Selepas bersalin, badan wanita memerlukan tempoh yang panjang untuk betul-betul pulih. Atas sebab ini, orang zaman dulu-dulu sangat menitik beratkan rawatan selepas bersalin. Mereka mempunyai rutin yang ketat bagi memastikan badan kembali pulih seperti sedia kala. Mereka akan cuba semua rawatan berpantang yang ada termasuk bertangas selepas bersalin, pilis mahupun urutan badan.
Amalan bertangas masih menjadi pilihan sebahagian wanita walaupun pada masa kini terdapat pelbagai lagi rawatan moden yang ditawarkan untuk golongan hawa.
Jika anda bakal melahirkan anak tidak lama lagi, anda boleh mula menempah rawatan bertangas selepas bersalin nanti. Malah, rawatan bertangas juga kian popular di kalangan orang Barat dengan rawatan kecantikan vaginal steaming yang dikatakan dapat memulihkan kesihatan miss V selain mengetatkan kembali faraj.
Sejauh mana keberkesanan bertangas sebenarnya? Jom baca lebih lanjut.
Apa itu bertangas selepas bersalin?
Kredit: Kumparan
Amalan bertangas sebenarnya mempunyai fungsi yang hampir sama seperti bersauna atau mandi wap yang disediakan di kebanyakan spa. Selalunya, bertangas akan dilalukan selepas bersalin atau selepas habis haid.
Bertangas juga tidak terhad kepada wanita sudah berkahwin sahaja kerana bertangas mampu membantu proses pembakaran lemak selain membantu mewangian badan dan mengeluarkan peluh.
Dahulu rawatan bertangas dilakukan secara duduk di atas ramuan rebusan herba, kini rawatan itu diperbaharui dengan kain disediakan untuk menyelubungi tubuh sambil duduk di bawah rebusan herba.
Khasiat bertangas selepas bersalin
Kredit: Birth Boss
Bertangas sangat sesuai dilakukan oleh wanita yang baru sahaja melahirkan anak dan selepas haid bagi mengeluarkan peluh serta toksin dari badan.
Bagi wanita bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan dan pengecutan rahim dengan cepat. Dalam jangka masa panjang ia dapat menghidari daripada penyakit puan seperti keputihan, saluran sulit yang longgar, rahim rendah dan keluar tombong (prolapse). Dengan mengamalkan tangas, pengamal boleh merasakan khasiat dan perubahan seawal 2 kali rawatan.
Wanita mengandung adalah ditegas dari melakukan rawatan ini.
1# Wanita sudah berkahwin dan anak dara: Sebaiknya dilakukan selepas habis haid, diamalkan 1-3 kali seminggu untuk mendapat kesan terbaik. Ia bertindak untuk nerawat keputihan dan bau, menegangkan kulit, mengelak pelbagai penyakit kelamin dan rahim, serta mengelakkan rahim jatuh dan keluar tombong.
2# Wanita Berpantang: Rawatan bertangas boleh dilakukan setiap hari selama 44 hari. Bertangas adalah rawatan yang boleh dilakukan selepas mandi air rebusan herba (campuran pelbagai herba dan daun-daun pokok kayu) bagi wanita berpantang.
Manfaat bertangas adalah agar luka cepat kering dan jahitan cepat sembuh, mengelakkan jangitan kuman pada bahagian sulit, nifas yang lawas dan cepat kering, kembali ketat, mengecut rahim serta, mengelakkan keluar tombong (prolapse).
3# Wanita Berusia: Sebaiknya diamalkan 1-3 kali seminggu. Ia bagus untuk mengembalikan “lembapan kewanitaan”, terutama bagi wanita yang mengalami pra-monopos atau yang telah monopos. Malah ia juga membantu menegangkan dan mengembalikan lembapan pada kulit di bahagian sulit.
- Membantu mengurangkan berat badan
- Mengatasi lesu-lesu badan
- Melancarkan pengaliran darah
- Mengeluarkan toksin dalam tubuh
- Merawat bau dan lendir busuk yang keluar daripada saluran vagina
- Melancarkan proses haid wanita
- Mengurangkan keputihan dan alahan pada vagina
- Mengelakkan kekenduran rahim (proplase)
- Mengecut rahim serta otot-otot yang kembang
- Luka jahitan (selepas bersalin) cepat sembuh
- Bahagian sulit cepat kering dan ketat
Durasi rawatan
Kredit: Pantang Plus
Bertangas akan mengakibatkan badan mengeluarkan peluh dengan sangat banyak. Jadi, durasi tidak boleh terlalu lama kerana boleh mengakibatkan badan mengalami dehidrasi. Seeloknya, tempoh bertangas tidak melebihi 30 minit.
Walaubagaimanapun, sebelum memilih untuk bertangas, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu terutamanya mereka yang mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan masalah jantung. Ini adalah untuk mengelakkan komplikasi. Selalunya, mereka yang mempunyai masalah kesihatan tidak dinasihatkan bertangas, atau mempunyai durasi yang lebih singkat.
Disebabkan bertangas akan menyebabkan badan mengeluarkan peluh yang sangat banyak, mereka yang sudah bertangas disarankan meminum air yang secukupnya bagi menggantikan air yang telah keluar melalui peluh. Selain itu, tidak digalakan terus mandi selepas bertangas, seeloknya tunggu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mandi.
Jenis bertangas
Kredit: Harian Metro
Terdapat pelbagai jenis ramuan dan cara bertangas. Namun secara umumnya, bertangas dibahagikan kepada dua iaitu bertangas basah dan bertangas kering.
1# Bertangas Basah
Bertangas basah menggunakan ramuan rempah ratus dan herba yang direbus. Wap yang dihasilkan air rebusan inilah yang digunakan untuk bertangas. Bertangas dibuat dengan menyelubung seluruh badan dengan kain dari paras leher ke paras lantai agar wap tangas menyeluruh kena pada badan.
Amalan ini dapat menghasilkan daya kelembapan kulit yang mantap di bahagian alat sulit. Rawatan juga dapat mengelakkan kelesuan kulit dan bau badan. Ketika rawatan bertangas basah, boleh amalkan senaman kemutan otot rahim atau Kegel exercise untuk kekuatan otot faraj dan rahim.
Proses rawatan bertangas secara tradisional adalah dengan memasukkan air panas yang dicampurkan sedikit dengan air sejuk (untuk mengelakkan kecederaan daripada wap yang terlampau panas) ke dalam besen yang besar serta dicampurkan ramuan-ramuan herba yang telah dibersihkan seperti buah manjakani, asam keping, daun sirih, daun kunyit, halia merah, daun mengkudu, buah pala serta sedikit garam dan bermacam-macam lagi sumber asli yang kebanyakannya boleh didapati di dapur masing-masing.
Setelah dibiarkan beberapa minit, wanita yang akan menjalani rawatan bertangas akan masuk dan duduk di dalam besen tersebut supaya air campuran herba mengenai bahagian sulit mereka. Di samping itu, mereka boleh menggosok bahagian sulit dengan air campuran herba tersebut untuk kesan yang lebih baik.
Ramuan tangas basah:
• halia
• biji atau serbuk manjakani
• daun sirih
• garam kasar
• lengkuas
• jintan hitam
• serai wangi
• halba
Caranya :
Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Rebus di dalam periuk tanah dan kemudiannya bertangas selama 15-30 minit. Air yang sejuk boleh dijadikan bahan pencuci bahagian sulit.
2# Bertangas kering
Nama lain bagi bertangas kering ialah bertangas herba. Berbanding bertangas basah yang merebus herba, bertangas kering menggunakan batu sungai yang dipanaskan. Ramuan herba akan ditumbuk halus sebelum diletakkan di atas batu sungai yang dipanaskan tadi.
Ini akan menghasilkan wap yang akan digunakan dalam bertangas. Wanita akan duduk di atas kerusi tangas suoaya wap itu mengenai bahagian bawah badannya sehingga wap berkurang atau hilang.
Ramuan tangas kering adalah tidak jauh berbeza dengan ramuan bertangas basah, cuma ramuannya tidak direbus.
Ramuan tangas kering (tumbuk halus bahan-bahan ini):
• serbuk manjakani
• daun inai
• kunyit hidup
• jintan hitam
• halba
• garam kasar
• limau nipis
• asam gelugur
Caranya :
Panaskan batu sungai atau batu tanah liat di atas dapur. Alaskan daun sireh dalam periuk/mangkuk tanah. Masukkan batu yang telah pun betul-betul panas. Letakkan ramuan yang telah ditumbuk halus di atas batu. Sedia untuk digunakan.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda. Selamat beramal.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Kategori Makanan Yang Boleh & Tak Boleh Diamalkan Ketika Berpantang
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!