bayi selalunya akan dipotong setelah dilahirkan namun berbeza dengan ini yang mana doktor akan menarik talipusat secara perlahan sehingga keluar jika plasenta sudah terpisah dari dinding rahim namun tak boleh keluar.
- Curettage: Langkah ini dilakukan untuk membersihkan sisa-sisa yang menempel di dinding rahim.
- Histerektomi: Langkah ini dilakukan jika uri tertanam terlalu dalam di dinding rahim. Yang menyedihkan adalah proses ini dilakukan dengan cara mengeluarkan rahim si ibu yang menyebabkan ibu tidak boleh hamil lagi.
Cara keluarkan uri selepas bersalin ini adalah sangat penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan si ibu terjamin. Hal ini kerana uri yang tidak dikeluarkan atau tertinggal di dalam rahim akan memberi kesan negatif kepada si ibu dan boleh mengundang maut.
Pengalaman uri tertinggal
Uri adalah organ yang terbentuk di dalam rahim yang membolehkan berlaku pemindahan nutrien, oksigen dan air daripada ibu ke anak.
Apabila bayi dilahirkan uri tidak lagi diperlukan dan ia secara spontan akan merekah dari rahim dan keluar semasa pengecutan rahim.
Walau bagaimanapun, pada segelintir wanita proses ini tidak berlaku menyebabkan mereka berdepan pengalaman uri tertinggal dalam rahim dan berlakulah keadaan Terlekat Uri.
Uri boleh terlekat secara keseluruhan atau cuma sebahagian kecil sahaja yang tertinggal. Jika cuma sedikit uri saja yang tertinggal, diagnosa mungkin sukar dibuat sehinggalah wanita mula mengalami gejala kesan dari uri yang tertinggal.
Golongan berisiko masalah uri tertinggal adalah:
- Pernah menjalani Prosedur D&C sebelumnya
- Mempunyai sejarah tertinggal uri pada kelahiran sebelumnya
- Bersalin Pra-matang atau mengalami kematian bayi
- Bentuk Rahim tidak normal
- Proses Bersalin yang Lama (Prolonged Labour).
Tanda uri tertinggal
Gejala yang kerap terjadi apabila uri terlekat termasuk:
- Pendarahan berterusan selepas bersalin atau tumpah darah
- Demam
- Darah nifas berbau busuk
- Sakit perut berterusan
Uri lekat semasa bersalin caesarean
Dalam keadaan yang amat jarang berlaku dimana semasa pembedahan c-section, uri didapati melekat dengan kuat dan tidak dapat ditarik keluar dari rahim.
Ini kerana uri bercantum dengan otot rahim dan usaha untuk memisahkannya menjadi mustahil. Keadaan ini dipanggil placenta accreta iaitu merupakan jenis uri terlekat yang sangat serius.
Placenta Accreta boleh membahayakan nyawa kerana akan berlaku tumpah darah yang banyak. Cara rawatan yang ada cuma dengan Pembedahan Membuang Rahim (Hysterectomy).
Jika anda mengalami gejala di atas selepas bersalin, jumpa doktor anda dengan segera.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penting Untuk Bapa Baru, Panduan Bersihkan Uri & Cara Tanam Uri Yang Betul
Baca juga: Jangan MENGARUT, Uri Melekat Selepas Bersalin Tiada Kaitan Dengan Pemakanan!
Baca juga: Apa Perlu Ibu Buat Selepas Bersalin Di Labour Room? Ini 10 Tips Buat Ibu Kali Pertama!