Sesuatu yang menakjubkan berlaku apabila seorang wanita mengandung. Perasaannya jauh berbeza berbanding dengan perasaan lain. Ia bagaikan satu keajaiban apabila ada nyawa yang akan dikandung ibu selama 9 bulan. Semasa hamil ini juga, bakal-bakal ibu amat digalakkan untuk dengar percakapan yang baik sahaja.
Malah, dalam keterujaan nak sambut anak ini, pada masa yang sama ibu-ibu tidak terlepas daripada mengalami penurunan dan kenaikan emosi. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang begitu mendadak. Ini menyebabkan ibu-ibu menjadi terlalu sensitif sewaktu mengandung.
Pantang ada salah sikit habislah sebagai contoh. Malah, ibu boleh mudah menjadi terlalu negatif jika terlalu mendengar cakap-cakap yang tidak baik. Dengar percakapan yang baik sahaja ya ibu!
Tetapi biasalah. Ramai orang memandang enteng mengenai perkara ini dan menyebabkan ibu-ibu yang bakal melahirkan anak mulalah berasa panik kerana terlalu terikutkan percakapan yang tidak baik yang boleh mempengaruhi mereka.
Elak Cakap Perkara Ini Pada Ibu Hamil, Guna Percakapan Yang Baik Sahaja Tau!
Jadi, apa sebenarnya perkara perkara yang tidak boleh anda cakap kepada ibu mengandung? Ada beberapa perkara yang sebenarnya agak sensitif walaupun anda rasa anda bergurau. Ingat, kerana mulut badan binasa.
#1 Kisah anda melahirkan anak dulu
Kalau anda kongsi percakapan atau peristiwa anda melahirkan yang baik-baik sahaja tidak mengapa. Ini anda bercerita pula pasal kisah ngeri anda.
“Ya Tuhan, masa aku melahirkan anak aku dulu. Teruk gila. Sakit dia Tuhan je tahu.”
Kalau orang yang tidak mengandung pun berasa ngeri mendengar perkara ini yang anda ceritakan secara terperinci kepada kawan anda. Apatah lagi impaknya pada ibu mengandung.
Ini akan menyebabkan wanita mengandung menjadi lagi trauma dan terbayang-bayangkan saat mereka akan melahirkan anak. Mulalah dalam kepala mereka mereka-reka senario yang tidak wujud.
Tak salah pun nak berkongsi, tapi biarlah tentang yang baik-baik sahaja. Usah takut-takutkan sangat wanita hamil ini. Tak pasal-pasal rasa stress, kesian bayi dalam kandungan!
#2 Jantina anak
Ini antara soalan yang paling kerap ditanyakan kepada ibu-ibu mengandung. Jika anda sudah memberitahu jantina anak anda kepada kawan-kawan atau pun saudara mara. Anda pasti tidak terlepas daripada mendengar soalan seperti ini.
“Eh, asyik anak perempuan je. Bila kau nak cuba dapatkan anak laki pulak?”
Alahai, sibuknya. Tak payah tanya pun tak mengapa. Sama ada jantina anak kawan anda lelaki ataupun perempuan, anda sepatutnya menyokong sahabat anda daripada asyik bertanyakan mengenai soalan-soalan seperti ini. Si ibu berasa teruja jadi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyokongnya.
#3 Tanya mengenai perut ibu
“Besarnya perut! Betul ke ada satu? Tah-tah ada dua!
Adoi, boleh jadi tak selesa dibuatnya ibu mengandung. Apabila anda bertanyakan soalan-soalan mengenai perut ibu yang membuatkan si ibu tak selesa. Kalau ibu mengandungkan anak kembar mesti anda sudah tahu kan?
Jangan buat anggapan mengenai kandungan seseorang. Apabila anda berlawak sebegitu rupa, sekaligus membuatkan si ibu jadi bertambah tidak selesa dan menyangkakan bahawa perutnya nampak besar. Lagilah si ibu berasa tidak yakin dengan rupanya.
Tidak semua wanita hamil selesa dengan perubahan badan mereka ya. Ada sampai yang tidak memuatnaik langsung gambar mereka di media sosial, sehingga anak sudah dilahirkan. Ingat, kata-kata boleh menusuk hati dan perasaan.
#4 Buat komen dan bandingkan rupa apabila mengandung
“Teruknya muka kau. Aku dulu masa mengandung tak ada pun macam tu. Berseri je.”
Amboi, laju sahaja mulut tu nak mengomen. Harus diingatkan bahawa setiap wanita mempunyai badan yang berlainan. Tidak semua wanita akan mempunyai seri wanita mengandung dan pembawakan budak juga berbeza untuk setiap orang. Jangan anda bandingkan keadaan anda dengan wanita mengandung yang lain kerana ianya tidak sama.
Anda juga tidak merasai keadaannya sekarang dan apa yang mereka rasa. Mereka mungkin rasa terlalu penat, tidak bermaya dan sebagainya yang sangat berbeza dengan anda.
Untuk pengetahuan anda, setiap wanita melalui perubahan hormon yang berbeza. Ada yang kulit berseri, ada pula yang tumbuh jerawat. Semua ini akan kembali normal selepas melahirkan anak nanti. Tapi janganlah pula anda mengumpat bukan-bukan.
#5 Memberi bayangan dan komen mengenai apa yang berlaku selepas ada anak
Percaya atau tidak, mungkin akan ada komen-komen seperti ini. Salah satunya.
“Kau nanti ada anak susah dah nak tidur. Baik tidur sekarang. Lepas ni dah tak boleh dah enjoy-enjoy.”
Kata-kata seperti ini hanya akan membuatkan si ibu akan berasa tidak tenteram. Wanita mengandung sudah mengetahui apa yang bakal mereka lalui selepas melahirkan anak. Apa yang anda lakukan hanya menuang minyak dalam api yang marak. Anda tidak beri sokongan sebaliknya anda hanya membuatkan perkara bertambah menjadi buruk.
#6 Soalan mengenai makanan
“Bukan kau tak boleh makan ke tu?”
“Maaf, nanti ya makan benda ni. Kau kan mengandung, Tak bolehlah makan.”
Soalan mengenai makanan ni nampak sahaja macam mesra tetapi sebaliknya kadang-kala boleh membuatkan ibu mengandung berasa tidak selesa juga. Bukan semua benda ibu mengandung tidak boleh makan.
Hanya ada sesetengah perkara sahaja. Jika anda tidak tahu apa yang ibu mengandung boleh makan dan tidak boleh makan, lebih baik anda tidak komen yang bukan-bukan lagi-lagi bila si ibu dah pegang makanan tersebut.
Jadi ingat, sebelum bercakap tu fikir dahulu dengan betul-betul kerana percakapan yang baik bagus untuk emosi ibu serta janin.
Sumber: Parents.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: 10 perkara yang anda TIDAK patut cakap pada wanita hamil