Apabila seorang wanita hamil, pelbagai perubahan emosi dan fizikal akan berlaku terhadap tubuh wanita tersebut. Keadaan ini menjadikan seseorang wanita hamil mengalami perubahan mendadak yang tidak dijangka, malah sesetengah wanita akan melalui pengalaman mengandung yang mencabar sepanjang 9 bulan.
Ada wanita yang mengalami alahan terlampau teruk, ada yang kerap mengantuk, ada juga yang ada masalah jangkitan yang sangat merisaukan si ibu.
Setiap pengalaman yang dilalui oleh para wanita ini sememangnya membuktikan yang wanita boleh melalui apa jua rintangan semasa hamil demi anak yang di dalam rahim.
3 Ibu Berkongsi Kisah Di Sebalik 9 Bulan Kehamilan
Kali ini kami memaparkan 3 ibu yang sudi berkongsi tentang pengalaman mengandung yang penuh dengan cabaran, yang tidak pernah dijangka berlaku kepada mereka.
Pengalaman Mengandung #1 Pendarahan Selama 4 Bulan, Bayi Suspek Sindrom Down
Ain Sanusi telah selamat melahirkan anak perempuannya, Ayesha Ellana, 8 tahun lalu. Pengalamannya semasa hamil pastinya memberi kesan kepada emosinya apabila doktor pernah mengesyaki puterinya itu bakal mengalami kecacatan apabila dilahirkan.
“Masa mengandung saya tak sedar hamil, kerana saya mengalami pendarahan berterusan selama 4 bulan. Semasa kandungan masuk 3-4 bulan, doktor scan mengatakan bayi dalam kandungan saya ada kecacatan.
Bila dengar doktor macam tu, saya memang risau, dan sedih. Jadi setiap malam saya berdoa, berdoa semoga anak dalam kandungan ini sihat dan tidak seperti yang dikatakan oleh doktor.
Perkara yang paling tidak boleh lupakan bila saya tiba-tiba mengalami tumpah darah yang sangat banyak, walaupun masa tu saya tak buat sebarang kerja berat pun. Perasaan masa tu memang takut, masa tu cuma dapat fikir baby dah tak ada!
Saya terus bergegas ke hospital ke bahagian kecemasan dengan ayah, namun hasil pemeriksaan mendapati kandungan saya okay, tidak ada sebarang masalah. Masa tu saya memang rasa serabut, memang tak sangka benda ni berlaku, kenapa tiba-tiba ada heavy bleeding pula ni?
Selepas pendarahan berhenti, masih terngiang-ngiang doktor ada sebut yang anak saya ada kecacatan. Apabila melahirkan anak, syukur alhamdulillah anak saya dalam keadaan sihat dan normal!
Pengalaman ini buat saya terfikir, manusia cuma boleh merancang, boleh memberi andaian, namun Allah yang menentukan segala-galanya.”
Pengalaman Mengandung #2 Tidak Sangka Mengandung Kerana PCOS
Bagi Ernee Zolkafle, puterinya Nur Addreanna Rose merupakan satu keajaiban yang paling tidak disangka-sangka.
Lawatan ke hospital hanya untuk melakukan pemeriksaan bertukar menjadi satu kejutan apabila dia disahkan mengandung.
“Bulan 2 tahun 2018 saya datang bulan 3 kali, jadi disebabkan terlalu risau saya buat pemeriksaan dengan doktor. Doktor beritahu yang saya ada ketulan darah dalam rahim dan perlu buat DNC.
Saya mengambil keputusan untuk buat DNC di hospital lain, dan doktor di sana pula mengatakan saya ada cyst 5mm malah tak perlu DNC pun.
Tetapi disebabkan saya masih sakit perut belah kanan masa tu, doktor suspek saya mengandung luar rahim pula.
Saya dikehendaki check UPT dan test kencing kotor, tetapi lain pula yang jadi bila saya disahkan mengandung!
Saya memang tidak jangka langsung saya akan mengandung sebab saya ada PCOS dan sudah lama tidak berikhtiar untuk hamil. Suami lagilah terkejut, memang tak sangka langsung.
Tetapi saya masih perlu lakukan test darah BHGG, untuk pastikan saya tidak hamil luar rahim dan kandungan saya sihat.
Beberapa hari kemudian doktor call saya dan sahkan yang saya memang berbadan dua, malah saya masih ingat kata-kata doktor tersebut,“Puan, memang confirm pregnant ya. Tak perlu dtg hari ni. Datang next week then kita boleh scan terus nak tgk progress”
Pengalaman Mengandung #3 Hampir Gugurkan Kandungan Kerana Hamil Lagi Selepas Keguguran Luar Rahim
“Bulan 2 sepatutnya buat follow up dengan Hospital Putrajaya pasal ectopic dan nak berbincang dengan doktor tentang perancang kehamilan. So, dalam kepala otak nak pasang implant.
Survey harga dekat LPPKN dekat RM500++ juga, tetapi lepas je follow up, belum lagi pakai perancang. Tapi hati terdetik nak buat UPT sebab bulan Januari saya masih belum period. Risau la juga.
Sekali bila buat UPT, muncul double line. Aduhhhh… tatau nak cakap apa. Happy?? Memang tak lah, tapi lebih kepada risau sebab baru je keguguran luar rahim!
Doktor pun dah nasihatkan kena jarakkan 6 bulan kalau saya nak mengandung semula. Jadi saya memang tak bersedia, rasa down sangat….rasa kemurungan juga.
Terfikir nak gugurkan kandungan…tapi doktor nasihatkan untuk scan dulu untuk lihat keadaan baby. Masuk minggu ke 10, masa pergi scan tu baby memang ada dalam rahim dan ada degupan jantung pun.
Saya menangis bercerita pada doktor, tentang niat saya nak gugurkan anak tu. Mujurlah doktor bagi jaminan yang kandungan saya akan dipantau dengan baik dan sekiranya ada masalah, akan dirujuk pada pakar.
Saya mula muhasabah dan mula terima bayi ini sebagai rezeki. Saya buat solat taubat…minta ampun atas keterlanjuran sikap dan kata-kata yang nak gugurkan kandungan dan sekarang saya redha.
Alhamdulillah dalam keadaan macam ni, suami pun banyak membantu. Memang penat dengan anak-anak yang masih kecil dan lasak. Tapi, saya pujuk hati, semua ni hanya sementara sahaja.
Just enjoy the moment.
Kawal emosi dan banyakkan berdoa supaya Allah permudahkan segala urusan. Anak tu rezeki, saham untuk kita di akhirat nanti. Setiap yang dirancangNya, ada hikmahnya.”
Sesungguhnya setiap kehamilan itu berbeza, dan perkongsian ini diharap dapat mengingatkan kita tentang nikmat dan cabaran ibu yang mengandung.
Semoga para ibu yang sedang hamil menjalani perjalanan kehamilan yang baik dan dipermudahkan bersalin kelak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Hamil Perlu Amalkan Vitamin C Setiap Hari, Mampu Kurangkan Risiko Diabetes & Praeklampsia