Hari Raya adalah hari yang menggembirakan buat seisi keluarga dengan aktiviti ziarah-menziarahi, makan bersama dan pemberian duit raya. Bagi ibu bapa, pastinya anda tercari-cari tempat simpan duit raya anak yang terbaik untuk masa depan anak.
Duit raya yang anak-anak terima sebenarnya adalah milik mereka sepenuhnya. Ibu bapa hanyalah pemegang amanah.
Maksudnya, kalau terpaksa guna sebab keadaan mendesak, bolehlah guna sementara tapi ingat, ia dikira pinjaman dan perlu diganti semula. Kami sendiri pernah melalui situasi sebegitu, alhamdulillah berjaya ganti balik jumlah yang digunakan.
Tempat Simpan Duit Raya Anak Yang Terbaik
Noorul Azila dan Najmi Farisham telah berkongsikan senarai tempat simpan duit raya yang terbaik. Ada beberapa platform yang boleh dipertimbangkan, bergantung pada situasi kewangan ibu bapa masing-masing.
Berikut senarai tempat simpan duit raya anak yang terbaik:
1. SSPN
Saya letak SSPN sebagai pilihan pertama terutama untuk ibu ayah yang termasuk dalam kategori pendapatan tahunan individu melebihi 100 ribu. Kenapa 100k ke atas? Sebab pendapatan 100k ke atas dah masuk tax bracket 25%. Sehingga tahun 2024, anda masih lagi boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun dan dengan pelepasan cukai ini, jumlah cukai yang dapat anda kurangkan (secara legal) ialah sehingga RM2,000 (sekiranya termasuk dalam tax bracket 25%).
Pilihan ini paling tepat untuk ibu ayah yang tak mampu nak cukupkan jumlah RM8,000 dengan duit sendiri, maka boleh gunakan duit raya anak-anak bagi mencapai maksud sama. Bila dapat tax refund, bolehlah guna untuk belanja sekolah anak-anak semula.
Cuma, pilihan ini tidak terpakai jika ibu ayah memang dah siapkan duit asing untuk tujuan SSPN. Pilihan ini juga tidak terpakai (sangat) sekiranya jumlah PCB tahunan anda di bawah RM5,000. Ini kerana, walaupun anda nak usaha dapatkan semua pelepasan cukai yang ada, jumlah tax refund yang akan anda dapat, bergantung kepada jumlah PCB tahunan anda sahaja.
Kita masukkan duit ke SSPN ni hanya satu agenda, untuk dapatkan pelepasan cukai, bukan untuk dapatkan pulangan sangat. Kalau ibu ayah ada duit yang cukup untuk masukkan ke SSPN, boleh skip platform ini.
2. ASB / ASB 2 / ASB 3 – Didik
Tempat simpan duit raya anak yang terbaik seterusnya adalah ASB. Mudah, hampir tiada risiko kerugian (sebab ia adalah dana harga tetap) dengan kadar pulangan yang selalunya lebih tinggi dari kadar inflasi.
Kalau anda memegang pegangan fatwa yang mengatakan ASB adalah haram, maka pilihan yang lebih sesuai ialah ASB 3 – Didik. Dana ini tidak seperti ASB atau ASB 2 yang mempunyai pegangan yang besar di dalam Maybank..
3. AHB
Platform ini adalah alternatif terbaik jika tak mahu simpan di ASB. AHB adalah sejenis dana unit tetap juga, tetapi pegangan di dalam aset hartanah. Buat masa ini, unit AHB masih lagi boleh dibeli melalui portal Maybank. Tak perlu ke branch, boleh buka online sahaja.
Di antara unique selling point ialah, kadar pulangan yang lebih kurang sama dengan ASB, tetapi ia sudah pun dizakatkan. Maka, tak perlu risau kiraan zakat lagi berbanding ASB.
Cuma satu saja kekurangan, dari segi pengeluaran, perlu ke branch untuk buat pengeluaran pertama, dan terhad kepada satu kali pengeluaran dalam sebulan. Tapi saya kira bagus juga begini supaya dapat kekal disiplin menyimpan dan tak berlaku insiden korek-korek hujung bulan.
4. Tabung Haji (TH)
Sekiranya anak-anak belum ada akaun TH, maka boleh gunakan duit raya awal untuk tujuan ini. Dan sekiranya belum cukup jumlah RM1,300, adalah disarankan untuk cukupkan dulu jumlah tersebut di TH sebelum letak di mana-mana platform lain. Jumlah ini supaya kita dapat daftarkan anak-anak kita untuk dapat giliran Haji.
Tapi, jika anak-anak sudah ada lebih dari RM1,300 dalam akaun TH mereka, adalah lebih efficient untuk simpan duit raya mereka di tempat lain selain TH.
Sebab apa saya cakap begini?
- Keutamaan hak anak yang kita perlu sediakan ialah untuk pendidikan. Kemudian kalau ada lebih, baru siapkan untuk benda lain. Contohnya, simpanan Haji, ataupun simpanan untuk persediaan perkahwinan mereka.
- Anak kita kemungkinan besar akan melanjutkan pelajaran ke kolej, universiti dahulu, sebelum mereka pergi Haji. Jadi, susun ikut keutamaan waktu.
- Kadar pulangan selepas zakat yang tidak begitu memberangsangkan, berbanding AHB (yang juga sudah dizakatkan).
5. Dana Unit Amanah / Unit Trust Funds / Roboadvisor
Sekiranya anda sudah ada 4 akaun di atas untuk anak-anak, maka saya sarankan anda terokai peluang untuk mula melabur di dalam dana unit amanah (yang bukan harga tetap seperti ASB) untuk dapatkan pendedahan di pasaran global.
Pilihlah funds yang ada pendedahan di dalam pasaran maju seperti US, Europe, Japan, Asia Pacific yang syariah compliant. Ada begitu banyak pilihan yang ada. Dan kalau anda rasa tak tahu nak pilih macam mana, boleh gunakan platform seperti Roboadvisor yang pelbagai.
Cuma setahu saya, pilihan yang syariah compliant dan ada pendedahan dalam pasaran global, agak terbatas.
6. Emas
Tempat simpan duit raya anak yang terbaik adalah emas.
Simpanan emas ini kadang-kadang ingat beli barang kemas jer. Tapi kini kita boleh menabung emas secara online. Kita simpan dalam akaun emas yang bersandarkan emas fizikal.
Terpulang nak kekalkan dalam akaun atau nak keluarkan item emas fizikal macam gold bar dan dinar. Antara tempat simpan yang terbukti sistem dan emas fizikalnya adalah Public Gold.
Ibu ayah boleh simpan duit anak-anak melalui AkaunEmasGAP Jr serendah RM100 jer. Kenaikan simpanan emas pula antara 8-10 % setahun. Memang sesuai untuk simpanan jangka masa panjang macam dana pendidikan.
7. BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP)
Sijil simpanan premium BSN ni memang popular dengan hadiah cabutan bertuahnya. Boleh menang wang tunai, kereta, percutian dan macam-macam lagi. Setiap bulan ada pemenangnya.
Deposit minimum yang disarankan ialah Rm200 untuk layak dapat cabutan. Minimum umur pula 12 tahun ke atas.
Pulangan dividen pula minimum 0.60% setahun untuk simpanan minimum RM3000. Walaupun tak banyak tapi yang penting didikan menyimpan pada anak-anak.
8. Versa
Di sini, pulangan sekitar 3-5% setahun, bergantung pada dana yang dipilih. Cuma kena ingat, di sini risiko duit boleh naik dan turun berdasarkan market semasa. Duit boleh dikeluarkan bila-bila masa tanpa penalti.
Pastikan pilih akaun patuh syariah, biasanya yang ada “i” di belakang nama seperti Versa Cash-i dan Versa Invest-i. Modal rendah, boleh mula serendah RM10 sahaja.
Daftar online melalui aplikasi Versa. Pilih dana patuh syariah seperti Versa Cash-i (money market fund) atau Versa Invest-i (unit trust syariah).
9. Rize by Al Rajhi Bank
Fungsinya memang macam bank. Boleh transfer duit, boleh scan QR dan terima duit daripada sesiapa. Pulangan 3.3% setahun, lebih tinggi daripada akaun bank simpanan biasa.
Duit boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tanpa penalti. Modal rendah, boleh mula dengan RM10 sahaja. Akaun patuh syariah.
Boleh daftar online melalui aplikasi Rize. Transfer duit dan nikmati pulangannya yang akan dikreditkan setiap bulan.
10. AEON Bank Islamic Savings Account-i
Ini juga ialah bank digital. Pulangan sekitar 3% setahun, bergantung pada baki simpanan. Pulangan tetap lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa di bank lain. Yang penting, kena simpan di Savings Pot.
Tiada caj bulanan & tiada syarat baki minimum. Kad debit fizikal dan maya tersedia untuk transaksi harian.
Daftar melalui aplikasi AEON Bank secara digital tanpa perlu ke kaunter. Transfer duit ke akaun dan nikmati keuntungan secara bulanan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pemberian Duit Raya Yang Ideal Di Malaysia Untuk Tahun 2025, Mengikut Umur & Hubungan
Baca juga: Hukum Guna Duit Raya Anak Mengikut Mufti WP, Parents Kena Take Note
Baca juga: Buat Konsep Duit Raya Bergerak, Suami Isteri Keliling Kampung Naik Motor Habiskan RM30 Ribu
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!