Bentuk atau jenis najis bayi sebenarnya merupakan satu petunjuk tahap kesihatan bayi anda. Melalui najis bayi ini juga, ibu dan ayah dapat mengetahui sama ada pergerakan usus dan sistem penghadaman serta pencernaan mereka dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Apabila sudah menjadi ibu ayah, pasti kita akan meneliti setiap gerak geri dan perubahan yang si manja tunjukkan lagi-lagi jika ia melibatkan kesihatan.
Cara paling senang bagi ibu dan ayah untuk mengetahui kesihatan anak adalah melalui warna atau jenis najis bayi anda. Bunyinya agak menggelikan tetapi itulah realitinya! Jika anda perasan akan perubahan di dalam warna najis si manja anda tetapi tidak mengetahui mengapa najis mereka berwarna sebegitu, nah, di sini kami kongsikan kepada anda supaya anda tidak terlalu risau!
Mengapa Najis Bayi Saya Berwarna Oren?
Najis bayi yang berwarna oren jarang berlaku. Tetapi, ia bukan bermakna bahawa najis si manja anda tidak normal. Ia sebenarnya agak normal, cuma jarang dapat dilihat!
Warna najis bayi bergantung kepada proses penghadaman anak anda termasuklah bakteria-bakteria yang bertanggungjawab memudahkan proses pencernaan si manja.
Pemakanan yang bayi ambil, tidak kiralah makanan atau minuman juga memainkan peranan dalam mengubah warna najis cahaya mata anda, sepertimana vitamin, suplemen-suplemen dan ubat-ubatan.
Jika si manja anda mempunyai najis yang berwarna oren, ini mungkin disebabkan si manja anda sering memakan makanan yang mempunyai rona warna tersebut seperti lobak merah atau buah limau.
Jika najis bayi berwarna oren tanpa simptom yang terang-terangan, anda tidak perlulah terlalu risau. Tetapi, jika ia diikuti oleh simptom yang jelas kelihatan, cepat-cepatlah hubungi pakar kanak-kanak anda. Jadi, mari kita ketahui jenis warna najis bayi dan mengapa ia berwarna sebegitu!
Jenis Najis Bayi dan Maksudnya
#1. Cair & Berwarna Hitam
Jika bayi najis anda berwarna hitam selepas beberapa hari dilahirkan, ini adalah normal! Bayi yang sedang menyusu badan dan botol akan mempunyai najis berwarna hitam.
Tetapi, jika si manja anda masih mempunyai najis berwarna hitam beberapa bulan setelah dilahirkan, anda perlulah berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Cair & Warna Kuning sawi
Bayi yang menjangkau usia seminggu dan menyusu badan akan mula mengeluarkan najis berwarna kuning sawi yang lembut setiap 24 jam. Kebanyakan bayi akan membuang air sejurus selepas minum susu, tetapi jika anak anda bukan begitu, janganlah risau! Semakin mereka membesar, semakin normal kitaran pembuangan mereka.
#3. Kuning sawi (lebih gelap, dan berbau lebih kuat)
Jika bayi anda mempunyai warna najis kuning sawi yang lebih gelap dan berbau lebih kuat, ini mungkin kerana anda menyusukan si manja menggunakan hanya susu formula.
Najis mereka tentu lebih pekat dan akan nampak kehijauan atau kekuningan sekali-sekala. Kelikatan najis tersebut akan berupa seperti mentega kacang.
#4. Perang kehijauan
Adakah anda sudah mula memperkenalkan makanan pepejal kepada si manja anda? Jika ya, jadi tidak syak lagi mengapa najis si manja berwarna seakan-akan perang kehijauan.
Tambahan juga, semakin banyak anda menyuap si manja makanan pepejal yang berbagai warna, semakin kerap anda akan perasan najis bayi berwarna seakan-akan makanan yang disuap.
#5. Perang, lebih keras
Pada ketika najis si manja kelihatan seperti warna di atas dengan kelikatan yang lebih keras ala-ala tanah liat Play-Doh, ini mungkin anak anda telah mencecah usia prasekolah iaitu 3 atau 4 tahun! Jadi, anda tidak perlu terlalu risau jika najis si manja terlalu gelap. Sebaliknya, anda lebih perlu risau kepada deria bau anda.
#6. Hijau pekat
Anda mungkin akan berasa lebih risau apabila melihat najis si manja berwarna hijau seterang ini, tetapi ia bukanlah tanda-tanda bahawa anda patut terlalu gementar.
Jika najis bayi berwarna hijau cuba anda periksa bahan kandungan susu formula yang anda berikan pada si manja. Adakah ia mengandungi zat besi? Jika ya, nah, itulah puncanya!
Kandungan zat besi dalam susu si manja akan menyebabkan najis mereka berwarna hijau sebegini dan ia tidak memberi apa-apa kesan kepada kesihatan bayi anda.
#7. Putih
Sekiranya si manja mengeluarkan najis berwarna putih atau seakan-akan warna putih, ini masanya untuk anda mula risau kerana ia tentulah tidak normal.
Tetapi, jangan panik! Pertama sekali, anda perlu segera membuat temu janji dengan pakar kanak-kanak yang anda percayai dan mendapatkan nasihat mereka.
Tetapi secara amnya, bayi yang mengeluarkan najis berwarna putih pemakanan mereka mungkin disekat atau mereka mempunyai masalah pada hati (liver) mereka.
#8. Kelabu
Sepertimana najis berwarna putih, najis si kecil yang berwarna kelabu juga menandakan si manja anda mempunyai masalah yang lebih mendalam dan sepatutnya mendapatkan perhatian daripada pakar kanak-kanak yang lebih mengetahui punca warna najis bayi anda yang tidak normal.
Sama seperti najis berwarna putih, ia mungkin berpunca oleh sebab pemakanan bayi disekat atau mereka mempunyai masalah dalaman iaitu masalah dengan penghadaman. Tetapi, anda seeloknya menghubungi mereka yang lebih arif tentang perkara ini.
Berapa Banyak Najis Normal?
Banyak! Itu adalah jawapan yang diberikan oleh Kenneth Wible, MD, seorang Professor Pediatrik di Universiti of Missouri dan merupakan Pengarah Perubatan Pediatrik di Children’s Mercy Hospitals and Clinics di Kansas City, Mo. Menurutnya juga, ia juga bergantung kepada diet ibu menyusu atau bayi.
“Bayi yang menyusu badan secara umumnya mempunyai najis yang lebih banyak dan nipis berbanding bayi yang diberi susu formula. Tetapi lima hingga enam najis setiap hari adalah perkara biasa.”
“Pada peringkat awal kehidupan bayi, kekerapan membuang air besar di kalangan kanak-kanak berbeza-beza secara meluas.”
Secara purata bagi bayi yang baharu sahaja dilahirkan, mereka akan membuang najis sekurang-kurangnya satu lampin yang dipenuhi najis pada setiap hari.
Selalunya pada hari pertama dilahirkan, bayi akan membuang najis sekali, manakala pada hari keduanya pula adalah sebanyak dua kali. Tetapi corak ini tidak akan berterusan selepas lima hari bayi anda dilahirkan.
Memasuki usia 5 hari, bayi yang menyusu akan membuang kira-kira lima lampin kotor pada setiap hari dan ia adalah perkara normal.
Corak najis bayi akan mula berubah apabila mereka memasuki usia 6 minggu di mana bayi anda akan mulai membuang najis dengan melangkau sehari atau dua bahkan boleh menjadi tiga hari.
Tetapi bagi sesetengah bayi, mereka masih lagi membuang dengan corak yang sama iaitu membuang najis untuk beberapa kali sehari atau pun lebih sepanjang tahun pertama mereka.
Jangan risau! Selagi bayi anda dalam keadaan sihat, gembira dan berat badan mereka juga bertambah dengan baik tiada apa-apa yang perlu anda risaukan.
Manakala bagi bayi yang diberi minum susu formula pula, bayi anda biasanya membuang najis tiga hingga empat kali pada setiap hari. Ada juga yang membuang najis lebih daripada tiga hari.
Dan selagi najis bayi anda adalah lembut dan mudah untuk dikeluarkan oleh bayi, anda tidak perlu risau.
Akan tetapi, sekiranya bayi anda tidak membuang air besar selama lebih daripada lima hari, sila bawa bayi anda untuk dirujuk oleh pakar pediatrik mereka.
Tanda Anak Mengalami Sembelit
Sembelit jarang berlaku bagi bayi yang baru lahir terutamanya bayi yang menyusu badan. Namun begitu, bayi anda mungkin mengalami sembelit jika najis mereka keras atau mengalami trombosis.
Bagi bayi yang minum susu ibu, najisnya adalah konsisten dan selalunya warna tahi bayi adalah mustard dengan sifat najis seperti berair, lembek malah kadang-kala ia berbau busuk.
Manakala, warna najis bayi minum susu formula pula berwarna kuning pucat hingga coklat kekuningan dan lebih terbentuk berbanding dengan najis bayi yang menyusu badan.
Sembelit biasanya lebih kerap terjadi kepada bayi yang minum susu formula berbanding bayi menyusu badan.
Jika bayi anda tidak membuang najis seperti yang kebiasaan, ini menunjukkan tanda bahawa bayi anda sedang mengalami masalah sembelit. Sembelit bukan sahaja mengenai berapa banyak atau kerap bayi anda membuang bayi besar, tetapi lebih kepada betapa sukarnya untuk mereka meneran
Berikut merupakan tanda-tanda bayi anda sedang mengalami sembelit :
- Sukar membuang atau kelihatan tidak selesa ketika meneran
- Najis yang keras
- Najis berdarah atau hitam
- Tidak buang air besar walaupun sekali dalam tempoh 5 hingga 10 hari
- Tidak makan seperti biasa
- Perut membengkak
Tanda Anak Cirit Birit
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan cirit birit berlaku. Selain memberikan rasa ketidakselesaan pada bayi, ia juga mampu membuat bayi mengalami ruam lampin, malah boleh menyebabkan dehidrasi di mana ia membahayakan mereka.
Bagi bayi yang baru dilahirkan, terdapat kemungkinan untuk mereka mengalami cirit-birit atau cirit-birit yang meletus pada beberapa bulan pertama kehidupan.
Kebiasaannya, cirit-birit kerap berlaku apabila bayi anda dijangkiti virus. Antara tanda untuk mengenal pasti bayi anda mengalami cirit birit adalah dengan memerhatikan kekerapannya membuang najis.
Jika mereka membuang air besar lebih kerap daripada biasa, dan najis bayi warna hijau serta najis bayi berlendir dengan berbintik-bintik, itu menunjukkan bayi anda sedang mengalami cirit-birit.
Jika anak anda mengalami muntah, demam, perut buncit dan cirit-birit berdarah (merah terang atau merah gelap), segera berjumpa dengan pakar pediatrik.
Selain itu, bawa bayi anda bertemu doktor jika bayi anda mengalami dehidrasi, ini adalah kerana kehilangan banyak cecair dan elektrolit iaitu mineral penting dalam tubuh boleh mendatangkan bahaya kepada bayi.
Antara tanda-tanda dehidrasi yang boleh diperhatikan seperti berikut :
- bibir merekah
- tangisan tanpa air mata
- air kencing yang sedikit
Makanan Pejal Dan Perubahan Kepada Najis
Jenis makanan yang bayi anda makan akan menentukan warna najis bayi serta konsistensi najisnya dan ia boleh berubah dari hari ke hari dari pergerakan usus atau kekerapan mereka membuang najis. Tetapi bagaimana najis bayi berubah memang tidak dapat diramalkan.
Setelah bayi anda mula mengambil makanan pepejal, anda mungkin akan melihat cebisan kecil makanan terdapat di dalam najisnya. Perubahan dalam diet ini juga mampu mempengaruhi bilangan kekerapan bayi anda membuang air besar.
Jika difikirkan balik, agak menarik juga bahawa kita dapat mengetahui kondisi si manja hanya melalui warna najis mereka. Ya, kami tidak nafikan bahawa ia mungkin menggelikan, tetapi ia perkara yang normal bagi ibu ayah untuk meneliti jenis najis bayi anda untuk memastikan kesihatan cahaya mata mereka. You do you, parents!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Warna Najis Bayi Kuning Cair Adakah Normal?
Baca juga : Warna Najis Bayi Berlendir Kuning, Adakah Ia Normal Atau Perlukah Ibu Risau?
Baca juga : Ramai Ibu Tidak Tahu, Sebenarnya Warna Najis Bayi Sentiasa Berubah!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!