Petua Mengatasi Keletihan Trimester Pertama

Jika anda menghadapi keletihan atau kepenatan, di sini adalah beberapa petua yang mungkin boleh membantu!

Keletihan adalah fasa yang biasa dilalui ibu-ibu hamil, terutamanya semasa Trimester yang pertama. Saya sentiasa berasa letih, dan kebanyakan masa, saya hanya mahu berbaring ataupun tidur.

Dalam trimester pertama, keletihan atau kepenatan banyak disebabkan oleh perubahan hormon, paras gula dan tekanan darah yang lebih rendah, serta perubahan kepada kadar metabolisma tubuh ibu yang sedang berkerja kuat untuk menghasilkan sel baru untuk bayi.

Jika anda menghadapi keletihan atau kepenatan, di sini adalah beberapa petua yang mungkin boleh membantu:

Peka Pada Badan Anda

Jika anda berasa letih dan berada di rumah, tidur sebentar dengan meletakkan kaki pada kedudukan yang lebih tinggi. Tetapi jika anda berada di tempat kerja, rehatlah seketika untuk mengurangkan rasa penat.

Cuba tidur lebih awal pada waktu malam, dan dapatkan rehat yang secukupnya.

sumber: livescience.com/

Beri keutamaan kepada tugas harian

Apakah tugas penting yang perlu disiapkan hari ini? Apa pula tugas yang boleh disiapkan esok ataupun minggu depan. Rancangkan tugas harian anda supaya anda hanya siapkan tugas yang penting sahaja.

Aktiviti tenang untuk kanak-kanak

sumber: Envirokidz

Carikan aktiviti tenang, yang boleh dilakukan bersama anak di rumah. Contohnya, anda boleh membaca buku atau buat aktiviti warna bersama-sama. Ini membolehkan anda untuk meluangkan masa bersama anak, tanpa mengenakan terlalu banyak tenaga.

Vitamin dan makanan yang berzat

Jika anda sedang mengambil vitamin untuk ibu hamil, tahap zat besi badan sepatutnya normal. Tetapi jika doktor mendapati anda kekurangan zat, amalkan pemakanan yang sihat untuk pastikan anda kekal bertenaga.

Makan makanan yang berzat dan ingat untuk minum air yang secukupnya. Jangan lupa untuk mengambil set vitamin yang lengkap serta vitamin-vitamin lain yang disaran doktor pakar.

Bersikap realistik

Sentiasa berkomunikasi dengan suami dan keluarga tentang apa yang anda mampu lakukan. Jika suami anda suka keluar sekeluarga pada hujung minggu, tetapkan had masa yang munasabah.

Ataupun rehat seketika, kalau suami sudi menjaga anak-anak lain, supaya anda cukup tenaga untuk keluar sekeluarga kemudian.