Jaga-jaga Ibu Hamil! Elak Teruja Mengecat Bilik Bayi, Ini Risiko Jika Anda Terhidu Bau Cat

Wanita hamil tidak digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti mengecat atau terhidu bau cat terutamanya di trimester pertama kehamilan kerana ia boleh menjejaskan perkembangan janin.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Dengan ‘baby bump’ yang comel itu, ibu hamil datang dengan tanggungjawab yang besar. Selain wajib menitikberatkan tentang pengambilan makanan, rehat dan senaman, anda juga perlu mengambil kira faktor luaran. Sebagai contoh, adakah selamat untuk melakukan aktiviti mengecat semasa anda sedang hamil? 

Semakin dekat tarikh kelahiran anak ke dunia, semakin teruja perasaan ibu mengandung. Keterujaan tersebut membuatkan anda terasa bersemangat untuk menghias bilik bayi bagi menyambutnya tidak lama lagi. Jadi, anda mungkin memilih untuk mengecat bilik bayi dengan sendiri atau mengupah orang luar untuk melakukannya.

Namun ibu, adakah mengecat ini selamat untuk anda dan kandungan? Adakah bahan kimia yang terkandung dalam cat itu berbahaya? Apakah terdapat risiko yang mungkin dialami oleh anda atau bayi dalam kandungan? Teruskan membaca info-info penting ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Adakah Selamat Mengecat Semasa Kehamilan?

Kajian tidak dapat mengukur jumlah tepat cat yang terdedah kepada setiap wanita, justeru kesan bahan kimia ini terhadap bayi dalam kandungan tidak diketahui dengan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan cat mengandungi bahan pelarut (bahan kimia berasaskan petroleum/ minyak) yang boleh menyebabkan masalah kesihatan jika anda menyedut terlalu banyak, sama ada semasa mengandung atau tidak.

Oleh yang demikian, sebaiknya ibu hamil mengehadkan pendedahan kepada bau cat dan cat, terutamanya di trimester pertama kehamilan.

Menurut pakar OB-Ginekologi di Pusat Kesihatan Providence Saint John di Santa Monica California, Lisa Valle, DO, trimester pertama dianggap sebagai masa paling berisiko kerana organ bayi masih terbentuk.

Risiko Pendedahan Kepada Bau Cat

Risiko pendedahan kepada bau cat terdiri daripada kesan jangka pendek seperti loya, kerengsaan kulit, mata, hidung atau tekak, masalah bernafas, alahan, pening dan sakit kepala kepada kesan jangka panjang seperti memberi masalah kepada hati, buah pinggang, serta kerosakan sistem pernafasan dan saraf.

Di samping itu, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada bahan pelarut semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko keguguran.

Menurut penyelidik, jangka masa di mana bayi terdedah kepada pengubahsuaian rumah dan tahap pendedahan terhadap cat tidak boleh diambil mudah. Pendedahan yang berterusan kepada bahan pelarut boleh meningkatkan risiko melahirkan bayi dengan kecacatan kelahiran dan masalah pembelajaran.

Walau bagaimanapun, disebabkan kesukaran untuk mengukur berapa banyak bahan (dalam cat) yang diserap oleh badan, risiko sebenar kepada wanita hamil masih tidak diketahui dan sebaiknya anda jangan mengambil risiko itu.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Jika kerja mengecat dinding diperlukan, pilihan paling selamat adalah dengan  membiarkan orang lain mengecat, atau menangguhkan kerja sehingga selepas bayi dilahirkan.

Walaupun terdapat teori yang berbeza berkaitan dengan kecacatan kelahiran disebabkan terhidu bau cat semasa hamil, ia tidak berbaloi untuk mempertaruhkan nyawa bayi anda yang berharga. Jadi, apakah yang boleh anda lakukan jika anda benar-benar tidak sabar untuk mengubah suai bilik bayi anda?

Gunakan Cat Yang Selamat

Pastikan anda memilih cat dengan berhati-hati selepas membaca label untuk sebarang kandungan plumbum atau kandungan VOC (Kompaun Organik Meruap) yang tinggi.

Walaupun cat paling selamat juga mungkin tidak bebas VOC sepenuhnya seperti menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar, anda masih boleh menemui cat organik yang selamat untuk kehamilan dengan label bebas VOC. Cat ini mungkin lebih mahal tetapi ia adalah penyelamat anda apabila digunakan mengikut semua langkah keselamatan yang betul.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Cat berasaskan air atau akrilik dianggap lebih selamat berbanding cat berasaskan pelarut dan cat semburan. Malah, ia juga lebih cepat kering, memberikan pengekalan warna yang baik, tidak mengeluarkan banyak bau dan berfungsi dengan baik walaupun di atas dinding yang dicat minyak sedia ada.

Dalam pada itu, meskipun cat berasaskan minyak sangat tahan lama, ia dikatakan tinggi dalam kepekatan pelarut dan selalunya mengandungi bahan kimia berbahaya. Oleh itu, cat jenis ini tidak digalakkan untuk digunakan semasa kehamilan. Elak gunakan cat minyak untuk dinding ya!

Bagi mengetahui sama ada cat itu berasaskan air atau minyak, cuba lap dengan alkohol yang telah didenaturasi. Jika cat tidak tanggal, ia berasaskan minyak dan sebaliknya jika ia tertanggal, maka ia berasaskan air.

Selain daripada kemungkinan risiko terhidu bau cat semasa hamil, cat minyak juga mempunyai tekstur yang ‘sukar dibersihkan’.

Cara Pastikan Kehamilan Selamat Semasa Mengecat

Sebolehnya, elakkanlah menggunakan cat atau melakukan kerja rumah yang melibatkan penyedutan bau cat atau bahan kimia berbahaya yang lain semasa hamil. Tetapi jika anda mesti juga berbuat demikian, pastikan anda sentiasa berhati-hati dan ambil perhatian perkara-perkara berikut:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

#1. Biarkan udara masuk

Pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik semasa anda melakukan semua kerja mengecat supaya bau cat dapat dibebaskan ke luar. Ini membantu anda menghirup udara segar dan mengurangkan risiko terhidu bau cat semasa hamil.

#2. Jangan buang pelitup muka

Sebaiknya gunakan pelitup muka atau alat pernafasan untuk melindungi diri anda daripada bau yang berbahaya. Jika anda terasa loya atau pening, sila jangan tunggu lagi dan beredarlah dari bilik itu dengan segera.  

#3. Lindung kulit 

Tutup bahagian kulit anda dengan sebaiknya. Pakai baju lengan panjang, seluar panjang dan cermin mata supaya cat tidak melekat pada kulit anda. Sebarang cat yang melekat pada kulit mesti dibasuh dengan sabun dan air dengan segera.

#4. Jangan memanjat

Wanita hamil cenderung mengalami perubahan dalam pusat graviti mereka, yang bermaksud kehilangan keseimbangan badan menjadi perkara biasa. Oleh itu, jika ada tugas melibatkan imbangan seperti memanjat tangga, sila jangan lakukan dan biarkan orang lain yang mengambil tempat anda itu!

#5. Elak makan dalam bilik berbau cat

Makanan dan minuman mungkin tercemar di dalam bilik yang dicat. Jadi, elakkan mengambil makanan dan minuman di dalam bilik yang dipenuhi bau cat.

#6. Cat boleh ‘tunggu’ anda

Pastikan anda kerap berhenti untuk mendapatkan udara segar dan merehatkan badan. Selain itu, hadkan juga masa untuk mengecat bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia. Pilihan terbaik adalah meminta orang lain untuk mengecat dan mengelak daripada memasuki bilik tersebut semasa orang lain melakukan kerja.

#7. Ucap selamat tinggal kepada bau cat!

Sebaiknya, jangan hanya mencuci tangan anda sehingga bersih sahaja selepas mengecat, tetapi anda juga digalakkan untuk terus mandi dan mencuci rambut anda bagi menghilangkan sebarang kesan bau cat. 

#8. Elakkan mengecat semasa trimester pertama

Walaupun dengan semua langkah berjaga-jaga yang ada, perkara yang terbaik boleh ibu hamil lakukan adalah dengan mengelakkan sebarang aktiviti mengecat semasa di trimester pertama.

Ini merupakan tempoh kehamilan yang penting kerana organ bayi anda sedang berkembang dan anda sudah tentunya tidak ingin mengambil sebarang risiko.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Untuk mengelakkan anda daripada menyedut bau cat semasa hamil dan memastikan bayi anda selamat daripada risiko kesihatan yang teruk, pastikan anda tidak menggunakan bilik yang baru dicat semasa di trimester pertama anda.

Dan apabila bayi anda telah dilahirkan, sila tunggu selama satu atau dua bulan sebelum membawa si manja anda itu menggunakan bilik yang dicat baru tersebut.  

Semoga bermanfaat!

  1. Healthline (Apr 15, 2020). Is Painting During Pregnancy a Good Idea? www.healthline.com/health/painting-while-pregnant#takeaway
  2. Baby Center (Nov 3, 2021). Is painting while pregnant safe? www.babycenter.com/pregnancy/health-and-safety/is-it-safe-to-paint-or-be-around-paint-fumes-during-pregnanc_9484

Artikel ini mendapat kebenaran untuk diterjemahkan daripada theAsianparent Singapura.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Makan Ayam Semasa Hamil Boleh Sebabkan Kemaluan Bayi Dalam Kandungan Mengecut?

Baca juga: Penawar Demam Denggi Dari Daun Betik Berhasil Tingkat Platelet Darah,Tapi Harus Hati-Hati Jika Hamil

Baca juga: Jaga-Jaga Minum Teh Hijau Ketika Hamil, Ia Boleh Sebabkan Bayi Anda Kekurangan Nutrien

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Penulis

Athirah