Membaca memang menyeronokkan dan satu aktiviti yang bermanfaat. Tetapi, jika si manja masih tidak boleh membaca, ibu boleh bacakan buku untuk anak-anak. Walaupun begitu, bilakah jangka usia yang sesuai untuk anak boleh diperkenalkan kepada bacaan?
Kami pasti ada di kalangan pembaca kami yang gemar membaca baik koleksi buku bahasa melayu, buku bahasa inggeris, mahupun artikel. Kalau tak, takkan anda berada di laman web kami, kan?
Ibu bapa yang gemar membaca buku mungkin hendak mendidik anak untuk menyukai buku juga. Seperti yang kita ketahui, amalan membaca adalah amalan mulia dan di dalam agama Islam juga, kita digalakkan untuk membaca bagi tuntutan ilmu. Jadi, kepada para ibu bapa yang hendak memperkenalkan dunia bacaan kepada anak-anak, bagus!
Walau bagaimanapun, kami faham bahawa ada sesetengah ibu bapa di sini yang mempunyai cahaya mata yang masih terlalu kecil untuk membaca sendiri. Oleh sebab itu, ibu dan ayahlah yang bertanggunjawab untuk membacakan buku kanak-kanak yang menarik kepada si manja. Tapi, kalau mereka tak faham apa yang kita bacakan, tak seronok juga, kan?
Sebab itulah kami hendak menjawab persoalan anda: bilakah waktu yang sesuai untuk ibu dan ayah untuk boleh membaca bersama si manja?
Bila saya boleh membaca bersama si manja?
#1. Bayi baru lahir – 6 bulan
Ya, anda boleh membaca dengan si manja seawal mereka masih baru lahir! Pada tahap umur ini, anda bolehlah membacakan mereka buku-buku yang mengajar si manja kosa kata atau nombor-nombor. Walaupun masih terlalu awal untuk cahaya mata anda memahami apa yang anda bacakan, tetapi suara dan intonasi anda dapat memberikan si manja keterujaan.
#2. Bayi 6 – 9 bulan
Ketika umur ini, si manja sudah mula tertarik dengan gambar yang berwarna-warni. Oleh itu, ibu boleh mula memperkenalkan buku kanak-kanak yang menawarkan cerita-cerita pendek dan ringkas kepada si manja. Cahaya mata anda mungkin tidak lagi dapat memahami, tetapi mereka sudah boleh mula meneroka minat terhadap buku dan bacaan.
#3. Bayi 9 – 18 bulan
Kenalkan anak anda dengan buku papan yang mempunyai warna-warni atau tekstur yang mereka boleh sentuh. Ketika usia ini, si manja lebih gemar membaca buku yang mempunyai ilustrasi yang mereka boleh kenali seperti gambar haiwan atau buah-buahan. Anda juga boleh mula bertanya soalan seperti, “Boleh tunjuk ayah mana lembu?” dan si manja mungkin anda memberikan anda jawapan yang betul.
Jadi, secara mudahnya, anda boleh mula membaca bersama si manja sejak awal usia lagi asalkan anda mengikut tahap perkembangan yang sesuai bagi mereka.
Cara yang betul untuk mula membaca kepada bayi
Foto: nct.org.uk
Untuk bacaan dengan bayi, anda tidak perlulah terlalu fokus untuk betul-betul mengikut teks pada buku. Cukuplah sekadar anda dan si manja menikmati masa bersama, sambil anda berhenti seketika untuk ajukan soalan seperti, “Di mana pokok hijau? Itu dia!” Si manja mungkin tidak faham buat masa ini, tetapi lama kelamaan dia akan mula mengenali aspek yang dimaksudkan.
Walaupun tiada cara yang betul atau salah untuk mula membaca kepada si manja, tetapi masih terdapat beberapa cara yang terbaik untuk anda cuba amalkan jika anda hendak mula membacakan buku kepada si manja.
- Memeluk si manja ketika sesi bacaan, supaya si manja berasa selesa dan selamat dalam dakapan ibu atau ayah
- Membaca dengan ekspresi dan intonasi. Ini cara untuk mengajar si manja kemahiran berkomunikasi
- Bacakan buku sajak kanak-kanak (nursery rhymes) dalam nada nyanyian untuk menghiburkan bayi
- Ulang, ulang dan ulang bacaan anda! Si manja akan sukakannya dan juga dapat mengingat kosa kata dengan lebih mudah
Sudah terang lagi bersuluh, amalan membaca untuk menuntut ilmu akan membawa banyak kebaikan. Ketahui apakah kebaikan membaca kepada dan bersama si manja anda!
Manfaat membaca kepada bayi
- Mengajar si manja cara berkomunikasi
Apabila si manja membiasakan diri mendengar cara anda menggunakan intonasi anda ketika bacaan, mereka akan mula belajar cara berkomunikasi dengan lebih mudah. Mereka juga dapat mengembangkan kefahaman perkembangan sosial dan emosi dari ekspresi berbeza yang ditunjukkan ketika membaca.
- Memperkenalkan mereka kepada konsep-konsep baharu
Sekiranya si manja sering dibacakan buku tentang pengenalan nombor dan angka, maka ia lebih mudah untuk mengenali nombor ketika usianya semakin menginjak. Dalam dunia bacaan, terdapat banyak konsep yang si manja boleh belajar dan fahami dengan mudah.
- Membina daya ingatan bayi
Foto: iStock
Apabila si manja mempunyai buku kegemaran mereka, mereka pasti akan menghafal isi kandungan buku tersebut apabila sudah dibacakan beberapa kali. Oleh sebab itu, daya ingatan si manja akan lebih kuat dari sehari ke sehari.
- Membina kosa kata dan kemahiran mendengar si manja
Buku yang acap kali dibaca pasti akan membuatkan si manja menghafal kosa kata dari buku tersebut, dan apabila si ibu dan ayah yang membacakan perkataan-perkataan tersebut kepada mereka, si manja pasti akan mendengar dengan penuh teliti seraya meningkatkan lagi kemahiran mendengar cahaya mata anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Zero to Three, Kids Health
Gambar: Flo.Health
Baca juga: Bayi Boleh Cepat Bercakap Kalau Selalu Membaca Untuk Mereka!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!