Apabila mendapat tahu diri anda kini berbadan dua, ibu hendaklah menjaga diri dengan sebaiknya. Dalam masyarakat Melayu khususnya, ada beberapa pantang larang semasa mengandung yang perlu anda ikuti.
Pantang Larang Semasa Mengandung
Antara pantang larang semasa mengandung mengikut tradisi orang tua dulu-dulu adalah:
- Jangan lilit tuala di sekeliling leher kerana ia dikhuatiri tali pusat melilit leher bayi
- Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat
- Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana haiwan, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.
- Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir bibir terbelah atau mengalami kecacatan.
- Pantang larang semasa mengandung: Jangan bergaduh dengan ibu mentua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak
- Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.
- Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.
- Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur
- Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.
- Pantang larang ketika hamil: Jangan melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.
- Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.
- Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.
- Pantang larang ketika hamil: Jangan tidur waktu tengah hari, nanti kepala anak akan menjadi besar.
- Dilarang potong haiwan nanti anak lahir tak cukup anggota.
- Dilarang bunuh haiwan nanti anak bakal meninggal macam keadaan haiwan itu mati.
- Pantang larang orang mengandung: Dilarang keluar rumah waktu senja/malam nanti kena usik hantu.
- Dilarang mandi waktu malam nanti bersalin tumpah darah.
- Dilarang duduk di tangga nanti bersalin susah.
- Pantang larang orang mengandung: Elakkan siang ikan nanti anak sumbing.
- Dilarang tanam pokok pisang nanti anak lahir berkepala besar.
- Jangan travel jauh-jauh ketika awal 3 bulan kandungan – takut rahim lemah dan tak dapat menahan dari keguguran.
Pantang Larang Ketika Hamil Yang Lain
Semasa hamil, anda perlu mempertimbangkan kesihatan diri dan mengambil kira jika anda mempunyai sebarang komplikasi. Ini kerana sesetengah kerja rumah boleh membahayakan diri dan anak yang sedang berkembang di dalam kandungan.
Jadi, ibu-ibu hamil digalakkan untuk tidak buat 7 pantang larang semasa mengandung ini:
1. Elak guna produk pencuci yang kuat
Pantang larang orang mengandung seterusnya adalah elakkan guna produk pencuci yang memiliki bau kuat.
Produk-produk seperti penyembur ubat nyamuk, sabun pembersih ketuhar dan peluntur semuanya diperbuat dari bahan kimia yang senang mengewap.
Jika ingin menangani masalah banyak nyamuk, ketuhar dan tandas yang kotor semasa hamil, cari produk alternatif.
Kapur semut dan pelekat lalat lebih selamat. Anda juga boleh menggunakan larutan cuka atau jus lemon dengan serbuk penaik baking soda untuk dijadikan pengganti produk-produk mencuci buatan kimia.
2. Elak angkat barang berat
Pantang larang orang mengandung yang seterusnya adalah elakkan dari mengangkat barang-barang berat.
Apabila perut semakin besar, ini akan memberi tekanan tambahan kepada tulang belakang. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya perlu bagi mengelakkan masalah sakit pinggang dan menjejaskan keselamatan bayi dalam kandungan.
3. Jangan bela haiwan peliharaan
Pantang larang orang mengandung yang lain adalah elakkan bela haiwan peliharaan.
Menukar dan mencuci bekas najis dan kencing kucing atau haiwan kesayangan boleh mendedahkan anda kepada pelbagai parasit dan kuman.
Risiko paling besar kepada janin ialah toksoplasmosis, iaitu sejenis jangkitan yang boleh didapati dalam najis kucing.
Jika ingin mencuci dan menguruskan haiwan peliharaan anda, jangan lupa untuk pakaikan sarung tangan dan membasuh tangan dengan bersih selepas itu.
4. Cuci kipas siling dan tukar langsir
Pantang larang orang mengandung yang lain adalah jangan melakukan kerja-kerja di mana anda perlu memanjat atau naik atas kerusi mahupun tangga.
Dengan perut yang besar, wanita hamil mungkin rasa kekok dan senang terjatuh. Jangan berdiri di atas meja, bangku mahupun tangga yang rendah, ia boleh membahayakan diri anda dan bayi dalam kandungan.
5. Mengemop atau menyapu rumah
Sememangnya rumah anda tidak akan sentiasa bersih meskipun anda hanya tinggal berdua dengan pasangan.
Pantang larang ibu mengandung seterusnya adalah mengurangkan kerja rumah mengemop dan menyapu lantai. Ini kerana semasa mengemop atau menyapu, kadang-kadang ibu hamil perlu tunduk ke bawah atau bercangkung untuk menyapu bawah perabot.
Pantang larang mengandung ini adalah untuk mengelakkan risiko sakit belakang dan tekanan kepada otot-otot di belakang lutut anda.
6. Mencuci pinggan mangkuk
Pantang larang ketika hamil ini mungkin bunyinya seperti alasan untuk escape cuci pinggan saja?
Nasihat ini ada sebabnya: kulit wanita boleh menjadi lebih sensitif apabila mereka hamil. Jadi jangan lupa untuk pakaikan sarung tangan apabila mencuci pinggan!
7. Vakuum lantai
Pantang larang ketika hamil ini mungkin kedengaran seperti tidak logik kan? Tetapi pernahkah anda cuba tukar penapis mesin vakum dengan perut besar?
Pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Penapis vakum yang perlu ditukar sudah pasti penuh dengan debu dan spora yang boleh merengsakan mata dan paru-paru anda.
Cakap je senang bukan? Akhirnya kita juga yang kena mencuci dan mengemas rumah. Tapi, gunakan peluang ini untuk berehat dan mengajak suami melakukan kerja rumah bersama!
Pantang Larang Dalam Islam
-
Tidak Tunjukkan Baby Bump Pada Umum
Pantang larang ibu mengandung dalam Islam yang ramai wanita ambil mudah adalah bahagian perut.
Mereka seolah-olah ‘seronok’ dapat berkongsi berita kehamilan dengan kerap memuat naik gambar baby bump di akaun media sosial masing-masing.
Menurut Mufti Wilayah, baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
Hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.
Ketika hamil biasanya tubuh akan terasa sakit dan tidak selesa. Pembawakan anak menyebabkan anda berasa kerap pening, tubuh lesu serta tekak terasa mual.
Walau bagaimanapun, ibu tetap memiliki kewajiban untuk melaksanakan sholat fardhu seperti biasa. Anda boleh meninggalkan puasa ramadhan (dengan syarat nanti diganti di hari lain). Namun untuk solat fardhu, hukumnya tetap wajib dilakukan.
Jika memang tidak mampu solat secara berdiri, maka solat dengan duduk. Apabila duduk juga tidak boleh, maka solatlah dalam keadaan berbaring.
Pantang larang orang tua semasa seseorang sedang hamil adalah elakkan keluar lewat malam.
Dari sudut perubatan islam, ibu mengandung dan bayi dalam kandungan sangat menarik perhatian makhluk halus. Semestinya anda tidak mahu gangguan dari mahluk halus yang berniat jahat.
Pantang larang dalam Islam ketika ibu mengandung yang seterusnya adalah elakkan bersolek secara berlebihan.
Ibu hamil yang ingin keluar rumah hendaklah bersederhana dalam solekan dan menjaga penampilan menutup aurat. Hal ini kerana bagi mengelakkan pandangan lelaki dan fitnah.
“Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah)” (HR. At-Tirmidzi).
Pantang Larang Percakapan Ketika Hamil
Pantang larang percakapan semasa mengandung adalah untuk menjaga keperibadian anak agar menjadi seorang yang baik dan sihat.
Dalam Islam, ibu hamil tidak boleh berkata sesuatu yang buruk seperti menganjing, menghina atau memburuk-burukkan orang lain. Hal ini bagi mengelakkan apa yang dikatakan menimpa pada anaknya sendiri.
Selain itu, perbuatan memburuk-burukkan atau menghina orang lain juga dilarang agama.
“Tahukah kalian apa itu ghibah (menggunjing)? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu. Kemudian Baginda bersabda : Ghibah adalah engkau membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci. Ada yang bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?
Baginda menjawab: Jika yang kalian katakan itu betul, berarti kalian telah berbuat ghibah. Dan jika kalian katakan tidak betul, berarti kalian telah memfitnah (mengucapkan kebohongan)” (HR Muslim)
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Para Isteri Jangan Terlalu Lasak & Angkat Berat, Ini 9 Tanda Peranakan Anda Telah Jatuh
Baca juga: Kenapa Tiada Alahan Semasa Mengandung, Adakah Ia Normal & Bayi Akan Baik-Baik Sahaja?
Baca juga: Sudah Ikat Peranakan (BTL) Tapi Masih ‘Lekat’, Ibu Terkejut Dapat Tahu Mengandung 6 Bulan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!