Meneruskan kehidupan ketika musim pandemik Covid-19 memberikan cabaran yang besar. Selain ibu ayah, anak-anak juga berasa tertekan apabila terpaksa mengikuti sesi pembelajaran secara atas talian. Tahukah anda ada pelajar menghidap penyakit aneh akibat keadaan ini?
Hampir setiap hari ada pelajar sekolah dan universiti meluahkan perasaan mereka di media sosial dengan harapan agar pandemik ini segera berakhir. Hal ini kerana tidak sanggup berdepan dengan gangguan internet, perlu berkongsi telefon dengan adik-beradik dan sebagainya.
Remaja hidap penyakit aneh, suka makan rambut
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh The New India Express, seorang pelajar perempuan di Villupuram, India bertindak memakan rambutnya sendiri kerana menghadapi tekanan sewaktu belajar dari rumah.
Difahamkan gadis berusia 15 tahun menghadapi masalah tersebut sejak satu tahun yang lalu. Walau bagaimanapun pada bulan April lepas, dia telah mengalami sakit perut dan sering muntah-muntah.
Apabila dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan dengan doktor, rupa-rupanya petugas perubatan menemui segumpal rambut dalam perut gadis berkenaan.
Proses pembedahan segera dilakukan bagi membuang benda asing tersebut. Kemudian doktor telah berjaya mengeluarkan lebih kurang satu kilogram gumpalan rambut dari bahagian perutnya.
Doktor mendapati dia menghidap sindrom Rapunzel di mana seseorang individu memakan rambutnya sendiri. Tekanan yang dirasai ketika mengikuti kelas secara dalam talian dikatakan menjadi punca dia menghidapi sindrom berkenaan.
Remaja perempuan itu juga mengakui bahawa dirinya tidak menyukai sesi pembelajaran secara dalam talian. Setelah pembedahan tersebut dilakukan pada Jun lalu, dia telah menjalani sesi kaunseling dengan pihak sekolah.
Apakah itu penyakit aneh- Sindrom Rapunzel
Sindrom Rapunzel merupakan penyakit psikologi yang berlaku kepada mereka yang memiliki keghairahan tidak terkawal untuk menarik dan menelan rambutnya sendiri, menyebabkan ia terkumpul di dalam perut.
credit to sources
Biasanya sindrom ini timbul kerana rambut yang ditelan terkumpul di dalam perut, tidak boleh dicerna sehingga membentuk seakan-akan bola rambut.
Secara saintifiknya ia dikenali sebagai gastroduodenal tricobezoar, yang meluas dari perut ke usus dan menyebabkan halangan sistem pencernaan.
Bagi mereka yang menghidapi penyakit aneh sindrom Rapunzel ini boleh disembuhkan melalui pembedahan untuk menghilangkan pengumpulan rambut dalam perut.
Namun pesakit perlu melalui psikoterapi untuk merawat keinginan yang tidak terkawal; mengoyakkan dan menelan rambut itu sendiri, mencegah sindrom dari berulang.
Penyebab berlakunya sindrom Rapunzel
Tabiat suka makan rambut ini boleh terjadi disebabkan oleh gangguan psikologi iaitu:
- Trichotillomania iaitu keghairahan tidak dapat dikawal untuk menarik rambut
- Trichophagia yang merupakan kebiasaan memakan rambut
credit to sources
Dari sudut pemakanan pula, keinginan seseorang memakan rambut dikaitkan dengan kekurangan zat besi. Namun secara amnya sindrom ini lebih kepada masalah psikologi seperti tekanan yang berlebihan atau masalah emosi (perceraian ibu ayah, masalah dengan rakan sebaya dan tekanan di sekolah).
Justeru, sindrom Rapunzel adalah cenderung berlaku kepada kanak-kanak atau remaja yang tidak mempunyai cara lain dalam menguruskan tekanan harian sehingga memiliki keinginan tidak terkawal untuk menarik dan menelan rambut mereka sendiri.
Antara gejala yang boleh terjadi akibat sindrom Rapunzel ini ialah:
- Sembelit
- Hilang selera makan
- Kesakitan abdomen
- Kekurangan berat badan tanpa sebab yang jelas
- Kerap muntah selepas makan
Apabila seseorang mempunyai kebiasaan untuk menarik dan memakan rambut dengan kerap serta mempunyai salah satu gejala di atas, ibu ayah hendaklah segera membawanya ke hospital berdekatan untuk ujian diagnostik, seperti ultrasound, X-ray atau CT scan.
Hal ini adalah untuk mengenal pasti masalah dan memilih rawatan yang bersesuaian bagi mengelakkan komplikasi berkaitan dengan usus perut.
Sekiranya ibu ayah berdepan dengan anak yang memiliki hobi gemar bermain dan memakan rambut, pastikan anda mengambil beberapa tindakan bersesuaian secara lebih awal agar ia tidak menjadi masalah pada kemudian hari.
Sumber: The New Indian Express, The Light Life
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ”Kelas Online Memang Struggle, Lagi-Lagi Anak Ramai,” Ozlynn Kongsi Rutin Urus Anak PdPR
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!