Walaupun kita teruja untuk memberi si manja mencuba pelbagai makanan baru dari berbagai-bagai resepi yang telah anda kaji, sesetengah makanan mungkin boleh menyebabkan si kecil menghidap penyakit celiac.
Pernahkah anda mendengar tentang penyakit ini? Mungkin tidak. Oleh itu, dalam artikel ini kami akan berkongsi apakah itu penyakit celiac berserta puncanya, tanda-tanda si kecil anda mungkin sudah menghidapinya serta apakah cara penjagaan bagi seorang anak yang sudah terkena penyakit ini.
Apakah Itu Penyakit Celiac dan Mengapa Si Manja Saya Menghidapinya?
Kredit: Verywell Family
Penyakit celiac ini berpunca dari gangguan di dalam sistem imunisasi pada usus kecil kita setelah memakan makanan yang mempunyai bahan gluten.
Secara amnya, gluten bermaksud bahan protein lekit yang sering dijumpai di dalam gandum, rai serta barli.
Malangnya, penyakit celiac ini lebih serius daripada yang dijangka. Bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit celiac, gluten yang telah mereka makan dapat merosakkan villi mereka, iaitu sesuatu yang kelihatan seakan-akan jari yang berada pada usus kecil si manja.
Apabila villi ini telah rosak, maka badan anak anda tidak dapat menyerap nutrisi-nutrisi dari makanan mereka untuk membantu mereka membesar. Disebabkan hal ini, anak anda boleh kekurangan zat makanan walaupun mereka telah memakan sebanyak mungkin makanan berkhasiat.
Simptom-simptom Penyakit Celiac
Kredit: Medical News Today
Simptom-simptom penyakit ini kadang-kala akan menunjukkan tanda-tanda sejurus kali pertama anak memakan makanan yang mempunyai gluten, tetapi ada juga sesetengah kes di mana simptom-simptom si manja tidak menunjukkan diri setelah bertahun-tahun.
Bagi seorang bayi yang baru mencuba makanan yang mengandungi gluten seperti bijirin, anda boleh melihat jika si manja mengalami cirit-birit, sakit pada perut atau kelihatan seperti tidak membesar.
Dan kita semua tahu bahawa anak kecil membesar dengan mudah dan cepat.
Tetapi, terdapat banyak lagi tanda-tanda di mana seorang kanak-kanak mungkin menghidapi penyakit celiac.
- Kegagalan perkembangan: Si manja anda mungkin kelihatan kecil dan kurus walaupun sudah menikmati pelbagai makanan berkhasiat. Seperti yang telah dikongsikan, villi pada usus kecil mereka mungkin sudah rosak.
- Perut yang membengkak: Penyakit ini boleh menyebabkan radang pada saluran penghadaman yang kemudian akan menyebabkan perut kelihatan seperti ia membengkak atau buncit.
- Cirit-birit: Najis yang berair adalah salah satu simptom pertama di mana si manja anda mungkin mempunyai penyakit celiac. Anda boleh memerhatikan pergerakan usus si kecil melalui najis yang mereka keluarkan.
- Sembelit: Ada juga sesetengah kanak-kanak yang menghadapi sembelit. Disebabkan villi anak anda telah rosak, maka ia tidak dapat menyerap nutrisi makanan malah ia akan lebih cenderung untuk menyerap cecair yang berada pada najis si kecil anda ketika dalam usus, lalu menyebabkan mereka sembelit.
- Kepenatan. Dengan kehadiran nutrisi yang terhad, tentulah si manja anda mudah berasa letih kerana mereka tidak dapat khasiat yang membolehkan mereka kekal aktif dan cergas.
Sekiranya anda khuatir bahawa si manja anda mungkin menghidapi penyakit serius ini, anda boleh membawa si manja berjumpa dengan doktor segera supaya mereka boleh menjalankan ujian darah yang dapat mengukur tahap antibodi terhadap gluten serta protein-protein lain di dalam lapisan usus.
Sementara itu, disebabkan anak anda sudah tentu tidak mempunyai toleransi terhadap makanan-makanan yang mengandungi gluten, anda perlulah berwaspada untuk mengelakkan si kecil anda dari memakan makanan di bawah ini untuk mengurangkan simptom-simptom mereka.
Makanan Apa Yang Perlu Anak Saya Elak?
Kredit: Freepik
Malangnya, banyak makanan yang perlu si manja anda elak untuk memastikan kesihatan diri mereka.
- Makanan-makanan beroti (termasuklah salutan habuk roti pada ayam)
- Sirap beras perang
- Tepung gandum dan tepung roti
- Ayam serta kentang goreng (sekiranya mereka telah dilumur dengan tepung)
- Kuah-kuah pekat serta sos yang menggunakan tepung dalam proses penghasilan
- Ketam tiruan
- Daging-daging yang diproses
- Perasa malt atau malt (seperti minuman Milo)
- Pengasam
- Krimer tanpa bahan tenusu
- Pasta
- Serbuk perasa (sekiranya tidak mempunyai gluten, maka ianya adalah dibenarkan)
- Sup campuran serta sup tin
- Kicap (ia mungkin ditapai menggunakan gandum, jadi periksa dahulu!)
- Yogurt yang mempunyai pati gandum
Walaupun si manja anda mempunyai pemakanan yang agak terhad, mereka masih boleh berada bersama anda untuk menikmati juadah di kedai-kedai makan. Ada sesetengah kedai yang menyediakan dan menghidangkan menu makanan yang bebas gluten.
Cara Penjagaan Si Manja Yang Menghidapi Celiac
1# Elakkan makanan yang mempunyai gluten
Kredit: The Conversation
Pertama sekali, anda perlu berhenti menyuap anak anda makanan yang mempunyai gluten atau gandum-gandum di dalamnya. Walaupun si manja anda tidak dapat dirawat, tetapi ia dapat mengurangkan simptom-simptom mereka.
2# Makan makanan yang sama seperti anak anda
Kami faham bahawa ianya agak membosankan apabila dietari pemakanan kita agak terhad tetapi anda perlu memahami si manja anda. Mereka juga pasti hendak mencuba pelbagai makanan lain, jadi elaklah memakanan makanan lazat-lazat yang mereka tidak boleh cuba. Sebaliknya, makanlah perkara yang sama seperti anak anda supaya mereka akan berasa bahawa ibu dan ayah menyokong dietari mereka.
3# Memenuhkan dapur dengan bahan makanan bebas gluten
Pada zaman ini, sudah banyak kedai-kedai serta pengeluar makanan yang menghasilkan bahan masakan serta makanan-makanan bebas gluten. Jadi, anda hanya perlu rajin sahaja untuk mencarinya. Kebanyakan kedai sudah menjual produk-produk ini, jadi anda tidak perlu terlalu bersusah payah.
Semoga artikel ini membantu.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Kids Health
Baca juga: 4 Kesalahan Yang Biasa Dibuat Ibu Bapa Ketika Waktu Makan Dengan Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!