Apabila mendapat tahu diri anda kini berbadan dua, ibu hendaklah menjaga diri dengan sebaiknya. Dalam masyarakat Melayu khususnya, ada beberapa pantang larang semasa mengandung yang perlu anda ikuti.
Lebih-lebih lagi jika kehamilan ini adalah yang pertama dan sudah bertahun-tahun anda menunggu kehadiran cahaya mata. Pada awal kandungan, ibu perlu banyakkan berehat dan mengehadkan tugasan seharian.
Pantang larang semasa mengandung

Semasa hamil, anda perlu mempertimbangkan kesihatan diri dan mengambil kira jika anda mempunyai sebarang komplikasi. Ini kerana sesetengah kerja rumah boleh membahayakan diri dan anak yang sedang berkembang di dalam kandungan.
Jadi, ibu-ibu hamil digalakkan untuk tidak buat 7 pantang larang semasa mengandung ini:
1. Elak guna produk pencuci yang kuat
Produk-produk seperti penyembur ubat nyamuk, sabun pembersih ketuhar dan peluntur semuanya diperbuat dari bahan kimia yang senang mengewap.
Jika ingin menangani masalah banyak nyamuk, ketuhar dan tandas yang kotor semasa hamil, cari produk alternatif.
Kapur semut dan pelekat lalat lebih selamat. Anda juga boleh menggunakan larutan cuka atau jus lemon dengan serbuk penaik baking soda untuk dijadikan pengganti produk-produk mencuci buatan kimia.
2. Elak angkat barang berat
Pantang larang semasa mengandung yang seterusnya adalah elakkan dari mengangkat barang-barang berat.
Apabila perut semakin besar, ini akan memberi tekanan tambahan kepada tulang belakang. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya perlu bagi mengelakkan masalah sakit pinggang dan menjejaskan keselamatan bayi dalam kandungan.
3. Jangan bela haiwan peliharaan
Menukar dan mencuci bekas najis dan kencing kucing atau haiwan kesayangan boleh mendedahkan anda kepada pelbagai parasit dan kuman.
Risiko paling besar kepada janin ialah toksoplasmosis, iaitu sejenis jangkitan yang boleh didapati dalam najis kucing.
Jika ingin mencuci dan menguruskan haiwan peliharaan anda, jangan lupa untuk pakaikan sarung tangan dan membasuh tangan dengan bersih selepas itu.
4. Cuci kipas siling dan tukar langsir
Pantang larang ibu mengandung yang lain adalah jangan melakukan kerja-kerja di mana anda perlu memanjat atau naik atas kerusi mahupun tangga.
Dengan perut yang besar, wanita hamil mungkin rasa kekok dan senang terjatuh. Jangan berdiri di atas meja, bangku mahupun tangga yang rendah, ia boleh membahayakan diri anda dan bayi dalam kandungan.
5. Mengemop atau menyapu rumah
Sememangnya rumah anda tidak akan sentiasa bersih meskipun anda hanya tinggal berdua dengan pasangan.
Pantang larang ibu mengandung seterusnya adalah mengurangkan kerja rumah mengemop dan menyapu lantai. Ini kerana semasa mengemop atau menyapu, kadang-kadang ibu hamil perlu tunduk ke bawah atau bercangkung untuk menyapu bawah perabot.
Pantang larang mengandung ini adalah untuk mengelakkan risiko sakit belakang dan tekanan kepada otot-otot di belakang lutut anda.
6. Mencuci pinggan mangkuk
Pantang larang ketika hamil ini mungkin bunyinya seperti alasan untuk escape cuci pinggan saja?
Nasihat ini ada sebabnya: kulit wanita boleh menjadi lebih sensitif apabila mereka hamil. Jadi jangan lupa untuk pakaikan sarung tangan apabila mencuci pinggan!
7. Vakuum lantai
Pantang larang ketika hamil ini mungkin kedengaran seperti tidak logik kan? Tetapi pernahkah anda cuba tukar penapis mesin vakum dengan perut besar?
Pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Penapis vakum yang perlu ditukar sudah pasti penuh dengan debu dan spora yang boleh merengsakan mata dan paru-paru anda.
Cakap je senang bukan? Akhirnya kita juga yang kena mencuci dan mengemas rumah. Tapi, gunakan peluang ini untuk berehat dan mengajak suami melakukan kerja rumah bersama!
Pantang larang ibu mengandung dalam Islam

-
Tidak menunjukkan baby bump kepada umum
Pantang larang ibu mengandung dalam Islam yang ramai wanita ambil mudah adalah bahagian perut.
Mereka seolah-olah ‘seronok’ dapat berkongsi berita kehamilan dengan kerap memuat naik gambar baby bump di akaun media sosial masing-masing.
Menurut Mufti Wilayah, baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
Hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.
Ketika hamil biasanya tubuh akan terasa sakit dan tidak selesa. Pembawakan anak menyebabkan anda berasa kerap pening, tubuh lesu serta tekak terasa mual.
Walau bagaimanapun, ibu tetap memiliki kewajiban untuk melaksanakan sholat fardhu seperti biasa. Anda boleh meninggalkan puasa ramadhan (dengan syarat nanti diganti di hari lain). Namun untuk solat fardhu, hukumnya tetap wajib dilakukan.
Jika memang tidak mampu solat secara berdiri, maka solat dengan duduk. Apabila duduk juga tidak boleh, maka solatlah dalam keadaan berbaring.
-
Elakkan keluar lewat malam
Dari sudut perubatan islam, ibu mengandung dan bayi dalam kandungan sangat menarik perhatian makhluk halus. Semestinya anda tidak mahu gangguan dari mahluk halus yang berniat jahat.
-
Bersolek berlebihan ketika keluar rumah
Pantang larang ibu mengandung dalam Islam yang seterusnya adalah bersolek secara berlebihan.
Ibu hamil yang ingin keluar rumah hendaklah bersederhana dalam solekan dan menjaga penampilan menutup aurat. Hal ini kerana bagi mengelakkan pandangan lelaki dan fitnah.
“Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah)” (HR. At-Tirmidzi).
Pantang larang percakapan semasa mengandung
Pantang larang percakapan semasa mengandung adalah untuk menjaga keperibadian anak agar menjadi seorang yang baik dan sihat.
Dalam Islam, ibu hamil tidak boleh berkata sesuatu yang buruk seperti menganjing, menghina atau memburuk-burukkan orang lain. Hal ini bagi mengelakkan apa yang dikatakan menimpa pada anaknya sendiri.
Selain itu, perbuatan memburuk-burukkan atau menghina orang lain juga dilarang agama.
“Tahukah kalian apa itu ghibah (menggunjing)? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu. Kemudian Baginda bersabda : Ghibah adalah engkau membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci. Ada yang bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?
Baginda menjawab: Jika yang kalian katakan itu betul, berarti kalian telah berbuat ghibah. Dan jika kalian katakan tidak betul, berarti kalian telah memfitnah (mengucapkan kebohongan)” (HR Muslim)
Pantang larang suami ketika isteri mengandung

Tidak hanya ibu atau isteri hamil sahaja ada pantang larang, suami dan bakal ayah juga perlu mengikuti beberapa pantang larang ini.
Walau bagaimanapun, jangan terlalu serius ya! Ini hanyalah pantang larang suami ketika isteri mengandung yang populor sejak zaman nenek moyang kita lagi. Bolehlah jadikannya sebagai panduan buat suami agar sentiasa berjaga-jaga.
- Ketika isteri hamil, suami janganl memburu, menganayia atau membunuh binatang. Kononnya amalan ini boleh menyebabkan anak yang dikandong isteri akan lahir cacat.
- Jangan mengetuk dinding rumah- dikhuatiri uri bayi akan melekat pada rahim, biarpun bayi telah selamat dilahirkan.
- Pantang larang suami ketika isteri mengandung: Bagi suami yang minat memancing, elakkan memancing ketika isteri hamil, dikhuatiri anak dilahirkan sumbing.
- Jangan buat perjalanan jauh pada waktu malam. Seeloknya, bergerak pada waktu siang dimana jalan raya penuh dengan kenderaan.
Pantang larang awal kehamilan
Pantang larang awal kehamilan ini memerlukan ibu banyak berehat dan elak terlalu aktif. Memandangkan kandungan masih lagi baru, masih ada risiko masalah yang lain seperti keguguran atau janin tidak berkembang.
Justeru ada beberapa pantang larang awal kehamilan yang perlu anda ikuti:
- Larangan ibu hamil trimester pertama: Jangan turun naik tangga
- Ambil makanan yang berkhasiat dan elakkan makanan tajam seperti air kelapa, ikan pari, buah nanas
- Tidak digalakkan berjumpa orang-orang yang menghidap penyakit berjangkit.
Bagi ibu hamil yang mengalami pendarahan pada awal kehamilan, digalakkan mengurangkan aktiviti lasak dan banyakkan berehat.
- Larangan ibu hamil trimester pertama: Elak mengambil makanan atau minuman yang boleh menyebabkan ketagihan seperti kopi, teh, coklat, ataupun alkohol.
- Pantang larang awal kehamilan: Jangan sesekali mengambil sebarang jenis ubat mahupun jamu tanpa mendapat kebenaran doktor
Makanan dilarang ketika hamil
Untuk menjaga kesihatan ibu dan janin dalam kandungan, ada beberapa makanan dilarang ketika hamil yang perlu anda ikuti. Antaranya:
- Pantang larang mengandung: Makanan yang mengandungi merkuri tinggi seperti king mackerel, tilefish, ikan hiu atau todak. Ia dikatakan boleh menjadi toksik terhadap imun badan, buah pinggang, dan sistem saraf
- Makanan dilarang ketika hamil: Separuh masak seperti telur atau sushi. Ia boleh menyebabkan jangkitan virus salmonella dan membuatkan ibu mengalami gejala muntah, demam, cirit birit dan kekejangan perut
- Organ dalaman seperti hati ayam akan menyebabkan kecacatan muka bayi, kepala, dan jantung, kecacatan kelahiran, dan toksik hati
Air yang tidak boleh diminum ketika mengandung
Tidak hanya makanan, ada juga air yang tidak boleh diminum ketika mengandung. Hal ini kerana ia dapat menyebabkan risiko diabetes dan bayi besar dalam perut.
Antara air yang tidak boleh diminum ketika mengandung ialah:
- Minuman berkarbonat
- Pengambilan kafien yang tinggi akan menganggu tumbesaran tulang bayi dan juga mengakibatkan bayi dilahirkan mempunyai berat yang rendah berbanding bayi normal
- Pantang larang mengandung: Minum susu segar
- Minuman beralkohol
- Minuman jamu ataupun akar kayu. Dibimbangi boleh menyebabkan bayi panas dan risiko keguguran
Amalan sepanjang mengandung
Terdapat beberapa amalan sepanjang mengandung yang boleh ibu lakukan bagi memastikan bayi dalam kandungan menjadi seorang yang soleh dan solehah.
-
Elakkan memuatnaik gambar ultrasound bayi, memperlihatkan baby bump, dan menulis status-status yang bertujuan menghebahkan kehamilan anda dengan keterlaluan untuk mengelakkan fitnah atau penyakit ‘ain.
-
Hindari tekanan dan banyakkan bersyukur
-
Banyakkan berzikir dan membaca al quran
-
Sentiasa bertaubat dan beristighfar
-
Rajin puasa sunat
-
Menjaga pemakanan yang sihat
-
Amalan sepanjang mengandung: Menjaga adab dan emosi terhadap suami
-
Jauhi perasaan dengki dan dendam
-
Amalan sepanjang mengandung: Sering bermuka manis
- Makan dari sumber yang halal
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Para Isteri Jangan Terlalu Lasak & Angkat Berat, Ini 9 Tanda Peranakan Anda Telah Jatuh
Baca juga: Kenapa Tiada Alahan Semasa Mengandung, Adakah Ia Normal & Bayi Akan Baik-Baik Sahaja?
Baca juga: Sudah Ikat Peranakan (BTL) Tapi Masih ‘Lekat’, Ibu Terkejut Dapat Tahu Mengandung 6 Bulan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!