Bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan pada usia 8 hingga 14 tahun pasti anda alami keadaan ini. Mereka tiba-tiba hilang keyakinan diri, sedangkan sebelum ini tidak begitu. Jadi bagaimana cara meningkatkan keyakinan diri mereka?
Menurut penulis buku, Katty Kay and Claire Shipman, The Confidence Code: The Science and Art of Self-Assurance – What Women Should Know soal selidik yang dilakukan, memang menemui bahawa pada usia begini memang ada kemungkinan anak perempuan anda akan mengalami kemerosotan keyakinan diri mereka.
Keyakinan diri mereka pada usia ini dikatakan boleh turun sebanyak 30 peratus daripada sebelumnya. Mengapakah ia terjadi?
Baca juga: 10 cara ibu bapa boleh menghancurkan keyakinan diri anak sendiri
Cara meningkatkan keyakinan diri anak perempuan
Menurut kajian dua penulis ini, harapan orang sekeliling menjadi antara faktor yang membuatkan mereka kehilangan keyakinan diri.
Pencapaian dan perspektif menjadi yang terbaik terutama daripada kedua-dua ibu bapa meningkatkan lagi kerisauan anak gadis ini dan menyebabkan keyakinan diri mereka sedikit menurun.
Selain itu, tekanan daripada media sosial pada zaman kini meningkatkan lagi tekanan. Mereka mula rasa down apabila tidak dapat menjadi cantik seperti rakan sebaya lain di media sosial.
Anak perempuan ini lahiriahnya adalah mahu memuaskan hati semua orang, jadi disebabkan itu jika mereka gagal atau rasa tidak boleh memenuhi apa yang diharapkan orang lain, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan diri anak-anak ini.
Bahayakan? Ini sekaligus akan menyebabkan mereka hilang keyakinan diri dan boleh menjadi seorang yang tidak kuat mentalnya apabila dewasa kelak.
Sebagai ibu bapa, apa patut anda lakukan?
Menurut, laporan hellodoktor, berbanding kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan memulakan kehidupan mereka dengan lebih berkeyakinan apabila mereka dapat bersosial dengan lebih baik dan menunjukkan prestasi memberangsangkan di sekolah.
Namun, apabila mula menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, semua tekanan sosial, rasa ingin dipunyai dalam kelompok rakan-rakan (sense of belonging) malah harapan daripada keluarga dalam bidang akademik, keinginan berpenampilan menarik, membuatkan mereka cenderung rasa ketinggalan dan tidak berkeyakinan.
Sebagai ibu bapa, apa yang patut anda lakukan untuk mengembalikan keyakinan buat anak perempuan anda untuk melangkah ke alam dewasa?
#1. Tetap pendirian
Galakkan anak perempuan anda untuk menyatakan hasrat dan keinginan kepada individu lebih dewasa dan berpegang teguh pendiriannya di hadapan rakan-rakan.
Jika terdapat kanak-kanak lain yang mengejek atau mengganggunya, didiklah dia bagaimana untuk bersikap tegas dalam kesantunan menyatakan pendirian seperti “Saya rasa saya tidak suka dengan cara anda.”
Jadikan mereka seorang yang tetap pendiriannya supaya tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain. Ini juga penting bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa buli di sekolah.
#2. Pujian tertentu
Apabila anak anda berjaya memperoleh sesuatu contohnya mendapat tempat terbaik dalam kelasnya, jangan lokek untuk berikan pujian.
Elakkan pujian yang terlalu umum dan biasa didengari seperti ‘awak sudah lakukan yang terbaik; sebaliknya, cuba masukkan sedikit elemen ‘personal’ supaya dia rasa lebih dihargai dan diraikan.
Contoh, katakanlah “Awak memiliki ingatan yang hebat, sayang. Tidak sia-sia ibu teman awak buat matematik setiap malam”.
#3. Ajar mereka untuk bersedia ‘kecewa’
Jelaskan kepada anak anda bahawa bukan semua individu mempunyai persamaan dengan dia.
Seandainya, dia tidak terpilih untuk bermain dalam sesebuah pasukan atau mewakili sekolah, tanamkan di dalam dirinya dengan kata-kata semangat seperti, “Tak mengapalah, mungkin bukan kali ini, tapi jangan putus asa kerana, jika awak percaya awak layak menyertai pasukan, maka ambillah peluang ini untuk terus berlatih dan jadi yang terbaik, bukan untuk ibu atau pasukan, tetapi untuk buktikan pada diri awak.”
Katakan juga, ia bukanlah satu masalah besar atau satu perkara memalukan jika tidak terpilih, mungkin ada peluang untuk sertai aktiviti lain selepas ini.
Selain itu, jika ada antara kawan-kawannya yang mengatakan mereka tidak mahu berkawan dengan anak anda, terangkan kepadanya, mereka mungkin berada dalam keadaan emosi yang tidak baik. Jangan ambil hati, bukan semua masalah datang dari dirinya. Cari saja kawan lain yang lebih menghargai dirinya.
#4. Proaktif
Jika anak anda berdepan masalah dalam kehidupan sehariannya, sama ada berkaitan kerja sekolah atau kerja-kerja membantu anda di rumah, jangan terus beri bantuan kepadanya.
Sebaliknya, dorong dia untuk mencuba dengan pelbagai cara. Berikan dia masa untuk meneroka kebolehan dan potensi diri.
#5. Beri dia peluang buat keputusan, jangan stereotaip
Jangan membuat andaian tentang kebolehan dan kelemahan anak anda. Elakkan sikap stereotaip dengan menganggap kanak-kanak perempuan hanya sesuai dalam bidang sastera.
Berikan dia peluang untuk membuat pilihan. Sebaik sahaja dia menyedari kelebihan dirinya, bantu untuk meningkatkan kebolehan diri dan memperbaiki kelemahannya.
Pastikan anak perempuan anda tidak merasa sebarang kekurangan jika dibandingkan dengan kanak-kanak lelaki, malah terapkan kepadanya, setiap daripada manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber: Katty Kay and Claire Shipman, hellodoktor
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!