Bahagian Faraj Gatal & Tidak Selesa? Ini Jenis Penyakit Kelamin Yang Anda Perlu Tahu

Ketika melakukan seks, seseorang terdedah dengan beberapa jenis penyakit kelamin. Penyebarannya tanpa sebarang gejala memerlukan anda sentiasa waspada!

Beberapa jenis penyakit kelamin sering dihidapi oleh golongan wanita yang terjadi melalui hubungan seks sama ada melalui cara oral, dubur atau faraj. Anatomi bahagian faraj telah menjadikan kaum wanita lebih cenderung untuk dijangkiti penyakit ini berbanding lelaki.

Walau bagaimanpun, dalam kebanyakan jenis penyakit kelamin tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga pesakit tidak menjalani rawatan perubatan dengan kadar segera.

Jenis penyakit kelamin wanita

Kredit: Freepik

Tidak dinafikan bahawa penyakit kelamin ini berupaya mengakibatkan masalah kesuburan dan meningkatkan risiko menghidap kanser pangkal rahim untuk jangka masa panjang.

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti rasa gatal pada bahagian faraj, ruam, kutil pada alat sulit, keluar lendir yang pelik serta rasa sakit ketika melakukan hubungan seks, pastikan segera mendapatkan nasihat dari doktor.

Antara jenis-jenis penyakit kelamin ialah:

#1. Chlamydia

Jangkitan jenis Chlamydia merupakan jangkitan yang paling biasa berlaku dalam kalangan wanita. Rawatannya sangat mudah dengan menggunakan ubat antibiotik, namun jika anda enggan dan membiarkannya, ia berpotensi menjejaskan ketidaksuburan.

Jenis penyakit kelamin ini tidak memberikan sebarang tanda bagi pesakit wanita, tetapi mungkin pesakit akan mengalami gejala yang tidak spesifik seperti keputihan berbeza atau radang saluran air kencing.

#2. Gonorrhea

Ia adalah jangkitan bakteria yang sering menyerang lelaki dan wanita. Bagi penghidap penyakit kelamin jenis ini, anda akan mengalami lendir bernanah dan salur kencing sakit semasa kencing.

Doktor akan melakukan ujian dan merawat anda dengan antibiotik semasa proses pemeriksaan kesihatan.

#3. Genital Herpes

Kredit: Heilpraxis

Penyebab penyakit herpes ini melibatkan virus herpes simplex. Majoriti pesakit yang dijangkiti tidak mengalami sebarang gejala tetapi mungkin akan demam, ruam melepuh serta ulser pada bahagian kemaluan.

Virus ini tidak dapat dihapuskan daripada badan, namun terdapat ubat antiviral mampu mengurangkan simptomnya.

#4. Human Papillomavirus (HPV)

Jangkitan HPV boleh mengakibatkan ketumbuhan ketuat pada sekitar faraj serta dubur. Ia mungkin menyebabkan rasa sakit atau gatal. 

Anda yang menghidap jangkitan HPV terdedah dengan kanser pangkal rahim dan terdapat vaksin khusus untuk mencegah jangkitan dari terus mengganas.

#5. Kutu pada bahagian kemaluan (Pubic lice)

Kutu tidak hanya wujud pada bahagian atas kepala sahaja, tetapi ia turut berada dalam bulu kemaluan yang mengakibatkan rasa gatal serta bintik-bintik kebiruan akibat gigitan kutu.

Pastikan anda menggunakan ubat sapu dan syampu khas untuk membasmi masalah ini.

#6. Sifilis

Penyakit sifilis disebabkan oleh bakteria Treponema palidum. Gejala awalnya adalah pesakit mengadu terdapat ulser yang tidak sakit pada bahagian faraj dan mengalami ruam pada tapak kaki dan tangan.

Sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan, ia berisiko mengakibatkan masalah jantung dan sistem saraf.

#7. Trichomoniasis

Berdasarkan beberapa kes, sebanyak 70% kes pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Namun, anda mungkin akan berasa gatal, keluar lendir dengan bau busuk atau sakit semasa mengadakan hubungan kelamin.

Golongan lelaki pula tidak menunjukkan sebarang tanda, tetapi sering menjadi pembawa penyakit kelamin terhadap pasangan.

#8. HIV

Kredit: BBC

Penyakit HIV boleh berjangkit melalui darah atau cecair keluaran badan seperti lendir faraj dan air mani. Pada mulanya, anda mungkin mengalami demam atau sakit sendi. HIV hanya dapat dikenalpasti melalui ujian darah yang dilakukan.

Jika dibiarkan lama-kelamaan tanpa rawatan, virus HIV akan merosakkan sistem imunisasi pesakit sehingga membawa maut kerana tubuh tidak berupaya melawan penyakit.

Setakat ini HIV tidak dapat dirawat sepenuhnya, namun terdapat beberapa jenis ubat dapat melambatkan kerosakan terhadap sistem imunisasi badan.

#9. Penyakit radang pelvis 

Penyakit ini merupakan jangkitan kuman pada sistem reproduktif wanita termasuklah organ tiub Fallopio, rahim dan ovari. Ia biasanya disebabkan oleh bakteria chlamydia atau gonorrhea ataupun kedua-duanya sekali.

Penyakit ini memerlukan masa yang agak lama sehingga mendatangkan komplikasi lain seperti kitaran haid tidak menentu, kemandulan, mengandung luar rahim, keguguran kandungan dan kanser.

Justeru, para wanita yang sudah berkahwin disarankan menjalani pemeriksaan doktor sekurang-kurangnya sekali dalam tiga tahun walaupun tidak mengalami sebarang gejala. Anda digalakkan mendapatkan vaksin bagi mengekalkan kesihatan sistem reproduktif.

Sumber: Doctor On Call

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Baca juga: Kanser Usus Pembunuh Kedua Wanita Selepas Kanser Payu Dara - Apa Tanda-tanda Kanser Ini?