Bayi anda sudah mencecah usia di mana mereka boleh berdiri sendiri? Persoalannya, adakah anda perlu membeli kasut pra-berjalan atau tidak?
Tiada perkara yang lebih menyeronokkan bagi seorang ibu selain dari melihat cahaya mata mereka membesar dengan perkembangan kemahiran yang semakin hari semakin bertambah. Kini, cahaya mata anda sudah boleh merangkak dan anda juga sudah dapat melihat tanda-tanda bahawa si manja ingin mengambil langkah pertama.
Jadi, perlukah anda membeli kasut pra-berjalan untuk si manja atau adakah ia bukan satu keperluan?
Anak anda mengalami masalah untuk berjalan?
Pernah tak anda terfikir sebagai ibu bapa, pada usia berapakah anak anda akan mula berjalan? Yang lagi menarik, tahukah anda bahawa anda dapat menentukan bila dan di mana anak anda akan mula berjalan?
Sudah tentu berjalan itu menjadi sebahagian daripada rutin harian kita sebagai manusia dan kajian mendapati bahawa berjalan itu merupakan satu aktiviti yang sihat untuk tubuh badan mahupun kecerdasan minda.
Berjalan juga bermula dengan langkah yang kecil iaitu meniarap, merangkak dan berdiri sehinggalah bertatih langkah demi langkah. Walau bagai manapun dengan adanya kasut pra-berjalan, ibu bapa sendiri dapat menentukan pada usia berapakah anak mereka akan mula berjalan.
Sumber gambar: Attipas Happy Walk
Kasut pra-berjalan adalah kasut pertama yang dipakai oleh bayi dan terdapat ciri-ciri tertentu yang perlu ada pada kasut tersebut.
Mengikut podiatrist (doktor pakar dalam bidang kaki), kasut pra-berjalan yang paling efisien mestilah ringan, boleh dilentur, mempunyai tapak yang lembut dan rata. Tapak kasut yang rata dapat membantu bayi untuk kekal stabil dan melatih mereka untuk berdiri dengan tegak tanpa menggunakan sebarang alat bantuan seperti perabot mahupun orang sekeliling.
Apakah Kebaikan Kasut Pra-berjalan?
Antara sebab-sebab anda perlu ada kasut pra-berjalan ialah:
- Pada usia 6-8 bulan, statistik mencatatkan bahawa kanak-kanak pada fasa usia tersebut akan mula rasa ‘gatal kaki’. Jadi mereka akan cuba berdiri dengan adanya alat bantuan seperti kerusi, meja dan mereka akan mula berjalan secara perlahan. Namun, fasa ini berbeza bagi setiap individu kerana proses pembesaran juga berlainan.
- Mereka dapat berlatih berdiri dengan stabil serta mempunyai cengkaman yang baik ketika berdiri dan dalam masa yang sama kasut ini juga dapat mengelakkan anak-anak anda daripada mengalami kesejukan pada kaki.
Sumber gambar: Bellamy’s Organic
- Kasut ini dapat membantu serta menyokong langkah pertama yang diambil oleh anak anda. Hal ini kerana tapak kasut yang lembut menyebabkan anak anda dapat merasa lantai secara langsung jadi anak anda dapat biasakan diri dengan sentuhan pada sesuatu permukaan yang mungkin luar biasa bagi mereka.
- Dapat membantu anak anda daripada aspek keselamatan dan juga kesihatan. Sebagai contoh, apabila anak anda memakai kasut pra-berjalan ini, anda tidak perlu risau tentang permukaan yang mereka bakal lalui kerana mereka sudah ada satu pelindungan dan mereka juga tidak akan kepanasan mahupun kesejukan apabila berjalan di luar rumah. Jadi, keselamatan anak anda sudah pun terjamin.
Sumber gambar: The Bump
Jika anda mahu menggalak-kan anak anda supaya berjalan, di sini terdapat beberapa tips and tricks yang mungkin anda akan rasa berguna dan boleh amalkan pada anak anda iaitu:
- Galakkan anak anda untuk melakukan aktiviti senaman ringan seperti merangkak, duduk dan juga mengguling. Tujuan aktiviti-aktiviti ini adalah untuk menguatkan otot mereka.
- Hulurkan bantuan yang betul kepada anak anda. Elakkan menghulur tangan kepada anak anda ketika mereka cuba berjalan kerana ini akan membuat anak anda menolak badan mereka ke depan dan hilang stabil.
- Simpan mainan anak anda pada ketinggian yang sesuai seperti kerusi dan meja. Dengan membuat demikian, anak anda akan berusaha untuk berdiri dan berjalan ke arah mainan yang mereka ingin capai. Proses ini dapat membantu anak anda untuk mengangkat badan mereka dengan sendiri serta menguatkan lagi otot dan tulang kaki mereka.
- Bawa anak anda bermain dengan kawan-kawan seusia mereka. Hal ini kerana bayi mudah mempelajari sesuatu perkara dengan melihat orang lain dan mereka akan lebih bersemangat apabila melihat kawan-kawan mereka melakukan sesuatu perkara yang baru. Anak anda dapat mempelajari sesuatu dengan mudah dan cepat sekaligus dapat membantu perkembangan sosial mereka.
Di Mana Anda Boleh Mencari Kasut Pra-berjalan?
Jika di negara-negara Eropah, terdapat banyak jenama kasut dan pakaian bayi yang terkenal. Di Malaysia juga terdapat beberapa jenama yang terkenal dan digemari ramai rakyat Malaysia.
Antara jenama tersebut ialah Mothercare, Crtartu dan juga Royale Baby. Jenama tersebut menawarkan kasut pra-berjalan dengan pelbagai reka bentuk, saiz dan juga harga. Jadi anda boleh memilih kasut pra-berjalan mengikut keselesaan dan minat anda.
Jenama-jenama ini juga merupakan jenama yang bukan lagi baru di kalangan rakyat Malaysia, malah jenama ini sudah lama bertapak di Malaysia selama lebih 10 tahun. Jadi kualiti kasut dan keselamatan anak anda juga terjamin.
Dengan mengikuti langkah-langkah yang diberikan di atas, anak anda pasti akan merasa lebih selesa dan selamat untuk berjalan selepas ini.
Jadi apa tunggu lagi? Pergi ke kedai pakaian bayi terdekat dengan segera dan selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.
Sumber: Bellamy’s Organic
Baca juga: Cara Mengukur Kaki Si Kecil Ketika Membeli Kasut
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!