Apabila bercakap mengenai faraj atau miss v wanita, anda pasti perasan bahawa terdapat banyak sangat mitos dan salah faham mengenainya. Sebagai contoh, ada yang percaya bahawa miss v yang sekarangnya ketat, boleh hilang keanjalan dan menjadi longgar untuk selama-selamanya. Jadi, mulalah cari pelbagai cara ketat miss v secara moden mahupun tradisional.
Untuk wanita, anda perlu tahu bahawa miss v anda bersifat anjal. Ini bermakna ia boleh meregangkan untuk menampung benda yang masuk (seperti zakar pasangan) atau keluar (seperti melahirkan bayi). Namun satu perkara atau fakta penting yang perlu anda fahami dan ingat, miss v wanita tidak akan mengambil masa yang lama untuk kembali ke bentuk sebelumnya.
Baiklah, miss v anda mungkin menjadi sedikit longgar apabila usia anda meningkat atau mempunyai anak, tetapi secara keseluruhan, otot ini boleh mengembang dan menarik balik seperti akordion atau gelang getah. Jadi jangan risau ya! Apa kata anda teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai miss v wanita, apa menyebabkan ia longgar, bagaimana penjagaan miss v yang terbaik dan lain-lain supaya anda boleh kekal berkeyakinan sepanjang masa.
Kenapa Miss V Ketat Boleh Longgar?
Pertama sekali, anda perlu tahu tidak wujud pun perkara seperti miss v longgar. Cumanya, miss v anda mungkin berubah dari semasa ke semasa disebabkan beberapa faktor semula jadi yang tidak dapat dielakkan seperti:
#1. Usia
Apabila usia wanita memasuki 40-an, biasanya akan terdapat perubahan yang akan berlaku pada faraj disebabkan oleh penurunan kadar estrogen dalam tubuh badan semasa menghampiri fasa menopaus. Akibatnya, faraj mungkin menjadi lebih kering, nipis, kurang aksidik dan elastik serta tidak lagi fleksibel. Anda akan dapat merasakan perubahan yang lebih ketara pada faraj atau miss v anda apabila anda sudah menopaus.
#2. Melahirkan anak
Selain faktor usia yang sememangnya tidak dapat dielakkan, faktor anda melahirkan bayi juga boleh menjadi penyebab miss v longgar. Ia berlaku kerana otot faraj anda meregang dengan maksimum bagi membolehkan bayi anda keluar melalui saluran kelahiran ini.
Namun jangan risau ya, ia bukanlah bersifat kekal dan hanya untuk seketika sahaja. Miss v anda itu akan ketat semula selepas beberapa hari tetapi tidaklah lagi sama seperti dahulu.
Di kelahiran bayi yang seterusnya, miss v anda mungkin akan menjadi semakin longgar namun tidak begitu ketara.
Cara Ketat Miss V
Walaupun berlaku perubahan yang tidak ketara seperti miss v ketat menjadi sedikit longgar, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan keyakinan diri wanita terutamanya dalam hubungan seksual bersama pasangan.
Jadi, jom tahu cara ketatkan vagina anda:
#1. Pembedahan
Ini adalah salah satu cara untuk ketat miss v yang paling efektif dan berkesan. Antara prosedur yang boleh dilakukan adalah vaginoplasty atau labiaplasty. Kedua-dua prosedur ini bertujuan untuk membentuk semula miss v wanita dengan cara mengetatkan kembali dinding faraj.
Selain dua prosedur ini, prosedur lain yang boleh dilakukan untuk ketatkan semula miss v adalah seperti revirgination. Prosedur ini dilakukan untuk memperbaiki selaput dara dan mengembalikan bentuk asalnya.
Namun perlu anda ingat, kesemua prosedur ini sangat mahal kosnya serta ada risiko dan kesan sampingannya yang tersendiri. Jadi sila berbincang dahulu dengan pasangan anda atau dapatkan nasihat pakar sebelum buat keputusan ya.
#2. Kon faraj
Kon faraj adalah satu alat berbentuk kon yang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk serta boleh digunakan sebagai salah satu cara mengetatkan miss v. Selain pembedahan, cara ini juga dipercayai efektif.
Bagaimana ia dilakukan? Mula-mula, kon faraj akan dimasukkan ke dalam miss v. Kemudian, kemutkan ia selama kira-kira 15 minit setiap hari.
Cara ini hanya akan berkesan jika anda betul-betul bersabar dan lakukannya dengan cara betul.
#3. Bebola Ben-Wa
Selain kon faraj, anda juga boleh menggunakan bebola Ben-Wa untuk dimasukkan ke dalam miss v sebagai cara untuk ketat miss v anda.
Selepas memasukkannya, kemutkan ia dengan menggunakan otot pelvis anda untuk memastikan bebola ini kekal di dalam faraj.
#4. Yoga
Aktiviti yoga merupakan satu senaman yang sangat baik untuk kesihatan kita. Malah tahukah anda, ia juga boleh dijadikan sebagai salah satu cara ketatkan vagina.
Lakukan posisi yoga seperti Child’s Pose dan Bridge Pose bagi menguatkan otot pelvis anda.
#5. Senaman kegel
Selain yoga, anda juga boleh lakukan aktiviti senaman kegel untuk ketatkan miss v anda. Ini adalah cara mengetatkan miss v yang paling efektif dan tidak memerlukan kos yang tinggi.
Caranya begini:
- Cari posisi anda.
- Kemutkan otot faraj dan otot pelvis dalam keadaan paha dan kaki dirapatkan perlahan-lahan sebanyak 20 kali. Anda boleh lakukan dalam keadaan berdiri, duduk atau baring.
- Tahan nafas selama 5 saat semasa melakukan kemutan. Kemudian, hembuskan nafas perlahan-lahan secara serentak ketika melepaskan kemutan. Ulang sebanyak 5 kali berturut-turut.
Anda boleh lakukan senaman ini sekurang-kurangnya sekali sehari untuk mendapatkan kesan yang maksimum dan lebih cepat.
Adakah Miss V Longgar Selepas Bersalin?
Jawapannya tidak!
Faraj atau miss v wanita tidak akan longgar kerana anda perlu ingat, miss v kita bersifat anjal dan bertujuan untuk meregangkan.
Seperti yang dinyatakan di atas tadi, otot faraj akan meregang dengan maksimum bagi membolehkan bayi keluar melalui saluran kelahiran ini. Miss v hanya akan longgar untuk seketika sahaja dan ia akan ketat semula selepas beberapa hari tetapi tidaklah lagi sama seperti dahulu.
Apabila anda melahirkan anak yang berikutnya, miss v anda mungkin akan menjadi semakin longgar namun tidak begitu ketara.
Cara Jaga Miss V
Untuk wanita, bahagian kemaluan atau lebih dikenali miss v ini agak sensitif dan perlu dijaga dengan sangat rapi.
Berikut merupakan cara menjaga kemaluan wanita dengan baik yang boleh anda lakukan:
#1. Jaga kesihatan menyeluruh badan
Sila jaga pemakanan, kawal berat badan dan kerapkan bersenam. Ia bukan sahaja baik untuk keseluruhan badan anda, bahkan juga baik untuk organ seksual seseorang.
Sebaliknya, keadaan kronik boleh menyebabkan organ kemaluan anda berisiko. Contohnya, diabetes yang tidak dikawal dengan baik meningkatkan kemungkinan dijangkiti jangkitan yis dan jangkitan saluran kencing (UTI).
#2. Buat pemeriksaan berkala
Sila buat pemeriksaan dengan kerap dan jumpa pakar sakit puan anda untuk penjagaan rutin. Bagi individu yang lebih muda, vaksinasi HPV amat penting untuk mengurangkan risiko kanser serviks.
#3. Gunakan kondom
Adalah sangat penting untuk melindungi diri anda daripada penyakit yang boleh dijangkiti melalui hubungan seksual seperti herpes, gonorea, klamidia, sifilis dan HIV, serta sebarang kehamilan yang tidak dirancang.
Sila bertegas untuk menggunakan kondom dengan mana-mana pasangan seksual baharu.
#4. Hanya gunakan air
Faraj adalah organ yang membersihkan diri. Menggunakan bahan kimia yang keras, kain lap atau douching yang telah dibungkus boleh mengganggu proses normalnya. Jika perlu, gunakan sahaja sabun yang gentle bahannya di bahagian luar kemaluan anda.
#5. Pertimbangkan bahan semula jadi
Minyak kelapa atau minyak zaitun mungkin boleh menjadi pelembap untuk faraj jika anda mempunyai kulit sensitif atau mempunyai pelbagai alahan. Anda juga boleh menggunakan silikon atau pelincir berasaskan air sebagai alternatif.
Bagaimanapun, ia adalah pilihan bagi mereka yang tidak menggunakan kondom. Jika anda menggunakan kondom lateks, pilih pelincir berasaskan air atau silikon.
#6. Jangan sekali-kali abaikan pendarahan selepas menopaus
Pendarahan selepas menopaus ditakrifkan sebagai pendarahan faraj yang berlaku setahun atau lebih selepas haid terakhir anda.
Pendarahan selepas menopaus boleh menjadi simptom kekeringan pada miss v, polip (ketumbuhan bukan kanser), kanser atau perubahan lain dalam sistem pembiakan anda.
Jika anda pernah mengalami pendarahan selepas menopaus, sila berjumpa dengan doktor anda untuk pemeriksaan.
#7. Pertimbangkan estrogen faraj
Semasa anda sudah menopaus, mungkin agak berbaloi jika anda menggunakan estrogen faraj, yang boleh didapati dalam bentuk krim, tablet atau kapsul.
Estrogen faraj boleh membantu mencegah atau membalikkan perubahan yang berlaku dengan usia seperti seks yang menyakitkan (disebabkan oleh penipisan dinding faraj dan kurang keanjalan) dan peningkatan risiko untuk UTI (jangkitan saluran kencing) akibat perubahan pH apabila faraj menjadi kurang berasid.
Walaupun faraj anda bersih dan sihat, sila buat pemeriksaan dengan doktor jika anda mengesan beberapa perkara ini:
- Sakit semasa bersetubuh
- Terdapat jisim atau bonjolan dalam faraj anda
- Perubahan warna, bau atau jumlah keputihan
- Kemerahan atau gatal-gatal pada faraj
Miss V Berbau
Memiliki vagina atau miss v yang bau busuk adalah suatu perkara yang mungkin agak memalukan untuk wanita. Selain boleh meragut keyakinan diri, kehidupan seksual bersama pasangan juga boleh terjejas.
Perlu anda tahu, faraj yang sihat akan menghasilkan pelbagai jenis bau atau aroma miss v, namun bukanlah wangi seperti bunga ya. Kepelbagaian aroma faraj ini mungkin disebabkan oleh kitaran haid, tahap kebersihan diri atau sememangnya bau badan sendiri.
#1. Faraj berbau ‘menyengat’ atau masam
Miss v yang berbau busuk seakan yogurt atau roti masam sebenarnya memang kerap terjadi pada wanita. Ia berlaku disebabkan oleh faktor keasidan yang mana PH faraj yang sihat bersifat sedikit berasid, antara 3.8 dan 4.5.
Bakteria yang dikenali sebagai Lactobacilli mengekalkan tahap PH vagina berasid dan ia melindunginya daripada pertumbuhan bakteria buruk.
#2. Berbau seperti duit syiling
Secara ringkasnya, ia disebabkan oleh darah yang mengandungi zat besi hingga mengeluarkan bau seakan logam. Darah yang dimaksudkan adalah darah haid yang keluar dari lapisan rahim dan melalui saluran faraj. Selain itu, seks turut menyumbang kepada bau ini.
#3. Berbau manis
Pernah terbau vagina dengan aroma yang manis? Ia mungkin berlaku disebabkan oleh pengaruh makanan yang diambil oleh anda sendiri. Makanan yang diambil boleh mengubah ekosistem bakteria di dalam faraj. Namun jangan risau, ia tidak berbahaya ya!
#4. Berbau seperti bahan peluntur
Faraj yang mengeluarkan bau seakan peluntur atau amonia agak merbahaya dan perlu dirawat.
Ia boleh berlaku disebabkan oleh air kencing mengandungi ammonia yang menghasilkan urea. Air kencing yang berbau amonia adalah tanda dehidrasi.
#5. Berbau hanyir
Miss v yang berbau hanyir seperti ikan boleh menjadi petanda kepada 2 jenis jangkitan iaitu vaginosis bakteria atau trichomoniasis.
Vaginosis bakteria berlaku apabila bakteria anaerobic tumbuh secara berlebihan hingga menjejaskan keseimbangan PH dan flora normal faraj. Manakala trichomoniasis pula merupakan sejenis jangkitan kelamin yang paling banyak disembuhkan dan mudah dirawat dengan penggunaan antibiotik.
#6. Miss v seakan bau badan
Ia berlaku disebabkan oleh tekanan emosi.
Untuk makluman anda, badan kita mengandungi 2 jenis kelenjar peluh iaitu apocrine dan eccrine.
- Kelenjar eccrine menghasilkan peluh yang bertindak untuk menyejukkan badan
- Kelenjar apocrine pula bertindak balas terhadap emosi anda. Kelenjar ini turut memenuhi bahagian ketiak dan pangkal paha. Apabila anda merasa tertekan atau cemas, kelenjar apocrine menghasilkan cecair seperti susu. Secara teknikalnya, cecair ini tidak berbau namun apabila ia bercampur dengan jumlah bakteria yang banyak di vulva, maka terhasillah aroma ini.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk para wanita di luar sana.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Miss V Gatal-Gatal Adakah Ia Petanda Bahaya Atau Normal?
Baca juga: 15 Fakta Penting Yang Semua Wanita Harus Tahu Tentang Miss V Anda
Baca juga: Risau Miss V Terkoyak Teruk Ketika Bersalin? Ada 6 Cara Untuk Atasinya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!