Mempunyai anak soleh dan solehah, baik budi pekerti dan berakhlak impian setiap ibu dan ayah. Bukan itu sahaja, berbakti kepada orang tua, menghormati orang di sekelilingnya selain mentaati perintah Allah SWT serta mencintai Nabi Muhammad SAW. Di sini terdapat 10 tips keibubapaan boleh diamalkan oleh ibu dan ayah di rumah.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- 10 tips keibubapaan penting untuk diamalkan
Untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah, ia seharusnya bermula dengan diri ibu dan ayah terlebih dahulu. Justeru, ini tips boleh diamalkan seperti yang dikongsikan oleh pakar mata terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad.
10 tips keibubapaan penting untuk diamalkan
1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak, kirimkan bacaan al-Fatihah. Sampai kepada ayat “iyyakanakbudu waiyyakanastain” yang ertinya “hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya pada-MU pohon pertolongan”.
Mintalah apa sahaja hajat pada waktu itu yang ada hubung kait dengan anak. Habiskan bacaan surah al-Fatihah dan doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agama, memiliki ilmu yang bermanfaat dan serahkan urusan anak kepada Allah SWT untuk menjaganya.
2. Pandang wajah anak semasa dia tidur serta ucapkan bahawa, “ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang”. Cubalah amalkan (ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya) dan ucapan ini adalah doa. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
3. Semasa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya kita solat di dalam bilik anak sekali gus dekat dengan dia. Jika selalu mengamalkannya dan kita juga selalu beritahu yang kita sering mendoakannya, anak akan rasa satu ikatan kasih sayang hakiki yang kita amat sayangkannya serta mahukan dia menjadi anak soleh dan solehah. Anak akan tahu kita selalu solat hajat untuknya.
4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita sedang menunggu panggilan Allah SWT. Jika dia tidak menjadi anak soleh dan solehah, bermakna dia tidak sayangkan kita dan tentunya ibu dan ayah akan merana di alam barzakh nanti.
5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana ibu dan ayah menatang dia semasa kecil. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan kepadanya bahawa kita bangga mempunyai anak sepertinya.
6. Maafkan anak kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati ibu dan ayah. Muhasabah diri, mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita di masa lampau.
7. Paling penting jaga tutur kata ibu dan ayah, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita terlepas kata, segera mencari masa yang sesuai untuk minta maaf kepada anak. Mengakulah padanya itu kelemahan ibu dan ayah. Kita marah kerana dia buat salah, bukan bermaksud membenci.
8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya ibu dan ayah, anak serta zuriat keturunan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang tetap mendirikan solat. (Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.)
9. Selalu ingatkan anak bahawa tidak guna ada pangkat, belajar tinggi hatta hafal al-Quran sekali pun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia. Allah SWT tidak memandang wajah yang cantik tetapi Dia memandang hati yang cantik.
10. Semasa membasuh beras, niatkan “Ya, Allah lembutkanlah hati anak-anakku (sebut nama dia) untuk faham agamanya”. Kenapa Kita mahu anak memahami agama? Kerana anak yang tidak memahami agama boleh membawa ibu bapanya juga ke neraka. Sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi.
Basuh beras lawan jam (seperti orang tawaf) sambil berselawat kepada Nabi Muhamad SAW. Ketika melakukan kerja ini, hati jangan lalai dan ingat kepada Allah SWT selalu.
Bermanfaat tips-tips keibubapaan yang disenaraikan. Semoga ia boleh diamalkan dalam usaha kita melahirkan zuriat soleh dan solehah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Amalan Doa Buat Anak Yang Mustajab Agar Mereka Menjadi Soleh & Solehah
Baca juga: Anak-Anak Cerminan Ibu & Ayah, Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya!
Baca juga: Anak Gagal Ketika Peperiksaan Bukan Pengakhiran Segalanya, Ini 6 Perkara Ibu Ayah Kena Buat