Penyusuan susu ibu tidak hanya menjadi makanan utama untuk merangsang perkembangan bayi. Hal ini kerana mandian susu ibu mampu melegakan masalah kulit seperti kekeringan, ruam lampin dan ekzema.
Walau bagaimanapun anda jangan risau kerana kami tidak menyarankan anda meletakkan si manja ke dalam tab mandi dipenuhi dengan susu ibu. Ia hanya memerlukan sedikit sahaja susu ibu bagi membolehkan bayi merasai pengalaman seperti di spa yang menenangkan.
Mandian susu ibu baik untuk kesihatan kulit bayi
Menurut penulis buku American Academy of Pediatrics Baby and Toodler Basics and Your Infant’s First Year, Dr Tanya Altmann menyatakan bahawa susu ibu mengandungi banyak manfaat yang berfungsi sebagai pelembap kulit semula jadi iaitu lemak, protein, karbohidrat, vitamin dan mineran.
”Justeru tidak hairanlah ia boleh memberi manfaat untuk kulit bayi. Antibodi yang terkandung dalam susu ibu juga membantu mengelakkan jangkitan dan kerengsaan pada kulit. Anda tidak perlu ragu-ragu untuk meletakkan sedikit susu badan sewaktu memandikan si manja.” jelas Dr. Altmann.
Untuk pengetahuan ibu-ibu, Dr Altmann menyatakan bahawa ramai pesakitnya menggunakan kaedah ini bagi merawat ruam bayi dan kulit yang kering. Mandian susu ibu juga boleh mencegah masalah lain seperti:
#1. Melindungi kulit dan badan dari patogen
Susu ibu mengandungi beberapa antibodi dan sifat anti-infeksi yang kuat. Ia sekaligus dapat mencegah serangan patogen pada luka kecil serta lebam pada tubuh bayi. Asid lemak seperti asid oleik juga berperanan membunuh bakteria iaitu Staphylococcus aureus, yang biasanya terdapat pada kulit.
#2. Memperbaiki kerosakan kulit
Di dalam susu ibu juga terdapat dua jenis asid linolenik iaitu asid lemak Omega-3 dan Omega-6. Ia mengurangkan kerosakan pada kulit bayi akibat sinaran cahaya matahari.
Penggunaan topikal asid lemak Omega-3 dan 6 ini juga menurunkan tindak balas keradangan pada kulit yang rosak dan membantu menyembuhkan luka terbakar pada kulit bayi.
#3. Melegakan masalah ruam lampin dan ekzema
credit to sources
Masalah ini paling biasa terjadi pada kebanyakan bayi dan kanak-kanak. Hasil penyelidikan mendapati mandian susu ibu berperanan sebagai ubat topikal yang selamat bagi menyembuhkan ruam lampin dan ekzema.
#4. Memberi kelembapan berpanjangan
Susu badan ibu mengandungi banyak asid lemak yang bagus untuk mengekalkan kelembapan kulit si manja. Asid lemak ini turut mengelakkan kulit daripada masalah kekeringan. Justeru ibu hanya perlu kerap memandikan si manja dengan mandian susu badan di rumah.
#5. Mengelakkan pembaziran
Ibu yang memiliki banyak bekalan susu tidak perlu membazir sekiranya dipam dalam kuantiti banyak dan melebihi keperluan harian bayi. Sebaliknya lebihan susu ibu boleh digunakan untuk memandikan si manja.
Cara menyediakan mandian susu untuk si manja anda
Menyediakan mandian susu adalah amat mudah dan ia seperti mandi biasa dengan tambahan sedikit susu ibu. Menurut perunding penyusuan, Polly Gannon mengesyorkan anda menyediakan kira-kira 150 hingga 350 mililiter susu ibu- cukup untuk menjadikan air kelihatan sedikit keruh.
Namun jangan terlalu banyak susu kerana ia boleh menyebabkan tubuh si manja anda melekat bau susu yang kuat.
credit to sources
Ibu boleh menggunakan susu yang baru dipam atau tersimpan. Namun jika susu ibu dibekukan, anda harus mencairkannya terlebih dahulu sebelum menambah ke dalam air mandi suam.
Setelah susu siap, ikuti langkah berikut bagi menyediakan mandian susu:
- Tambahkan susu ibu ke dalam tab mandi bayi yang sudah diisi dengan air suam
- Letakkan bayi ke dalam tab mandi dan biarkannya berendam selama kira-kira 15 minit
- Gunakan tangan anda untuk menyiram air ke seluruh tubuh bayi, utamakan pada kawasan yang bermasalah
- Setelah selesai, tidak perlu membilas dengan air paip. Cukuplah anda mengangkatnya keluar dari tab mandi dan lap perlahan sehingga kering
- Sapukan losen bebas pewangi bagi mengunci manfaat mandian susu pada kulit bayi
Jika semuanya dilakukan dengan betul, ibu akan mendapati peningkatan ketara pada kulit bayi setelah mandian susu ibu.
”Setakat ini saya tidak melihat bahaya jika menambahkan susu ibu ke dalam mandian bayi anda. Namun ia adalah idea baik untuk berbincang dengan pakar pediatrik terlebih dahulu sekiranya bayi mengalami ruam atau kerengsaan pada kulit yang tidak pulih,” kata Dr. Altmann.
Sumber: Parents
Kredit foto: Nurul dhia, Harlinda Halim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bukan Mudah Nak Dapat Banyak Tu! Ibu Menangis Stok Susu Badan Tertumpah Dalam Beg
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!