Petua tradisional dari atuk nenek mungkin cara merawat anak yang salah
Setiap datuk dan nenek pasti sangat sayang cucu mereka dan tidak akan memberi petua cara merawat anak yang salah dengan sengaja.
Saya jamin tiada orang lain yang lebih bersemangat untuk membantu anda dalam hal membesarkan anak, melainkan datuk nenek.
Namun, kadang-kadang datuk nenek boleh memudaratkan cucu tanpa disedari, akibat amalan tradisional yang diberi walaupun mereka berniat baik.
Satu kajian telah dibentang pada Persidangan Akademik Pediatrik 2017 baru-baru ini.
Dr Andrew Adesman, Ketua Pediatrik Pembangunan dan Tingkah Laku di Pusat Perubatan Kanak-kanak Cohen, New York yang membentangkan kajian.
Kajian itu melibatkan 600 datuk nenek yang menjawab soal selidik berkaitan keselamatan kanak-kanak.
Mereka ingin mengkaji pengetahuan datuk nenek memandangkan ramai yang jadi pengasuh kepada cucu apabila anak mereka keluar bekerja.
Seorang pengasuh kanak-kanak terlatih tidak akan menggunakan cara rawatan anak yang salah kerana mereka telah mengambil khusus keselamatan dan pertolongan cemas.
Sebaliknya, kajian itu mendapati kebanyakan datuk nenek masih percaya dan mempraktikkan petua dari 20 – 30 tahun dahulu.
Dan, berdasarkan bukti terkini, sesetengah amalan ini telah dilabelkan sebagai tidak selamat oleh Persatuan Pediatrik Amerika.
Apakah amalan dan cara merawat anak yang salah?
Apabila menjaga cucu dalam jangka masa yang lama, datuk dan nenek perlu menguruskan 3 perkara asas: makanan, masa tidur dan masa bermain.
Kadang-kadang, cucu mungkin sakit dan datuk neneklah yang kena jaga. Namun, datuk nenek didapati sering melakukan 3 amalan yang salah ini.
3 daripada amalan dan cara merawat anak yang salah ini melibatkan cara anak tidur dan apa perlu dilakukan apabila anak demam.
Mari lihat apa yang salah dalam perbuatan-perbuatan ini.
1# Biar anak tidur meniarap
Ramai orang tua akan menggalakkan ibu bapa meniarapkan anak apabila mereka tidur supaya mereka boleh tidur dengan lebih nyenyak dan lama.
Ada yang tidak kisah cara anak tidur, asal dia tidur. Tapi, apabila bayi di bawah usia 6 bulan tidur meniarap, ini sangat membahayakan.
Anak tidur meniarap telah dikaitkan dengan Sudden Infant Death Syndrome (SIDS), di mana ramai bayi kecil meninggal akibat lemas.
Apabila bayi tidur meniarap, dia berisiko untuk lemas.
Anak kecil belum pandai mengangkat atau mengalih muka mereka jika terhempap atas tilam katil.
Dia belum pandai meminta pertolongan atau menyelamatkan diri dan isyarat kecemasan ini mungkin tidak akan disedari penjaganya.
2# Guna selimut dan permainan kanak-kanak yang lembut dalam katil bayi
Objek longgar terbukti sangat bahaya untuk bayi.
Memang ada anak yang mesti tidur bersama teddy bearnya, ada bantal busuk atau selimut kegemaran. Kebanyakan datuk nenek akan menganggap benda ini sebagai tidak bahaya.
Tempat tidur yang selamat untuk bayi adalah katil yang tidak ada bantal atau alas bumper.
Alas katil pula perlu diselit sehingga permukaannya rata, ketat dan tidak mempunyai lipatan.
3# Mandi air sejuk untuk menurunkan suhu badan
Ini adalah cara tradisional untuk merawat demam dan juga cara merawat anak yang salah.
Penemuan baru membuktikan amalan ini boleh menyebabkan hipotermia dan akhirnya bayi itu tidak responsif.
Aspirin juga tidak patut diberi semasa demam kerana ia boleh menyebabkan sindrom Reye, sejenis keadaan serius yang menyebabkan hati dan otak bengkak.
Cara yang betul apabila kanak-kanak demam adalah dengan menghubungi doktor.
Paracetamol selamat untuk kanak-kanak mengikut dos yang sepatutnya. Dos yang betul bergantung kepada berat badan dan usia kanak-kanak itu dan ia adalah penting mereka makan ubat mengikut dos terkini.
Tips untuk datuk nenek
Kebanyakkan kita percaya yang ibu bapa kita sendiri adalah penjaga dan pengasuh terbaik.
Ini ada kebenarannya, kerana kita tahu mereka sangat sayang dengan cucu dan pasti akan menjaga mereka dengan baik.
Tapi ini tidak bermakna mereka lebih pakar dari seorang pengasuh terlatih.
Tindak balas datuk dan nenek mungkin terhad kerana umur mereka yang semakin tua dan mereka juga kurang latihan atau sudah lupa cara penjagaan anak.
Walaupun begitu, datuk nenek tidak terlalu tua untuk menimba ilmu baru tentang cara penjagaan anak yang betul:
- Madu TIDAK boleh diberikan kepada bayi di bawah 1 tahun. Sebenarnya lebih selamat jika ia diberi selepas kanak-kanak berusia 2 tahun.
- Aspirin TIDAK boleh digunakan apabila demam untuk kanak-kanak dan remaja di bawah 19 tahun.
- Apabila kanak-kanak tumbuh gigi, ini TIDAK akan menyebabkan demam tinggi.
- Mandi ais/air sejuk TIDAK boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan yang tinggi pada kanak-kanak.
- TIDAK selamat untuk membiarkan bayi tidur di sisinya.
- Telinga TIDAK patut dibersihkan dengan putik kapas.
- JANGAN gunakan alkohol gosok kerana ia boleh diserap melalui kulit bayi.
- Makanan seperti sayur-sayuran mentah, anggur dan sosej boleh meninggikan risiko anak tercekik terutamanya untuk kanak-kanak di bawah 3 tahun. Potong hingga jadi kepingan kecil sebelum berik pada anak.
- Jika hidung kanak-kanak berdarah, galakkannya untuk bersandar ke hadapan dan dengan perlahan-lahan picit bahagian lembut pada batang hidung dengan menggunakan kain. Pastikan anak dapat bernafas dan JANGAN suruh kanak-kanak untuk menyandar ke belakang.
Kongsi tips ini bersama mereka supaya mereka lebih berpengetahuan untuk menjaga anak anda.
Artikel ini telah diterbitkan semula dari theAsianparent Singapore
Baca juga:
10 Cara Atuk Nenek Selalu Kepoh Apabila Ibu Bapa Mengajar Anak