Kejadian lemas melibatkan kanak-kanak di rumah bukan pertama kali berlaku malah, tragedi serupa sering dipaparkan menerusi media. Walaupun rumah adalah tempat selamat, risiko lemas tetap boleh berlaku.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Hanya 1 inci kedalaman, anak kecil berdepan risiko lemas dalam bilik air
- Risiko lemas terhadap bayi dan kanak-kanak: Gejala dan kesan
- Teknik CPR yang betul mengikut umur anak dapat menyelamatkan nyawa
Terbaharu kira-kira seminggu lalu, satu kejadian kanak-kanak lemas berusia 1 tahun 4 bulan telah dilaporkan Mstar. Kisah sedih kanak-kanak tersebut dikongsikan oleh ibunya menerusi akaun TikTok.
Hanya 1 inci kedalaman, anak kecil berdepan risiko lemas dalam bilik air
Bercakap kepada media Mstar dalam laporan pada 3 Mac lalu, ibu tersebut memaklumkan tragedi hitam itu berlaku di bilik air di rumah, dengan pantas tidak sampai 5 minit.
Selain itu, berdasarkan tangkap layar video TikTok yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, anak wanita itu lemas di dalam bilik air selepas terjatuh di dalam tong air.
“Waktu itu babah dia nak mandikan dia. Babah keluar sekejap saja buang lampin pakai buang. Tak sampai 5 minit, terlalu sekejap. Masuk balik tengok dia dah tertonggeng.
Babah dah cuba sedaya upaya tapi Allah lagi sayang Alina. Ibu babah terima takdir yang Allah dah tulis,” luah ibu tersebut.
Benar, itu yang diberitahu oleh Dr Kamarul Ariffin. Kedalaman air hanya 1 inci atau kurang dari 2.4 sentimeter boleh menyebabkan kanak-kanak berdepan kejadian lemas.
Justeru beliau menyenaraikan lima perkara perlu diamalkan dalam mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
#1- Elak tinggal anak mandi sendirian
Jangan tinggalkan anak mandi sendirian di dalam besen, baldi, tab mandi atau kolam berisi air walaupun untuk seketika. Jika keluar dari bilik air, bawa anak sekali.
#2- Terdapat risiko tergelincir
Selain lemas, kanak-kanak yang bermain di bilik air sendirian mudah tergelincir dan tersungkur kerana permukaan lantai licin. Terutamanya pada yang baru belajar berjalan.
#3- Simpan bekas takungan air
Kosongkan dan simpan bekas takungan air di tempat yang sesuai selepas menggunakannya supaya anak tidak ambil dan mengisikannya dengan air tanpa pengawasan.
#4- Tutup bekas takungan air
Ada bilik air mempunyai binaan takungan air yang kekal seperti kolah. Jika tidak boleh dikosongkan, tutup takungan tersebut. Mangkuk tandas jenis duduk pun elok ditutup.
#5- Sentiasa tutup pintu bilik air
Jika tidak boleh kosongkan dan tidak boleh tutup bekas takung air, tutuplah pintu bilik air sekiranya tiada sesiapa menggunakannya. Langkah ini untuk elak anak masuk tanpa kita sedar.
Risiko lemas terhadap bayi dan kanak-kanak: Gejala dan kesan
Menurut laman web MyHEALTH, lemas adalah keadaan yang berlaku apabila oksigen terhalang atau tersekat daripada memasuki saluran pernafasan akibat tenggelam dalam air.
Walau bagaimanapun, kekurangan oksigen dalam darah boleh mengakibatkan kerosakan tisu dan mati otak.
Gejala-gejala lemas bergantung kepada tahap keterukannya, antaranya termasuk batuk, tercungap-cungap, muntah, nafas berbunyi, kulit kebiruan dan tidak sedarkan diri.
Situasi lemas pula boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami jangkitan paru-paru dan kerosakan kekal tisu otak.
Teknik CPR yang betul mengikut umur anak dapat menyelamatkan nyawa
Menurut laman Bulan Sabit Merah Malaysia UITM Shah Alam, sekiranya bayi bawah usia 1 tahun dan kanak-kanak berdepan risiko lemas, ibu ayah hendaklah melakukan CPR bagi menyelamatkan nyawa mereka.
Bayi bawah 1 tahun
- Jerit dan tepuk bahu bayi dengan perlahan. Sekiranya tiada tindak balas, pastikan posisi bayi dalam keadaan terlentang.
- Buka salur pernafasan dengan teknik dongakkan kepala dan angkat dagunya. Jangan dongakkan kepala terlalu jauh.
- Beri 2 hembusan sekiranya tiada pernafasan. Tutup mulut dan hidung bayi sekali gus dengan mulut kita dan hembus dengan kadar 1.5 hingga 2 saat pada setiap hembusan.
- Sentiasa periksa dada bayi untuk melihat sebarang pergerakan pada setiap bantuan pernafasan yang diberikan.
- Posisikan 2 jari di tengah-tengah dada dan ½ inci ke bawah putingnya. Kemudian, beri 30 tekanan sedalam antara ½ ke 1 inci pada kadar 100 kali seminit.
- Ulangi dengan 2 hembusan nafas dan 30 tekanan. Selepas 1 minit (ulangan 1 pusingan), hubungi ambulans dan teruskan dengan teknik hembusan dan tekanan di dada.
Kanak-kanak umur 1 hingga 8 tahun
CPR untuk kanak-kanak adalah sama seperti melakukan CPR bagi orang dewasa. Walau bagaimanapun, terdapat 3 perbezaan dalam langkah melakukannya.
- Jika hanya anda berdua dengan kanak-kanak tersebut, lakukan CPR terlebih dahulu selama 2 minit sebelum menghubungi ambulans.
- Gunakan tumit salah satu tapak tangan untuk melakukan tekanan di dadanya.
- Berikan tekanan sedalam 1 hingga 1½ inci.
Langkah asas melakukan CPR untuk kanak-kanak (umur 1 – 8 tahun):
- Pastikan tindak balas pesakit.
- Dongakkan kepalanya. Kemudian lihat, dengar dan rasai pernafasannya. Jika tidak bernafas, beri bantuan pernafasan sebanyak 2 hembusan.
- Jika tiada tanda-tanda pesakit mula bernafas, batuk atau bergerak, mulakan tekanan di dada sedalam 1½ hingga 2 inci sebanyak 30 kali di antara 2 puting dadanya. Tekan pada kadar 100 kali seminit.
- Teruskan dengan 2 hembusan pernafasan dan 30 kali tekanan di dada sehingga bantuan tiba.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sebelum Beli Kolam Mini, Ibu Perlu Ajar Anak Berenang Dulu Untuk Elak Lemas!
Baca juga: Ibu Leka Main Telefon Ketika Di Spa Bayi, Anaknya Hampir Hilang Nyawa Akibat Lemas
Baca juga: Bayi Ini Hampir Lemas Tidur Atas Badan Ibu, Ini Sebabnya Bahaya Tertidur Sambil Menyusu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!