Antara peranan utama confinement lady adalah membantu menjaga bayi yang baharu dilahirkan semasa ibu masih lagi berada dalam fasa pemulihan. Ketika berpantang adalah sangat penting untuk anda pulih dengan cepat dan baik serta mempunyai sokongan daripada pelbagai sudut untuk menjayakannya.
Antara salah satu sokongan tersebut adalah dengan penjagaan yang baik untuk ibu dan bayi daripada individu yang berpengalaman mengenainya. Kini, perkhidmatan confinement lady ini semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan terutama buat pasangan yang tinggal berjauhan dengan keluarga masing-masing.
Terdapat juga segelintir pasangan yang mengupah penjaga pantang ini kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak dalam urusan berpantang mereka. Tetapi benarkah confinement ini suatu keperluan masa kini untuk ibu berpantang? Jom ketahui dengan lebih lanjut melalui perkongsian ini.
Isi Kandungan
Apa itu confinement lady
Confinement lady atau penjaga pantang ini sebenarnya merupakan sebahagian besar budaya masyarakat Cina. Dalam kepercayaan masyarakat cina, ibu selepas bersalin memerlukan tenaga untuk kembali pulih dan dalam tempoh itu, mereka akan lebih mudah untuk terdedah kepada jangkitan penyakit.
Disebabkan itu, wanita yang berpantang akan mengupah confinement lady atau penjaga pantang ini sebagai sokongan untuk membantu dalam banyak hal sepanjang mereka dalam proses berpantang.
Penjaga pantang merupakan seorang wanita yang berpengalaman dalam kemahiran penjagaan selepas bersalin dan juga mengendali dan menjaga bayi yang baharu dilahirkan.
Kebiasaannya, mereka akan tinggal bersama sepanjang tempoh berpantang atau bekerja sama ada ketika waktu siang atau malam untuk membantu anda dalam beberapa urusan penjagaan.
Antara tugas-tugas penjaga pantang adalah seperti berikut:
- Masak makanan yang berkhasiat tinggi dan juga ubat herba
- Penjagaan rutin penyusuan dan waktu tidur bayi yang fleksibel
- Memudahkan urusan ibu dan menangani masalah kemurungan selepas bersalin
- Membantu ibu menyusu dan memastikan bayi melekap dengan sempurna ketika menyusu
- Melakukan kerja-kerja rumah am
- Memberi panduan dan nasihat berkaitan dengan penjagaan dan penyusuan bayi
- Menjadualkan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk ibu dan bayi
- Penjaga pantang juga akan menyediakan mandian herba untuk ibu yang sedang berpantang. Mandian herba ini berfungsi untuk membantu menghilangkan angin dalam badan, melancarkan peredaran darah dan meredakan sakit bersalin
Pentingkah confinement lady ketika berpantang
Jika anda inginkan keselesaan, mengurangkan tekanan dan menikmati waktu berpantang dengan seronok sambil meluangkan masa terbaik bersama bayi, mengupah penjaga pantang adalah langkah yang tepat dan terbaik. Segala keperluan anda dan juga bayi akan menjadi lebih teratur dan sempurna dengan adanya orang yang berpengalaman untuk mengendalikannya.
Fasa pemulihan anda juga akan menjadi lebih cepat serta diri tidak lagi terbeban dengan semua tugas-tigas yang perlu dilakukan di rumah. Tubuh juga akan mendapat rehat yang secukupnya dan minda pula akan menjadi lebih segar kerana tidak perlu memikirkan urusan lain melainkan anda dan bayi sahaja.
Selain itu, anda juga dapat mengetahui cara penjagaan yang betul selepas bersalin dengan lebih lengkap lagi serta petua-petua lain seperti menyendawakan bayi, cara untuk menyusu dan memandikan serta banyak lagi hal yang tidak pernah anda ketahui sebelum ini melalui penjaga pantang.
Tips memilih confinement lady
Terdapat beberapa tips untuk memilih confinemet lady yang sesuai iaitu:
- Memilih confinemet lady yang berpengetahuan luas, berpengalaman dan terlatih serta profesional. Hal ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini terjadi ke atas anda dan juga bayi sepanjang tempoh berpantang. Pemilihan penjaga pantang yang terlatih juga penting agar mereka mampu untuk mengendalikan sebarang situasi luar jangka jika ia terjadi.
- Memilih pengasuh pantang dari agensi yang berdaftar dan mempunyai lesen. Lihat semua testimoni para pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat di pusat agensi tersebut bagi memastikan kualiti kerja mereka setaraf dengan bayaran dan perkhidmatan yang diberikan serta untuk mengelakkan sebarang salah laku atau penipuan terutama mengenai kemahiran dan pengalaman diri.
- Selain itu, terdapat agensi yang mempunyai insurans untuk penjaga pantang secara percuma untuk memastikan anda dan dirinya dilindungi.
- Pilih tiga agensi terbaik untuk membuat perbandingan melalui beberapa perkara iaitu pakej yang ditawarkan, harga, kemampuan dan kemahiran yang dimiliki, dan adakah anda layak untuk menerima apa-apa pampasan atau gantian sekiranya prestasi perkhidmatan penjaga pantang anda tidak memuaskan hati.
Tanda confinement lady serasi untuk anda dan bayi
Terdapat beberapa tanda kepuasan serta keserasian yang akan anda peroleh setelah mengupah penjaga pantang sepanjang tempoh anda berpantang iaitu:
#1. Rumah tersusun rapi
Penjaga pantang melakukan tugasan mengemas rumah dengan cukup teliti, rapi dan sempurna. Mereka melakukan setiap apa yang anda arahkan atau jadualkan dengan penuh tertib dan teratur untuk memastikan suasana dan keadaan rumah anda dalam keadaan bersih dan terbaik untuk diduduki. Malah, tanpa arahan anda sekalipun confinement lady sudah tahu untuk melakukan apa yang patut.
#2. Fikiran tenang
Anda tidak lagi perlu memikirkan tentang segala urusan rumah dan juga penjagaan bayi dan menyerahkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada penjaga pantang anda. Bebanan fikiran anda mulai ringan dan anda tidak lagi stres memikirkan semua perkara dan lebih seronok menikmati banyak waktu bersama si manja tersayang.
#3. Menikmati hidangan lazat
Malah, hidangan yang disediakan oleh confinement lady juga sangat lengkap dengan segala keperluan nutrisi tubuh diserta dengan rasa yang enak dan menyelerakan.
Ini membuktikan bahawa penjaga pantang anda sangat menitikberatkan dan komited dengan kesihatan anda dan memastikan anda dapat menyusukan bayi dengan lancar tanpa sebarang masalah. Di samping itu, mereka juga berusaha sedaya upaya menyediakan hidangan yang mampu untuk membuatkan anda berselera tinggi tatkala menikmati makanan.
#4. Urutan
Bukan itu sahaja, penjaga pantang juga akan melakukan urutan badan untuk anda walaupun tanpa diminta. Teknik urutan yang dilakukan juga mampu menghilangkan segala keletihan dan mengembalikan kesegaran untuk tubuh badan anda semula.
#5. Kasih sayang
Menjalinkan hubungan yang akrab dan mesra dengan anda dan juga bayi. Penuh dengan adab sopan dan kelembutan dengan setiap yang dilakukannya. Sentiasa memastikan kebajikan anda dan juga bayi dipenuhi dengan sempurna dan serba lengkap
Berapakah bayaran patut diberikan kepada confinement lady?
Jika anda mengupah confinement lady melalui agensi berdaftar, terdapat beberapa confinement package yang boleh anda ambil. Kebanyakan pakej yang ditawarkan dalam tempoh dua minggu adalah sekitar RM1,500 hingga RM5,000.
Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin mengambil secara sepenuh masa, separuh masa atau tinggal sekali dengan anda. Kadar bayaran juga berbeza mengikut perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan.
Contoh pakej berpantang relevan untuk ibu ambil
Antara contoh confinement package yang disyorkan untuk ibu ambil adalah merangkumi:
- Mandian herba
- Urutan badan
- Urutan kepala
- Bertungku
- Bertanggas
- Bengkung
- Param & Pilis
- Lulur badan
- Mandian bayi
- Tuam
- Urutan bayi
- Cuci pusat
- Masakan pantang
- Minuman herba
Bagaimana untuk meminta bantuan daripada ibu ayah jika mahu mereka jaga dalam pantang
Antara caranya adalah:
- Terangkan situasi keadaan yang mendesak anda memerlukan bantuan mereka dengan tertib dan sopan.
- Terangkan juga yang anda lebih selesa jika mereka yang menjaga dan menemani sepanjang berpantang.
- Sediakan segala keperluan ibu dan ayah anda.
- Sediakan juga segala keperluan utama ibu dan bayi dengan lengkap, oleh itu kedua orang tua anda tidak lagi perlu keluar membelinya.
- Sediakan wang yang mencukupi terutama jika berlaku hal kecemasan dan sebagainya dan diberikan kepada ibu dan ayah anda.
Jika anda benar-benar memerlukan perkhidmatan confinement lady, pastikan anda menyemak dan membuat bandingan terhadap beberapa agensi atau confinement centre berdaftar terlebih dahulu sebelum menempah agar tidak tersalah pilih penjaga pantang anda.
Semoga dengan perkongsian ini, anda mendapat maklumat yang sewajarnya!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Makanan Untuk Orang Berpantang Pembedahan Yang Selamat Diambil, Bantu Sembuhkan Luka Bersalin
Baca juga: Buah Untuk Ibu Berpantang, Ini Senarai Jenis Buah Yang Boleh & TIDAK BOLEH Anda Ambil
Baca juga: Idea Makanan Berpantang Selepas Bersalin Sedap & Mudah, Buat Ibu Tidak Jemu Makan