Mungkin anda atau anak pernah alami simptom ini. Bangun pagi, kulit kemerahan dan gatal-gatal selain ada bintik merah seperti digigit nyamuk. Tapi ubat nyamuk dah pasang! Mungkin diserang pepijat tilam!
Pepijat atau bed bugs juga dikenali sebagai hama katil adalah serangga kecil yang sangat bijak. Tak padan dengan kecil, ‘pemburu malam’ ini mampu membuatkan hari-hari anda tak senang duduk dibuatnya.
Apa tidaknya, kegatalan akibat gigitan pepijat ini boleh menyebabkan kulit lecur bagi yang kulitnya sensitif. Jadi, tak kelakar ya jika katil diserang pepijat! Lebih-lebih lagi bagi bayi dan kanak-kanak.
Tanda Katil Ada Pepijat
Serangga kecil ini boleh buatkan penghuni rumah resah. Selain itu, pemilik hotel jugak tidak terkecuali resah jika katil di fasiliti mereka diserang pepijat!
Sudah nampakkan ‘kuasa’ pepijat, bukan hanya mengganggu kehidupan seharian, tetapi juga poket anda!
Apa-apa pun perlu dikenalpasti apa yang menggigit anda atau anak!
1. Corak Gigitan Pepijat Berbentuk Garis Lurus, ‘zigzag’
Masih belum dapat dipastikan kesahihannya, tetapi ada yang mengatakan, corak gigitan pepijat akan menimbulkan kesan bintik kemerahan berbentuk garis lurus dan ‘zigzag’ di kulit.
Jadi lepas ini mungkin anda boleh periksa, kesan gigitan dan bintik merah itu berbentuk garis lurus, ‘zigzag’ atau sebaliknya. Boleh juga periksa dikulit anak. Jangan pula anda buat lukisan di kulit ya!
2. Kesan Timbul Sebaik Bangun Pagi
Kegatalan ini berlaku sebaik anda bangun pagi dari katil. Disebabkan pepijat ‘bekerja’ pada waktu malam, mangsanya hanya akan merasai kesan sebaik bangun pagi.
Biasanya kegatalan akan dirasai di bahagian muka, belakang badan, leher, kaki dan tangan. Tetapi ada juga individu yang tidak menunjukkan kesan fizikal digigit pemburu malam ini.
3. Kesan Darah Atau Seperti Berkarat
Anda akan mendapati kesan darah di permukaan tilam atau cadar jika terbunuh pepijat ketika ia sedang kenyang. Pepijat boleh menghisap darah sehingga 6 kali ganda lebih dari beratnya tau!
Kesan lain adalah, permukaan katil akan bercorak coklat seperti berkarat. Jadi dah tahu ya? Peta di katil mungkin ‘si kecil’ ini.
Periksa bahagian tepi pelipat tilam, biasanya pepijat akan berumah di situ kerana ia terlindung di sebalik lipatan. ‘Buru’ cepat pepijat di tilam, supaya ia tidak terus menganggu hari anda!
4. Bau Tidak Menyenangkan
Pepijat menimbulkan bau yang tidak menyenangkan. Pepijat katil mempunyai kelenjar bau yang melepaskan feromon dan kebiasaannya bau ini akan menjadi sangat kuat dan pasti tidak menyenangkan.
Jadi jika bilik anda berbau mungkin boleh check kerana besar kemungkinan ada ‘penghuni’ lain bersama anda!
Cara Hapuskan Pepijat Tilam
Pelbagai cara bunuh pepijat tilam ada dikongsi di luar sana. Ini kerana pepijat bukan hanya datang di rumah yang kotor saja, rumah yang kebersihannya terjaga pun didatangi makhluk kecil ini.
- Upah pest control untuk bersihkan perabot anda terutama tilam. Kini ada teknologi lebih canggih di mana mereka menggunakan penyedut haba yang berfungsi seperti vacuum untuk menyedut dan mencuci tilam serta perabot. Servis ini mungkin boleh didapati dengan harga sekurang-kurangnya RM100
- Jemur tilam atau perabot di bawah panas terik sekurang-kurangnya selama dua jam.
- Tabur gel silica untuk menyerap kelembapan pada bahagian yang terjejas.
- Sembur pengering rambut pada sarang pepijat kerana ia berupaya untuk mengeluarkan haba
- Rendam cadar atau baju dalam air panas kerana pepijat akan mati dalam suhu lebih 70 darjah selsius
- Kulit limau nipis dipercayai boleh menghalau pepijat kerana baunya yang kuat
- Serai. Bau serai yang kuat boleh buat pepijat cabut lari! Cuba letak serai di tiram anda
Digigit Pepijat? Apa Yang Boleh Dilakukan?
1. Kulit Pisang
Sapukan bahagian dalam kulit pisang itu pada kesan gigitan pepijat. Ia mempunyai bahan bio-aktif seperti carotenoids dan polyphenols yang mampu memberikan kesan rawatan yang baik pada bahagian digigit pepijat.
2. Campuran Kulit Kayu Manis Dan Madu
Ambil dua atau tiga sudu serbuk kulit kayu manis dan campurkan dengan beberapa titik madu lebah. Gaul dan jadikan campuran itu macam krim.
Kemudian sapukan pada kawasan digigit dan biarkan sehingga kering sebelum di basuh.
3. Sapu Dengan Ubat Gigi
Ambil sedikit ubat gigi yang mengandungi menthol dan sapukan pada kawasan yang digigit pepijat. Kesan menthol akan membuatkan kulit tidak terasa gatal dan pedih.
Biarkan di situ selama lebih kurang 10 minit sehingga kering dan kemudiannya basuh. Ulang 3 atau 4 kali dalam tempoh satu hari.
4. Sapu Dengan Serbuk Garam
Ambil secubit dan tenyeh perlahan-lahan pada tempat kena gigit pepijat. Ini boleh merawat kesan garu dan merah pada kulit.
Garam mempunyai kesan anti-bakteria yang baik yang boleh merawat kulit anda. Ulang beberapa kali ikut keselesaan sekurang-kurangnya 3 kali sehari.
Bahaya Pepijat Tilam Kepada Kulit Bayi
Adakah pijat tilam akan membahayakan bayi anda termasuk kulitnya? Itu mungkin kerisauan yang turut akan dialami oleh para ibu ayah.
Kesan gigitan pepijat biasanya tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada anda mahupun anak-anak anda dan ia tidak menyebabkan penyakit atau menyebarkan penyakit, walaupun ia meninggalkan gigitan di kawasan yang terdedah, seperti pada muka bayi anda.
Kulit anak anda mungkin akan mempunyai benjolan merah atau merah jambu di kawasan yang digigit mahluk kecil itu. Kemungkinan besar, anak kecil anda hanya akan mengalami rasa gatal hama selama beberapa hari sahaja.
Jika bayi anda menggaru di bahagian gigitan, ia mungkin berpotensi menyebabkan jangkitan kulit sekunder.
Walau bagaimanapun, dalam dalam kes yang jarang berlaku, pepijat boleh menyebabkan gejala lain, termasuk kegatalan dan ruam jika terdapat tindak balas alahan.
Jika anda melihat simptom ini pada anak anda, sila segera bawa anak anda berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan ya.
Sselain itu, jika anda melihat tanda-tanda tindak balas alahan yang lebih serius, seperti anafilaksis, rawatan segera juga diperlukan! Gejala serius termasuklah kesukaran bernafas, lidah bengkak, demam tinggi, tidak sedarkan diri, dan lain-lain.
Semoga perkongsian artikel pada kali ini bermanfaat untuk anda.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Punca Alahan Bermula Dari Rumah, Ini Cara Pastikan Rumah Bebas Habuk & Debu Hama
Baca juga: Jenis Ruam Bayi Yang Biasa Berlaku Pada Si Manja, Ibu Ayah Please Take Note!
Baca juga:Ruam Peluh Kemerah-Merahan Buat Anak Tidak Selesa? Cuba Cara Semulajadi Berkesan Ini!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!