Pernah tak anda dengar tentang penyakit hernia? Jika tidak pernah, pasti anda terkejut melihat apa itu penyakit hernia pada anak dan apa yang terjadi pada seorang bayi lelaki ini.
Bayi empat bulan ini mengalami kaki bengkak dan menggelembung di bahagian kiri ketika menjalani rawatan pemindahan darah di Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi rawatan sewajarnya kepada bayi lelaki tersebut yang didakwa disebabkan kecuaian pihak hospital.
Muhammad Zain Al Fateh Muhammad Faizal Amri menjalani rawatan itu setelah dilapor mengalami tekanan darah rendah selepas melakukan pembedahan hernia di hospital terbabit pada jam 3 petang.
Bapa bayi tersebut, Muhammad Faizal Amri Abdul Ghani, 26 berkata anaknya dilahirkan tidak cukup bulan (pramatang) di Hospital Seberang Jaya (HSJ), kemudian dipindahkan ke HPP selepas dikenal pasti menghidap penyakit hernia.
Penyakit hernia pada anak – Bayi dikatakan mengalami tekanan darah rendah
Pemindahan darah terpaksa dilakukan pada jam 7 malam selepas bayi berkenaan mengalami tekanan darah rendah.
Menurut Muhammad Faizal lagi, anaknya pernah menjalani beberapa kali pemindahan darah sebelum ini ketika dirawat di HSJ, namun tiada apa yang berlaku semasa proses itu dijalankan.
Tapi kali ini, doktor memaklumkan bahawa pihak jururawat telah tersalah masukkan jarum ke saluran pembuluh darah sekaligus menyebabkan kaki anaknya membengkak dan menggelembung.
Malah perkara itu dimaklumkan pada keluarganya jam 12 tengah malam.
Doktor dan jururawat menunding jari sesama sendiri
Apa yang menyedihkan adalah pihak doktor dan jururawat saling menyalahkan antara satu sama lain. Doktor kata jururawat yang salah masukkan jarum manakala jururawat kata sebaliknya. Malah pertengkaran itu berlaku di hadapan Muhammad Faizal.
Kisah ini ternyata membuatkan ramai pengguna laman sosial marah dengan apa yang terjadi selepas datuknya, Abdul Ghani Abdul Wahid memuat naik status berhubung keadaan terbabit di Facebook miliknya.
Ketika kejadian, kaki bayi berkenaan terpaksa ditoreh bagi mengeluarkan darah beku dengan keadaannya yang dilapor stabil.
Pihak hospital menjelaskan ia berpunca kerana pergerakan bayi. Walau bagaimanapun, ketika pemindahan dilakukan, dia masih bawah pengaruh bius selepas menjalani pembedahan hernia.
Muhammad Faizal juga khuatir jika kesan bius terlalu banyak menjejaskan pertumbuhan bayinya.
Saman akan dikemukan pada pihak hospital berkenaan kerana cuai
Selepas apa yang berlaku, pihak keluarga bayi ini akan membuat laporan polis dan bercadang mengemukakan tindakan undang-undang ke atas HPP atas kecuaian yang berlaku pada bayinya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Wan Mansor Hamzah menegaskan bayi terbabit dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan sewajarnya dan dipantau dari semasa ke semasa.
Menurutnya lagi, pihak keluarga bayi berkenaan boleh berhubung terus dengan jabatan dan pengurusan HPP jika ada sebarang keraguan.
Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat tidak menularkan maklumat tidak tepat kerana pihaknya komited memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada setiap masyarakat.
Penyakit hernia pada anak – Apa itu hernia?
Kredit: Doctor On Call
Menurut laman portal My Health.Gov, hernia merupakan satu-satunya ruang badan (biasanya abdomen) yang membonjol keluar daripada kawasan yang sepatutnya.
Biasanya, sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) membentuk kantung hernia/hernia sac.
Ia juga dikenali dengan nama angin pasang kerana sifat benjolan itu dapat dilihat dan ada masa tidak.
Penyakit hernia pada anak – Jenis-jenis hernia (angin pasang)
1) Inguinal hernia:
Berlaku di bahagian kelangkang. 75% hernia adalah dari jenis ini. Ia 25 kali lebih kerap berlaku pada lelaki berbanding wanita. Ia terbahagi kepada dua jenis angin pasang, iaitu:
- Angin pasang tidak langsung
- Angin pasang langsung
2) Hernia femoral:
Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan paha.
3) Hernia hirisan:
Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris.
Ia menyebabkan kawasan bekas hirisan ini menjadi lemah dan berlaku dalam 2%-10% pembedahan abdomen.
Apakah penyebab hernia?
- Obesiti
- Mengangkat objek berat
- Batuk
- Meneran semasa buang air besar atau kecil
- Penyakit paru-paru kronik
- Ada cecair di dalam ruang abdomen.
Gejala, tanda-tanda dan komplikasi hernia (angin pasang)
- Ada pesakit yang mengalami hernia ringan dan tidak sakit. Selalu, rasa sakit boleh dirasai ketika berdiri, batuk atau meneran.
- Ada yang datang dengan gejala dan tanda-tanda yang teruk seperti benjolan sakit, tidak boleh sentuh apa lagi ditekan dalam ruang abdomen
- Kulit luar kelihatan merah kehitaman.
- Demam
Rawatan dan penjagaan penyakit hernia pada anak dan orang dewasa
Secara umum, semua jenis angin pasang perlu dibedah kecuali pesakit yang tidak boleh menjalani pembedahan atas sebab kesihatan yang lain.
Berikut rawatan dan penjagaan yang boleh dilakukan:
- Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan abdomen seperti batuk, angkat objek berat atau meneran.
- Seseorang yang meneran semasa buang air besar atau kecil perlu jalani pemeriksaan doktor bagi mengetahui puncanya. Mungkin ia disebabkan sembelit atau masalah kalenjar prostat besar.
- Jika pembedahan tidak boleh dilakukan, doktor akan melakukan pemeriksaan secara berkala.
- Rawatan setiap hernia adalah berbeza dan doktor akan berbincang dengan pesakit kaedah rawatan termasuk risiko dan faedah jika dibedah atau tidak.
- Cubaan untuk surutkan atau masukkan semula angin pasang boleh dilakukan biasanya dengan bantuan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot (muscle relaxant). Jika gagal, doktor akan melakukan pembedahan kecemasan.
Kami di sini berharap agar adik Muhammad Zain Al Fateh lekas sembuh dan sihat seperti kanak-kanak yang lain.
Buat keluarganya pula diharap tidak terus bersedih dengan apa yang terjadi dan jagalah bayi kecil ini dengan didikan yang baik.
Marilah kita sama-sama panjatkan doa kesejahteraan pada keluarga ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber : NST, HMetro, Astro Awani, My Health.Gov
Baca juga :
Hernia Pada Bayi, Waspada Tanda-Tanda Ini Sebelum Bayi Perlu Dibedah
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!