Makanan untuk ibu mengandung sememangnya memainkan peranan yang begitu penting bagi menjaga kesihatan si ibu dan juga bayi di dalam kandungan.
Zaman kini banyak produk makanan yang tidak diketahui bahan-bahannya yang dikhuatiri boleh membahayakan kandungan ibu.
Sebab itu, anda harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat pada ibu mengandung yang sesuai dan selamat.
Isi Kandungan
Makanan Untuk Ibu Mengandung Kekal Sihat Dan Cergas
Sebagai contoh minuman beralkohol harus dielakkan sepenuhnya bagi wanita hamil kerana ia berisiko menyebabkan kecacatan kepada kelahiran.
Begitu juga dengan beberapa makanan yang dikaitkan dengan keguguran dan stillbirth atau kematian janin dalam kandungan. Jadi, seharusnya anda waspada dengan setiap makanan yang diambil supaya jauh daripada bahaya yang satu ini. Ketahui beberapa jenis makanan untuk ibu mengandung selamat di bawah berserta kebaikan makanan seimbang ini.
1. Telur
Telur merupakan sumber lemak dan protein yang berkualiti tinggi serta mengandungi lebih daripada 70 kalori. Untuk ibu hamil, telur merupakan makanan sihat yang penting kerana ia mengandungi kolin yang memainkan peranan besar dalam proses pertumbuhan badan ibu dan juga kandungan.
2.Kekacang
Kekacang adalah makanan berkhasiat untuk ibu mengandung kerana ia mengandungi banyak nutrien seperti kalsium, besi dan folat. Terdapat pelbagai jenis kacang termasuklah almond, walnut, kacang soya dan lentil.
Walau bagaimanapun, ibu hamil dinasihatkan untuk tidak mengambil kekacang yang berperisa. Ini kerana ia mungkin mengandungi bahan kimia yang tidak baik untuk bayi di dalam kandungan.
3.Daging ayam
Daging ayam merupakan sumber protein dan zat besi yang tinggi terutamanya di bahagian dada kerana bahagian tersebut mengandungi lemak yang sedikit. Protein juga perlu diambil dalam kadar yang banyak kerana ia membekalkan asid amino yang penting untuk perkembangan tulang dan otot.
4.Pisang
Pisang sememangnya bagus dijadikan sebagai makanan untuk ibu mengandung kerana boleh mengenyangkan mereka dalam tempoh yang lama dan mereka juga akan kekal bertenaga sepanjang hari.
Pisang mengandungi kandungan potasium yang tinggi untuk mengawal tekanan darah ibu hamil. Tambahan pula, pisang boleh membantu mengurangkan keletihan ketika kehamilan. Jangan risau, buah untuk ibu mengandung sememangnya bagus.
5. Bijirin
Untuk menu makanan ibu mengandung di waktu pagi pula, boleh cuba bijirin yang merupakan salah satu pilihan yang sangat bagus. Bijirin memiliki kandungan folat dan vitamin B yang diperlukan dalam kandungan yang tinggi buat ibu mengandung, terutamanya ketika trimester pertama iaitu makanan awal kehamilan. Selain daripada nutrien di atas, bijirin juga penuh dengan magnesium yang memainkan peranan penting bagi mengalirkan darah kepada bayi dalam kandungan.
6. Brokoli
Brokoli kaya dengan antioksidan dan juga nutrien lain seperti vitamin A, vitamin C dan zat besi. Ia adalah penting bagi memastikan sistem imun dan sistem pencernaan berada dalam keadaan yang baik dan sihat sentiasa. Pengambilan brokoli juga dapat mengelakkan masalah sembelit, kencing kotor dan keputihan bagi ibu mengandung.
7. Buah beri
Buah beri adalah pilihan yang baik jika anda sedang mencari makanan ibu mengandung yang sihat serta kaya dengan nutrien. Buah beri kaya dengan vitamin C, kandungan air, karbohidrat sihat dan juga antioksidan.
Ia sangat penting kerana dapat meningkatkan kadar pelawasan serta detoks badan. Selain itu, buah beri tidak akan meningkatkan kadar gula dalam tubuh dengan mendadak kerana ia mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah.
8. Ikan
Daging ikan adalah sumber protein, zink, dan zat besi. Nutrien-nutrien ini begitu penting untuk proses perkembangan bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa daging ikan yang tak sesuai untuk diambil seperti ikan tenggiri, ikan todak, dan ikan yu. Ini kerana ikan yang disebut mempunyai kadar merkuri yang tinggi.
Ikan yang bagus untuk ibu hamil adalah salmon. Salmon memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang dapat membantu untuk meningkatkan IQ bayi dalam kandungan.
9. Produk tenusu
Kalsium adalah salah satu nutrien penting untuk ibu hamil dan boleh dijumpai dengan kandungan yang sangat banyak dalam mana-mana produk tenusu. Selain kalsium, terdapat juga pelbagai jenis vitamin B, fosforus, zink dan juga magnesium.
Contoh produk tenusu buat ibu hamil adalah susu kambing. Ia kaya dengan nutrien yang memainkan peranan yang tinggi dalam perkembangan otak dan sistem saraf bayi.
10. Kurma
Kajian saintifik membuktikan bahawa kurma dapat melancarkan denyutan jantung, merawat sembelit, dan memberikan tenaga kepada ibu hamil. Kurma juga kaya dengan magnesium yang dapat bantu mengurangkan kadar gula dalam darah serta mengurangkan tekanan darah.
Makanan Yang Perlu Dielakkan Ibu Hamil
1. Telur separuh masak
Walaupun telur mentah ini menggoda nafsu makan anda, namun ia harus dielakkan bagi ibu yang sedang berbadan dua. Ini kerana, telur mentah sangat terkenal dengan sejenis bakteria yang diberi nama Salmonella. Gejala yang mungkin muncul seperti demam, muntah, kekejangan perut, cirit-birit dan loya.
Walaubagaimanapun, dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan ini boleh melepasi plasenta yang membawa kepada kematian bayi dalam kandungan.
2. Makanan yang diproses
Makanan yang diproses juga turut cenderung memiliki lemak tepu, tinggi kalori dan gula. Dengan makanan ini, ia boleh menyebabkan pertambahan berat badan yang kurang sihat seterusnya menyebabkan komplikasi pada kandungan.
Kajian menunjukkan peningkatan berat badan yang cepat semasa hamil boleh membawa kepada berat badan yang tinggi bagi kanak-kanak sekaligus menjadi tidak baik untuk kesihatan secara keseluruhannya.
3. Sushi
Makanan mentah seperti sushi juga boleh mengandungi parasit, virus dan bakteria. Sekaligus ia memberi kesan buruk kepada kandungan ibu dan seterusnya terhadap bayi.
Jadi sebaiknya, anda hanya mengambil makanan yang dimasak sempurna dan menjauhkan diri dari makanan mentah dan separuh masak. Semuanya demi kepentingan janin dalam kandungan.
4. Makanan laut tinggi merkuri
Banyak makanan laut tercemar dengan merkuri hingga boleh menjadi toksik kepada bayi dan ibu hamil. Antara ikan yang berisiko seperti ikan todak, tuna, jerung dan makarel. Jika kandungan merkuri ini tinggi, ia boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami ADHD dan lebih teruk lagi merosakkan sistem ketahanan bayi, sistem saraf dan buah pinggang.
Sebab itulah, FDA mengesyorkan supaya ibu mengehadkan pengambilan makanan laut kepada 8 hingga 12 auns setiap minggu dan mengambil ikan yang rendah merkuri seperti sardin, salmon dan lain-lain.
5. Kafein
Kafein adalah bahan psikoaktif yang mudah diserap melalui plasenta. Ini kerana, bayi yang belum lahir tidak mempunyai enzim yang diperlukan untuk memproses secangkir kopi, sebab itu tahap kafein yang tinggi dengan mudah dibina dalam sistem badan mereka.
Kesan sampingan yang biasa kita dengar setelah ibu ambil kafein secara berlebihan seperti memiliki berat badan yang rendah dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kronik kepada anak.
Antara makanan lain yang perlu ibu hamil elakkan adalah:
- Kerang mentah (tiram, kepah)
- Produk tenusu yang tidak dipasteur seperti beberapa jenis keju
- Jus yang tidak dipasteur
- Taugeh mentah
- Betik yang belum masak
- Daging yang telah melalui pemprosesan seperti sosej, daging segera dan makanan proses yang lain. (Namun ia selamat jika dipanaskan dan dimasak dengan cara yang betul sebelum dimakan)
- Makanan laut seperti lox.
- Sayur-sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu kerana bakteria ini secara lazimnya lebih meluas di dalam tanah. Jadi untuk mengelak jangkitan, sayur-sayuran perlu dicuci dan dibersihkan dengan baik.
Penyakit Yang Boleh Menjangkiti Ibu Mengandung Berkaitan Dengan Pengambilan Pemakanan
Antara jangkitan yang boleh berlaku pada ibu hamil akibat daripada makanan termasuklah:
1. Jangkitan listeriosis
Listeriosis adalah jangkitan yang disebabkan oleh Bakteria Listeria Monocytogens. Namun, ia mungkin tidak menyebabkan gejala yang jelas untuk wanita hamil tapi mungkin boleh mengakibatkan jangkitan yang serius pada janin yang membawa kepada keguguran dan kematian janin.
Selain itu, jangkitan ini juga boleh menjadi punca kepada kelahiran pramatang dan boleh mengancam nyawa pada bayi baru lahir.
Rawatan dan pencegahan jangkitan listeriosis:
Antara gejala listeriosis semasa kehamilan adalah seperti selesema, demam, sakit kepala dan sakit badan. Gejala yang paling teruk seperti kekeliruan dan kekejangan juga mungkin boleh berlaku. Walau bagaimanapun, listeriosis ini boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik yang sesuai untuk ibu hamil.
Penting juga untuk anda mencuci terlebih dahulu semua makanan dengan teliti dan berhati-hati. Ia penting bagi mengelakkan pencemaran bakteria yang mungkin melekat pada papan pemotong, pisau, pinggan dan sebagainya.
Terutama jika anda menggunakan papan pemotong yang sama untuk menghiris daging mentah dan sayuran. Jadi pastikan, peralatan tersebut telah dibersihkan dengan sempurna sebelum menggunakannya semula.
Bila Patut Jumpa Doktor?
Wanita hamil disarankan untuk menghubungi doktor jika mengesyaki bahawa anda mempunyai masalah keracunan makanan ataupun berasa tidak sedap perut dan badan. Ia perlu dipertimbangkan untuk memastikan kesihatan bayi yang belum lahir.
Jika anda mengalami simptom-simptom di bawah, segera berjumpa dengan doktor:
- Suhu badan lebih dari 102 darjah F (38.9 darjah celsius)
- Darah di dalam najis
- Cirit-birit berlangsung lebih lama daripada 3 hari
- Pening
- Mulut atau tekak kering
- Kerap muntah
Justeru, hati-hati semasa mengambil sebarang bentuk makanan supaya terhindar dari risiko stillbirth semasa hamil. Semoga bermanfaat.
- webmd ( March 19, 2021). March 19, 2021. Foods to Avoid in Pregnancy www.webmd.com/baby/foods-avoid-pregnancy
- healthline (August 13, 2020) 11 Foods and Beverages to Avoid During Pregnancy – What Not to Eat. www.healthline.com/nutrition/11-foods-to-avoid-during-pregnancy#10.-Alcohol
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Awas Keracunan Makanan Akibat Telur, Elak Membasuhnya Awal Jika Belum Ingin Memasak
Baca juga: Ibu Mengandung DILARANG Makan Telur Separuh Masak, Undang Risiko Keguguran, Kematian Janin!
Baca juga: Penuhi Keperluan Kalsium Ibu Hamil, Ini 8 Suplemen Kalsium Untuk Tulang Terbaik